ADSENSE

Khamis, 4 Mac 2021

Sambal Tomato Daun Kemangi

Seminggu yang lalu, bersamaan pada hari Khamis kami makan tengahari di kampung. Oleh kerana ipar duai dan anak-anak buah banyak yang berkahwin dengan pelbagai suku kaum, jadi meriahlah kalau tiba waktu memasak. Kami masak-masak di rumah anak buah dan isterinya yang berketurunan Bugis sediakan hidangan tengahari menu kampung. Istimewanya sebab Amie dapat melihat sendiri anak buah sediakan Sambal Tomato Daun Kemangi. 

Selain Sambal Tomato Daun Kemangi, anak buah gorengkan ikan tulai dan masak bening labu dengan bayam. Sayur beningnya pula ditambah daun kemangi, dan aromanya sangatlah menggoda selera! Amie bantu olah ayam masak kicap.

Sampai di rumah teringat-ingat keenakan Sambal Tomato Daun Kemangi! Sedap betul makan dengan nasi panas, lawankan dengan ikan goreng dan sayur bening beraroma  segar daun kemangi!

Sambal Tomato Daun Kemangi.

Gambar atas dan bawah : Makan tengahari lauk-pauk kampung, ikan goreng, sambal tomato daun kemangi, ayam masak kicap dan sayur bening labu dengan bayam.


Petang tadi, sempat masak menu yang sama di dapur sendiri!
Oleh kerana Abang Farid keluar makan bersama kawan-kawannya, jadi tak perlulah masak ayam. Amie hanya tambahkan telur dadar untuk raja telur, Firdaus.

Nasi panas berasap.

Anak ikan tongkol goreng.

Sayur being labu, bayam, kacang panjang dan daun kemangi.

Telur dadar.


Kami makan tengahari pada pukul 6 petang .... ahaks! Makan tengahari merangkap makan malam! Maklumlah, masak pun sudah lewat petang.
Jom kita lihat resipi Sambal Tomato Daun Kemangi di bawah ini. Amie gunakan tomato kampung.


Bahan-bahan:
  • 20 biji cili padi - potong 2
  • 7 biji tomato kampung - belah 2
  • 5 ulas bawang putih - belah 2
  • 7 biji bawang merah - belah 2
  • 5 tangkai kemangi - ambil daun dan pucuknya
  • 5 gram belacan
  • 3 sudu besar minyak
  • garam / gula / perasa pilihan
  • 1 sudu besar jus limau kasturi
Cara:
  1. Panaskan minyak. Goreng bawang putih, bawang merah dan cili padi hingga layu.
  2. Kemudian masukkan belacan. Goreng hingga terbit aroma belacan.
  3. Angkat bahan gorengan dan tumbuk kasar di dalam lesung.
  4. Seterusnya masukkan daun kemangi, dan tambahkan perasa seperti garam / gula / perasa pilihan.
  5. Tuangkan jus limau kasturi.
  6. Gaul sebati dan sedia untuk dihidangkan.

Akhirnya dapatlah makan nasi panas lauk ikan goreng dan sambal tomato daun kemangi sambil sesekali hirup kuah sayur bening! Kalau dah asal anak kampung, menu kampung juga yang dicari!

Bekal ke Sekolah : Bebola Nasi & Dada Ayam Potong Dadu Goreng Rangup

Sewaktu bertugas di dewan dan rondaan pada hari Selasa lalu, ketika waktu rehat terpandang seorang calon SPM sedang menikmati bekalan makanannya. Kita yang sudah hampir patah kaki sebab berdiri dan berjalan sepanjang waktu terus menghampirinya kerana tertarik dengan rupa bentuk makanannya. Sangkaan Amie, calon SPM tersebut  bawa bekal bebola ikan dengan ayam goreng. Bila  Amie perhatikan betul-betul, bebola ikan agak kasar sedikit berbanding bebola ikan yang biasa. Amie tanya: Kamu makan apa ni? Cantik!

Amie kata cantik, sebab bebola ikannya dihias dengan bijan.

Ini nasi, jawab calon SPM tersebut.

Mama saya suka makanan Korea., katanya lagi. Dan seterusnya tanpa dipinta calon SPM tersebut terangkan bagaimana bebola nasi yang Amie sangka bebola ikan itu dibuat.  Katanya, masak nasi lembik sedikit, tambahkan perasa, minyak bijan dan minyak zaitun. Kemudian bulat-bulatkan sementara nasi masih panas.

Amie rasa tentu Firdaus suka kalau Amie siapkan bekalannya ke sekolah sama seperti bekalan calon SPM itu. Amie perlu tambah mini lettuce dan sos cili sahaja dalam bekalannya nanti.

Bebola Nasi & Dada Ayam Potong Dadu Goreng Rangup


Amie  masak nasi seperti biasa, dan lebihkan sedikit air. Amie bubuh sedikit perasa dan masak nasi sehingga tanak. Kemudian Amie renjiskan sedikit minyak bijan serta minyak zaitun. Amie gaul nasi dan setelah sebati, Amie gunakan sudu penyukat dalam gambar di atas untuk membentuk bebola nasi. Seronok pulak sebab apabila gunakan sudu sukatan, proses membentuknya menjadi pantas! Bentuknya tidak bulat sepenuhnya, tetapi nampak bulat apabila disusun.... ahaks! Jika suka, boleh taburkan bijan. Amie taburkan bijan putih dan bijan hitam.

Bebola nasi.

Dada Ayam Potong Dadu Goreng Rangup.

Mini Lettuce.


Apabila Firdaus nampak Amie sediakan bekalannya di dapur, nampak sangat sukalah budak kecil itu! Katanya, nanti makan nasi sebiji dengan ayam sebiji juga. Sempat juga dia makan ayam goreng sebelum ke sekolah. Tak cukup ambil satu tangan, sebelah tangan lagi ambil ayam goreng, sementara tangan yang sebelah suap ke mulut! Sayaaaang.....! Makan perlahan-lahan, jangan gelojoh!


Bekalan Firdaus ke sekolah.


Jangan lupa bawa hand sanitizer & sapu tangan.


Baik-baik di sekolah dik
Belajar rajin-rajin ya sayang.
Dengar cakap cikgu.


Apabila sekolah sudah dibuka, rasa sepilah pula berada di rumah tanpa Firdaus!




بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ٍ

ِYa Allah Tuhan Seru Sekalian Alam.
Tiada henti mengucap syukur ke hadrat-Mu, atas segala nikmat dan barkah yang telah Engkau berikan kepada kami.
Ya Allah Ya Jaliilu,Tidak ada yang dapat menghalangi dari apa yang Engkau berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan yang Engkau halangi.
Ya Allah,
Engkaulah Yang Maha Sejahtera, kepada Engkaulah kami mengharap kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dalam keadaan sejahtera. Masukkanlah kami ke dalam syurga sebagai tempat kesejahteraan yang telah Engkau berkati.

Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami, dosa-dosa isteri-isteri kami,dosa-dosa anak-anak kami, dosa- dosa adik beradik kami, dosa-dosa sahabat-sahabat kami, dosa-dosa guru- guru kami, dosa-dosa kaum muslimin dan
muslimat sekalian kerana engkaulah yang maha pengampun lagi maha pemurah.

Ya Allah Ya Tuhan kami,  Engkau berikanlah kesihatan yang baik kepada kami, rezeki yang banyak kepada kami, tetapkan iman kami dan matikanlah kami dalam HUSNUL KHATIMAH dan jangan ENGKAU matikan kami dalam SUU'UL KHATIMAH...

Ya Allah Ya Tuhan kami kurniakanlah kami, isteri kami, anak-anak kami, adik-beradik kami dan sahabat-sahabat kami hati yang penuh dengan iman ya Allah... sihatkanlah tubuh badan kami ya Allah, pertautkan kasih sayang kami kerana Mu ya allah..

Ya Allah Ya Tuhan kami, tambahkanlah bagi kami rezeki yang banyak lagi halal, iman yang kuat tanpa goyah, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik , kecerdasan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar dalam kehidupan kami kerana Engkaulah tempat kami meminta segala permintaan.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

Jalan-Jalan Cari Sarapan

Hari ini BDR. Bolehlah bangun lewat sikit. Tapi.... tapi.... tapiiiiii! Tak boleh dijadikan kebiasaan. Kalau bangun lewat selalunya banyak kerja jadi lambat siap, dan kurang sempurna hasilnya. Jadinya, seawal pagi lagi, ikut Encik Suami hantar Fairuz ke sekolah. Kemudian kami teruskan perjalanan ke pasar. Beli sayur, beli ikan dan kemudian jalan-jalan cari sarapan di Auliah Restaurant. 

Suka sarapan di restoran ini, sebab ada ubi rebus cecah kelapa parut! Haaaa..... di restoran mamak pun ada ubi rebus ko! Sayangnya pagi ini, ubi rebus tidak ada pula. Jadi, cari sarapan lainlah pulak. Amie nak sarapan tosei dengan teh panas sahaja.

Tosei di sini nampak comel pula. Selalunya kalau makan atau beli di Rumpun Selera, tosei kosong begitu saja dengan pencecahnya, tetapi di sini lempeng tosei ada daun kari dan lobak merah. Mungkin ada bahan lain juga di dalamnya. Bukan dalam gulungan tosei ye, tapi dalam adunan lempeng tosei tu.

Tosei and the gang.

Chutney kelapa.


Sedap chutney kelapanya. Tanpa chutney kelapa, siapalah tosei ....... ahaks!
Amie makan dua gulungan tosei. Alhamdulillah. kenyang.


Jadi, pagi ini berdua bersarapan dengan Encik Suami. Encik Suami makan roti telur dengan lemon panas. Ketika kami tinggalkan restoran ini, jam baru menunjukkan pukul 7 lebih. 


Masuk kereta, sambung baca Ustazah Basikal Siri 2. Kalau tak pandai curi masa memang tak tahu bilalah akan habis baca travelog ini. Amie teruskan bacaan sebaik sahaja keluar dari rumah ketika hantar Fairuz ke sekolah. Berhenti baca sewaktu Fairuz bersalaman sebelum keluar dari kereta. Sewaktu Encik Suami memandu ke pasar, sambung baca lagi. Tutup buku sewaktu kami turun ke pasar, dan sambung baca ketika menuju ke restoran. dan seterusnya..... baca dan terus baca sehinggalah sampai di depan rumah.

Encik Suami sempat belikan sarapan pagi untuk anak-anak di rumah. Nasi kuning untuk Abang Farid dan Fuad, mee hoon goreng untuk Firdaus. Kami beli juga sedikit kuih. Setelah hantar Amie di rumah dan letakkan sarapan di dapur, Encik Suami terus keluar bekerja

Nasi kuning & mee hoon goreng.

Pulut panggang, sanggar janda & kocong.

Sanggar Janda

Kuih kocong versi daun pisang.

Pulut panggang @ gogos.

Wokey!
Selamat pagi dan selamat menjalankan rutin harian.
Jangan lupa, niat bekerja sebagai satu ibadah kepada-Nya. In shaa Allah semuanya akan baik-baik saja pada hari ini.

Rabu, 3 Mac 2021

Jalan-Jalan Cari Makan Tengahari

Akhir-akhir ini cuaca sangat panas.
Balik rumah, rasa letih dan tak larat nak masuk dapur.
Mujurlah Abang Farid dan Fuad pandai urus diri, sama ada order makanan atau masak sendiri di dapur. Fairuz pula setiap hari balik lewat petang kerana ada kelas tambahan. Encik Suami pula, tak banyak cakap terus bawa Amie cari makan tengahari di mana-mana cafe atau restoran. Hari Isnin lepas, Encik Suami ajak makan di The Real Cafe. Bila nampak ada cendol, Amie terus minta satu. Sedap sangat sebab gunakan santan segar. Bekasnya pun taklah besar. Harganya pula RM7.90 sen. Macam mahal pula. Tapi Encik Suami tak kata apa. Orang belanja, Alhamdulillah.
 
Cendol

Ini Amie punya oderan, hot chicken with cheese. Sepatutnya ada kentang goreng tapi ditukar dengan whipped potato pula. Ketika Amie makan, Encik Suami kata nak bawa Abang Farid makan di sini sebab Abang Farid makanan yang Amie makan tu.


Ini pesanan Encik Suami, nasi ayam dengan ayam goreng real cafe.

Mango Sago


Hari ini Encik Suami ajak makan di Seri Perdana pula. Oleh kerana kebanyakan restoran penuh dengan pelanggan, encik Suami ajak makan di Mama Win Cafe. Banyak kali juga Encik Suami ajak makan di sini tapi Amie setuju. Perut memang sudah bergendang, nak pusing-pusing cari tempat makan lain rasa tak larat pula ditambah dengan cuaca panas.

Di Mama Win Cafe ini Amie pesan Mango Sago dan Encik Suami minta  Watermelon Sago.

Watermelon Sago


Hidangan yang dipesan Encik Suami sudah sampai ke meja : Nasi Goreng Ayam Penyet. Kata Encik Suami, Fairuz suka betul makanan ini. Itulah, kalau makan tanpa anak-anak bersama teringat-ingat pula! 


Amie minta Nasi Ikan Bolu @ Ikan Susu Sambal. Datanglah seekor ikan bolu goreng tambah sambal di atasnya. Amie sangka datang dengan sayur seperti timun dan ulaman lain. Kata pelayan cafe, kalau Amie minta Nasi ikan Bolu Penyet barulah ada sayur iringan. Oooo... begitu rupanya.

Ikan Bolu Goreng Sambal

Set hidangan sampai di meja disertakan sekali dengan semangkuk kecil sup kosong. Memang kebiasaannya, kalau makan di Sabah ada semangkuk kecil sup kosong!

Hari Kenangan Buat Fairuz

In shaa Allah Fairuz akan menduduki peperiksaan STPM yang dijadualkan pada April 2021, setelah lama tertangguh akibat wabak Covid-19.


Mudah-mudahan Fairuz dapat menjawab semua soalan dengan tenang dan memperoleh keputusan seperti yang diharapkan. Aamiin. Tak sangka pula kena menduduki peperiksaan STPM ketika usia akan mencecah angka 20 tahun! Gambar bawah, ketka Fairuz umur 6 tahun di sekolah tadika.


Ketika ini Fairuz bersekolah di Tadika Yuk Choi. Kemudian sambung belajar dari tahun 1 hingga tahun 6 di SJK(C) Yuk Choi. Seterusnya naik ke Tingkatan 1 hingga 5 di SM St. Dominic, dan sambung ke Tingkatan 6 di SMK Agaseh.

Selasa, 2 Mac 2021

2 Mac 2021 : Mencuri @ Mencari Waktu

Jumpa lagi. Baru ada kesempatan jenguk dapur maya. Kalau ikutkan hati memang akan berpanjanganlah tak tulis entri. Namun, menyedari akan berterusan dari sehari membawa ke dua hari, dan seterusnya menjadi malas untuk menulis, usahakan jugalah buat entri sebelum tidur. Curi-curi masa, atau cari masa? 

Hari ini bertugas di tempat kerja. Sebelum keluar rumah, pesan dengan Abang Farid supaya masak nasi dan gorengkan ayam untuk bekal Firdaus ke sekolah. Balik rumah, ada nasi dalam periuk tapi Abang Farid hanya gorengkan ayam untuk bekal Firdaus sahaja. Fairuz yang baru pulang dari sekolah sudah kelaparan!

Cuaca sangat panas.  Amie suruh Fairuz sediakan air buah sementara Amie capai bahan yang ada di depan mata untuk lauk makan nasi. Apabila Fairuz hulurkan satu gelas air buah ketika Amie sedang goreng telur dadar, nikmatnya hanya kita saja yang tahu betapa nyamannya air buah melepasi anak tekak di kala panas terik begini! Alhamdulillah. 

Air buah hasil air tangan Fairuz.


Amie bersilat di dapur seorang diri, mengalahkan lipas kudung.... ahaks! Terhidanglah lauk sardin, telur dadar, dan sayur sup bening kobis campur lobak dan kacang buncis. Tuangkan dalam mangkuk kecil sambal garing ikan bilis untuk lengkapkan rasa pedas dalam hidangan. Alhamdulillah! Memang sardin dan telur sentiasa menjadi penyelamat keadaan. Dapatlah kami sekeluarga makan tengahari yang lewat sebab hampir waktu Asar.


Menjelang petang, Abang Farid beli sate. Tidak lama kemudian Firdaus pulang dari sekolah dan kami makan sate bersama-sama. Fairuz dan Fuad tidak mahu makan kerana mereka berdua sediakan 'perut' untuk makan malam di rumah kakak ipar. Encik Suami pesan, bersiap untuk keluar sebelum pukul 7:30 malam sebab ada majlis hari jadi anak buah.
Firdaus banyak makan sate. Katanya, dia tak boleh makan ayam yang Abang Farid gorengkan. Amie pesan dengan Abang Farid supaya potong kecil-kecil, tetapi Abang Farid potong besar, siap ada tulang lagi.


Seperti biasa, banyaklah celoteh Firdaus sebaik sahaja masuk ke dapur. Selepas solat Maghrib dan bersiap untuk keluar, sambil tunggu Amie bersiap sempat lagi pasang telinga dengar Firdaus bercerita. Sepanjang perjalanan menuju ke rumah kakak ipar, Firdaus sambung ceritanya sampailah kami tiba di depan pintu pagar rumah kakak ipar.

Wajahnya nampak layu disebabkan keletihan pulang dari sekolah.


Hasrat untuk meneruskan pembacaan Ustazah Basikal Siri 2 malam ini terpaksa ditunda. Kena penuhi undangan ke majlis sambutan ulang tahun anak buah. Teringat-ingat ayat yang diulang-ulang oleh penulis Ustazah Basikal: Rezeki jangan ditolak. Orang ajak makan, kita terima dengan ikhlas. Rezeki itu Allah yang bagi. Kalau kita tolak rezeki, nanti Allah jauhkan rezeki dari kita. Undangan ini satu rezeki, kerana dapat makan dan dapat eratkan silaturrahim. Alhamdulillah. Dapat belajar serba sedikit dari penulis Kembara Mencari Hikmah ini.

Petang tadi selepas solat Asar, sempat baca sedikit tetapi kemudian terlelap seketika! Maklumlah dari pukul 4 pagi belum berehat langsung!

Selamat ulang tahun ke 37 buat anak buah, Abang Aznan. Moga sihat selalu dan gembira bersama keluarga tersayang.


Hidangan yang disediakan seolah-olah dalam suasana hari raya. Apa tidaknya. Ada lemang, ada daging masak sambal kacang, ayam masak merah, ayam goreng dan acar timun & nanas.








Sedap sungguh nasi minyak ini. Pandai Rini, anak buah  masak.

Menyegarkan sungguh minuman ala-ala mojito ini!


Alhamdulillah. Pukul 9:30 malam kami sampai di rumah.
Dapatlah tulis entri untuk hari ini sebelum tidur dan sebelum tarikh & hari bertukar.
In shaa Allah. Jumpa lagi.