~Jalan-Jalan Cari Makan
Makan Tengah Hari Lauk Ikan Kerai Masak Lemak Cili Padi di Restoran Cinta Rasa Ikan Sungai (Airena) , Bentong Pahang
Bismillahirrahmanirrahim.
Mendaki 88 anak tangga, menapak jalan sedikit berbukit dan menjelajah Perkampungan Jepun memang sangat berbaloi. Bukan sahaja dapat menikmati ketenangan hutan dan deru air mengalir di celah bebatuan, tetapi turut menyihatkan badan dengan peluh yang mengalir membasahi tubuh.
Setelah terbakar kalori, apa salahnya mengumpul semula kalori kan? Jom kita ke Bentong. Kami jalan-jalan cari makan tengah hari di sana. Kami singgah di Restoran Cinta Rasa Ikan Sungai @ Restoran Cinta Rasa Airena yang terletak di Kampung Benus.
Ikan kerai bahagian kepala masak lemak cili padi. |
Sudah biasa makan ikan patin tempoyak, kali ini makan ikan kerai masak lemak cili padi pula. Tapi ambil juga sepotong ikan patin.
Ketika kami tiba di sini, tempat letak kereta telah penuh. Terpaksalah menyelit di bawah pokok di hadapan restoran. |
Kelihatan pelanggan sedang menikmati hidangan di bahagian luar restoran.
Di bahagian dalam para pelanggan memenuhi tempat duduk. Terpandang beberapa bilik makan seperti Bilik Kelah, Udang Galah dan Bilik Patin.
Melihat pelbagai jenis ikan sungai yang terhidang, memang rambang mata jadinya. Entah mana satu hendak dipilih kerana semuanya nampak sedap belaka. Hendak pilih satu jenis ikan, mata mengerling ke arah ikan yang satu lagi. Ikutkan rasa tamak, kalau boleh hendak rasa semua. Ada juga ikan laut dan banyak lauk-pauk lain, tetapi selera sudah terpaut dengan ikan sungai!
Selepas makan tengah hari di sini memang berhasrat untuk datang lagi jika berkesempatan di lain waktu. Tapi awas ya! Pastikan tidak datang pada hari Ahad kerana restoran tidak beroperasi pada waktu ini.
Terlebih dahulu kami pastikan harga yang ditawarkan. Alhamdulillah, restoran ini menyediakan senarai harga bagi setiap lauk. Senanglah pelanggan hendak mencongak bajet. Harga ikan kerai di antara RM40-RM50. Mungkin melihat kepada saiznya samada besar atau kecil. Ikan patin pula di antara RM20.00-RM25.00 sepotong.
Dengan harga RM148.00, inilah hidangan tengah hari kami berempat di sini. |
Ayam panggang ini Amie ambilkan untuk Abang Farid sebab Abang Farid kurang menggemari ikan terutamanya ikan air tawar. |
Ikan Patin Tempoyak |
Ikan Kerai Masak Lemak Cili Padi |
Ulaman jantung pisang dan daun apa entah ya. |
Selain ulam-ulaman, kami ambil sambal kicap dan sambal belacan. |
Amie tambahkan sambal tempoyak. |
Terkejut kami dibuatnya sebab Abang Farid makan ikan kerai masak lemak cili padi! Lebih memeranjatkan kami lagi apabila Abang Farid makan sambal tempoyak. Nampaknya Raja Ayam ini sudah boleh menerima selain yang bernama ayam... ahaks!
Ikan lampam goreng itu pula jadi rebutan Amie dengan Encik Suami. Walaupun banyak tulang halus tetapi kami dapati ia sudah garing sebati dengan isinya. Tidak terasa tulang halusnya lagi! Memang sedap sungguh tambahan pula apabila cecah dengan sambal kicap!
Mudah-mudahan ada rezeki untuk kami berkunjung lagi ke Bentong dan singgah makan di sini. |
Sebelum meninggalkan restoran, sempat menjengah ke tempat lauk-pauk dan ambil gambar ikan lampam goreng. Walaupun agak seram dengan harganya RM10.00-RM30.00 seekor, tapi puas hati sebab rasanya sangat sedap!
Selepas ini memang kena teroka negeri Pahang!
Sudah jatuh cinta dengan masakan Pahang!
Sudah jatuh cinta dengan masakan Pahang!