ADSENSE

Jumaat, 30 November 2018

Bakso Sup Tulang

Hujan sepanjang hari, dari pagi hingga ke petang.
Berat sangat kaki untuk melangkah ke dapur!
Rasa nak tidur sahaja sampai ke petang.
Jadi, kalau Encik Suami balik petang nanti nak makan apa?
Paksa diri untuk ke dapur!
Sampai ke dapur, bukannya angkat periuk nasi tapi cari tulang lembu dalam peti sejuk.
Telefon Encik Suami :
- Petang ini kita makan bakso ye? 
+ Mana-manalah.
Wokey.... kita membakso!
Eh! Apa itu bakso?
Bakso yang kami maksudkan ialah bebola daging yang diperbuat daripada campuran daging lembu dengan tepung ubi kayu. Biasanya kalau kami makan bakso di Tawau, banyaklah pilihannya seperti bakso ping pong (saiz bakso yang lebih besar daripada saiz bakso biasa) kerana ukurannya sebesar bola ping pong! Apa yang selalu menggamit selera kami ialah aroma sup bakso yang sungguh menggoda! Adeeehhhh... apalagi bila musim hujan begini! Aromanya mampu menembusi selera orang yang sedang tidur!
Kalau kami jalan-jalan di LD di sebelah petang, biasanya kami singgah makan di sebuah warung yang berjejeran dengan gerai makanan. Tapi, kurang selesa kerana tempatnya sempit dan terlalu ramai pelanggan. 

Ini Bakso Sup Tulang yang Amie hidangkan petang tadi.
Biasanya bakso disajikan bersama mee hoon atau mee kuning, dan berkuah sup tulang. Pelbagai  bahan tambahan lain dijadikan pelengkap hidangan bakso seperti taugeh, hirisan sayur kubis, sayuran hijau seperti kailan atau sawi dan sebagainya.

Bakso paling sedap yang pernah Amie nikmati ialah Bakso Malang.
Ketika itu kami berkunjung ke Surabaya, dan singgah di Padang Rumput Savana selepas menuruni Penanjakan untuk melihat matahari terbit di Bromo. Memang rasa sangat lapar sebab mendaki kawah gunung berapi dan   menunggang kuda! Aroma sup bakso di gerai Bakso Malang (satu-satunya gerai di situ) sungguh menggoda selera kami. Akhirnya kami menghabiskan kesemua bakso yang ada! Masing-masing tak cukup semangkuk, minta tambah itu ini termasuklah kulit wantan goreng yang sedap itu!

Bakso Malang dalam kenangan!
Teringat tuan punya gerai - sebaik sahaja melayan pelanggan, menyediakan bakso, dia terus mengambil kain pelikatnya untuk menyelimuti dirinya dari suhu dingin di situ!
Jom kita masak!
Mula-mula kita sediakan sup tulang lembu untuk dijadikan kuah bakso.

Bahan-bahan: -
1 kg tulang lembu -didih selama 10 minit - buangkan airnya - rebus sekali lagi menggunakan air baru sehingga daging empuk - asingkan tulang dan air rebusan (gunakan air secukupnya - sebanyak yang dikehendaki)
400 gram bakso (bebola daging lembu)
2 pokok sayur sawi - potong ikut suka
1  sudu besar serbuk rempah sup
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm halia

Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Bahan lain:
hirisan daun sup
bawang goreng

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar bersama bawang putih dan bawang merah sehingga layu.
2. Kemudian masukkan rempah 4 sekawan. Kacau sekali dua dan biarkan sehingga terbit aroma.
3. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga wangi, dan seterusnya masukkan rempah sup. Gaul rata dan tambahkan air rebusan tulang serta lada putih.
4. Setelah kuah mendidih, masukkan pula tulang dan juga bakso.
5. Apabila bakso timbul dipermukaan, ini menandakan bakso sudah masak. 
6. Masukkan sayur sawi, garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua.
7. Padamkan api dapur.

 Jika sukakan aroma sup tulang yang semerbak sedapur, sebelum memadamkan api dapur, taburkan hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng. Biarkan seketika. Nikmatilah aromanya yang meruntum jiwa! Lepas itu barulah padamkan api dapur!

 Bahan-bahan lain untuk melengkapkan hidangan Bakso Sup Tulang seperti limau kasturi, bawang goreng dan hirisan daun sup serta daun bawang.

 Jika suka boleh tambahkan hirisan sayur kubis.

 Jangan lupa Kicap Manis ABC yang pekat itu!

 Dan lada cuka yang sememangnya pedas!

Walaupun bakso menjadi watak utama dalam resepi ini, tetapi jangan lupakan watak pembantunya iaitu mee hoon! Tanpa mee hoon atau mee yang sewaktu dengannya, siapalah bakso...hiks!

Hari ini hari mee hoon sedunia!
Pagi tadi sarapan Mee Hoon Goreng dengan Sardin. Sebelah petangnya pula makan Bakso Sup Tulang! Esoklah masak nasi ye.

Kenali Ikan Kumai & Ikan Panit

Mari tambah info tentang ikan yang terdapat di pantai timur Sabah.
Kali ini Amie kongsikan ikan kumai. Nama 'kumai' itu Amie perolehi daripada penjual ikan. Ikan ini kami beli ketika berada di Pasar Ikan Tawau.

 Biasanya ikan kumai dipanggang atau dibakar. Kulitnya agak tebal.

Pada bahagian ekor ikan kumai, terdapat dua jalur keras berwarna gelap. Jalur tersebut boleh ditarik keluar dari badan ikan.Bentuknya sepeti pahat, dan Amie lebih suka mengatakan ia seperti paku yang boleh ditekan dan ditarik.

Jika tidak berhati-hati sewaktu membersihkan ikan ini, kemungkinan besar jari kita akan terluka tercucuk atau tersentuh 'paku' yang tajam ini.

Sejenis ikan lain yang kami beli di Pasar Tani Takada pula ialah ikan panit (menurut bahasa tempatan). Ikan panit juga dikenali sebagai ikan belais. Ia dari keluarga yang sama dengan ikan dengkis. Ada juga yang menyebutnya sebagai ikan debam atau ikan gebang. Macam-macamlah namanya ye. Ada yang kata ikan barat-barat!

Di bahagian ekor ikan panit ini pun sama seperti keadaan ekor ikan kumai. Bezanya, hanya ada satu sahaka jalur paku pada ikan panit.

 Amie selalu berhati-hati ketika membersihkan ikan ini, takut jari terkait paku tersebut!

Kulit ikan panit juga agak keras, tetapi kulit ikan kumai lebih keras berbanding ikan panit. Apa pun, kedua-dua ikan ini memang sedap!
Sekian.
Perkongsian hidupan laut untuk hari ini.
Ikan kumai dan ikan panit.


Mee Hoon Goreng dengan Sardin

Assalamualaikum dan selamat pagi.
Hari ini Jumaat. Moga membawa keberkahan sepanjang hari. 
Suhu agak sejuk. Hujan renyai-renyai tapi sekejap-sekejap.
Bila membuka jendela tingkap yang kebetulan menghala arah jalan besar, dan terus ke SMKS di seberang sana, hati rasa sangat sayu.
SMKS, dulu ketika Amie memandu kereta dari rumah, kadang-kadang tidak sempat tukar gear 3 apalagi gear 4. (Dulu gear manual, sekarang dah tak pandai dah guna begitu...hiks). Nampak sangat jarak yang sangat hampir! 7 tahun Amie bertugas di situ, sebelum berpindah ke tempat lain, atas alasan naik pangkat, yang akhirnya Amie sendiri yang merayu ke kementerian untuk 'buang' pangkat!
Kelmarin, Khamis 29 November 2018.
Kelmarin pagi, mendapat khabar sedih.
Bekas rakan sejawat di SMKS kembali ke rahmatullah. Khabarnya, akibat serangan jantung, dan stroke. Arwah memang kami sedia maklum, mempunyai penyakit jantung, dan pernah 'hilang nyawa' beberapa minit sewaktu bertarung melahirkan cahayamatanya di hospital. Akhirnya dia pergi jua. Moga tenang dikau di sana, Allahyarhamah Dayang Mariam Datu Jamiuddin
Sebelah malamnya pula, mendengar lagi khabar duka dari SMKS.
Pengetua SMKS, Encik Khairuddin Abdullah pula dijemput Ilahi! Juga khabarnya akibat serangan jantung. Innalillahiwainnailaihiraaji'uun. Khabarnya juga, di sebelah pagi, arwah masih bertugas di sekolah seperti biasa. Salah seorang anak arwah, sekelas dengan Fairuz dan kelmarin mereka menduduki kertas peperiksaan SPM mata pelajaran Sains.
Ya Allah! Engkau Maha Mengetahui. Engkau Maha Besar. Janji-Mu itu pasti. Moga damai dikau di sana, Allahyarham Encik Khairuddin Abdullah.
Itulah kita, makhluk yang dicipta oleh-Nya. Kita bukan milik siapa-siapa melainkan akan kembali jua menemui-Nya pada saat yang kita tidak pasti lagi.
Allahu Akbar.
Pagi ini Amie ada janji temu dengan doktor gigi.
Janji temu kali ke 8, sejak September lalu dan harapnya ini merupakan kali terakhir untuk tahun ini.
Beberapa tahun lalu, Amie pernah cabut gigi taring dan entah bagaimana, memancut keluar darah dari hidung. Trauma?
Ya!
Sangat trauma!
Akibatnya, rasa takut yang amat sangat untuk bertemu doktor gigi.
Biarpun gigi dan gusi berkali-kali sakit, namun hati tetap sekeras batu untuk bertemu doktor gigi.Dan sehinggalah rasa tidak tertanggung lagi, bangun tidur seakan-akan pecah mulut! Masih menahan sakit. Dan akhirnya pasrah.
Alhamdulillah.
Setelah merujuk teman-teman, berkongsi pengalaman merawat gigi di salah sebuah klinik pergigian di LD akhirnya Amie akur. Sampai bila mahu membiarkan keadaan begini hanya kerana trauma mengenangkan peristiwa lalu?
Berkat kesabaran berkali-kali membuat rawatan gigi, akhirnya hilanglah rasa sakit gigi satu mulut! Segalanya sudah dirawat dengan baik. Mana yang berlubang, ditampal, mana yang tinggal tunggul dicabut, mana yang tertinggal akar gigi dikorek, dan yang goyang dicabut. Total:RM1960.00. Terima kasih Dr. Rodhiah!
Huurrrmmm...panjangnya mukaddimah!
Di luar masih hujan.
Jom kita nikmati Mee Hoon Goreng dengan Sardin.
Awal pagi tadi, Amie sempat buat sarapan untuk makan berdua dengan Firdaus. 



 Mee Hoon Goreng dengan Sardin ini Amie simpan dalam bekas tahan panas.


Pagi tadi memang kurang berselara untuk menjamahnya, maklumlah hendak berjumpa dengan doktor gigi. Sekembalinya dari klinik, tentu perut minta diisi dan dijangka hampir tengahari baru sampai rumah. Janji temu dijadualkan pada pukul 9 pagi, dan Amie dipanggil masuk ke bilik rawatan pada pukul 10 pagi.

Amie ingin goreng bee hoon dengan ikan sardin dalam tin. Bila Amie selongkar kabinet dapur, terjumpa dua tin sardin kecil jenama ADABI. Bolehlah buat perencah mee goreng. 
Apa-apa jenama pun boleh digunakan asalkan memenuhi selera. Bagi Amie, sardin paling sedap tentulah Ayam Brand...hiks!

 Buka penutup tin sardin dan keluarkan isinya bersama sosnya.
Amie akan gunakan kedua-dua bahan iaitu ikan sardin dan sosnya sekali.

 Kemudian, hancurkan kasar ikan sardin tersebut.

Sementara menunggu mee hoon lembut daam rendaman air, eloklah sediakan bahan perencah yang diperlukan.  Kita lihat senarai bahan di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air sejuk sehingga lembut - toskan
1 tin kecil sardin 
1 labu bawang besar Holland - cincang
3 biji cili hijau - hiris
1/2 batang lobak merah - buang kulit - hiris memancang
1 cawan hirisan kubis
4 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang - hiris nipis
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
5 tangkai cili kering

Wokey!
Jom kita mula masak!

 Amie gunakan mee hoon Cap Helang.

1. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bawang besar Holland yang dicincang hingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga pecah minyak.

 3. Masukkan lobak merah dan cendawan shiitake. Gaul rata dan biarkan masak seketika.

 4. Tambahkan hirisan kubis dan cili hijau. Kacau sekali dua.

 5. Masukkan mee hoon.

 6. Gaul rata.

 7. Seterusnya masukkan isi sardin bersama sosnya. Gaul sekali lagi hingga sebati.


 8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.

Sebelum ke klinik pagi tadi, hanya jamah sedikit sahaja. Masih ada lebihan yang agak banyak di dalam bekas tertutup. Bila sudah selesai segala urusan, barulah perut rasa lapar! Encik Suami kata, tengahari tak balik rumah. Jadi tak payah masak tengahari. Fairuz pula membantu anak buah di kedai ikannya. Petanglah baru masak nasi. Jadi, tengahari ini layan Mee Hoon Goreng dengan Sardin!

Baki Mee Hoon Goreng dengan Sardin.
Jom sambung sarapan di tengahari pula.
Hujan masih rintik-rintik.
Hujan itu mengiringi pemergian dua insan yang pernah menjadi rakan sejawatan suatu ketika dahulu. 
Bismillahirrahmaanirrahim
Alhamdulillahirabbilaalamiin....

Khamis, 29 November 2018

Asam Rebus Ikan Lausu (Landuk / Kutambak)

Banyak sangat nama ikan ini.
Ada yang panggil ikan landuk, ikan pelanduk, ikan mempinang dan yang sewaktu dengannya. Di sini, peniaga dan penduduk tempatan memangilnya sebagai ikan lausu dan juga ikan kutambak.
Biasanya kami beli saiz kecil dan sedap rasanya walaupun hanya digoreng sahaja.

Oleh kerana saiz ikan lausu ini agak besar dan sudah siap dipotong-potong oleh peniaga ikan, kami membeli tiga keping sahaja. Itu pun beratnya 1.5 kg!

 Amie masak sekeping sahaja. Hirisannya pula agak tebal, rasanya menghampiri 3 cm juga ni.

 Oleh kerana ikan ini sudah bermalam-malam dalam peti sejuk, jadi beginilah rupanya.

 Amie masak asam rebus sahaja. Ringkas dan mudah. Masakan ini juga lebih menyihatkan. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 keping ikan lausu - seberat 500 gram
12 biji kacang bendi - bilas dan toskan - potong tampuk dan ekor
1 labu bawang besar - mayang kasar
7 biji cili padi
2 keping asam gelugur
1 batang serai - diketuk
1 sudu kecil serbuk kunyit 
1 liter air
garam / perasa pilihan 

Bahan kisar:
3 biji cili merah - belah 2 dan buang biji
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah 
1/2  sudu kecil belacan 


 Jangan lupa kisar bahan-bahan di atas ini.

Cara:
1. Didihkan air bersama bahan kisar dan serai.
2. Setelah mendidih masukkan asam keping, bawang besar, serbuk kunyit, ikan lausu, dan cili padi.
3. Masak selama 10 minit, dan kemudian masukkan kacang bendi. Biarkan seketika.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Hidangkan panas.

Amie ambil masa agak lama (10 minit) untuk memastikan isi ikan masak memandangkan hirisan ikan yang agak tebal.

Sekian.
Cerita untuk malam ini.

Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai & Terung Pipit

Hai...
Selamat petang semua. Moga hari ini terus ceria bersama tugasan harian dan keluarga tersayang. Cuaca di tempat kami seperti hari-hari sebelumnya. Selepas menikmati hidangan tengahari tadi, hujan turun membasahi bumi LD dengan selebat-lebatnya. Ketika Amie mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, suasana sudah gelap! Kalau tak buka suiz lampu, memang kelamlah kejadiannya! Encik Suami sudah kembali semula ke tempat kerjanya, dan Fairuz pun keluar sama. Tinggalkan Amie berdua dengan Firdaus. 
Rasanya elok sangatlah ajak Firdaus tidur selepas selesai mandi dan menunaikan solat. Puaslah menepuk, menggaru, mengusap dan memujuk. Namun si bujang kenit itu tak juga mahu tidur. Nampaknya dia lebih suka bermain, meminta Amie buatkan kapal terbang. Melayan pertanyaannya dan sebagainya.

Nampaknya pensil warnanya sudah mula bersepah di atas lantai. Firdaus sedang melukis... katanya melukis pedang! Sementara Firdaus melukis, baiklah Amie menulis resepi. Sesekali Firdaus akan menunjukkan lukisannya, dan seronok sangat bila dipuji lukisannya cantik!
Wokey!
Resepi yang ingin Amie kongsikan kali ini ialah Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit. Tak sangka pula, resepi ini menjadi dan rasanya sungguh enak sekali. Bukan apa. Tempoyak yang Amie gunakan ini baru saja 'berusia' 4 hari! Di sini tidak ada bekalan tempoyak. Kalau nak makan kenalah rajin-rajin buat sendiri.  Masalahnya, sudah rajin buat tapi tak sabar nak makan pulak....ahaks!

Inilah antara bahan yang Amie gunakan untuk mengolah resepi Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit.

Amie gunakan bawang besar, bawang putih, bawang merah dan kunyit hidup. Kesemua bahan ini Amie kisar bersama cili padi. Amie juga gunakan hirisan sehelai daun kunyit untuk melengkapkan rasa dan aroma sambal.

Kesemua bahan yang Amie gunakan disukat dalam cawan sahaja, walaupun kesemuanya seperti yang anda lihat berada dalam mangkuk. Setelah menyukat secawan demi secawan, Amie pindahkan dalam mangkuk kecil yang muat untuk kuantiti secawan. Ikan bilis ini memang perlu ada untuk menimbulkan rasa lemak-lemak masin dalam sambal. Kalau tak mahu gunakan ikan bilis, boleh gantikan dengan udang kering.

 Kebetulan pula Amie ada petai mata besar! Memang puas hati dapat saiz petai begini!

Haaa... ini dia peneman sambal tempoyak ikan bilis selain petai! Cantik bulat terung pipit ini. Zaman kecil-kecil dahulu, kalau nak makan terung pipit, petik sahaja dari pokok. Terasa-rasa gatalnya lengan terkena bulu-bulu putih tajan di batang pokok terung pipit! Bonda suka sangat masak terung pipit. Macam-macamlah hasil masakan yang Bonda hasilkan dari terung pipit ini. Ada kalanya Bonda jadikan terung pipit sebagai ulam.

Cili padi yang Amie gunakan bukanlah jenis cili padi yang pedas seperti cili padi kampung. Mungkin cili padi siam kot? Tapi, rasanya memang sedap sungguh bila dimasak bersama tempoyak. Tidaklah pedas menyengat, hanya pedas-pedas manja saja, dan tak perlu bubuh banyak gula.

Dan inilah bahan utama untuk menyempurnakan resepi sambal!
Tempoyak yang baru berusia 4 hari!
Tuannya dah tak sabar nak masak kamu!
Maklumlah, selalu buat tempoyak gunakan durian kahwin, tapi kali ini gunakan isi durian kampung yang manis dari Sarawak!

Jom kita masak Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit yang sangat sedap tu!

Bahan-bahan:
1 cawan tempoyak
1 cawan ikan bilis - rendam seketika - bilas - toskan
1 cawan isi petai - dihiris
1 cawan terung pipit - digoreng hingga layu
1 helai daun kunyit - dihiris
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
1 cawan cili padi
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 cm kunyit hidup

Inilah rupa terung pipit yang sudah digoreng. Tak perlu goreng terlalu lama, cukuplah sekadar layu sahaja. Kalau takut meletup, tutup kuali ketika menggoreng. Amie goreng tak sampai satu minit! Buka penutup kuali. Angkat terung pipit dan toskan.

 Petai yang telah dihiris. Kalau saiz kecil tak perlulah hiris.

 Ikan bilis yang sudah dicuci.

Jom kita mula masak sambal yang mengancam selera ini.
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan.

 2. Kemudian masukkan ikan bilis.

 3. Diikuti dengan petai.

 4. Dan seterusnya terung pipit.

 5. Jangan lupa masukkan tempoyak.

6. Gaul rata, dan masukkan hirisan daun kunyit.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
7. Padamkan api dapur.

Sedapnya  yaaa... ampun!!!!!
Kejap lagi nak ke dapur.
Nak makan lagi Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai & Terung Pipit.
Siapa nak ikut ke dapur? 
Jom!