Bismillahirrahmanirrahim.
Pagi tadi sekitar pukul 8:30 Encik Suami datang ke sekolah Firdaus, minta izin untuk bawa Firdaus tempah kaca mata. Kelmarin kaca mata Firdaus pecah gara-gara kemalangan kecil, kawan-kawannya terlanggar mejanya dan kaca mata Firdaus yang disimpan dalam laci tercampak keluar.
Selesai buat kaca mata baharu, Firdaus kembali ke sekolah. Petang tadi Firdaus tidak ke sekolah agama kerana mengikuti penggambaran mini documentary. Bagaimanapun, pukul 7:00 - 9:00 malam, Firdaus mengikuti kelam tambahan di sekolah agamanya.
Penggambaran Mini Documentary (Pertandingan Membuat Filem Dokumentari dalam Bahasa Inggeris) kali ini berkisar tentang makanan tradisional. Firdaus terpilih untuk menyertainya seperti tahun-tahun sebelumnya. Para peserta dikehendaki menulis tentang keunikan makanan tradisi masing-masing. Mereka juga dikehendaki memakai pakaian tradisi sesuai dengan budaya kaum mereka.
Kami cadangkan Firdaus perkenalkan kuih tradisi masyarakat Cocos iaitu pudin. Amie selalu tulis entri berkaitan pudin Cocos. Walaupun pudin jarang ditemui dan biasanya muncul pada hari raya, rezeki Firdaus jugalah sebab rupanya Amie masih simpan baki pudin yang diberi oleh abang ipar sewaktu Aidil Fitri lalu. Pudin mempunyai jangka hayat yang panjang, boleh disimpan selama setahun. Memang berbaloilah dengan masa mengukusnya selama 12 jam! Jadinya, dapatlah bawa satu bekas berisi pudin untuk diserahkan kepada guru pembimbingnya.
Para peserta juga dikehendaki memakai pakaian tradisi kaum mereka. serta menghantar muzik iringan. Encik Suami berusaha mencari pakaian tradisi Cocos dan akhirnya dapat menyewa sepasang baju baskad saiz kanak-kanak, sesuai dengan badan Firdaus. Gurunya juga meminta muzik latar, Encik Suami kongsikan irama melenggok.
Maklumat lanjut tentang Pudin Cocos boleh kliik di sini:
Maklumat lanjut tentang baju baskad dan irama melenggok boleh klik di sini:
Cukup lengkaplah segala persediaan untuk penggambaran mini documentary:
- Skrip keunikan kuih pudin, kuih tradisional masyarakat Cocos.
- Kuih pudin.
- Pakaian tradisonal Melayu Cocos.
Oleh kerana Firdaus turut menjadi pengacara, jadi Firdaus kena dua kali tukar baju. Pertama pakaian baju baskad, dan kali kedua pakai baju kurung Melayu.
Firdaus memakai baju baskad lengkap, bersedia untuk menjalani penggambaran mini documentary. |
Memandangkan Firdaus tidak pernah memakai baju baskad, jadi petang tadi Amie bersama Encik Suami datang ke sekolah Firdaus. Encik Suami yang 'memakaikan' baju baskad, termasuk mengikat sabok di leher, memakai sampin (kain dari Pulau Cocos-Keeling) dan ikat pinggang serta songkok di kepala. Kawan-kawan peserta mini documentary yang lain juga membawa pakaian tradisi kaum masing-masing.
Bagus sungguh usaha gurunya membimbing anak-anak murid mengetengahkan budaya serta tradisi kaum di di negeri Sabah. Setakat ini Amie menulis tentang masyarakat Cocos dalam novel dan juga beberapa antologi anekdot, tidak sangka pula Firdaus berpeluang mengetengahkan kuih tradisi masyarakat Cocos dalam bentuk rakaman video. Kalau tidak silap, ia merupakan pertandingan mini documentary.
Inilah kuih Pudin Cocos yang dikukus selama 12 jam itu. |
Ketika entri ini ditulis, Firdaus belum pulang dari kelas malam di sekolah agamanya. Tidak sabar rasa hendak mendengar ceritanya sepanjang hari ini. Mesti tak cukup mulutnya untuk bercakap!
Di bawah ini guru pembimbing kirimkan sebahagian rakaman mini documentary.
Firdaus sebagai pengacara.
Firdaus sedang memperkenalkan Pudin cocos.