ADSENSE

Rabu, 31 Oktober 2018

Kerang Masak Serai

Kongsi lagi satu resipi biasa-biasa tapi penuh nostalgia. Resipi ini tersimpan agak lama dalam folder, Amie masak sewaktu di kampung Bonda. Di sana mudah untuk dapat bekalan kerang. Maklumlah Mukim Jeram, daerah Kuala Selangor memang terkenal dengan hasil lautnya yang segar-segar.
Masa kecil dahulu memang inilah hidangan istimewa yang Bonda masak untuk kami. Cara memasaknya sangat mudah, tapi rasanya sungguh lazat! Ditambah pula dengan kerang segar sebagai bahan utamanya. Sudah tentulah isi kerang masih terasa kemanisannya! 

Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg kerang - bersihkan
2 batang serai - diketuk
3 helai daun limau purut - buang urat
1 keping asam gelugor
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - hiris
3 sudu besar minyak
4 cawan air
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang besar serta serai sehingga wangi.
2. Kemudian masukkan cili padi dan tambahkan air.
3. Biarkan air mendidih barulah masukkan asam gelugor dan kerang.
4. Setelah kerang masak (terbuka kulit kerang dan nampak isinya), masukkan daun limau purut, garam / perasa pilihan. Biarkan seketika.
5. Padamkan api dapur.

Nak ratah begitu saja pun boleh. Kalau nak makan dengan nasi, picitkan saja cili padi untuk tambah rasa pedas. Oh! Tiba-tiba rindu kampung laman!

Siput Kahanga Masak Lemak Tempoyak

Minggu lepas dan minggu ini Encik Suami sering balik lewat hingga ke malam. Ada urusan luar daerah yang perlu diselesaikan. Pada masa yang sama, jika berkesempatan Encik Suami akan singgah membeli oleh-oleh berupa ikan dan sayur-sayuran. Pada petang Isnin, dua hari yang lalu ketika Encik Suami pulang, Amie sedang menidurkan Firdaus. Sempat Encik Suami menjenguk ke bilik dan bersuara perlahan : Ada kahanga dengan ikan belanak. Masuk peti sejuk ya?
Petang ini Amie masak kahanga.
Apa itu kahanga?
Kahanga sejenis siput laut.
Cengkerangnya agak keras dan mempunyai jari- jemari yang runcing seakan-akan duri besar. Amie tak dapat nak tunjukkan rupa kahanga sebab kahanga yang Amie masak ini sudah dibuang kulit cengkerangnya. Maknanya, Encik Suami beli isi kahanga. Kahangan boleh dinikmati mengikut olahan citarasa masing-masing. Ada yang suka bakar, dan makan dengan pencecah tertentu. Ada yang suka masak kicap, goreng bercili dan sebagainya. Amie cuba 'komersial'kan haiwan laut ini sebagai Siput Kahanga Masak Lemak Tempoyak. Kebetulan ketika Amie telefon Encik Suami, katanya dalam perjalanan pulang. Eloklah, boleh makan tengahari merangkap makan malam bersama-sama.

Amie bubuh lebih sedikit cili padi, dan memang pedas tapi teramatlah sodapnya! Apalagi bila ditambah tempoyak! Encik Suami dan Fairuz pun menambah-nambah nasi dalam pinggan masing-masing. Jom lihat resipinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
400 gram isi kahanga - potong ikut saiz yang digemari - cuci bersih - toskan
7 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 papan petai - ambil isinya
1 batang serai - diketuk
3 cawan santan
1 helai daun kunyit - siat dan simpul
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 sudu besar tempoyak
2 cm kunyit hidup
1/2 sudu kecil belacan
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
30 biji cili padi kampung

 Cara memasak:
1. Masukkan santan dan semua bahan kisar, serai, kahanga ke dalam periuk.
2. Masak di atas api sederhana. Kacau selalu.
3. Apabila kuah mula mendidih, dan kahanga mula mengecut, masukkan petai dan belimbing buluh. 
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Biarkan masak seketika lagi,  sambil dikacau.
5. Padamkan api dapur.

 Aduhai!

Selasa, 30 Oktober 2018

Rusa Masak Asam Pedas

Petang kelmarin, berkali-kali Firdaus dan Encik Suami panggil Fairuz untuk makan nasi, barangkali terlalu letih Fairuz lebih utamakan tidurnya. Rupanya Fairuz tidak sempat menjamah nasi, dan kelam-kabut pergi tuisyen di sebelah malamnya. Sekembalinya dari kelas tuisyen, Amie panaskan lauk RUSA MASAK LEMAK CILI PADI DENGAN BELIMBING BULUH. Memandangkan Firdaus asyik merengek minta temankan tidur, Amie pun tinggalkan Fairuz yang ditemani pula oleh Encik Suami di meja makan.
Pagi-pagi, sebelum berangkat ke sekolah Fairuz berpesan: Nanti Mommy masak lagi daging payau (rusa). Malam tadi tak puas makan.

Sekembalinya dari sekolah, Amie pun masakkan sekali lagi daging rusa untuk Fairuz. Kali ini Rusa Masak Asam Pedas pula.

Terima kasih sekali lagi buat Cikgu Jusnawati di atas pemberian bunga kantan kelmarin. Ada empat kuntum bunga kantan semuanya. Alhamdulillah, semua bahan untuk mengolah masakan asam pedas cukup lengkap. Daging rusa yang Amie rebus petang kelmarin pun masih berbaki di dalam peti sejuk. Jadi, tidaklah menunggu lama untuk menyiapkan masakan asam pedas ini.

Bahan-bahan:
500 gram daging rusa - potong ikut citarasa (Amie sudah rebus empuk sebelum memasaknya)

2 biji tomato - belah 2
4 tangkai pokok kesum

1 kuntum bunga kantan - belah 4
2 batang serai - dititik 
2 keping asam gelugur
3 cawan air 
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya 

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
2 cm kunyit
1 cm belacan 
1/2 sudu kecil lada hitam



 Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama serai hingga terbit minyak.
2. Masukkan daun kesum, bunga kantan serta  daging rusa dan gaul mesra dengan bahan tumisan.
3. Tambahkan air dan masukkan asam gelugur. Biarkan mendidih.
4. Setelah kuah agak pekat, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.

5. Akhir sekali masukkan tomato. Biarkan seketika.
6. Padamkan api dapur.

Pelengkap hidangan kami tengahari tadi: telur herba, dan ulam-ulaman termasuk petai, tomato ceri, mentimun dan bawang putih kukus.

 Lepas makan Amie tanya Fairuz.
- Sedap tak dik?
+Sedap.
-Mana lebih sedap? Lauk semalam (Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh) atau hari ini?
+Hari ini.
-Kenapa hari ini lebih sedap?
+Heheeeee....
 Alhamdulillah.
Sedap atau sebaliknya itu subjektif sifatnya.
Masing-masing ada citarasa yang tersendiri.
Apa pun jauh di sudut hati sentiasa bersyukur kerana anak-anak tidak cerewet, atau memilih makanan. Apa yang ada di depan itulah yang dimakan bersama.

Bunga kantan yang lebih ini.... nak masak apa pula ye?

Isnin, 29 Oktober 2018

Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh

Sesekali masak daging rusa memang mengujakan! Bukan hanya disebabkan kesukaran mendapatkan dagingnya, tetapi memikir untuk mengolahnya menjadi masakan juga turut diambil kira. Bukan apa, kadang-kadang terbeli daging yang agak liat, mungkin rusa tua dan adakalanya dapat rezeki daging muda! 

Untuk hidangan petang ini (makan tengahari merangkap makan malam), Amie olah daging rusa dengan cara memasak lemak cili padi. Alhamdulillah, sebaik sahaja Encik Suami sampai di rumah, Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh siap sedia untuk dihidangkan bersama nasi.

Daging rusa yang Amie masak ini Amie beli melalui seorang rakan sekerja. Katanya, hasil buruan dari hutan Kalabakan. Alhamdulillah, dapatlah Amie dan kawan-kawan beli. Amie beli 2 kilogram. Pada mulanya Amie ingin jadikan daging rusa ini sebagai serunding, tetapi memikirkan masa yang agak terhad dan tempoh menyiapkannya yang memakan masa, jadi Amie bahagi dua. Separuh Amie gunakan untuk dijadikan lauk, dan separuh lagi dibuat serunding.

Kesemua daging rusa yang Amie beli itu Amie rebus dengan api perlahan. Alhamdulillah, tidak sampai 45 minit daging rusa sudah lembut dan empuk! Kemudian Amie toskan dan ambil beberapa ketul untuk dimasak lemak cili padi campur dengan belimbing buluh.

Terima kasih Cikgu Jusna kerana sudi bahagi-bahagikan belimbing buluh, limau kasturi dan bunga kantan kepada rakan-rakan. Moga belimbing buluh semakin lebat berbuah, begitu juga dengan limau kasturi dan pokok bunga kantan yang ditanamnya.
Di sini Amie kongsikan resepi Rusa Masak Lemak Cili Padi dengan Belimbing Buluh yang sungguh enak! Bahan yang digunakan pun tidak banyak.

Bahan-bahan:
400 gram daging rusa yang sudah direbus - hiris ikut citarasa
2 cawan santan
7 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 batang serai - dititik
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi kampung
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama bahan tumbuk, serai dan hirisan daging rusa.
2. Jerang atau didihkan di atas api sederhana.
3. Apabila kuah mula mendidih masukkan belimbing buluh dan kacau selalu sehingga belimbing buluh berubah warna.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.

 Hidangkan panas!

Ahad, 28 Oktober 2018

Jalan-Jalan Cari Makan di Taman Aman

Gerai jualan yang kami kunjungi tidak jauh dari tempat kediaman kami. Kalau berjalan kaki pun, tak sempat keluar peluh. Maknanya dekat sangatlah. Setiap petang hinggalah ke malam, memang sentiasa penuh dengan pelanggan. Selain gerai menjual pelbagai jenis kuih, ikan bakar dan sayap ayam panggang, warung-warung yang tersusun di situ turut menawarkan hidangan segar dari laut. Paling nikmat apabila dapat menghirup air kelapa muda!

Barangkali menunggu agak lama sayap panggang madu masak, Amie pun tangkaplah gambar mana yang berkenan. 


Sayap ayam panggang (sebutan orang Malaya kepak), memang terkenal di negeri Sabah tidak kira di daerah mana pun. Dari Tawau, Lahad Datu, Sandakan hinggalah ke Kota Kinabalu, sayap ayam panggang ada di mana-mana. Kalau makan / beli sayap ayam panggang akan disertakan sekali dengan pencecahnya yang sangat sedap! Namun begitu, dari satu daerah dengan daerah yang lain, terdapat sedikit perbezaan pencecahnya. Pencecah sayap panggang paling sedap setakat ini Amie temui di Tawau! Pedasnya sederhana, masam, manis, masinnya secukup rasa selain likat (tidak cair), dan yang paling menggoda sudah tentu ada bau dan rasa perahan limau kasturi / limau nipis.


 Selain sayap ayam, mempedal dan hati pun ada!



Sayap ayam ini separuh masak. Kalau ada pelanggan yang ingin membeli, sayap ini akan dipanggang sekali lagi sehingga benar-benar masak. Sayap ayam panggang ini berharga RM1.70 seketul.

Ada lagi bahagian ayam yang turt dipanggang selain sayap, mempedal dan hati. Haaa... tongkeng ayam!

 Tongkeng ayam panggang.



Bagi peminat ikan segar, bolehlah beli ikan panggang dari gerai-gerai di sini.

Petang tadi ada ikan tongkol, ikan jebong, ikan pari, ikan merah, ikan kerapu, sotong, dan pelbagai lagi.

Ikan-ikan panggang ini boleh dimakan bersama putu dan juga tompek @ tinompek. Setiap petang memang kelihatan gerai penjual putu (makanan tradisi masyarakat Bajau) tidak menang tangan melayani pelanggan.

Putu dan tompek disusun untuk jualan bersama lauk-pauknya sekali seperti kilau dan rumpai laut.



Susunan kilau, gabungan isi ikan mentah, hirisan mangga, asam limau, garam dan cili padi.

 Sekian, sepetang di gerai Taman Aman.


Asam Rebus Ikan Pari

Asam Rebus Ikan Pari, salah sau menu menyihatkan. Ringkas dan mudah. Rasanya pun sungguh menyelerakan. Paparan resepi kali ini hanya menggunakan bahan yang ada di dapur sahaja.



Bahan-bahan:
800 gram ikan pari - potong ikut suka
4 biji tomato hijau - belah dua1 labu bawang besar - mayang kasar
7 biji cili padi
2 keping asam gelugur
2 batang serai - diketuk1 sudu kecil serbuk kunyit 
800 ml air
garam / perasa pilihan 

Bahan kisar:
4 biji cili merah
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah 
1/2  sudu kecil belacan 

Cara:
1. Didihkan air bersama bahan kisar dan serai.
2. Setelah mendidih masukkan asam keping, bawang besar, serbuk kunyit, ikan pari, cili padi dan tomato hijau.
3. Masak di antara 5 hingga 7 minit.
4. Setelah ikan pari masak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Hidangkan panas.

Cukuplah makan nasi dengan lauk Asam Rebus Ikan Pari saja.

Tak perlu cari lauk yang lain.
Bismillah.

Sabtu, 27 Oktober 2018

Nasi Gajus & Ayam Masak Jintan

Tengah rajin belek-belek folder, terjumpa lagi beberapa masakan yang tersimpan lama. Antaranya termasuklah resipi ciptaan sendiri, Nasi Gajus konon namanya. Memang sedaplah, sebab dapat penuhi citarasa sendiri. Asal resepinya guna bahan-bahan untuk buat nasi tomato, tapi tangan tu gatal tambahkan kacang gajus dan kacang badam kisar. Agaknya kesan kulit badam yang coklat itu, menjadikan warna nasi lebih gelap! Itu pasal, tak jadi nak kongsi....hiks! Akhirnya, sudah diberi nama Nasi Gajus, bolehlah jamu mata sama-sama di sini.

Kita temankan Nasi Gajus dengan Ayam Masak Jintan  dan Acar Timun yang sudah tentunya memapu mengundang selera!

Hahahaaa... memang sesuailah diberi nama Nasi Gajus! Tenggelam ciri-ciri nasi tomato..... ahaks! Jom lihat resepinya di bawah ini.

Bahan A:
4 cawan beras basmathi PUSAGOLD - cuci dan rendam selama 10 minit
4 sudu besar minyak sapi
5 sudu besar puri tomato
1 cawan  susu cair
2 sudu besar yogurt asli

Bahan B:
2 ulas bawang putih - hiris halus
2 ulas bawang merah -hiris halus
4cm halia - hiris halus
rempah penumis - bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga & bunga cengkih
1 helai daun pandai - siat dan simpul

Bahan C:
3 mangkuk air - ikut sukatan beras
2 sudu besar serbuk gajus + badam - (goreng kacang gajus + badam - kisar halus)
3 sudu besar Stok Ayam Pekat Maggi

Bahan D:
1 cawan kacang gajus goreng + kacang badam

Cara.
1. Panaskan minyak sapi. Tumis semua bahan B hingga harum dan layu.
2. Masukkan puri tomato, susu cair dan yogurt. 
3. Tambahkan Bahan C dan biarkan mendidih.
4. Masukkan beras. Kacau rata dan tutup periuk.
5. Setelah nasi masak, angkat dan taburkan kacang gajus sebelum dihidangkan bersama Ayam Masak Jintan dan Acar Timun.

Kita lihat pula resipi Ayam Masak Jintan di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam  seberat 1.5 kg – potong 12 bahagian
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk kari
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kerisik
7 tangkai daun pudina
3 cawan air
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
1 sudu kecil lada hitam

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih  
5 biji bawang merah
2 labu bawang besar
1 cm halia

Bahan penumis:
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
1 helai daun pandan – siat dan simpul
1 batang serai – diketuk
2 tangkai daun kari
2 sudu besar minyak masak
1 sudu besar minyak sapi


Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga kekuningan.  Kemudian masukkan bahan penumis, dan tumis hingga wangi.
2. Seterusnya masukkan bahan kisar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, dan serbuk kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Masak dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
3. Masukkan ayam, kicap pekat , kerisik dan air.
4. Masak sehingga ayam empuk dan kuah menjadi pekat.
5. Perasakan masakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Taburkan daun pudina. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Sedapnya Meratah Acar Berkacang!

Menikmati sajian tengahari tanpa masakan berkuah memang sedap! Nampaknya kali ini hidangan kami terdiri daripada lauk-pauk kering belaka, kecuali acar timun yang sedikit berkuah oleh kesan perapan jus limau nipis bersama gula.

Selain acar timun, Amie sediakan Sambal Belacan, Ikan Buna Goreng, dan Cendawan Tiram Goreng Salut Tepung. 

Acar Timun ini Amie olah mengikut selera Encik Suami. Suka benar Encik Suami meratah Acar Timun yang ditambah dengan telur rebus dan kacang tanah tumbuk. Memang acar beginilah yang menjadi kegemarannya sejak dahulu.  Amie kongsikan resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 biji timun - potong ikut citarasa
1/2 batang lobak - potong ikut citarasa
7 biji tomato ceri - potong ikut suka
1/2 cawan kacang tanah goreng - buang kulit dan tumbuk kasar
1 biji telur rebus - hiris nipis
5 biji bawang merah - hiris
3 biji cili hijau - hiris
2 biji limau nipis - peras jusnya
1 sudu besar cuka
3 sudu besar gula
1 sudu kecil garam

Cara:
1. Gaulkan kesemua bahan di atas.
2. Pastikan kuning telur hancur dan larut bersama gula dan jus limau nipis menjadi kuah acar.
2. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.

Ada seekor ikan buna, jadi Amie gorengkan ikan ini sebagai lauk tambahan.

Inilah rupa ikan buna. Di bahagian tepi-tepinya itu penuh berlemak! Sedap kalau masak singgang atau masak berkuah, tapi hari ini Amie nak goreng saja...hiks!

Ikan buna tak perlu goreng lama-lama sampai garing, cukuplah goreng sehingga masak supaya isinya yang lembut berlemak dapat dinikmati sepenuhnya.

Nampak tak serunding di belakang itu? Haaa... itulah lauk sampingan sedia ada, iaitu serunding ikan yang Amie buat dua minggu lepas. Masih elok dan sedap. Kita cerita sedikit tentang Sambal Belacan. Kesemua bahan untuk sambal belacan ini Amie goreng, dan kemudian Amie tumbuk kasar-kasar.

Bahan-bahan goreng:
20 gram belacan
2 biji tomato - hiris-hiris nipis
30 biji cili padi
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris

Bahan lain:
2 biji limau nipis - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Toskan kesemua bahan yang telah digoreng.
2. Kemudian tumbuk kasar.
3. Tambahkan jus limau nipis, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.

Nampaknya, bersusun lauk-pauk di dalam dulang menunggu untuk dijamah! Tapi, nanti dulu. Ada lagi resipi yang ingin Amie kongsikan, iaitu Cendawan Tiram Goreng Salut Tepung. Cendawan goreng ini sangat digemari anak-anak! Mereka suka ratah-ratah begitu saja dengan sos cili. Amie gunakan 500 gram cendawan tiram. Banyak hasilnya! Untuk resipi cendawan ini Amie gunakan 250 gram tepung kentang.

Bahan-bahan:
500 gram cendawan tiram
minyak

Bahan adunan:
250 gram tepung kentang (boleh gantikan dengan campuran tepung jagung dan tepung gandum)
1 biji telur
3 ulas bawang putih - tumbuk
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 sudu kecil serbuk rempah kari
1 sudu besar perencah Maggi Cukup Rasa
air secukupnya

Cara:
1. Campuran kesemua bahan adunan. 
2. Panaskan minyak.
3. Celup cendawan ke dalam adunan dan goreng hingga kuning keemasan.
4. Angkat dan toskan.

Jemput makan.
Bismillah.

Bila Anak-Anak Jauh di Mata

Syukur Alhamdulillah.
Dunia teknologi moden semakin memudahkan cara komunikasi.
Yang jauh menjadi dekat, harap yang dekat sentiasa dekat-dekat...hiks!
Diam tak diam sejak 2013 Farid hidup berdikari bermula sebagai pelajar matrikulasi di Labuan, sambung belajar di UKM untuk ijazah sarjana muda, dan terus ke UTP untuk sarjananya pula. Kemudian Fuad pula menuruti jejak Farid, bermula dari Kolej Matrikulasi Labuan, terus merantau ke UTHM, Johor.
Tinggallah kami ayah bondanya yang hanya mampu mengharapkan perlindungan dari-nya untuk anak-anak kami yang jauh.
Bersama kami, Fairuz yang dan menduduki SPM hujung tahun 2018 ini, dan Firdaus yang menjadi penawar rindu.


Farid hanya dapat mengikuti perkembangan Firdaus melalui maya. Maklumlah, umur Firdaus 2 bulan, Farid sudah melangkah keluar dari LD melanjutkan pelajaran sehinggalah sekarang.

Sang adik pula, memang memahami abang-abangnya tidak dapat selalu bersama. Rajinlah pula bercakap melalui telefon.

Dan melalui aplikasi Whatsaap pula, mudahlah kami untuk berhubung, mengikuti perkembangan semasa dan menghantar gambar untuk melepas rindu.

Kedua-dua abang Fairuz pun dapat ikuti perkembangan Fairuz di saat-saat akhir persediaan menduduki SPM. Fairuz suka study waktu malam bersama rakan-rakannya, tapi menjelang siang, asyik tidurlah pulak!

Biar pun Fuad di Johor sekadar hantar gambar balik kuliah, dan terus ke masjid untuk solat Jumaat, tapi sudah cukup memberi ketenangan kepada kami sebagai ibu bapa tentang gambaran keadaannya di sana.

Kemudian, Farid di Perak pula mencelah : Eh! Warna baju kita sama hari ini. Encik Suami pula menyahut : Ok laaa tu. Kan kamu berdua adik-beradik.

Nampaknya Fuad seronok belajar banyak perkara baru di UTHM. Katanya lagi, minggu depan ikut busking battle. Dia akan main gitar, tapi makin dekat hari yang dinanti, rasa gementar pula. Kalau hobi itu tidak mengganggu pelajaran, boleh saja teruskan dik.

Farid pula, katanya terpilih  mengikuti Olympiad Nanoteknologi Malaysia (ONM) 2018 daripada 200 penyertaan untuk ke peringkat kebangsaan. Seramai 30 peserta dari pelbagai universiti seluruh negara yang telah disaring ke peringkat akhir layak bertanding.



 Semua peserta menang, 10 emas, 10 perak dan 10 gangsa.

 Farid dapat medal emas, bersama rakannya. Kedua-dua mereka wakil UTP.

Menurut Farid, yang membezakan kategori pemenang ialah tempat 1, 2 dan 3.


Pembentangan projek kumpulan Farid:
Aplikasi Nanoteknologi untuk Pengangkutan Hijau.
Katanya, 5 hari bergabung otak bersama ahli kumpulan memerah idea untuk menghasilkan pembentangan.

Sepanjang tempoh pertandingan mereka tinggal di KRU Academy.
Farid kongsi beberapa keping gambar ketika berkesempatan melawat KRU Studio.

 Sempat tengok cara pengeditan drama Abang Masuk Dapur.

 Pejabat KRU.
Lucu rasanya bila Farid beritahu, tidak dipasang lampu dalam office. Mereka buat kerja dalam gelap, dan hanya cahaya dari skrin komputer sahaja yang menerangi bilik. Mungkin itu style orang multimedia buat kerja kot!

Wokey.
Sekian corat-coret untuk lepas rindu pada anak-anak yang jauh di mata.