ADSENSE

Rabu, 29 Mei 2019

Ayam Goreng Cencaluk Yang Sedap Jadi Rebutan!

Seronok juga dapat tambah ilmu menerusi siaran radio. Kadang-kadang ketika waktu rehat, duduk melepas lelah sambil telinga mendengar celoteh juruhebah, dan ada pula perkongsian resepi terus saja tangan mencapai pen untuk mencatat. Minggu lepas bicara tentang resepi sudah separuh jalan, jadi tak sempat dengar semua. Yang pastinya resepi yang dikongsi ialah resepi ayam masak cencaluk! Rasanya pernah juga masak ayam cencaluk suatu ketika dahulu
Ada seengah botol kecil cencaluk dalam peti sejuk. Eloklah dihabiskan sebelum menjelang raya! Cari bahan lain, nampaknya semua ada. Amie masak sedikit sahaja memandangkan Encik Suami dan Fairuz sudah ada makanan kegemaran masing-masing untuk berbuka. Biarlah Amie makan nasi lauk Ayam Goreng Cencaluk!
Sebelum ini Amie hanya tapiskan air cencaluk, tapi kali ini setelah tapis air cencaluk, Amie bilas cencaluk di bawah air paip yang mengalir!

Bahan-bahan:
400 gram dada ayam - potong dadu
1/2 botol cencaluk - tapis airnya - dan bilas di bawah air paip yang mengalir
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
4 helai daun limau purut - buang urat - ramas
2 biji cili hijau / merah
1 sudu besar jus limau kasturi
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 batang serai - hiris
2 cm kunyit hidup

 Dada ayam dipotong dadu

 Serai, kunyit, bawang putih dan bawang merah kisar.

 Cencaluk yang sudah ditapis dan bilas sedikit.

Daun limau putu, limau kasturi dan cili hijau / merah.
Mari kita mula masak.

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan biarkan mendidih seketika, kemudian masukkan dada ayam diikuti dengan cencaluk.
3. Gaul rata dan biarkan sehingga masak. Jika suka berkuah sedikit, boleh tambahkan air.
4. Selepas itu masukkan daun limau purut, hirisan cili hijau / merah, garam/ gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Padamkan api dapur.
6. Ketika menghidang, renjiskan jus limau kasturi dan taburkan bawang goreng.

Biasanya Ayam Goreng Cencaluk kurang mendapat perhatian, tetapi kali ini sebaliknya pula. Pada mulanya, Amie sangka Ayam Goreng Cencaluk ini boleh dijadikan lauk untuk bersahur, tetapi habis licin sebaik sahaja Encik Suami pulang dari solat tarawioh. Fairuz pun berkali-kali menambah dalam pinggan nasinya!
Apa bezanya masakan Ayam Goreng Cencaluk kali ini?
Mungkin disebabkan Amie bilas cencaluk!
Baunya pun kurang menyengat!
Rasa masinnya pun berkurangan!
Mungkinlah......

Selasa, 28 Mei 2019

Mee Hoon Sup Ayam Simple Dimple!

Entri tertunggak dengan dari cerita kelmarin.
Sedang bermimpi mencari ilham untuk masak juadah berbuka, tiba-tiba Encik Suami telefon dan tanya nak masak apa petang ini. Kita pun kata, tak tahulah nak masak apa. Tapi sebenarnya dalam kepala, masak nasi sajalah, masak sayur dan goreng ikan serta sambal kicap.
Buat mee hoon suplah, pinta Encik Suami dalam corong telefon.
Boleh, tapi tak mahu gunakan ayam dalam peti sejuk.
Nanti beli ayam segar. Dada ayam ya? Apa lagi nak dibeli?
Bla bla blaaaa......
Dah faham sungguh Encik Suami kalau kita nak masak sup ayam, mesti nak gunakan ayam segar...hiks! Dan satu lagi, entah berapa kali dalam sebulan terutamanya bulan puasa, asyik makan mee hoon sup. Encik Suami suka masakan berkuah. Waktu sahur pun, wajib ada sayur berkuah! Kalau kita tak masakkan sayur berkuah, memang dia masak sendirilah di dapur!

Mee sup ayam ini main campak-campak dan rebus-rebus sahaja. Kali ini Amie tak bubuh rempah sup seperti biasa. Bahan perencahnya pun tidak ditumis terlebih dahulu. Semuanya main lebur dalam periuk. Masak dengan api perlahan, maka keluarlah segala manis dada ayam... hehehee.
Jom lihat resepinya.

Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam 3 minit dengan air panas hingga lembut - toskan  dan kemudian rendam dengan air sejuk
3 kepingan dada ayam
10 biji bebola ayam - belah 4
2 bonggol akar daun sup - diketuk
2 batang serai - diketuk
1 sudu besar lada putih - ditumbuk
2.5 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar - hiris 
2 cm halia

Bahan rempah:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan pelengkap:
bawang goreng
hirisan daun sup / daun bawang
telur rebus
limau kasturi
sambal kicap

Cara memasak:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan dada ayam, semua bahan hiris dan bahan rempah, serai, akar daun sup dan lada putih.
3. Setelah kuah sup mendidih, perlahankan api dapur sehingga dada ayam empuk.
4. Keluarkan dada ayam - sejukkan seketika dan kemudian carik-carik.
5. Masukkan bebola ayam dan renih selama 5 minit. 
6. Masukkan garam / perasa pilihan dan sedikit bawang goreng serta hirisan daun sup. Kacau sekali dua, tutup periuk dan padamkan api dapur.
7. Ambil sedikit mee hoon dan masukkan ke dalam mangkuk, tuangkan kuah sup. Tambahkan ayam carik, telur rebus, hirisan daun sup, bawang goreng dan sambal kicap.
8. Sedia untuk dinikmati.

Kuah sup yang simple dimple!

Dada ayam carik yang lembut dan manis!

Mee hoon yang sudah dicelur.

Mee hoon sup sudah semestinya bertambah enak dinikmati dengan bahan pelengkap beraroma segar seperti hirisan daun sup dan daun bawang!

 Jangan lupa bawang goreng.
Kalau rajin sediakan sendiri bawang goreng ye...hehehee!

 Dan sudah semestinya ada sambal kicap!
Benda wajib ada!

 Sekian, cerita Mee Hoon Sup Ayam Simple Dimple!

Isnin, 27 Mei 2019

Mari Belajar Buat Kek Lapis Untuk Hari Raya

Aidil Fitri akan menjelma beberapa hari lagi. Tentu rakan-rakan pengunjung sedang sibuk membuat persediaan hari raya termasuk membuat kuih-muih atau menempah sahaja. Tahun ini kami bercadang untuk menyambut Aidil Fitri di LD. Farid dan Fuad rindu untuk berhari raya di tempat kelahirannya. Rupanya agak lama juga kami tida menyambut 1 Syawal di rumah sendiri. Tak sabar rasanya untuk menunggu hari lebaran, dan bersama-sama meraikannya dengan anak-anak dan sanak saudara sebelah Encik Suami.
Memandangkan cuti sekolah telah bermula, dan walaupun sebenarnya banyak tugasan yang perlu diselesaikan dalam cuti namun terasa kekurangannya dengan kepulangan anak-anak, tiada satu pun kuih-muih hasil air tangan sendiri. Untuk menaikkan semangat, Amie pun belek-belek semula entri lama terutamanya yang berkaitan kek lapis. Sekurang-kurangnya timbullah motivasi untuk membongkar semula segala peralatan membuat kek lapis yang Encik Suami sudah simpan di dalam stor di belakang rumah!


Bila terpandang gambar kek Lapis Masam Manis Cheese seperti di atas, memang teruja untuk melapis lagi! nak-anak pun sangat suka makan kek lapis ini. Dan tidak keterlaluan rasanya kalau Amie katakan inilah kek lapis paling disukai anak-anak kerana rasanya yang sangat sedap!
Tentu anda inginkan rasa kek lapis yang dapat memenuhi selera sendiri. Setelah pandai membuat kek lapis, kita boleh mereka cipta sendiri kek lapis seterusnya tetapi dengan menggunakan kaedah dan sukatan yang betul, dan bukannya main hentam keromo. Itulah yang menyebabkan kita rasa kecewa dan marah apabila hasilnya kurang sempurna, berminyak, hangus, berderai dan terlebih menyedihkan apabila rasanya tidak seperti yang diinginkan!


Di bawah ini Amie berikan pautan Tips & Cara Membuat Kek lapis Supaya Terhasil Dengan Sempurna. Jika berminat bacalah berulang kali supaya lebih faham dan jelas.  banyak info berguna yang Amie kongsikan di sini. kalau tak faham satu-satu istilah atau perkataan, bolehlah rujuk Pak Google supaya dapat penjelasannya. Biasanya mereka yang cepat putus asa, buat kek lapis sekali dua dan tidak menjadi dengan sempurna, mereka akan menyalahkan resepi (sudah tentunya resepi yang dikongsi oleh blogger atau pun resepi dalam buku) dan kemudian mereka tidak mahu mencuba lagi. Terpulanglah. Kalau Thomas Alva Edison, mencuba lebih 10,000 kali untuk menghasilkan mentol, apalah sangat dengan kita kalau berusaha mencuba lebih 3 kali...hiks!


Jika masih merasakan kurang lengkap segala info yang sudah diberi, boleh tambahkan pengetahuan dengan menimba ilmu berkaitan Panduan Penting (Asas) Untuk Membuat Kek pula. Jangan segan untuk terusklik di sini: Panduan Penting (Asas) Untuk Membuat KekSebuah laman web juga pernah mengongsi tips membuat kek lapis daripada Amie, dan bolehlah klik di sini untuk lebih lanjut: 6 Tips Buat Kek Lapis Yang Cantik Walaupun Baru Tahap ‘Beginner’

Kalau sudah bersedia untuk membuat kek lapis, Amie kongsikan beberapa resepi kek lapis seperti di bawah ini. Klik sahaja pautannya untuk mendapatkan resepi lanjut.

Kek Lapis Masam Manis Cheese menggunakan haw flakes bentuk yang berbeza. Ada yang bulat dan ada yang persegi.

Buatlah dengan hati yang tenang dan penuh kasih sayang. Yang penting cukup rehat dan memang sudah bersedia untuk melapis! Pasti hasilnya sangat memuaskan hati.

Jika inginkan kek lapis yang beraroma segar, bolehlah cuba resepi: Kek Lapis Limau Purut seprti dalam gambar di atas.

Jika anda kreatif, gunakanlah kebijaksanaan untuk mereka cipta kek lapis menggunakan buah-buahan seperti pisang, mangga, prun dan sebagainya. Gambar di atas ialah Kek Lapis Pisang.

Alangkah lazatnya dapat menikmati sekeping Kek Lapis Cempedak Madu! Sekali anda pernah menikmatinya, sampai bia-bila akan terkenangan keenakannya! Jangan lupa sediakan puree cempedak terlebih dahulu sebelum memulakan tugas menyiapkan Kek Lapis Madu.

Jika anda ingin memaksimumkan kreativiti anda, pelbagaikanlah warna  untuk menghasilkan Kek  Lapis Cempedak madu yang cantik. Gambar di atas, Kek lapis Cempedak madu original tanpa sebarang pewarna. Aromanya.... ya ampuuunnn!
Dan seterusnya, boleh klik resepi di bawah gambar untuk lebih lanjut.



Resepi: Kek Lapis Legit




Resepi: Trio Layer Cake
Istimewanya Trio Laye Cake ini, hanya putih telur sahaja digunakan!



Selamat mencuba dan jangan cepat putus asa!

Sayur Losun Tumis dengan Ikan Masin

Assalamualaikum.
Moga sihat walafiat di samping keluarga tersayang, dan mudah-mudahan segala urusan pada hari ini sentiasa dipermudahkan olehnya. Diam tak diam, kita sudah menghampiri minggu terakhir Ramadan. In shaa Allah akan bertemu di penghujungnya kelak.

Di kesempatan nan keemasan ini, Amie kongsikan resepi Sayur Losun Tumis dengan Ikan Masin. Sebelum ini Amie pernah beberapa kali kongsikan resepinya, antaranya seperti di sini : SAYUR LOSUN. Sayur losun ini terkenal dalam kalangan masarakat Kadazan - Dusun.

Encik Suami tersilap beli sayur. Katanya dia beli sayur kucai. Bolehlah masak dengan kuey teow. Setelah Amie belek-belek, ternyata ia bukan sayur kucai tetapi sayur losun!

Barangkali Encik Suami terkeliru dengan bentuk bawang pada sayur tersebut. Maklumlah antara kucai dengan losun memang ada persamaan tetapi tetap berbeza. Bawang kucai memiliki aroma yang kuat, tetap tidak pada losun. dedaun kucai lebih lembut tetapi dedaun losun agak kasar. Apa pun kedua-duanya memang boleh dimasak sebagai sayuran.

Sayur losun setelah dibersihkan, dan dibuang akarnya. Sedia untuk di potong agar menjadi lebih pendek. Kali ini Amie tumis sayur losun dengan ikan masin putih.

 Ini sekeping isi ikan masin putih yang akan Amie campurkan dalam sayur losun.

Terlebih dahulu, ikan masin hendaklah direndam lebih kurang 15 minit untuik mengurangkan rasa masinnya yang kuat. Kemudian bolehlah potong ikut suka.

Kebetulannya, di antara beberapa kuntum bunga kantan pemberian Cikgu Jusnawati, ada dua kuntum yang mula kembang. Amie pun kopek, dan keluarkan isinya.

Ini isi bunga kantan yang sudah kembang. Oleh kerana agak banyak, Amie hanya gunakan separuh sahaja untuk masakan ini.

 Amie juga gunakan separuh sahaja sayur losun.

Sayur losun, bunga kantan dan ikan masin sudah sedia untuk dimasak. Biasanya lada  / cili putih digunakan sebagai perencah, tetapi Amie tidak mempunyai cili putih, jadi Amie gunakan cili padi sahaja.

 Semua bahan sudah ada, jadi mari kita masak. 

Bahan-bahan:
10 batang sayur losun - buang akar - potong sepanjang 2-3 cm 
1 kuntum bunga kantan yang sudah kembang - leraikan dari kelopak
1 keping isi ikan masin - rendam 15 minit - bilas - toskan - potong ikut saiz yang dikehendaki
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
12 biji cili padi

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga terbit bau.
2. Kemudian masukkan ikan masin. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Setelah ikan masin masak, masukkan sayur losun dan bunga kantan.
4. Gaul beberapa kali sehingga layu, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Bubuh garam sedikit sahaja kerana sayur sudah sedia masin dengan ikan masin!

Berbuka puasa dengan nasi berlaukkan Sayur Losun Tumis dengan Ikan Masin memang menyelerakan!