Ikan Pari Masak Asam Pedas Halba

by - 8:28 PTG

Jumpa lagi. Malam ini Amie akan menimba ilmu lagi melalui siaran langsung di FB pada pukul 9 malam. Jadi, kena tutup dapur lebih awal. Sebelum itu Amie kongsikan dahulu resipi Ikan Pari Masak Asam Pedas Halba.

Macam-macamlah versi masakan asam pedas di negara kita. In shaa Allah, semuanya Amie boleh terima dengan baik. Memang meriah sungguhlah dunia masakan tanahair kita kan? Ada asam pedas hanya bubuh serai. Ada yang bubuh serai ditambah daun limau purut. Ada pula asam pedas bubuh daun kesum. Ada pula yang tambahkan lagi dengan bunga kantan pula. Pendek kata pelbagai variasi asam pedas boleh dijadikan satu koleksi resepi. Jadi, tidaklah bosan hanya menikmati sejenis masakan asam pedas saja. Sesekali, ubahlah pula cara olahan atau masakannya. Mana tahu lebih sedap dan menepati selera!

Hidangan makan tengahari kami, Amie sempat sediakan Ikan Pari Masak Asam Pedas Halba. Untuk Firdaus, kalau dia tak mahu makan asam pedas, Amie buatkan telur dadar. Ada tempe dan tauhu goreng, ulam-ulaman seperti selada dan petai boleh cecah sambal tomato.

Ikan Pari Masak Asam Pedas Halba



Hidangan makan tengahari, nasi dan lauk asam pedas ikan pari.


Tauhu dan tempe goreng.

Ulam-ulaman selada, petai, timun dan tomato kampung.

Sambal tomato.

Telur dadar.

Hirisan nanas tabur serbuk asam.



Jom kita lihat resipi Ikan Pari Masak Asam Pedas Halba.

Bahan-bahan:

  • 500 gram ikan pari - bersihkan dan potong ikut saiz yang digemari
  • 5 biji kacang bendi - potong 2
  • 5 biji tomato kampung - belah jangan putus
  • 1 batang serai - potong 2 - ketuk
  • 7 tangkai daun kesum
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 sudu kecil halba
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / gula melaka / perasa pilihan secukup rasa
  • 600 ml air
Bahan kisar:
  • 12 tangkai cili kering
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 1 sudu kecil belacan
  • 2 cm kunyit hidup
  • 2 cm halia
  • 1 sudu kecil lada hitam
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak. Masukkan halba dan serai. Goreng hingga terbit aroma dan kemudian masukkan bahan kisar.
  2. Setelah bahan tumisan terbit minyak, masukkan air. Gunakan api sederhana. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan asam gelugor, gula melaka dan ikan pari.
  4. Kemudian masukkan daun kesum, tomato dan kacang bendi.
  5. Setelah kuah mendidih, taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
  6. Jika inginkan minyak bergenang atau terbit minyak lagi, biarkan seketika di atas dapur sebelum api dipadamkan.

You May Also Like

16 ulasan

  1. saya zaman muda2 dulu tak suke asam pedas ni, bila dah tua baru suke.. tapi ikan pari saya tak makan sebab ade sejarah hitam.. hehehe

    BalasPadam
  2. Suka saya asam pedas. Letak halba macam manalah rasa asam pedasnya.

    BalasPadam
  3. Jaman dulu2 ikan pari ni tak laku
    orang buat ikan kering aje.
    Sekarang harganya mahal ya ampun

    BalasPadam
  4. Menjadi jugak asam pedas ikan pari kak amie...SA ada ikan pari seketul lagi dalam fridge tu..terbeli yang isinya keras..maybe ikan pari tu besar sangat kot...haih..x tau macam mana nak buat tu....x kan nak buang kan..sayanag...beli mahal

    BalasPadam
  5. Nanas tabur serbuk asam tuuu uuuuuuuu terbayang bayang rasa asam tuuuu campur pulak dengan nanas, masam masam manis

    BalasPadam
  6. makanan seimbang sedap semua

    BalasPadam
  7. Meriah betul hidangan cikgu walaupun hanya makan bertiga.Nanas tu kecur betul ...

    BalasPadam
  8. Dulu-dulu saya tak letak halba, lepas kawan kata sedap letak..saya pun cuba. Rasa macam lagi sedap, maka kekal letak halba sampai sekarang.

    Tengok hidangan Amie ni memang sentiasa membuka selera.

    BalasPadam
  9. Semuanya nampak super sedap!
    Memang ngam telur dadar regu dgn asam pedas.

    BalasPadam
  10. Sedapnya Asam pedas. Mama pun baru masak beberapa Hari lepas

    BalasPadam
  11. Lama betul tak makan asam pedas. suka asam pedas ikan kembung, ikan lain ada yang saya tak makan. Nak buat sendiri tak pandai. Dapat makan asam pedas likat pekat macam ni, baru sedap makan. Telur dadar, tempe, tauhu goreng memang kena sekali dengan ulaman dan sambal.

    BalasPadam
  12. Sy kalau masak asam pedas tetel, mesti tumis halba, serai, halia dan lengkuas dulu. Masak asam pedas ikan nanti boelh cubalah jugak cara kak Amie ni

    BalasPadam
  13. waduhhhh dpt judu dgn roti canai ni mau x bgn sy dibuatnya😆

    BalasPadam
  14. aroma halba tu nice kan.
    aida wajib letak halba kalu masak asam pedas.
    suka aroma nya.

    BalasPadam
  15. Adoilah.. kenapa mengancam sangat asam pedas kak amie nie.. terliur Sha menengoknya..

    BalasPadam