Asam Pedas Siput Sedut dengan Sayur Keladi
10:58 PG
Assalamualaikum.
Moga baik-baik sahaja.
Moga akan dapat dengar perkembangan positif tentang wabak Covid 19 yang sedang melanda dunia.
Moga cerita yang baik akan kita dengar di negara kita dari semasa ke semasa.
Dengarnya ada lagi kematian keempat pada hari ini.
Innalillahiwainnailaihiraajiuun.
Sementara menunggu ikan dinyahbeku, Amie kongsikan dulu resepi Asam Pedas Siput Sedut dengan Sayur Keladi. Resepi ini agak lama tersimpan di folder dan baru hari ini sempat untuk dijadikan paparan. Kami beli siput sedut dan sayur keladi ini di Pasar Tawau. Siput sedut ni bagi Amie elok makan begitu saja tanpa nasi...ahaks! Puaslah menyedutnya tanpa gangguan makanan yang lain. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 kg siput sedut - potong bahagian hujungnya (jika ada hampas kelapa boleh boleh gaul bersama siput tadi dan biarkan 1 jam, kemudian cuci bersih dan toskan)
1 batang pokok keladi - buang kulit batang dan kupas kulit isi keladi - celur bersama sekeping asam gelugor sehingga batang keladi layu - toskan)
2 batang serai - diketuk
7 tangkai pokok kesum
1 liter air
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm halia
2 cm kunyit
1 sudu kecil belacan
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
2. Masukkan serai, asam gelugor dan air.
3. Biarkan mendidih dan kemudian masukkan siput sedut dan daun kesum. Didihkan sekali lagi.
4. Akhir sekali masukkan sayur keladi (batang dan isi keladi), tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur.
0 comments