Kerutuk Daging Rusa
9:25 PTG
Jom kita masak kerutuk.
Masakan kerutuk ini asalnya dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
Bila rujuk sana sini, macam-macamlah bahan dan cara masakannya yang tersendiri, sehingga tak tahu mana satu yang betul. Akhirnya Amie rujuk sahaja resepi di belakang serbuk rempah kerutuk, dengan membuat sedikit pengubahsuaian ikut citarasa.
Biasanya kerutuk diolah bersama daging lembu, kambing atau ayam. Amie pula masak kerutuk daging rusa. Jom lihat resepinya di bawah ini.
800 gram daging rusa - potong lebar dan nipis
1 paket (24 gram) Serbuk Kerutuk Ayam & Daging jenama ADABI
3/4 cawan minyak
3 sudu besar kerisik
3 cawan santan dari sebiji kelapa
1 sudu kecil pati asam jawa
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
gula melaka / garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
2 labu bawang besar
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 batang serai - hiris
3 hiris nipis lengkuas
3 hiris nipis halia
Cara memasak:
1. Gaul serbuk rempah kerutuk bersama daging rusa hingga sebati. ketepikan.
2. Panaskan minyak, dan masukkan kulit kayu manis serta bunga lawang.
3. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis hingga pecah minyak.
4. Seterusnya masukkan daging rusa, dan gula melaka serta garam / perasa pilihan.
5. Masukkan juga pati asam jawa serta santan.
6. Jangan lupa masukkan juga kerisik.
7. Gaul rata, dan tutup kuali serta perlahankan api dapur.
8. Masak sehingga daging rusa empuk, kuah pekat dan pecah minyak.
Kerutuk Daging Rusa siap untuk dihidangkan.
Kerutuk Daging Rusa ini Amie makan dengan nasi himpit. Encik Suami dan Fairuz makan dengan nasi putih. Firdaus pun ikut makan sama! Tak sangka pula budak kecil ini berselera makan Kerutuk Daging Rusa dengan nasi himpit!
3 comments
Daging rusa masak apa pun sedap terutama masak kerutuk
BalasPadamSedapnya, Amie! Daging rusa yang PH pernah makan cuma kat restoran Cina. Dia orang masak dengan halia dan daun bawang.
BalasPadamWarisan Petani,
BalasPadambetul tu, saya masak kerutuk sebab rempahnya agak kuat berbanding rempah kari biasa, bau rusa pun boleh hilang oleh rempah ini.
PH,
boleh dipelbagaikan resepi daging rusa, ikut citarasa.