Sup Ikan Siakap .... nostalgia Sup Ikan Baguk!
6:02 PTG
Bila Amie masak sup ikan lengkap dengan pelbagai bahan & rempah-rempahannya, teringat nostalgia zaman kanak-kanak yang telah lama ditinggalkan bersama 1001 kenangan lain di kampung laman! Mana mungkin Amie dapat lupakan begitu saja, kerana segalanya sentiasa menggamit memori yang ada ketikanya bisa menitiskan airmata dek terharu bila sesekali terkenangkannya!
Kami tidak pernah menjamah ikan siakap ketika itu. Ikan yang sangat terkenal dalam kalangan orang kampung kami untuk dijadikan hidangan istimewa sama ada untuk keluarga atau semasa kenduri-kendara sudah tentulah ikan baguk! Entahlah apa nama lain untuk ikan baguk itu! Selain digoreng begitu saja, ikan baguk biasanya dimasak kari atau semur (masak kicap), dan kepalanya diolah sebagai hidangan sup. Sayangnya.... hidangan sebegini enak yang pernah kami nikmati suatu ketika dahulu sudah tidak lagi menjadi hidangan utama keluarga kami di kampung. Barangkali... sudah kebanjiran dengan pelbagai lauk-pauk yang lain! Begitu juga di tempat kenduri-kendara.... hidangan sebegini seakan hilang tanpa kesan!
Hidangan sup ikan memang sesuai sangatlah untuk bilangan ahli keluarga kami yang ramai ketika itu. Bonda memang menjadikan hidangan sup sebagai resepi utama. Apalagi kalau Ayahanda sembelih ayam kampung, seingat Amie memang Amielah orang yang bertanggungjawab berbasikal ke kedai membeli lada putih dan daun sup! Hidangan sup hasil air tangan Bonda memang tiada tandingan. Aromanya yang semerbak memenuhi ruang dapur dengan bau daun sup dan bawang goreng membuatkan kami tidak sabar untuk menjamah hidangan!
Sehingga ke saat ini Amie masih ingat pesan Bonda (Amie juga pernah tulis dalam beberapa entri sebelum ini), supaya menggunakan sedikit sahaja rempah-rempahan dalam sup supaya tidak menjejaskan keenakan rasanya. Ya.... Amie ingat itu Bonda! Kalau dulu sup ikan baguk menjadi rebutan kami adik-beradik dek kelazatannya, hari ini Amie tukarkan ikan baguk kepada ikan siakap pula. Barangkali bahan yang digunakan akan tersenarai panjang, tapi in shaa Allah, resepi sup warisan daripada Bonda kami dan orang kampung kami ini tidak kurang enaknya jika dibandingkan dengan hidangan sup yang lain. Namun begitu terdapat beberapa penderhakaan yang Amie lakukan, misalnya Amie tambahkan cendawan shiitake dan juga tomato ke dalam sup, dan satu lagi biasanya Bonda tumis terlebih dahulu kepala atau ikan baguk tetapi Amie tidak berbuat demikian. Apa pun, hasilnya tetap menyelerakan.
Resepi : Sup Ikan Siakap
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap sederhana besar - bersihkan dan potong menjadi 5 keping
5 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang & toskan airnya - belah 2
1 biji tomato - belah 4
1 keping asam gelugur
sedikit minyak - Amie gunakan minyak sawit Carotino, itu pasal kuah nampak kuning
1 sudu lada putih - tumbuk
600ml air
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 biji cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
Bahan hiasan:
hirisan daun sup & daun bawang
bawang goreng
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng rempah penumis hingga wangi.
2. Masukkan bahan tumbuk dan goreng hingga garing.
3. Tambahkan air, dan masukkan cendawan shiitake. Biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan siakap, asam keping dan biarkan masak di antara 4-5 minit.
5. Masukkan lada putih, garam /perasa pilihan dan juga tomato.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan segera dengan taburan daun bawang / sup hiris dan juga bawang goreng.
9 comments
Salam kak amie.. wah. tun xpenah wat sup ikan siakap.. biasa guna ikan merah utk buat sup.. byk rempah2 ratus ni buatkan sup lg sedap :)
BalasPadamalahai Amie, sup ni superb lah macam2 ada mesti makan nasi berpinggan2 ni dgn sup ni kan kan, bak lah semangkok nak rasa Mie..
BalasPadamAssalamualaikum k.amie...nampak menyelerakan betul sup ikan ni...
BalasPadamAssalamualaikum kak amie sedap nampak sup ikan siakap tu.selalu uj ikn siakap ni wat msk stim atau sweet n sour jer,blum pernh buat sup lagi..nnti bolelah dicuba.....
BalasPadamnak cilok resipi lah, cam sedap je
BalasPadamAmie..resepi turun temurun yang memang dah best diolah pula dengan air tangan Amie yang memang mantop, mesti sedap berganda sup ikan siakap ni.
BalasPadamK.amie ni...kadang mcm2 nama ikan keluarnya...ni pun sy x penah tau...tp siakap tu..biasa lah...siakap buat sup tu cmne rasanya ye..?
BalasPadam
BalasPadamamie, org2 kat kuala selangor mmg kenal sgt dgn ikan baguk. Rasanya ikan baguk, baung dan tapah lbh kurang je adik beradik cam keli d haruan. La ni susah nak dpt ikan baguk. baung pun dah x seenak dahulu. Sg Selangor dah terancam. Sedap digoreng dan makan dengan nasi panas2. semuanya tinggal nostalgia.
tak penah dengar n tengok ikan baguk,kalau ikan siakap selalu ler makan..tu pon masak sweet sour je..haa ni kena try masak sup pulak,gamoknya sodap ni :)
BalasPadam