Selamat berhujung minggu buat semua.
Pagi tadi sempat jalan-jalan ke pasar. Tak beli apa-apa pun bila ke pasar tani. Air tebu, air jagung, segala air minuman sudah naik harga! Apalagi buah-buahan dan juga sayur-sayuran! Katanya harga di pasar tani, harga kawalan tapi rasanya harga di sini lebih kurang malah ada yang jauh lebih mahal berbanding harga di pasar biasa!
Singgah di pasar buah, teringin membeli buah tarap. Harga sebiji tarap RM7. Tak payah belilah, bisik Amie kepada Encik Suami! Dulu buah tarap hanya dijual dengan harga RM1 atau 2, sekarang sudah setaraf dengan harga cempedak!
Kami melangkah ke pasar sayur. Juga tidak beli apa-apa. Menapak sedikit ke arah pasar daging dan ayam. Dari jauh sudah terpampang harga kaki ayam RM6.00 sekilogram, hati pun RM6.00 sekilogram. Dada? Paha? Ayam sekor? Tutup mata sajalah!
Akhirnya kaki menjejak ke pasar ikan. Beli 4 jenis ikan. Kami terus ke pasar raya. Niat di hati nak beli tomato memandangkan harga tomato di pasar tadi mencecah RM10 sekilogram. Sama juga, di pasaraya harga tomato RM7.28 sen tapi tomatonya pula sebahagiannya sudah kelihatan buruk! Pergi ke bahagian ikan pula, mana tahu ada ikan yang agak murah. Semuanya mencecah harga RM20 ke atas! Udang sebesar jari kelingking pun sudah RM35!
Singgah pula di pasar ikan kering.
"Ikan sekarang mahal, Hajjah. Ikan kering pun mahal," peniaga ikan kering yang peramah memberikan penjelasan apabila melihat kami teragak-agak untuk membeli ikan kering. Kita pun senyum, dalam hati mengucap syukur : Mudah-mudahan akan tiba masanya menjadi HAJJAH!
Huurrrmmm...
Itu cerita di pagi minggu.
Jom makan tengahari.
Hari ini Amie masak hidangan tengahari yang ringkas sahaja. Amie panggang ikan kayu dalam kuali ajaib, dan Amie gandingkan dengan latok serta kilau. Sebelum ini Amie pernah kongsi cerita tentang latok DI SINI, DI SINI dan DI SINI. Dan juga tentang kilau DI SINI.
Latok ialah sejenis rumpai laut. Ia sejenis makanan tradisi masyarakat Bajau di Sabah. Gambar di atas, latok dalam pinggan sedia untuk dimakan. Latok juga disebut anggur laut sebab bentuknya seperti anggur! Kadang-kadang Amie tambahkan hirisan bawang, mangga dan cili padi, tapi kali ini Amie biarkan saja begitu. Encik Suami suka makan latok cecah air asam atau sambal belacan. Sedap makan latok, ratah saja untuk dengar bunyi letup-letup dalam mulut!
Oleh kerana Encik Suami beli ikan bilis segar, katanya nak goreng salut tepung, jadi Amie gunakan sedikit untuk dijadikan kilau. Tidak sukar untuk sediakan kilau. Sambil menunggu nasi tanak dan ikan kayu panggang masak, Amie kupas mangga dan bersihkan ikan bilis segar tadi. Jom lihat resepinya di bawah ini:
1 cawan ikan bilis segar yang sudah dibuang kepala, tulang dan isi perut
2 biji mangga muda - kupas dan cincang halus
1 labu bawang besar - hiris halus
1 biji cili hijau - hiris
1 biji cili merah - hiris
7-10 biji cili padi - hiris / biarkan saja - jika hendak makan baru patahkan
2 cm halia - hiris halus
1 sudu besar cuka
1/2 cawan perahan jus limau kasturi
garam / perasa pilihan
Cara:
1. Gaulkan kesemua bahan di atas.
2. Biarkan seketika - antara 15-20 minit sebelum dinikmati.
Inilah rupa kilau!
Amie tambahkan sambal belacan, telur masin, ulam timun Jepun dan taugeh sebagai pelengkap hidangan.