ADSENSE

Sabtu, 31 Oktober 2020

Tutup Tirai Oktober Dengan Dua Rasa Yang Berbeza

Masih lagi dalam suasana PKPB yang entah bila akan berakhir sepenuhnya. 19 Oktober 2020 terima khabar duka. Seorang sahabat baik, bersama-sama menuntut ilmu di UM, telah kembali ke pangkuan-Nya. Tidak dapat digambarkan rasa sayu ketika mendengar berita itu. Terakhir berjumpa sewaktu bersama-sama menghadiri kursus di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam, 18 tahun lalu. Sempat bercerita dan mengenang kembali suka duka zaman di kampus. Beberapa tahun lepas, ada seorang teman menyampaikan salam daripadanya kerana mereka menyelesaikan tugas bersama di Kuala Lumpur. Khabarnya, sahabat baik Amie ini mengidap diabetes tahap kritikal. Sewaktu kami bercuti di Malaya, Encik Suami ajak Amie untuk menziarahinya kerana kebetulan kami jalan-jalan ke Melaka dan Negeri Sembilan. Amie telefon, tetapi tidak diangkat. Amie hantar mesej, juga tidak dijawab. Setelah kami pulang ke LD, barulah sahabat baik ini menjawab mesej dengan menyelitkan gambar dirinya berada di hospital, berselirat dengan wayar-wayar! Katanya: Kenapa engkau tak datang tengok aku?

Sejak itu, berjanji dalam hati sekiranya berkesempatan bercuti lagi kami akan cuba ziarahinya. Namun setiap kali pulang, setiap kali itulah pula telefon tidak dijawab, dan mesej tidak dibalas. Beberapa bulan lepas, tiba-tiba sahabat baik ini memberi komen di FB rakan sekuliah kami. Masih cerita yang sama, mengenang zaman suka duka di kampus dan menyebut diri ini sebagai sahabat baiknya di kala susah dan senang. Setiap kali kami cuba bertanya tentang kesihatannya di WhatsAap Group, sahabat baik ini hanya mendiamkan diri. 

Selamat jalan sahabat baikku. Selamat menempuh jalan yang lurus. Selamat bertemu dengan-Nya. Moga aman dan tenteram di alam abadi.

Akhirnya dia pergi jua  pada pukul 11 malam 18 Oktober 2020 (Ahad) di IJN, dan menurut anaknya, arwah meninggal dunia akibat sakit jantung. 
Ya Allah Ya Tuhanku,
Ampunilah sahabatku Jawib Rosdi,
Rahmatilah dirinya.
Muliakanlah kematiannya.
Lapangkanlah kuburnya,
Jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya,
Kurniakanlah  kesabaran dan kemudahan kepada ahli keluarganya,
Tiada daya dan upaya kami melainkan rahmat-Mu ya Allah,
Tempatkanlah dirinya dalam kalangan hamba-Mu yang beriman dan beramal soleh,
Aamiin Ya Rabbal Aalamiin.


Zakaria, seorang rakan yang berbudi bahasa, cekal dan tabah menempuh hidup.
Moga terus berjaya dunia dan akhirat.

Pada 29 Oktober 2020, terima berita gembira pula apabila terbaca di media sosial tentang Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1442H / 2020M. Rakan sekuliah kami, Zakaria Yahya, seorang Guru Akademik Kurang Upaya Penglihatan terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut.
   

Amie pernah menjadi salah seorang pembaca sukarela kepada Zakaria di bilik karel (bilik khas untuk pelajar kurang upaya). Amie pernah menulis sedikit kenangan di sini: One Day In Your Life. Teringat sewaktu mengikuti Minggu Haluan Siswa, Zakaria dengan tongkatnya terjatuh ke dalam longkang. Setiap kali kuliah, Zakaria adalah orang pertama berdiri di depan pintu kuliah untuk masuk ke dewan. Zakaria akan duduk di barisan paling hadapan, melipat kemas tongkatnya, dan mengeluarkan tape recoder untuk merakam isi kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. 

Rasa kagum sangat dengan kesungguhan Zakaria menuntut ilmu. Ketika majlis konvokesyen berlangsung, Zakaria mendapat tepukan paling gemuruh dengan pencapaian cemerlangnya! Segalanya berakhir di situ. Tiada sebarang berita yang kami perolehi tentang Zakaria sehinggalah 3 hari lepas terpampang gambarnya dengan ucapan TAHNIAH sebagai Penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul.

Alhamdulillah. Tahniah buat Zakaria. Teruskan amanah dan  usaha memberi ilmu kepada anak didik. Ya! Sudah 28 tahun berlalu, tiba-tiba mendengar khabar gembira ini. Moga Zakaria sentiasa sihat dan gembira di samping keluarga dan anak didik tercinta. 

Petikan catatan lalu: One Day In Your Life

Suatu petang, hujan renyai-renyai dan Amie terlambat masuk ke karel.
Amie: Maaf... minta maaf, saya terlambat. Mungkin awak tertunggu-tunggu saya!
Dia   : Oh...! Tak apa. Saya tahu awak (dia sebut nama Amie) yang datang ni.
Amie : Mana awak tahu saya yang datang?
Dia    : Dari bau minyak wangi... (Amie memang pakai minyak wangi yang sama setiap hari kuliah).
Amie : Ooohhh!
Dia    : Dan... bunyi tapak kasut...
Amie : Wow! Saya lambat sebab...
Dia    : Hujan kan...
Amie : Mana tahu hujan di luar?
Dia    : Saya boleh hidu baunya!
Subahanallah... Maha Suci Allah yang menjadikan makhluk-Nya dengan segala keistimewaan dan keunikan yang tersendiri!

Jumaat, 30 Oktober 2020

Ikan Susu Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas

Gambar masakan Ikan Susu Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas ini sebenarnya sudah beberapa bulan duduk diam-diam dalam folder. Setiap kali buka folder, nampak jew semangkuk ikan ni di barisan atas. Entah kenapa tidak dipeduli. Hari ini rasa kasihan pula. Baiklah jadikan paparan walaupun sudah banyak kali kongsi resepi ikan susu. Yang sudah biasa masuk dapur Amie, tentu pernah terjumpa dengan menu ikan susu. Biasanya Amie gunakan nama ikan bolu @ baulu. Banyak sungguhlah nama ikan susu ini. Ikan bolu @ baulu @ milkfish @ bandeng @ bangus @ ava @ lunak. Di Hawaii ikan ini dipanggil ikan ava. Di Filipina dipanggil ikan bangus, dan katanya ikan ini merupakan ikan kebangsaan negara tersebut. Di Indonesia, namanya ikan bandeng. Orang putih pula panggil milkfish. Biasanya di Malaya ikan ini dikenali sebagai ikan susu, dan di Sabah mengikut panggilan tempatan ikan ini disebut ikan bolu @ baulu. Ikan ini juga menjadi ikan viral sejak Bonda Rozita memperkenalkannya sebagai ikan lunak.

Masaklah apa pun, ikan susu memang sedap! Masak singgang, panggang, goreng, masak lemak cili padi, masak lemak tempoyak, masak asam rebus dan sebagainya. Kali ini Amie kongsikan resepi Ikan Susu Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas. Untuk dapatkan warna yang cantik menyerlah, jangan lupa gunakan cili padi hijau dengan kunyit hidup. Amie gunakan nanas bahagian bawah, yang tak berapa manis dan ada rasa masam sikit. Jadi, Amie tidak tambahkan asam keping. Cukuplah rasa semulajadi masam manis nanas.



Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan susu @ bolu (500 gram) - bersihkan dan kerat 6
  • 400 gram nanas - potong ikut suka
  • 2 batang serai - dititik
  • 1 biji cili hijau - belah 2
  • 1 biji cili merah - belah 2
  • 250ml santan pekat
  • 500 ml air
  • garam / gula /perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
  • 30 biji cili padi hijau
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
Cara memasak:
  1. Masukkan air ke dalam periuk bersama nanas,  serai dan bahan tumbuk / kisar. Jerang di atas api sederhana.
  2. Setelah masakan mendidih dan nanas layu, masukkan pula ikan susu @ bolu.
  3. Tambahkan santan pekat, garam /gula/perasa pilihan secukupnya.
  4. Kacau selalu sehingga kuah mendidih dan ikan masak. 
  5. Akhir sekali masukkan hirisan cili hijau dan cili merah.
  6. Padamkan api dapur

Ikan Susu Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas

Rabu, 28 Oktober 2020

Menu Dinner DSSS 1-7

Masih lagi meneruskan belajar pengambilan makanan seimbang. Kali ini paparan menu  makan malam pula. Sebelum pukul 6 petang, sudah selesai isi perut. Oleh kerana di sebelah malam merupakan waktu untuk berehat dan tidak banyak tenaga diperlukan, sebaiknya kurangkan bahagian sumber kabohidrat. Bagaimana pun Amie cuba perlahan-lahan untuk meniadakan sumber karbohidrat, kalau mampu. Setakat ini Amie masih lengkapkan menu makan malam DSSS dengan tiga sumber utama iaitu karbohidrat, protein dan fiber. Kadang-kadang sama saja menunya setiap hari.

Karbohidrat : kentang rebus
Protein : dada ayam panggang
Fiber : salad hijau, kobis bunga dan lobak merah celur & anggur

Karbohidrat : kentang panggang
Protein :  dada ayam panggang
Fiber : tomato panggang, sayur kacang manis, lobak merah dan cendawan shiitake goreng kilas dan buah kiwi


Karbohidrat : kentang rebus
Protein : dada ayam panggang
Fibe : selada merah & buah delima


Karbohidrat : kentang panggang
Protein : dada ayam panggang
Fiber : tomato panggang, kacang manis, lobak merah dan cendawan goreng kilas


Karbohidrat ; kentang rebus
Protein ; dada ayam panggang
Fiber : avocado, betik, anggur dan brokoli celur

Karbohidrat : keledek oren rebus
Protein : dada ayam panggang
Fiber : tomato ceri, belimbing & epal hijau

Karbohidrat : keledek oren panggang
Protein : dada ayam panggang
Fiber : mini lettuce, kobis ungu, tomato ceri & bawang Bombay panggang

Ikan Reben Vegetarian Panggang

Hari ini agak lewat masak untuk makan tengahari. Kerja-kerja online yang dibuat kadang-kadang melekakan sampai tak ingat waktu! Abang Farid sudah bersedia untuk memesan makanan dari luar kalau Amie tak sempat masak. Sudah pukul 11:47 tengahari. Pagi tadi sempat masak bubur nasi campur jagung. Encik Suami nak makan bubur itu saja, tapi katanya bubuh sayur. Ok. Siap satu kerja. Kerja seterusnya, masak untuk anak-anak. Tak lama lagi Fuad akan berhenti rehat dari kuliah online sebelum sambung semula pada pukul 2 petang. Abang Farid membantu Firdaus menyiapkan kerja projek bahasa Inggerisnya. Fairuz pula menyambung kerja amalnya.

Setelah menekan butang on rice cooker, terfikir pula nak masak lauk apa. Goreng telur sajalah, dan masak sayur sedikit. Tiba-tiba teringat bungkusan Ikan Reben Vegetarian yang dibeli minggu lepas. Eloklah panggang ikan reben vegetarian itu saja. Mudah dan cepat. 

Kalau Abang Farid dan Fuad tak mahu makan ikan reben vegetarian, ada telur dadar dan sayur. Sambal belacan kesukaan Fuad pun masih ada. Maklumlah, anak-anak ini, kalau jumpa makanan yang tak biasa dihidang atau dimakan, susah sikit nak menjamahnya.

Ikan Reben Vegetarian Panggang dah siap! Panggang saja beberapa minit dalam kuali ajaib. Tak perlu nak tambah apa-apa perasa lagi sebab sudah lengkap dengan rasa masin garamnya. Bagi yang belum biasa dengan Ikan Reben Vegetarian ini, ia diperbuat daripada serat gandum dan protein kacang soya. Kulitnya pula diadun daripada tauhu dan rumpai laut. Boleh diolah ikut cara masakan yang kita suka.

Fuad tanya, ikan apa ni Mommy?
Ikan Reben.
Dia pun makan dengan nasi, dan sambal belacan. Seketul demi seketul ikan Fuad makan. Tak ada apa-apa komen tentang rasa ikan ini. Kemudian datang Abang Farid. Tak tanya apa-apa, terus ambil nasi, ambil ikan dan telur. Tak juga tanya apa-apa. Kemudian Abang Farid ambil ikan lagi. Tak juga tanya apa nama ikan itu.  Firdaus tak mahu makan. Katanya kenyang minum susu kambing.
Alhamdulillah. 

Sekian.
Cerita dari dapur tentang Ikan Reben Vegetarian Panggang.
Tak adalah resepinya ye, sebab hanya panggang ikan yang sudah cukup bahan perapannya. Cuma tambah-tambah aksesori ikut suka.

Selasa, 27 Oktober 2020

Dunia Ini Penuh Dengan Kebahagiaan dan Kegembiraan. Carilah! Ia Ada di Sekeliling Kita!

Wah! Panjangnya tajuk entri malam ini. Amie ingin mulakan dengan kata-kata yang positif dan sentiasa memberi semangat, walaupun ada ketikanya dalam rutin hidup ini ada masa-masanya 'terkehel' dari landasan...ahaks! Ada orang kata hidup tidak selalu indah, tapi sebenarnya sekali-sekala sahaja yang kurang indahnya. Peratus indahnya jauh lebih banyak. Itulah sebabnya mengapa kita perlu sentiasa bersyukur. Issshh...isssh...berfalsampah pulak malam ini....hiks!

Pagi tadi, segala urusan menghantar Encik Suami ke klinik berjalan dengan lancar. Pukul 8 pagi, Encik Suami menelefon klinik untuk memastikan appointment yang tertunda dari kelmarin tidak dibatalkan. Bising jugalah Encik Suami dalam kereta. Katanya, apalah gunanya petugas di kaunter minta dan catat nombor telefonnya tapi tidak memaklumkan appointment ditunda. Sebelum bernikah (buka rahsia), Encik Suami pernah berpesan : Kalau seorang marah, seorang kena diam. Itu cerita lama.... lebih 26 tahun silam. Tapi Amie tetap ingat. Jadi kalau Encik Suami sedang marah, Amie diam-diam sajalah. Kalau Amie marah, Encik Suami pun diam-diam saja... tapi sakit hatilah pulak sebab marah kita tak dipedulikan orang...kah! Macam orang tolol pulak marah sorang-sorang!

Alhamdulillah. Pagi tadi nampak agak laju juga Encik Suami berjalan. Dah ok kot kakinya. Petang tadi, Encik Suami keluar bersama Fuad untuk meninjau sekolah-sekolah di bawah seliaannya. Fuad yang memandu. Kebetulan sebelah petang, Fuad tidak ada kuliah online. Lebih 2 minggu Encik Suami berehat, dan hanya membuat kerja dari rumah sahaja. 

Bluberry Cheese Tart

Seperti kelmarin, dalam perjalanan pulang dari klinik sempat singgah di Garden Hut Bakery & Cafe, tempat Encik Suami selalu lepak minum pagi bersama kawan-kawannya. Belikan Abang Farid cheese bread dan garlic bread. Fuad tak minat makan roti. Fairuz pula awal pagi sudah bersama kumpulan sukarelawan untuk membantu agih-agihkan bantuan makanan kepada penduduk yang memerlukan. Amie beli 6 biji blueberry cheese tart. Abang Farid hanya ambil roti. Tak sentuh blueberry cheese tart. Firdaus tak sabar-sabar nak makan tart comel ini.

Katanya: Mommy dengan Baba tak makan tartkan? Boleh Daus makan?

Boleh, sayang.

Dia pun makan 3 biji blueberry cheese tart. Kemudian dia bertanya Abang Farid.

Abang Farid makan tak?

Tak.

Daus makan ya? Boleh Abang Farid?

Haaa... makanlah.

Blueberry cheese tart tinggal dua biji. Amie simpan dalam bekas bertutup. Kemudian Amie masak untuk makan tengahari. Firdaus datang semula ke dapur.

Mommy! Boleh tak Daus makan dua biji tart ini?

Adik suka tart ya?

Suka!

Makanlah.

Dah kenyang makan 6 biji blueberry cheese tart, Firdaus tak mahu makan nasi. Oh! Bukan makan 6 biji blueberry cheese tart saja, tapi di tambah dengan roti di bawah ini.

Kata Fidaus: Kenapa Mommy beli satu saja roti ini? Daus suka!
Nanti Mommy belikan lagi. Pergi mandi. Solat Zohor dengan Baba. Lepas makan nanti, buat kerja sekolah. 
Okay Mommy!
Walaupun banyak kerja rumah dan tugasan online perlu disiapkan, tapi hati sangat terhibur dengan keletah bujang kenit ini. Rasa bahagia! Rasa gembira. 
Hari ini WhatsAap gang itu dan gang ini penuh dengan keluhan kerana tekanan kerja, tapi anggap itu adalah titik kecil yang tidak mempengaruhi rasa bahagia dan gembira pada hari ini!

Isnin, 26 Oktober 2020

Apabila Mula Sibuk...

Pernah suatu ketika dahulu, apabila kesibukan melanda, dapur maya ini pun ikut berhibernasi! Tidak menulis dalam tempoh dua atau tiga hari atau juga seminggu, itu perkara biasa. Namun apabila minggu demi minggu berlalu, rasa seperti dalam zon selesa pula! Sebulan dan dua bulan, akhirnya dapur maya terbiar penuh sawang! Untuk menulis kembali, agak payah meraba ke dasar laut mencari semangat yang terbenam setelah sekian lama. Kemudian, dengan penuh tekad, sematkan di hati akan teruskan menulis sekurang-kurangnya 2 hingga 3 entri setiap minggu.

Pagi tadi, hantar Encik Suami ke klinik swasta. Sudah buat appointment pada pukul 9 pagi. Tiba di kaunter, petugas di situ kata tak boleh jumpa doktor sekarang sebab banyak pelanggan sedang menunggu. Pelik juga! Apa guna buat appointment sebelum ini? Encik Suami memang nampak marahlah juga. Petugas kaunter kata, datanglah pukul 3 petang nanti. Alamak! Pukul 2 petang Amie ada google meet sehingga pukul 4:40 petang. Encik Suami kata, esok sajalah datang.

Malas nak ulas banyak. Hati Encik Suami sedang panas. Kita kata, oleh kerana banyak klinik  lain yang tutup, jadi banyak pulalah pelanggan datang ke klinik  di sini pula. Tak apalah, esok pagi kita datang lagi. Walaupun ada kerja-kerja online, tapi bolehlah menyelinap seketika untuk uruskan Encik Suami. Kakinya yang kena operate pun sudah hampir sembuh, cuma tak boleh bergerak cepat dan tak boleh memandu.

Kita pun rasa panas juga, maklumlah sepatutnya memandu sejauh 8 kilometer, berganda jadi berbelas kilometer sebab mencari jalan yang tidak ada SJR (Sekatan Jalan Raya). Apabila difikir sekali lagi, buat apa Encik Suami panas, kita pun ikut panas? Tenang-tenang saja bah!

Teringat anak-anak yang belum bersarapan pagi, Encik Suami suruh singgah di Garden Hut Bakery & Cafe untuk beli apa yang patut. Bawa pulang bungkusan berisi croissant yang masih panas, mini pizza, dan beberapa jenis lagi. Entah apa namanya. Dah selamat masuk perut anak-anak... ahaks! Yang tinggal hanya yang di bawah ini. Nampaknya sampai petang belum ada tangan yang usik. Kalau ayam goreng, bekas minyaknya pun tak nampak!

Portuguese Egg Tarts.

Ahad, 25 Oktober 2020

Hari Minggu Yang Meletihkan

Dari awal pagi hingga menjelang senja, ke sana, ke sini, buat itu dan ini, dan sekarang baru dapat duduk berehat. Kebetulan ada jiran, anak buah dan kakak ipar datang melawat Encik Suami petang tadi, jadi layan dahulu tetamu di petang hari. Terima kasih Abang Farid, bantu cuci pakaian, tapi tuala dapur dan lap kaki kita yang cuci... ahaks! Fuad ada kuliah online sehingga petang. Tengahari turun ke dapur, makan nasi lauk ayam masak kari hasil air tangan Abang Farid. Menjelang petang, Encik Suami meminta Fuad uruskan hal-hal kerja yang berkaitan dengan invoice. Fairuz pula, oleh sebab berkawan baik dengan anak orang politik, katanya hendak membantu agihkan bantuan makanan kepada murid yang terlibat di sekolahnya.

Jemput minum petang.

Teh lemon panas.


Jom jamu mata dengan kuih tart nanas dan biskut keladi.

Hari ini rasa agak letih. Esok pagi kena hantar Encik Suami ke klinik. Pukul 2 petang ada google meet. Malam ini tidur awal, kumpul tenaga untuk teruskan rutin hidup esok hari. Sekian. Selamat malam.

Sabtu, 24 Oktober 2020

Cerita Mencuit Hati dari Dapur

Sepanjang minggu ini anak-anak sibuk dengan urusan pembelajaran masing-masing. jadi, tak dapatlah luangkan banyak masa di dapur. Paling banyak berada di dapur sudah tentulah Abang Farid. Kalau ada pinggan mangkuk kotor di sinki, dialah yang akan mencuci. Dan waktu malam, sebelum masuk tidur Abang Farid sekali lagi pastikan dapur dalam keadaan bersih, tidak ada pinggan mangkuk kotor yang tidak dicuci. Sekarang, lori sampah datang tidak menentu, dan tidak mengikut waktu. Ada sekali, Encik Suami terdengar bunyi lori sampah lalu di hadapan rumah pada pukul 4:20 pagi! Tak sempat nak keluarkan tong berisi sampah keluar pagar! Nak letak sebelah petang, takut sebelah malam datang anjing selongkar pula. Semenjak Encik Suami terpaksa berehat, kerja membuang sampah dilakukan oleh Abang Farid dan Fairuz. Seminggu dua ini lori sampah datang selepas Subuh pula iaitu lebih kurang pukul 5:30 pagi. Jadi, selepas solat Subuh, apabila terdengar bunyi lori sampah datang, cepat-cepat Fairuz buka kunci pagar, dan Abang Farid keluarkan tong sampah.

Anak-anak suka makan jemput-jemput udang campur jagung, tapi mereka kata asyik tak puas makan. Mommy goreng sikit sangat. Buatlah lebih sikit. Jadi Amie pun buatlah cucur udang, bubuh macam-macam aksesori dan memang banyaklah hasilnya. Cucur udang ini Amie campur tepung gandung dengan tepung beras dan tambah sedikit tepung jagung. Amie bubuh isi udang dalam adunan, jagung, daun kucai, daun bawang, taugeh, cili merah dan cili hijau serta telur. Bila digoreng, cucur udang rangup di luar, lembut di dalam. 

Banyaklah komplen anak-anak. Kenapa Mommy bubuh itu, kenapa bubuh ini. Kenapa tak buang kulit udang! Banyak songel pulak budak-budak ni. Bubuh itu, bubuh ini pun licin juga satu dulang cucur udang cecah dengan sos cili Thai.

Seperti biasa, Encik Suami dengan semangkuk mee hoon sup!

Tukang masak mee hoon sup sampai naik muak melihat menu yang sama : mee hoon, ayam, sayur sawi!

Kebetulan Abang Farid beli beberapa jenis pasta, jadi kita pun tanya Encik Suami: Boleh tak tukar mee hoon dengan pasta? Boleh jew, kata Encik Suami. Jadi, cubalah masakkan sup penne pula. Kita tanya : Okay tak rasanya? Okey, jawabnya. Kalau begitu okeylah.... ahaks!

Dah tukar mee hoon kepada pasta, rasa jemu pula asyik masak dengan ayam. Diam-diam kita masukkan isi ikan tenggiri. Kita hidangkan dan tanya : Hari ini masak sup pasta dengan ikan tenggiri. Boleh tak? Boleh jew... jawabnya. Nak kata tak boleh, benda dah dihidang.... ahaks. Lepas makan, kita tanya : Okey tak rasa sup pasta dengan ikan? Okey, jawabnya. Okeylah.... ahaks!

Anak-anak suka makan sushi. Kita pun tumpang semulut juga. Lama tak rasa wasabi! Bubuhlah lebih sikit. Sekali masuk mulut, terus menyenggau pedas wasabi masuk ke rongga  hidung! Haa... hamik kau! Orang yang ada resdung pun agaknya boleh hilang resdungnya kalau makan gaya begini!


Hari Khamis malam Jumaat lepas, Fuad ikut majlis bacaan Yasin di kampung. Encik Suami tak dapat hadir majlis sebab masih dalam tempoh berehat. Biras bekalkan coto Makassar untuk Fuad bawa pulang. Lama tak makan coto Makassar. Coto yang ini ditambah pentolan @ bebola daging.

Masak Nasi Goreng Kimchi sekali lagi. Ini pun anak-anak tak ada yang tahu Amie bubuh kimchi. Kali ini Amie bubuh isi ayam. Melihat anak-anak makan, dalam hati ketawa geli hati. Fuad dan Firdaus kuis-kuis hirisan kimchi. Agaknya Amie hiris agak kasar, tak halus seperti yang Amie masak sebelumnya. Ketika hendak hiris kimchi kobis, tiba-tiba Farid masuk dapur sebab Firdaus minta gorengkan telur. Tapi Farid kata, tak boleh goreng telur sebab semua tungku dapur Amie sedang gunakan. Syukurlah dia tak perasan Amie sedang hiris kimchi kobis. Tapi disebabkan takut Abang Farid nampak, Amie pun cepat-cepat hiris dan hasilnya agak kasar!

Fairuz dan Abang Farid sanggup redah jalan ke kampung Encik Suami di waktu pagi semata-mata nak beli nasi lemak dan nasi kuning! Kalau Amie lewat sedikit nak sediakan sarapan, memang laju betul budak-budak ni bawa lari kereta ke Kampung Cocos!

Penuhi selera Fairuz yang suka makan nasi ayam lalap tapi tak berapa nak melalap! Katanya, ayam goreng mesti dua ketul. Ada tempe dan tauhu goreng serta sambal belacan. Ada keropok, semangkuk kecil sup, ulam kacang panjang dan kobis celur. Tak apalah dik. Ini nasi lalap made in Amie's Little Kitchen.

Menjelang tengahari, anak-anak suka jenguk dapur! Maklumlah perut dah lapar. Kalau lauk ikan, memang kurang cergaslah membantu hidang di meja , tapi kalau nampak lauk ayam terutama ayam goreng, memang lajulah buat kerja. Kerja apa? Sediakan pinggan. Ambil nasi dari rice cooker. Tolong ceduk lauk dari kuali. Dan lepas makan terus kemas meja dan cuci pinggan.


Ada satu hari, lebih kurang pukul 1 tengahari, Fuad muncul di dapur. Katanya kuliah online akan disambung pukul 2 petang. Amie minta Fuad goreng ayam. Inilah hasil gorengan ayam Fuad. Kebetulan Fairuz menyiapkan tugasan di rumah kawannya, jadi tidaklah dapat makan tengahari bersama. Amie tinggalkan 3 ketul ayam goreng untuk Fairuz. Menjelang petang, ketika Fairuz pulang, Firdaus memberitahu kami: Mommy! Fairuz tak dapat ayam goreng! Habis Fuad makan!
Isshh...issshhh Fuad!
Kenapa buat adik Fairuz macam itu Fuad?
Saya dah telefon Fairuz. Tanya dia mau makan ayam gorengkah tidak? Dia bilang kalau mau makan, makan sajalah.
Betulkan adik Fairuz cakap begitu?
Fairuz anggukkan kepala dan terus mencapai kuali letak di atas dapur. Nak goreng telurlah itu!

Esoknya Amie goreng ayam lagi. Kali ini ayam goreng berempah. Entah berapa kali Fuad minta ayam goreng berempah dan nasi kukus. Dan sama seperti hari kelmarinnya, habis semua ayam goreng untuk Fairuz masuk perut Fuad! Bila Amie tanya, sekali lagi Fuad beritahu dia sudah telefon Fairuz, minta izin untuk makan ayam goreng berempah bahagiannya! Kebetulan Fairuz sedang menyambung siapkan tugasan STPMnya bersama kawan-kawannya. Kita geleng-geleng kepala memandang Encik Suami. Lain kali, memang kena sembunyikan ayam goreng untuk Fairuz.... ahaks!

Ini hasil masakan Abang Farid, spaghetti angel hair untuk makan malam.

Ini hidangan sarapan anak-anak pagi tadi. Sosej sudah dibahagi-bahagi, seorang 4 ketul. Fairuz lewat bangun. Ketika Amie sedang mengadap laptop untuk mengikuti google meet dengan jabatan, Abang Farid beritahu : Mommy! Sosej adik Fairuz tinggal seketul!
Huurrmmm.... agak-agak siapa yang makan sosej Fairuz?
Anak-anak memang tak baca apa yang Amie tulis dalam blog. Suatu hari nanti, ketika Mommy sudah tiada, apabila kalian terbaca coretan Mommy sudah tentu ia menjadi kenangan manis yang mengusik jiwa!

Dan ini, hasil air tangan Abang Farid untuk hidangan tengahari tadi. Amie sudah berpesan dengan Abang Farid, rendam ayam pukul 10 pagi. Masak nasi pukul 11:30 pagi. Sebaik selesai google meet, Amie akan turun ke dapur. Oleh kerana sudah agak lewat ke dapur, Amie minta Abang Farid masak saja ayam yang direndamnya. Hasilnya, semangkuk ayam masak kicap terhidang di meja. 

Jumaat, 23 Oktober 2020

Penne Goreng Udang

Petang tadi merajinkan diri turun ke dapur masak penne untuk Abang Farid. Bujang satu ini memang suka makan pasta. Sanggup masak sendiri di dapur untuk sepinggan pasta! Kiranya kalau masak pasta memang boleh sangatlah serahkan kepadanya. Dua hari lepas Abang Farid masak spaghetti angel hair dengan ayam. Hari ini Amie masakkan untukknya penne goreng udang pula. Adik-adik yang lain makan juga tapi tidaklah suka sangat seperti Abang Farid.


Penne Goreng Udang


Bahan-bahan:
100 gram pasta penne - rebus dengan secubit garam hingga lembut - toskan
200 gram sos pasta tomato cendawan Prego
10 ekor udang kertas saiz besar - buang kulit & kepala 
10 kuntum cendawan shiitake segar - belah 2
10 batang kacang manis - bersihkan
1  biji tomato - belah 6
1/2 cawan isi kacang edamame yang sudah direbus
3 sudu besar minyak zaitun
1/2 cawan air
3 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar Holland - cincang
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil lada sulah


Cara memasak:

  1. Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga layu dan terbit aroma.
  2. Kemudian masukkan sos pasta tomato cendawan Prego. Tambahkan air dan biarkan mendidih seketika.
  3. Seterusnya masukkan udang dan cendawan shiitake.
  4. Setelah udang berubah warna, masukkan kacang manis dan tomato diikuti dengan paste penne.
  5. Gaul rata.
  6. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
  7. Hidangkan dengan taburan isi kacang edamame.

Rabu, 21 Oktober 2020

Menu Tengahari DSSS Hari 10 - 22

Jumpa lagi dalam perkongsian pemakanan seimbang. Alhamdulillah Amie masih lagi meneruskan usaha Diet Suku Suku Separuh. Sebenarnya apabila Amie lihat semula gambar-gambar DSSS sebelum ini nampak beberapa kelemahannya seperti kuantiti fiber yang tidak sampai separuh pinggan, tetapi sumber protein terlebih dari sukatan suku! Tak apa. Kalau tidak buat silap, tidaklah dapat pengajarannya. Lagi satu Amie tidak mahu ada tekanan dalam hal makan-makan ini. Mana yang mampu Amie buat, Amie teruskan. Yang kurang mampu dilakukan, boleh buat perlahan-lahan. Bukan mudah untuk ubah tabiat pemakanan dari nasi dua pinggan menjadi 1/4 pula! Ada kalanya Amie terlepas juga. Memang sukar untuk mengunyah ulam-ulaman setengah pinggan. Anak-anak makan berketul-ketul ayam goreng, kita mengunyah sayur macam kambing..... kah!

Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan blogger yang sentiasa memberi sokongan dalam usaha Amie untuk kurangkan berat badan dengan pemilihan makanan seimbang. Kepada rakan-rakan yang ingin memulakan DSSS, Amie sangat alu-alukan. Bolehlah kita bertukar-tukar dan berkongsi menu. Amie sangat hargai semua teguran dan saranan daripada rakan-rakan sekalian untuk penambahbaikkan DSSS ini. Semoga dengan paparan menu (yang ada kalanya tergelincir dari landasan) dapat dijadikan sebagai rujukan dan  pembakar semangat buat rakan-rakan blogger yang ingin melakukan DSSS. Bagi Amie, DSSS sangat mudah kerana hanya perlu fikirkan sumber kabohidrat, protein dan fiber di dalam setiap pinggan hidangan.

Kali ini Amie kongsikan lagi 13 menu makan tengahari Diet Suku Suku Separuh.


Menu Tengahari DSSS Hari 10
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ayam masak sate tanpa rasa gula
Fiber - selada hijau, lobak merah celur, timun dan bawang Bombay


Menu Tengahari DSSS Hari 11
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ikan tuna masak asam pedas
Fiber - ulam kacang bendi celur & buah epal


Menu Tengahari DSSS Hari 12
Karbodidrat - nasi beras basmathi
Protein - dada ayam kukus
Fiber - sayur lobak merah, taugeh dan kucai goreng kilas & buah oren

Menu Tengahari DSSS Hari 13
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - udang kukus
Fiber - kobis bunga & selada hijau


Menu Tengahari DSSS Hari 14
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ikan cencaru panggang & tempe goreng
Fiber - selada hijau & ulam kacang panjang

Menu Tengahari DSSS Hari 15
Karbohidrat - nasi
Protein - ikan kerisi masak singgang
Fiber - jantung pisang celur, petai dan kacang bendi


Menu Tengahari DSSS Hari 16
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ikan putih masak singgang
Fiber - red & green coral & petai

Menu Tengahari DSSS Hari 17
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ayam masak sate tanpa gula
Fiber - selada hijau, timun & Buah oren


Menu Tengahari DSSS Hari 18
Karbohidrat - nasi beras basmathi
Protein - ikan cencaru panggang & tauhu goreng
Fiber - daun salad, kacang panjang & petai


Menu Tengahari DSSS Hari 19
Karbohidrat  - nasi beras basmathi
Protein - ikan putih goreng
Fiber - Romaine lettuce, kacang panjang & tomato


Menu Tengahari DSSS Hari 20
Karbohidrat - nasi
Protein - ayam kukus panggang
Fiber - butterhead, brokoli & lobak merah celur & timun

Menu Tengahari DSSS Hari 21
Karbohidrat - nasi
Protein - ikan tenggiri panggang
Fiber -sayur remayung & lobak merah goreng kilas & belimbing

Menu Tengahari DSSS Hari 22
Karbohidrat - nasi
Protein - ikan kembung sumbat sambal tomato panggang
Fiber - daun selasih, kacang bendi & betik