ADSENSE

Ahad, 31 Mei 2020

Cerita di Pagi Hari Minggu

Tak ada cerita menarik sangat pada hari ini.
Pukul 9 pagi, terdengar suara Encik Suami bising-bising di luar rumah, diikuti suara Firdaus dan tawa Fairuz. Rupanya ada arnab masuk kawasan rumah kami, bermain-main di bawah pokok bunga.

Kata Encik Suami, arnab ini sama seperti arnab yang pernah datang ke rumah kami pada 3 Mei 2020 lalu.

Encik Suami kurung arnab tadi di dalam bakul supaya tak lari sebelum dikembalikan kepada tuannya. Kalau dibiarkan takut kena langgar kenderaan di jalan.

 Inilah rupa arnab yang comel, yang sudah dua kali berkunjung ziarah ke rumah kami.

Pada 3 Mei 2020 yang lalu, arnab ini masuk ke taman yang sedang Encik Suami kerjakan. Oleh kerana hari sudah menjelang petang, dan tidak tahu siapa tuannya jadi Encik Suami kurung arnab ini di dalam bakul. Firdaus bagi makan lobak merah dan minum air. Malam itu Amie viralkan di FB, tapi tidak ada respon dari tuan punya arnab.

Keesokan paginya, Encik Suami bersama Fairuz bertanya dari rumah ke rumah di taman perumahan kami. Akhirnya terjumpalah tuan punya arnab, rumahnya selang 5 buah dari rumah kami. Maka arnab ini pun kembali ke tangan tuannya dengan selamat. Namun, pagi tadi datang semula ke rumah kami, Encik Suami dan Fairuz kembalikan semula kepada tuannya. 
Pagi ini juga Amie bersama Encik Suami keluar ke bandar,  dan ke pasar mencari barangan dapur. Tak tersedar, kami sampai di rumah pada pukul 12:30 tengahari. Sebelum keluar, memang tak buat sarapan. Sampai rumah, Fairuz kata semua dah sarapan mee segera! Hurrmmm... kita belikan sarapan untuk anak-anak juga. Walaupun lewat sampai, bolehlah buat alas perut waktu tengahari

 Ada kaya ball kegemaran anak-anak.

 Ada curry puff dan tuna puff.

 Ada blueberry cheese tart, salted egg cheese tart dan egg tart.

Ada egg burn roll juga.
Anak-anak kata tak payahlah makan nasi tengahari ini. Kenyang dah makan benda-benda ni semua.
Alhamdulillah.
Kita pun nak berehat.

Hinava Udang

Mata tak boleh lelap pula malam ini.
Agaknya terlalu banyak berehat, tenaga pun tak banyak digunakan. Biasanya kalau badan letih, letak kepala di bantal, terus terbang ke kayangan.... ahaks!
Baiklah siapkan satu paparan resipi masakan. 
Amie kongsikan resipi tradisi masyarakat Kadazan Dusun iaitu Hinava Udang. Sebelum ini, Amie pernah kongsikan resepi tersebut di sini: Hinava Udang.

Hinava Udang
Cara penyediaannya sangat ringkas dan mudah. Tak perlu memasak atas dapur, hanya hiris-hiris sahaja bahan yang digunakan. Kalau tak mahu gunakan udang, boleh gunakan isi ikan segar seperti ikan tenggiri.

Hinava Udang
 Jom kita lihat bahan-bahannya. 
Udang yang digunakan hendaklah udang segar. Amie gunakan udang kertas saiz besar. Senang nak bersihkan sebab belum masuk ais. Untuk buang urat hitam di belakangnya pun mudah sangat. Hanya cabut kepala udang, dan tarik urat hitam tersebut. Tak perlu belah lagi.

Hinava Udang
 Bahan-bahan:
15 ekor udang kertas saiz besar - bersihkan - buang kepala dan kulit serta urat hitam di belakangnya - cincang / hiris kecil
1/2 cawan perahan jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
200 gram peria - buang biji - hiris - ramas dengan 1 sudu kecil garam sehingga keluar air peria - cuci - perah lagi sekali2 cm halia muda
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
9 biji cili padi

Hinava Udang
 15 ekor udang kertas yang sudah dibersihkan.

Hinava Udang
 Udang kertas sudah dicincang / hiris.

Hinava Udang
 Taburkan satu sudu kecil garam halus di atas hirisan peria. Ramas-ramas sehingga keluar air peria. Kemudian cuci, dan perah airnya sekali lagi.

Hinava Udang
 Bahan untuk membuat Hinava Udang sudah lengkap tersedia. Nak tambah hirisan serai pun boleh. Kali ini Amie tak bubuh.

Hinava Udang
 Jus limau kasturi boleh digantikan dengan jus limau nipis. Penggunaan jus limau ini adalah untuk memproses udang supaya menjadi 'masak'.

Hinava Udang
 Hirisan halia muda ini boleh dikunyah sekali sewaktu menikmati Hinava Udang. Kalau nak lebh pedas, gunakan cili padi kampung.

Hinava Udang
 Cara:
1. Campurkan kesemua bahan ke dalam mangkuk.
2. Gaul rata.

Hinava Udang
 3. Biarkan selama 15 minit sebelum dihidangkan.

Hinava Udang
Hinava Udang sudah boleh dinikmati bersama nasi putih.

Hinava Udang
Sekian.
Catatan lewat malam!

Sabtu, 30 Mei 2020

Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat

Jumpa lagi.
Kali ini Amie kongsikan lauk hidangan makan tengahari (sebenarnya hidangan berbuka puasa), yang dibawa ke petang. Sebahagian isi rumah berpuasa, sebahagiannya lagi tidak. Mereka sepakat mahu makan bersama waktu berbuka puasa.

Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat
Oleh kerana Fuad memang suka makan ikan, jadi Amie pun masak menu ikan untuk hari ini. Amie masak Kengsom Ikan Siakap. Resepi kengsom ikan ada di sini : Resipi Sedap Keng Som Ikan Jenahak. Resipi yang Amie gunakan sebelum ini ikut versi Songkhla. Untuk hari ini Amie masak kengsom versi Narathiwat pula. Bahannya masih sama, cuma versi Narathiwat ditambah serai yang dikisar bersama bahan perencah yang lain.

Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat
Seronok betul Fuad bila turun ke dapur kerana dapat menghidu aroma pelbagai lauk kegemarannya. Maklumlah, Fuad perlu patuhi penjarakan sosial dengan ahli keluarga. Turun pun sekali-sekala sahaja. Selebihnya banyak masa berkurung dalam bilik.

Selain Kengsom Ikan Siakap, Amie masak Udang Butter Telur Masin dan Terung Masak Taucu Pedas. Telur dadar itu Fairuz yang goreng. Dari kelmarin Fuad asyik sebut udang telur masin, sotong telur masin.... menu itu memang digemari Farid dan Fuad. Katanya, dia tak jumpa udang atau sotong telur masin di kolej.... ahaks!

Jom kita masak Kengsom Siakap versi Narathiwat.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap seberat 900 gram - bersihkan dan potong 6 keping
15 batang kangkung - petik pucuk dan daun muda
7 tangkai daun kesum
600 gram nanas - kupas kulit - potong-potong ( bahagi 2- 300 gram untuk dikisar - 300 gram lagi untuk dimasak )
1 sudu besar gula Siam
1 sudu besar sos ikan
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1.2 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
15 biji cili padi merah
4 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris-hiris
2 biji cili merah
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm kunyit hidup
1 sudu besar belacan Siam
300 gram nanas

Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam kuali / periuk dan kacau perlahan-lahan sehingga bahan ini tersejat (mengering) dengan menggunakan api perlahan.
2. Masukkan air dan nanas. Masak sehingga air mendidih dan nanas menjadi layu.
3. Kemudian masukkan ikan siakap, sos ikan,  garam, gula Siam dan perasa pilihan. Kacau perlahan-lahan. Ikan siakap isinya lembut dan tidak perlu masak lama.
4. Seterusnya masukkan kangkung dan daun kesum.
5. Setelah kuah mendidih sekali lagi dan kangkung berubah warna, tuangkan jus limau nipis. Kacau dua tiga kali dan padamkan api dapur.

Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat
Kengsom Ikan Siakap Versi Narathiwat.

Udang Butter Telur Masin
 Udang Butter Telur Masin.

Terung Masak Taucu Pedas
 Terung Masak Taucu Pedas.

Telur Dadar.

Sepanjang tempoh PKP dan PKPB memang banyak masa melayan selera keluarga. Selepas tempoh PKP dan PKPB berlalu nanti, suasana turut berubah! Kembali kepada situasi seperti dahulu.

Coto Makassar Hidangan Istimewa untuk Keluarga di Hari Raya

Sewaktu belek-belek catatan lama, terpandang draf catatan yang belum diterbitkan. Rupanya cerita hari raya tahun 2019. Oleh kerana sudah lengkap dengan gambar, eloklah dijadikan paparan juga. Sebenarnya, waktu itu keluarga sebelah Encik Suami mengadakan jamuan hari raya di kampung. Masing-masing keluarga membawa hidangan untuk dinikmati bersama. Sudah tentulah sebahagian besar sanak saudara akan turut serta untuk memeriahkan majlis. Dalam perbincangan kumpulan WhatsAap keluarga, mereka mencadangkan Amie masak sekali lagi Coto Makassar. Sebenarnya beberapa hari sebelum itu mereka sudah berkunjung raya ke rumah kami dan salah satu hidangannya ialah Coto Makassar. Untuk tidak menghampakan permintaan, dan memikirkan ada lagi anak-anak buah yang belum menikmati Coto Makassar hasil air tangan Amie, jadi Amie pun bersetujulah untuk memasaknya. Satu permintaan dari kakak ipar, kalau boleh Amie buat coto gunakan ayam. Memandangkan ada selera yang berbeza, jadi Amie buat dua jenis, iaitu berasaskan ayam dan satu lagi berasaskan organ dalaman lembu.
Dua-duanya pun sedap!



Dua gambar di atas: Coto Makassar di rumah terbuka kami.

Coto Makassar yang dibawa ke kampung. Gambar atas : Bahan asas, lembu. Gambar bawah : Bahan asas, ayam.
Pertama kali buat coto gunakan ayam, memang sangat sedap! In shaa Allah, kalau Amie masak lagi dengan menggunakan ayam, Amie akan kongsi resipinya.

Resipi Coto Makassar sebelum ini, boleh klik di sini: Coto Makassar Hidangan Lazat di Aidil Fitri. Ketika Amie memasak hidangan ini, hanya ada dua bahan asas sahaja yang ada iaitu tulang lembu dan perut lembu.

Bahan-bahan:
3 kg perut lembu
2 kg tulang lembu
5 liter air
4 liter air basuhan beras yang ketiga
5 cm lengkuas - tambah 1/2 cawan air - kisar - tapis / perah - ambil airnya
5 batang serai - ketuk
8 cm halia - kisar
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Rebus perut lembu dan tulang menggunakan air biasa sehingga mendidih.
2. Buangkan air rebusan dan bilas bahan rebusan.
3. Masukkan bahan rebusan ke dalam periuk dan tambahkan air basuhan beras, air biasa, serai, halia, air lengkuas yang ditapis dan garam / perasa pilihan. 
4. Rebus dengan menggunakan api perlahan sehingga kesemua bahan empuk. Kalau gunakan api kuat nanti air rebusan akan cepat berkurangan. Jika ada pressure cooker, gunakanlah. 

Kalau tak suka perut, dan organ dalaman,  boleh gunakan daging sahaja. Penggunaan bahan tidak terhad, boleh gunakan daging urat, gantikan dengan daging ayam dan sebagainya. Bila bahan rebusan dah empuk, keluarkan dari periuk. Air rebusan tu jangan pulak dibuang! Biarkan terus mendidih dengan api perlahan. Nanti akan dimasukkan bahan perencah ke dalam air rebusan tadi. Bahan rebusan nanti bolehlah dihiris ikut saiz yang disukai.

Seterusnya kita sediakan bahan tumisan untuk kuah coto seperti di bawah.

Bahan kisar:
5 labu bawang besar
15 biji bawang merah
15 ulas bawang putih
4 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan putih 
5 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris -hiris
1 sudu besar lada putih
8 biji buah keras
3 sudu besar serbuk rempah sup


Bahan lain:
3/4 cawan  minyak 
1.5 kg kacang tanah tanpa kulit- goreng - kisar halus
hirisan daun sup / bawang
bawang goreng
(Penggunaan kacang tanah tanpa kulit akan menjadikan kuah coto berwarna cerah keputihan, manakala penggunaan kacang tanah berkulit akan menjadikan kuah coto lebih gelap keperangan). Kalau tidak ada kacang tanah tanpa kulit, goreng saja kacang tanah biasa, dan kemudian buang kulitnya sebelum dikisar halus. Tak buang kulit pun boleh, jadi hasil kuahnya akan berwarna lebih gelap.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk berisi air rebusan yang sedang mendidih.
3. Seterusnya masukkan kacang tanah goreng yang dikisar halus.
4. Terus didihkan dengan api perlahan selama 10 minit lagi, dan kemudian tambahkan bahan perasa lagi sekiranya perlu untuk menyempurnakan rasanya.
6. Taburkan segenggam bawang goreng dan segenggam daun sup/ daun bawang. Kacau sekali dua. Tutup periuk dan padamkan api dapur.

Jom kita lihat antara bahan yang diperlukan untuk menyediakan Coto Makassar yang lazat! Untuk tambah kelazatannya, jangan lupa sediakan daun bawang dan daun sup.


Kalau ada leek atau batang bawang jenis besar, bolehlah digunakan. Hiris tipis.


Sediakan juga limau kasturi atau limau nipis untuk menambah rasa masam dalam hidangan Coto Makassar. 

Bahan lain yang wajib digunakan dalam perencah kuah Coto Makassar termasuklah serai, halia dan lengkuas.


Coto Makassar bertambah enak jika dilengkapi dengan sambal. Macam-macam jenis sambal yang Amie jumpa kalau makan Coto Makassar di luar. Biasanya Amie hanya kisar cili padi, bawang putih dan tambahkan kicap lemak manis serta perahan jus limau sahaja.

Bahan untuk kuah,  boleh gunakan kacang tanah yang tak berkulit.

Gunakan kacang tanah yang berkulit pun tidak ada masalah.

Tulang lembu yang sudah siap dimasak. Leraikan isi dari tulang. Hiris kecil-kecil.

Begitu juga dengan perut lembu. Hiris kecil. Waktu itu Amie hanya ada perut lembu sahaja. Organ dalaman yang lain tidak ada.

Coto Makassar boleh dinikmati bersama suhun, mee hoon dan juga nasi himpit.

Namun begitu, untuk rasa yang lebih asli, Coto Makassar dinikmati bersama buras. Alhamdulillah. Walaupun Amie tak sediakan buras, tapi sampai di kampung ada hidangan buras. Jadi sesiapa yang ingin makan Coto Makassar dengan buras, boleh ambil saja.

Siap jugalah Coto Makassar sebelum tiba waktu Maghrib.

Amie susun bahan makanan di dalam bekas yang lebih kecil untuk jimatkan ruang meja hidangan di kampung nanti. Selebihnya Amie masukkan dalam bekas yang lebih besar. Kalau habis isinya, boleh tambahkan lagi. Bayangkan kalau sudah begitu ramai yang datang dengan membawa juadah masing-masing sudah tentulah akan sesak.

Masih teringat lagi betapa lembutnya hirisan perut lembu itu!

Daging lembu yang sudah dileraikan dari tulang.

Sambal kicap cili padi jangan dilupa!



Set Coto Makassar sudah siap!



Kuah Coto Makassar daripada rebusan tulang dan perut lembu.

Kuah Coto Makassar dari rebusan ayam.


Sempat juga sediakan minuman cocktail.




Selepas solat Maghrib, kami pun bergerak ke kampung.

 
Juadah yang dibawa oleh setiap ahli keluarga. Macam-macam ada.

Bila menyiapkan entri tertunggak selama setahun ini, tiba-tiba teringin nak makan Coto Makassar!
Alhamdulillah, malam itu dapat sediakan coto ayam dan coto lembu. Jadi yang tak makan lembu, bolehlah makan ayam.

Info:
Ada yang masih keliru dengan penggunaan perkataan  soto dan coto.
Dalam kamus Wikipedia, selain soto atau coto, ia juga dikenali dengan nama stroto! Dalam Kamus Dewan kita pula kata, soto ialah sejenis makanan seperti sup yang dicampur dengan daging ayam bersama nasi himpit (mi, taugeh dan lain-lain). Apa pun sebenarnya soto ni memang pelbagai! Soto dikaitkan dengan kuahnya yang kelihatan lebih jernih, manakala coto pula kuahnya lebih gelap.


Bergambar kenangan bersama sebahagian daripada ahli keluarga Encik Suami.
Setahun sudah berlalu!