ADSENSE

Ahad, 5 Julai 2020

Ikan Pari Masak Kicap (Semur)

Kelmarin sempat memborong ikan di pasar Kunak. Kami redah hujan renyai yang turun dari pagi. Perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak memakan masa selama satu jam. Pekan ini dahulu digelar sebagai pekan koboi, kecil sahaja. Arwal FIl suka singgah di sini kalau kami dalam perjalanan dari Tawau Ke Lahad Datu. Katanya, ikan di pasar Kunak segar-segar belaka. Pasar ikan pun letaknya di jeti, tempat kapal nelayan berlabuh. Tidak banyak pilihan ikan di sini, tetapi memandangkan kebanyakan ikan yang dijual segar-segar belaka, jadi belilah mana yang berkenan!
Kami sempat bersarapan pagi dengan menghirup bakso panas serta sayap ayam panggang, kemudian jalan-jalan ke Pasar Am Kunak. Banyak sayuran segar, teapi harga buah-buahan agak mahal. Ikan masin pun cantik-cantik, dan kami bawa pulang ikan talang masin. Entah bila hendak dimasaknya tu... ahaks! Telur masinnya juga saiz besar dan kami beli 10 biji. Melihat cili padi dan cili hijau yang cantik, kami pun beli juga. Bukan tidak ada semuanya itu di Lahad Datu, tapi saja jew jalan-jalan ke pasar di sini dan beli mana yang berkenan di hati.
Bila jejak kaki ke pasar ikan pula, penuhlah satu bekas ikan di bonet kereta dengan ikan sebelah, ikan pari, ikan putih, ikan nyok-nyok dan ketam. Ketamnya pula masih hidup, bergerak-gerak kaki tangannya!

Ikan Pari Masak Kicap (Semur)
Hari ini Amie oleh ikan pari yang dibawa dari pasar ikan Kunak sebagai lauk tengahari. Sebelum ini memang jarang sangatlah Encik Suami dan keluarganya masak atau makan ikan pari. Amie cuba masak ikan pari sesedap mungkin! Tak tahulah citarasa dan selera orang lain. Yang penting kenalah pilih ikan pari yang tidak berbau! Kalau di LD, biasanya ikan pari yang tidak berbau dipanggil pari ayam. 
Seingat Amie, ada dua jenis masakan ikan pari yang selalu Bonda olah sewaktu kami di kampung dan rasanya sangat sedap. Dua jenis masakan tersebut sudah tentulah masakan semur (kicap) dan juga pecak. Orang lain sebut pecal, tapi kami sebut pecak : Ikan pari dipanggang terlebih dahulu, dan kemudian disiram dengan santan pekat bubuh kencur dan cili padi hijau. Kalau Bonda masak ikan pari (pecak) memang kami tak ingat dunia dah! Sedap sangat!
Satu lagi ikan pari masak kicap atau masak semur dalam bahasa kami. Orang kampung kami suka masak ikan pari semur sewaktu kenduri kendara atau sewaktu sediakan lauk hidangan untuk jiran tetangga yang datang menolong dirikan tiang rumah. Bonda selalu ingatkan, kalau masak semur ikan pari kena bubuh lada hitam banyak-banyak! Jadi, ketika masak ikan pari di dapur, kita pun teringat-ingat pesanan dan rasa masakan Bonda kita!

Ikan Pari Masak Kicap (Semur)
Jom kita lihat resepi Ikan Pari Masak Kicap (Semur), cara olahan orang kampung kami.
Bahan-bahan:
1 kg ikan pari - potong ikut saiz yang digemari - cuci bersih - lumur dengan serbuk kunyit & garam 
4 sudu besar kicap pekat
4 sudu besar kicap lemak manis
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
2 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugor
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
3/4 cawan air
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
2 cm halia

Bahan hiasan:
4 biji cili hijau - belah jangan putus
10 biji cili padi merah

Cara memasak:
1. Goreng ikan pari hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 1/2 cawan minyak bekas gorengan ikan pari.
3. Goreng kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang hingga wangi.
4. Kemudian masukkan bahan hiris serta serai. Tumis hingga bawang layu.
5. Seterusnya masukkan asam keping, gula ,air, kicap pekat dan kicap lemak manis. Biarkan mendidih.
6. Setelah kuah kicap mulai pekat, masukkan ikan pari goreng, lada hitam, garam / perasa pilihan serta cili hijau dan cili padi.
7. Gaul rata dan kemudian padamkan api dapur.

Ikan Pari Masak Kicap (Semur)
Ketika sedang mengacau kuah kicap, tiba-tiba Firdaus berlari ke dapur membawa telefon. Rupanya kakak sulung telefon Amie. Katanya Bonda ingin bercakap. Memang dah Amie sangka telefon Bonda rosak sebab beberapa kali Amie telefon, Bonda tak angkat. Hebat sungguh pertalian anak dengan ibu! Telepati yang menakjubkan! Kita teringat Bonda ketika sedang memasak, tiba-tiba Bonda datang menegur kita!
Allahu Akbar!
Dan kami pun bercerita tentang ikan pari masak semur kegemaran keluarga ketika masih bersama di kampung dahulu! 
Fuad dan Fairuz kata Ikan Pari Masak Kicap sangat sedap. Begitu juga Encik Suami. Tak pernah pun kata ikan pari itu apa rasanya, tiba-tiba kata sedap pula! 
Sudah tentu dalam hati kita kata : Ikan Pari Mask Semur hasil air tangan Bonda lagi sedap!

Sarapan Pagi : Cekodok Pisang Gula Merah & Sukun Goreng

Selamat berhujung minggu.
Pagi ini tak ada rancangan untuk jalan-jalan ke pasar. 
Cuma Encik Suami dengan Firdaus akan ke kampung sebentar lagi. Ada gotong-royong kemas bilik 'wak' di kampung.
Jom sarapan menu kampung dulu.
Amie goreng cekodok pisang, dan juga sukun.

Selalunya di hari minggu kami akan ambil sarapan menu berat seperti nasi kuning, atau nasi lemak. Kalau tak masak sendiri, kami akan beli di luar. Lepas itu barulah gotong-royong kemaskan rumah, mencuci pakaian, bersihkan halaman dan sebagainya. Hari ini rasanya nak banyak berehat saja. 

Kita tengah lenyek pisang, Firdaus tiba-tiba muncul di dapur. Merengek-rengek nak buat kerja kita. Haaa.... akhirnya Firdaus yang berpeluh-peluh lenyek pisang. Kita tambahkan tepung, gula merah, garam, dn serbuk penaik. Kali ini buat cekodok pisang tambah gula merah pula. Dah siap dia godek, kita goreng. 

Encik Suami pula, tolong kemaskan dapur dan kemudian kupas buah sukun. Jadi, ada dua menu sarapan kami iaitu Cekodok Pisang Gula Merah dan Sukun Goreng. Encik Suami minta Fuad buatkan teh panas. Huurrmmm... kami semua selesai bersarapan, tapi bayang Fuad dengan teh panas tak kunjung muncul di dapur! Susah betul anak-anak bujang nak bangun pagi!

Beberapa minggu lepas, pagi-pagi lagi  jiran sebelah hulurkan cekodok pisang panas. Sedap sangat! Tak sempat buat sarapan, jadi kami jadikannya sebagai sarapan pagi. Bukan cekodok pisang saja yang dihulur, tapi ada kuih lain. Tak tahu apa namanya, masih panas dan tidak kurang sedapnya dengan cekodok pisang. Kuih itu seperti dalam gambar di bawah ini. Isinya ubi kayu rebus yang dilenyek, ditambah kelapa parut dan juga gula merah!

Jadi, pagi ini kongsi sarapan pagi dengan jiran  dari dapur Amie pula : Cekodok Pisang Gula Merah & Sukun Goreng. Moga ikatan hidup berjiran bertambah erat.

Jumaat, 3 Julai 2020

Ikan Layar Goreng Berlado

Jumpa lagi.
Jom sembang tentang ikan layar, ikan kegemaran MIL & FIL.
Sekarang sangat jarang ikan ini ada di pasaran. 
Dua minggu lepas, kami jumpa tiga peniaga ikan menjual ikan layar. 
Teringat Fuad yang suka makan ikan, apalagi kalau ikan layar jadi kami borong hampir 9 kilogram ikan layar, siap dipotong. Sampai dapur, hanya dibahagi-bahagikan di dalam bekas untuk disimpan dalam freezer. 
Biasanya ikan layar ini Amie masak ikut resepi MIL, iaitu masak dengan lada putih, halia, dan asam jawa. Oleh kerana anak-anak sangat suka ikan layar ini, jadi Amie pun beri peluang Fuad dan Fairuz masak ikut gaya arwah nenek mereka.
Terfikir pula untuk masak  guna resepi yang berbeza.

Ikan Layar Goreng Berlado
Minggu lepas, Amie masak Ikan Layar Goreng Berlado. Fuad dan Fairuz kata, kenapa Mommy bubuh lada sikit sanga? Tak puas kami makan. Oh! Mereka suka lada rupanya. Masakan ini tidaklah begitu pedas sebab Amie hanya gunakan cili hijau dan cili merah tanpa menggunakan cili padi. Amie tambahkan dua biji tomato. Untuk tambah aroma, Amie masukkan serai dan juga daun limau purut. Amie tidak gunakan asam keping atau asam jawa, sebaliknya Amie perahkan jus limau nipis di akhir masakan.

Ikan Layar Goreng Berlado
Jom kita lihat resepi Ikan Layar Goreng Berlado di bawah ini.
Bahan-bahan:
800 gram ikan layar - bersihkan dan cuci - toskan - perap dengan 1 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil kunyit
2 biji tomato - cincang
5 helai daun limau purut - buang urat belakang
2 batang serai - diketuk
2 papan isi petai
1 biji limau nipis - ambil jusnya
1 sudu besar gula melaka
garam /  perasa pilihan secukupnya
minyak untuk menggoreng

Bahan kisar kasar:
5 biji cili merah
5 biji cili hijau
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 sudu kecil belacan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng ikan layar hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ikan layar di dalam kuali.
3. Goreng tomato sehingga hancur, dan kemudian masukkan serai dan  bahan kisar kasar serta gula melaka.
4. Tumis dengan api sederhana.Setelah terbit minyak, masukkan petai, daun limau purut dan ikan layar yang sudah digoreng tadi.
5. Taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
5. Gaul rata, dan tuangkan jus limau nipis.
6. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Ikan Layar Goreng Berlado
Ikan Layar Goreng Berlado!
Bila anak-anak berebut sambal, Encik Suami kata : Baba dapat petai pun cukuplah... ahaks!

Hari ini masak lagi ikan goreng berlado tapi Amie gunakan ikan siakap. Celur kacang bendi dan goreng terung. Kiranya masak sekali harunglah sebab kacang bendi dan terung goreng boleh cecah dengan sambal!

Khamis, 2 Julai 2020

Hidangan Malam Hari Terakhir Aidil Fitri 2020

Cerita yang telah lama berlalu... malam terakhir Aidil Fitri 2020.
Berkumpul sekeluarga di kampung Encik Suami.
Masing-masing kena bawa makanan.
Oleh kerana hari itu Amie menghadiri mesyuarat, jadi Amie fikir tak boleh masak yang berat. Kami putuskan untuk bawa pencuci mulut sahaja.

Tak terfikir nak sediakan pencuci mulut jenis apa. Dalam perjalanan pulang dari mesyuarat, terpandang jagung dan pisang bergantungan di gerai tepi jalan.

Beli sesikat pisang nipah. Entahlah..... sampai rumah nanti nak buat apa. Buat cekodok pisang pun agaknya.... ahaks!

Rembat juga jagung manis yang sudah siap buang kulit.
Sampai di rumah rasa sangat letih!
Selepas mandi dan solat Zohor, terus rebahkan diri hilangkan penat. Pukul 3 petang masuk dapur. Tiba-tiba nak buat mutabak kulit popia pulak! Cepat-cepat kupas 1.5 kg kentang dan masak dengan 800 gram daging ayam kisar. 

Minta tolong Fairuz untuk jaga murtabak atas dapur supaya tidak hangus. Cepat juga kerja masak murtabak inti popia ini. Boleh bubuh 6 keping dalam kuali ajaib. Boleh jenguk resepi murtabak kulit popia di sini: Mutabak Kulit Popia.
Di bawah ini gambar murtabak kulit popia yang Amie buat menggunakan inti daging.

Encik Suami pun ikut bantu di dapur. Hiris jagung manis dan hiris pisang. Akhirnya berkumpullah biji gandum, sagu biji, jagung dan pisang dalam periuk menjadi pengat!


 Dah selalu sangat kongsi bubur gandum, kali ini hanya kongsi gambar sajalah ye.

 Menjelang senja, siaplah 50 keping murtabak kulit popia. dan seperiuk pengat / bubur gandum aneka bahan.


 Kita potong dulu murtabak kulit popia.

 Fuad turut membantu menyediakan cocktail buah-buahan. 

 Selepas Maghrib, kami bertolak ke kampung membawa dua bekas murtabak kulit popia, satu bekas pengat biji gandum and the gang, dan dua bekas berisi cocktail buah-buahan.

 Seperti biasa, banyaklah makanan yang dihidangkan pada malam itu. Gambar di atas, hasil air tangan kakak ipar : Nasi kuning dengan 7 biji telur dan 7 ketul daging ayam. Barangkali simbolik untuk menyatakan jumlah adik-beradik seramai 7 orang.

 Masih ada lagi kuih raya.

 Antara hidangan pada malam itu.


 6 daripada 7 beradik. Kakak ipar, kakak yang sulung telah kembali ke pangkuan-Nya pada tahun lepas.

Bersama biras-biras kesayangan.
4 keturunan yang berbeza : Melayu /Jawa, Banjar, Cocos dan Bugis.
Moga ukhuwah berpanjangan.

Rabu, 1 Julai 2020

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut

Bila berkumpul ramai-ramai anak beranak, dihidangkan apa jenis makanan pun semuanya mereka boleh terima, dan habis. Syukurlah anak-anak dan Encik Suami jenis yang tidak banyak songel, makan sahaja apa yang dimasak walaupun ada kalanya menu baru yang belum pernah mereka makan sebelumnya. Kalau kami ke mana-mana, mereka tidak kisah kalau mencuba makanan yang lain dari kebiasaan yang dihidang di rumah sendiri. Itulah seronoknya kalau jalan-jalan ke luar daerah bersama mereka.

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
Kita cerita lauk makan tengahari yang kami makan bersama minggu lepas,  iaitu Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut. Pedasnya memang boleh tahan, sampai berpeluh-peluh dahi...ahaks! Pedas-pedas cili padi memang sangat sedap kalau sudah jumpa santan segar! Sengatannya cukup berbisa tapi selera makan asyik membisikkan, tambahlah lagi kuah dalam pinggan nasi... !!!!!

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
 Kata penjual labu, ini labu pulut. Comel jew rupanya. Jadi, belilah sebiji.

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
Kami beli labu pulut ini sewaktu singgah di Kampung Paris, dalam perjalanan dari Sungai Kinabatangan menuju ke Lahad Datu.

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
Inilah rupa isi labu pulut itu. Jom kita masak dengan ayam. Resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 kg ayam - bersihkan dan potong ikut saiz yang digemari
1/2 kg labu pulut - kupas kulit - potong dadu 2cm x 2cm
1 helai daun kunyit - hiris
2 batang serai - ketuk
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
200 ml santan pekat
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
40 biji cili padi kampung - campur warna hijau dan merah
3 cm kunyit hidup
1 cm halia
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
Cara memasak:
1. Masukkan santan cair, serai, bahan kisar dan ayam ke dalam periuk.
2. Masak di atas api sederhana.
3. Setelah ayam mulai empuk, masukkan asam gelugor dan juga labu pulut. Biarkan mendidih seketika.
4. Kemudian masukkan santan pekat, garam  / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Setelah ayam masak dan labu pulut menjadi empuk, taburkan hirisan daun kunyit.
6. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut
 Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Labu Pulut dah siap!


Selasa, 30 Jun 2020

Jeruk Mangga Epal

Jumpa lagi.
Menyempatkan diri jenguk dapur maya sebelum beradu.
Sekadar cerita tentang mangga epal 7 kg di dapur.
Ada yang masak dan kebanyakannya dalam keadaan mengkal.
Sedapnya kalau dibuat jeruk!

 Kita suka sangat jeruk mangga epal, sebab mangga jenis ini tidaklah masam.

 Jom mulakan operasi mengupas buah mangga.

 Lebih kurang 5 kg mangga epal mengkal sudah dikupas.

 Kemudian hiris ikut saiz yang disukai.

Jika sukakan mangga jeruk yang rangup, bolehlah rendam dengan air kapur lebih kurang satu jam.

Kemudian bilas beberapa kali hingga bersih. Toskan. Amie gunakan asam boi, gula, hirisan cili padi dan juga serbuk asam untuk digaul bersama mangga epal.


Oleh kerana hari sudah jauh malam, jadi setelah digaul Amie masukkan ke dalam tiga buah bekas untuk disimpan di dalam peti sejuk. Jadi, kalau Fairuz ingin bawa ke sekolah, atau Encik Suami ingin bawa ke tempat kerja, boleh ambil satu bekas. Jeruk mangga ini memang sedap kalau dimakan beramai-ramai!
Rupanya Fairuz tak mahu bawa mangga jeruk yang Amie buat. Dia sudah sepakat dengan kawan-kawan untuk makan bersama. Esok paginya, bangun tidur terus ke dapur, dan terpandang kulit mangga epal di dalam tong sampah. Fairuz kupas sendiri lebihan mangga sebelum tidur, dan minta kawannya bawa kicap lada!
Balik sekolah, katanya kawan-kawan perempuan pula yang ikut makan!
Adeeehhhhh! Lucu juga bila kenangkan pelajar lelaki bawa mangga ke sekolah!


Untuk lebih sedap, boleh tambahkan kus limau kasturi dalam mangga jeruk!
(Gambar dari entri lama).

Ahad, 28 Jun 2020

Jalan-Jalan Cari Makan di Pasar Tani Lahad Datu

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Hujung minggu bukan bererti maa untuk berehat!
Hari begini, semua benda sedang berlonggok untuk dikemas.... ahaks!
Ya! Bukan hari untuk bermalas-malas dan melingkar atas katil sehingga terbit matahari!
Inilah hari paling sibuk ketika berada di rumah. Segala-galanya yang berkaitan dengan rumah dari bilik tidur, ruang tamu, dapur dan halaman rumah perlu dibersihkan. Huurrmmm... cerita tentang rumah dan mengemas, memang tak akan berakhir!
Jom kita ke pasar tani.
Hari ini cuti masak di dapur. Kita cari sarapan di luar.
Rindu nak makan kuih-muih tradisi di LD. Kelmarin puas seharian memburu makanan tradisi masyarakat Bajau di Semporna. Hari ini kita bawa pulang kuih-muih dan makanan tradisional masyarakat Bugis hasil memburu di pasar tani.

Kuih-kuih talam yang dibeli setakat tiga keping pelbagai jenis seperti talam labu, talam ubi dan talam gula merah. Kuih-kuih lain yang dibeli merupakan kuih kegemaran Amie iaitu barongko, sanggar janda, kuih awuk-awuk, nagasari dan barobbo.

Tiap kali bulan puasa memang selalu beli barongko. Puasa lepas tak ada bazar Ramadhan. Hari ini baru jumpa barongko di pasar tani.

 Kuih sanggar janda juga salah satu kuih kegemaran!

 Kuih awuk-awuk.

 Barobbo, lengkap dengan sambalnya yang maha pedas, dan limau kasturi.

 Dan tidak lupa, beli buras dan juga tumbu'.

 Siap dengan lauk-pauknya.

 Yang di bahagian hadapan, yang tegak-tegak itu dipanggil tumbu'.

 Yang dalam keadaan rebah itu dipanggil buras. Diperbuat daripada beras pulut.

 Ini buras daripada beras.

Sudah ada buras dan tumbu' kenalah ada lauk-pauknya seperti ayam palekko', serunding kelapa, dan sambal ikan bilis.

Sambal ikan bilis dengan serunding kelapa (gambar atas dan bawah) paling disukai Fairuz. Habis licin disantap dengan buras!


Beli 5 bungkus nasi kerabu untuk makan tengahari kami.
Harapnya bila tak pegang periuk kuali hari ini, dapatlah kemas rumah dan sebelah petangnya bolehlah berehat.