Sotong Panggung

by - 11:12 PG

Encik Suami selalu sebut tentang Sotong Panggung! Sotong Panggung Amie berikan nama kerana penjualnya berniaga di sebelah Panggung Wayang Lacin, Lahad Datu. Nama sebenarnya kami tidak tahu. Bukan Encik Suami sahaja yang suka makan Sotong Panggung tetapi semua ahli keluarganya. Agaknya jiran tetangga dan orang kampung Encik Suami pun pernah makan Sotong Panggung!

Sewaktu mengandung anak pertama (Abang Farid), Encik Suami selalu bawa Amie jalan-jalan ke kampung (rumah MIL) pada waktu petang. Kalau sudah senja masih di sana, kami terus tidur di kampung. Selalulah duduk sembang-sembang dengan MIL di beranda dapur, setentang pula dengan jalan masuk ke halaman rumah. Kalau nampak FIL berjalan pulang, bukan main lagi MIL senyum-senyum kegirangan. Rupanya ada benda yang dipesan untuk FIL bawa pulang. Arwah FIL semasa hayatnya menjadi Imam Kariah. Dalam seminggu perlu  tiga hari turun berurusan di Pejabat MUIS.

FIL akan hulur bungkusan plastik berisi Sotong Panggung, dan MIL sambut dengan senyuman. Kadang-kadang MIL terus buka dan makan, dan kadang-kadang kalau perut kenyang, MIL simpan dalam peti sejuk. Esok lusa barulah MIL makan. Dari situlah Amie berkenalan dengan Sotong Panggung.

Encik Suami kata, dulu Sotong Panggung diikat dengan daun kucai, dan disematkan lidi. Harganya RM1 tiga cucuk. Itu cerita dulu. Harga 27 tahun yang lalu. Kalau sekarang, belum tentu dapat RM1 untuk secucuk! Itu pun kalau ada penjual Sotong Panggung. Masalahnya peniaga Sotong Panggung sudah hilang tanpa jejak sehingga ke hari ini. 

Yang tinggal hanyalah kenangan bersama Sotong Panggung!

Apabila Encik Suami selalu sebut-sebut tentang Sotong Panggung, rasa kasihan pula. Amie pun tak tahu bagaimana cara olahannya. Amie cuba imbas kembali rasa dan bahan yang digunakan. Akhirnya kelmarin Amie dapat hasilkan Sotong Panggung di dapur sendiri. Namun, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan pada masa yang lain.


Sotong Panggung

Sotong kering yang sudah direndam semalaman, direbus dan dipotong.

Amie rendam 200 gram sotong kering dengan menggunakan air sotong semalaman. Kemudian Amie bilas bersih beberapa kali dan potong-potong mengikut saiz yang Amie suka. Setelah itu Amie rebus  hingga empuk, dan kemudian toskan airnya.

Hirisan sotong yang sudah disemat dengan lidi.

Sotong Panggung yang dijual  disusun, kemudian diikat dengan daun kucai dan seterusnya disemat dengan lidi. Amie tidak ada daun kucai, jadi Amie susun dan cucuk dengan lidi sahaja.


Inilah rupa bentuk sotong kering yang sudah direbus, disusun dan disemat dengan lidi.

Sotong yang sudah dituangkan kuah, taburan kacang tanah tumbuk dan jus limau kasturi.

Kemudian Amie sediakan kuahnya. Amie pun tak tahu sama ada sediakan kuah berasingan atau masak sekali dengan sotong tadi. Ada rasa kacang tanah tumbuk sewaktu Amie makan Sotong Panggung dahulu. jadi Amie sediakan juga kacang tumbuk. Setelah kuah siap, Amie tuangkan di atas sotong, taburkan kacang tanah tumbuk dan perahkan jus limau kasturi.

Sotong Panggung sedia untuk dinikmati.

Kemudian Amie duduk sendiri di dapur dan cuba makan Sotong Panggung hasil air tangan sendiri. Amie rasa kuahnya menepati rasa seperti Sotong Panggung yang pernah Amie makan 27 tahun yang lalu. Cuma agak cair sedikit. Mungkin lain kali Amie perlu tambah bancuhan air tepung jagung untuk memekatkannya.

Bagaimana pun, untuk komen jujur Amie perlu tunggu Encik Suami pulang. Encik Suami tidak tahu Amie buat Sotong Panggung!
Jemput makan secucuk Sotong Panggung.

Untuk nak yang merasa Sotong Panggung, Amie bagi 1 cucuk saja ye hihihiiiii! Sedap sangat sebenarnya! Sudahlah sotong rasa lembut, kuahnya sangat mengancam selera!

Apabila Encik Suami pulang, Amie biarkan dia ke dapur dan buka tudung saji sendiri. Terdengar teriakan terkejut dari dapur!

Amie tanya, apa rasanya?

Sama macam yang dijual di panggung. Sedap!
Bolehkah makan habiskan satu orang?

Amboi!
Rindu sangat nak makan Sotong Panggung sampai nak habiskan semua sekali.
Habislah satu bekas Sotong Panggung di bawah ini Encik Suami makan. Tak tinggal walau secucuk! Kuahnya pun habis dihirup!



Jadi, Amie pun beranilah kongsikan resipi Sotong Panggung di sini. Mungkin di tempat lain ada sotong begini juga. Cuma kami tak tahu nama, kami daftarkan di bawah nama Sotong Panggung. Untuk memudahkan kerja Amie gunakan Kicap Manis Pedas Mahsuri. Sebenarnya tak perlu tambah bahan perasa sebab sudah cukup rasa. Amie tambah sedikit bahan perasa sebab Amie tambah air. Pada masa yang lain Amie akan tambahkan air bancuhan tepung jagung untuk pekatkan kuah. Amie tambah cili padi juga. Tak mahu bubuh pun tak jadi masalah sebab kicap sudah sedia ada rasa pedas.

Bahan-bahan:
  • 200 gram sotong kering - rendam dengan air sotong / air abu  semalaman - cuci bersih dan potong ikut saiz yang disukai
  • 3/4 cawan Kicap Manis Pedas Mahsuri
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • 1/2 cawan air
  • 2 ulas bawang putih - tumbuk
  • 5 tangkai cili padi - tumbuk
  • 1/2 cawan kacang tanah goreng - tumbuk kasar
  • 3 biji limau kasturi - ambil jusnya
  • garam / gula / perasa pilihan - jika perlu
Cara:
  1. Rebus sotong hingga lembut / empuk. Toskan. Susun 3 keping dan semat dengan lidi.
  2. Dalam periuk, masukkan kicap, air, bawang putih dan cili padi tumbuk.
  3. Dengan menggunakan api perlahan, didihkan bahan tersebut dan kemudian tambahkan bahan perasa (garam / gula / perasa pilihan).
  4. Kemudian tuangkan minyak bijan. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
  5. Tuangkan kuah tadi di atas sotong.
  6. Taburkan kacang tanah tumbuk.
  7. Perahkan jus limau kasturi.
  8. Sedia untuk dinikmati. (Untuk rasa yang lebih sedap, biarkan dahulu sotong terendam dalam kuah agar dapat menyerap semua bahan perasa).
Rupanya bukan susah nak buat Sotong Panggung sehingga menunggu selama 27 tahun untuk memberanikan diri mengolahnya. Encik Suami kata kalau  kakak dia nampak Sotong Panggung ada di dapur kami, memang tak lepas peluang nak datang makan!

You May Also Like

21 comments

  1. Wahhh, kalau ada daun kucai, tentu betul2 macam sotong panggung 27 tahun lepas ni Kak Amie. Terubat rindu raja hati Kak AMie terhadap sotong panggung, tentu dia rindu pada ibunya juga

    BalasPadam
  2. Baru tahu hari ni. nampak sedap kak Amie..

    BalasPadam
  3. Tengok pun dah terliur..hebatnya Amie boleh mengingati rasanya walau dh 27 th berlalu

    BalasPadam
  4. Kadang-kadang memori yang associate dengan makanan tu yang buat ia bertambah sedap. Hebat akak, makan 27 tahun dulu masih ingat rasanya.

    BalasPadam
  5. Walaupun 27 tahun berlalu, kak amie masih ingat ya rasa sotong panggung macam mana hehehe

    BalasPadam
  6. cakap panggung wayang ni terus rindu nonton wayang....

    BalasPadam
  7. Alhamdulillah..menepati citarasa suami & penjual sotong panggung..lejen ni..

    tetiba teringat sotong kangkung..lbh kurang mcm ni kuahnya..

    BalasPadam
  8. Unik namanya..ingatkan typo sotong panggang jadi panggung.hihihi
    Macam rojak sotong,tapi nampak menarik dengan lidinya.tak pernah jumpa lagi.Cocos memang suka limau dalam masakan yer

    BalasPadam
  9. Hehe cuba buat terus sama rasa ya.
    Boleh buat lagi.

    BalasPadam
  10. Wow! Pandai Amie masak, suami pun suka. :)

    BalasPadam
  11. first time dengar sotong panggung

    BalasPadam
  12. sotong panggung nii nampak sedap laaa kak :)

    BalasPadam
  13. Seronok dapat rasa kembali makanan yang dah lama tak makan. Lagi seronok bila rasa tu menjadi. Kalau di Malaya macam sotong kangkung ni. Ada sayur kangkung rebus.

    BalasPadam
  14. tak pernah jumpa tapi sotong ni memang feveret saya...

    BalasPadam
  15. Dah macam sotong kangkung cuma kangkungnya takde..nampak seap tu Kak Amie

    BalasPadam
  16. mcm sotong kangkung. msti sedap sotong panggung ni.

    BalasPadam
  17. dulu suke sotong, tp sekarang tak bole makan dah... alergik...

    BalasPadam
  18. wah 27 tahun boleh ingat lagi rasanya....salute lah amie

    BalasPadam
  19. Nampak sedap mcm mcm tu walaupun tak dibakar.

    BalasPadam