ADSENSE

Khamis, 30 April 2020

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis

Jom buat  kuih onde-onde, lepas itu kita makan sama-sama.
Kamus Dewan kata, onde-onde ini sejenis makanan bentuk bulat-bulat kecil macam guli, diberi inti dan disalut dengan kelapa parut. Onde-onde juga dikenali sebagai buah melaka. Oleh kerana definisinya yang mengatakan sejenis makanan bentuk bulat, diberi inti dan disalut kelapa parut jadi banyaklah versi onde-onde di dapur kita! Ada onde-onde yang diperbuat semata-mata dengan menggunakan tepung pulut, ada yang dicampur dengan tepung gandum, tepung beras dan yang istimewanya untuk mengurangkan rasa liat tepung pulut ditambah pula dengan keledek dan juga labu! Sungguh kreatif betul orang kita dalam mengekalkan kuih tradisional ini. Bahan asasnya tetap digunakan, cuma ditokoh tambah dengan bahan lain untuk menepati citarasa masing-masing.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
Jadi, petang tadi usik sedikit buah labu manis yang sudah 'disembelih' dua hari yang lalu. Kita nak buat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
Sebaiknya, buah labu ini kita kukus sebab kalau kita rebus, ia akan berair pula. Lepas itu kita lenyek seperti gambar di bawah ini. Jomlah kita semak resipinya.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis

Bahan-bahan:
2 cawan isi labu manis yang dikukus dan dilecek
3 cawan tepung pulut
1/2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula pasir
gula melaka yang telah dikikis secukupnya
2 helai daun pandai - siat dan simpul
air secukupnya untuk merebus onde-onde
1 cawan kelapa parut gaul dengan 1/2 sudu kecil garam - kukus sebentar

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
 Kalau rajin bolehlah potong kecil gula melaka bentuk kiub.

Cara penyediaan:
1. Dalam sebuah bekas, masukkan labu manis, tepung pulut, garam dan gula. Uli sehingga menjadi doh dan tidak melekat di jari. Oleh kerana labu manis sudah sedia lembut dan agak berair, jadi tidak perlu tambah air dalam adunan ini.
2. Ambil sejemput adunan dan bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
3. Leperkan, dan kemudian letakkan 1/3 sudu kecil gula melaka di tengah-tengah dan seterusnya tutup dengan kemas bentuk bulat. Buat sampai habis.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
4. Jerang air di dalam periuk bersama daun pandan sehingga mendidih dan kemudian masukkan onde-onde ke dalam periuk.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
Rebuslah onde-onde dengan penuh kasih sayang. Api janganlah terlalu besar seperti yang Amie masak dalam gambar.... ahaks! Ini gaya orang masak macam nak kejar hantu jew ... hahahahaha! Dah rupa gempa bumi pula!

5. Apabila onde-onde tadi terapung di permukaan, menandakan ia sudah masak. Biarkan dahulu 2-3 minit dan kemudian angkat. Toskan di atas penapis berlubang.
6. Kemudian golek-golekkan di atas kelapa parut.

Resipi Mudah Membuat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis
Encik Suami panggil onde-onde ini dengan nama kuih klepon!

Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang

Bila cerita bab sup tulang, teringat suasana kenduri kahwin di kampung. Pengalaman masa lalu, zaman kanak-kanak dan remaja sentiasa menggamit memori. Seribu satu kenangan hidup sebagai anak kampung memang sangat mahal harganya, tidak mampu dibeli dengan segala harta yang ada. Hidup sebagai anak penoreh getah dengan jumlah adik-beradik yang ramai sudah tentu ada kesukaran yang sering dihadapi. Namun banyak kenangan manis yang kami lalui. 
Kembali cerita sup tulang.
Biasanya kalau nak menikmati sup tulang, kenalah rajin rewang kalau ada kenduri kahwin di kampung. Biasanya tuan rumah akan sediakan seekor atau dua ekor lembu untuk disembelih. Nak dapat lembu atau kambing memang agak mudah sebab rata-rata penduduk kampung kami selain menoreh getah, mereka juga memiliki binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing dan lembu. Seronoknya melihat suasana gotong-royong atau rewang! Kaum wanita di dapur bertugas menyediakan bahan untuk dimasak seperti menghiris bawang atau menumbuk dan menggiling rempah-rempahan, memotong sayur, daging dan sebagainya. Kaum lelaki pula menjadi tukang masak! Mengukus nasi dan memasak lauk-pauk! Biasanya mereka akan masak nasi minyak. Aduhai... semerbaknya aroma masakan yang mereka oleh. Ada acar mentah dan acar berempah! Ada rendang daging lembu, masak kicap lembu dan sebagainya.
Opppsss! Cerita kenduri pulak dah. 
Amie nak kongsikan cerita tentang keenakan hidangan sup tulang semasa kenduri di kampung. Menjelang tengahari, jiran tentangga dan orang kampung yang datang rewang akan dihidangkan makan nasi dan antara satu lauk yang dihidangkan ialah sup tulang. Bayangkan, waktu pagi lembu di sembelih, dilapah bersama, dan menjelang tengahari sudah tersedia satu kawah sup tulang! Sup tulang tidak dihidangkan kepada para tetamu, hanya untuk mereka yang datang rewang sahaja.
Cara orang kampung kami masak sup tulang ialah dengan cara menumis terlebih dahulu rempah-rempahan, dan kemudian masukkan tulang ke dalam tumisan. Kata Bonda, tujuannya ialah untuk mematikan atau membuang bau. Apabila daging pada tulang sudah kelihatan layu atau berubah warna, barulah ditambah air.
Nak cerita sup tulang resipi orang kampung kami pun sudah mengambil ruang dan masa yang panjang.... akas! Kita berhenti di sini dahulu, kita cerita Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang hasil air tangan Amie sebagai juadah berbuka puasa kelmarin petang.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Keluarga sebelah Encik Suami lebih suka rebus sahaja tulang tanpa menumisnya terlebih dahulu. Masakan Amie kali ini ikut cara keluarga Encik Suami. Oleh kerana Amie gunakan tulang kaki lembu, tidaklah banyak daging yang melekat di situ, jadi Amie tambahkan sedikit daging cincang.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Bahan-bahan:
800 gram tulang kaki lembu
400 gram daging cincang
2 batang serai - diketuk
1 labu bawang besar - belah 2 - potong 4
3 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 sudu besar lada putih - tumbuk
hirisan daun sup dan daun bawang
bawang goreng
3 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

Cara memasak:
1. Dalam periuk, masukkan air, tulang kaki lembu, daging cincang. serai, bawang besar, bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan bahan kisar.
2. Masak dengan api besar sehingga mendidih, dan kemudian perlahankan api. 
3. Renih sehingga daging tulang kaki dan daging cincang empuk.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan lada putih.
5. Taburkan hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
6. Tutup api dapur.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Jom kita sediakan bahan pelengkap untuk Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
 Celur mee hoon hingga lembut. Kalau nak gunakan mee kuning pun boleh juga.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Daging cincang yang direbus bersama tulang tadi, keluarkan dari periuk dan hiris-hiris. 

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Seperti biasa, sediakan juga daun bawang dan daun sup, bawang goreng, limau kasturi dan sambal kicap.

Resipi Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang
Mee Hoon Sup Tulang dengan Daging Cincang ini sebenarnya permintaan Fairuz. Bujang kami ini setiap malam masak untuk bersahur. Biasanya pukul 3:30 pagi, siaplah dia masak nasi, sayur dan sejenis lauk. Waktu imsak di LD pada pukul 4:25 pagi. Syukur Alhamdulillah, walaupun tidak ada anak perempuan, anak lelaki pun boleh membantu di dapur. Sebenarnya dari malam puasa pertama lagi Fairuz tawarkan diri untuk masak sahur, tapi Amie tidak benarkan sebab Amie ingin masak sendiri hidangan bersahur. Malam kedua dan seterusnya memang dialah yang ambil alih tugas memasak di dapur untuk sahur. 

Rabu, 29 April 2020

Pizza Homemade Tanpa Uli Tepung!

Apa khabar semua?
Mungkin sedang berehat bersama keluarga, atau mungkin juga sedang berterawih berjemaah. Moga sihat-sihat saja. Entri kali ini tidak ada resipi yang istimewa cuma ingin sembang-sembang tentang gelagat anak kecil di bulan puasa. Maklumlah, Firdaus baru belajar berpuasa dan sudah tentulah banyak tingkahnya yang mencuit hati. Petang tadi agak lewat sedikit masuk ke dapur, dan sedang menyediakan sup tulang untuk juadah berbuka puasa. Muncul Firdaus, menagih janji untuk makan pizza! Alamak! Janji tidak ditepati rupanya. Jadi, untuk tidak menghampakannya Amie pun usahakan juga walaupun pizza siap di saat-saat akhir untuk berbuka puasa.

Pizza Homemade
Inilah rupa pizza homemade tanpa uli tepung! Firdaus ini selalu memberi syarat kalau ingin makan sesuatu. Dia suka makan roti pizza yang nipis. Dipesannya lagi, jangan bubuh cheese banyak-banyak. Encik Suami agak keberatan kalau anak-anak ingin makan di Pizza Hut. Selera orang lama, tak sama dengan selera anak-anak zaman moden. Kadang-kadang kasihan juga melihat Encik Suami seakan-akan terpaksa sahaja ikut kemahuan anak-anak untuk makan pizza. 

Pernah sekali kami makan di D'Place Kota Kinabalu, dan Firdaus sudah tentu memesan pizza bila ternampak menu ini. Kali kedua kami berkunjung ke sini pada tahun berikutnya, pizza begini juga yang Firdaus minta, Pizza Serunding Ayam. Biasanya dia akan makan 2 keping atau paling banyak tiga keping pizza tetapi di sini Firdaus boleh memakan banyak keping!

 Rupanya Firdaus menggemari pizza yang nipis begini! Memang sedap. Amie pun suka.


Pepperoni Pizza pun menjadi pilihannya juga. Dia boleh habiskan semua kepingan Pepperoni Pizza ini seorang diri!

Pizza Homemade
Ada beberapa kali juga Amie buatkan pizza untuknya sepanjang PKP tapi Amie tidak jadikan entri. Pizza yang Amie buatk pun ikut kepala sendiri, tidak ada resipi tertentu yang Amie gunakan. Amie lebih suka gunakan sos tomato yang Amie buat sendiri. Kenalah bersabar nak menyediakannya sebab kena masak lama supaya lebih sedap!

Pizza Homemade

Pizza Homemade

Gunakan tomato yang manis untuk buat sos.

Tapi kalau tak berapa sabar nak tunggu sos menjadi hancur, eloklah beli sos dalam botol. Senang kerja. Kalau buat sendiri, kena rebus tomato sekejap, buang kulit dan biji.

Okey, kita cerita pizza yang Amie buat petang tadi. Untuk memenuhi permintaan Firdaus, tak susah sebenarnya. Tak perlu uli tepung nak buat doh. Gunakan roti pun boleh. Kalau ada simpanan roti paratha atau tortilla pun boleh gunakan juga. Di bawah ini, Amie gunakan tepung cucur bawang jenama ADABI. Amie gunakan separuh sahaja, tambahkan sedikit minyak dan sedikit air serta hirisan daun bawang. Gaul sekejap, dah siap jadi doh. Kemudian gelek-gelek sikit. Dah jadi roti pizza homemade... ahaks!
Nak bakar dalam oven boleh, nak bakar di dalam kuali atau pemanggang ajaib pun boleh. Okey kita masukkan ke dalam kuali. Kalau bahagian bawahnya sudah agak garing, bolehlah terbalikkan.

Pizza Homemade
 Kemudian sapukan sos tomato di atasnya.

Pizza Homemade
Taburkan parutan cheese. Amie hanya ada cheddar cheese. Itu sajalah yang Amie gunakan.

Pizza Homemade
Lepas itu letakkan apa yang disukai. Amie bubuh hirisan cendawan dalam tin dan juga hirisan nanas dalam tin. Kemudian tambahkan hirisan sosej.

Pizza Homemade
 Jangan lupa taburkan sekali lagi parutan cheese di atasnya.

Pizza Homemade
Letakkan kembali kuali di atas api dapur. Tutup kuali dan gunakan api paling perlahan. Biarkan sampai masak, dan cheese menjadi cair.

Pizza Homemade
 Pizza Homemade Tanpa Uli Tepung dah siap!

Pizza Homemade
 Seronok betul Firdaus dapat berbuka dengan pizza!

Pizza Homemade
Sebaik kedengaran azan menandakan tibanya waktu berbuka, cepat-cepat dia mengangkat tangan membaca doa untuk berbuka puasa.


Pizza Homemade
Selepas solat Maghrib, sementara menunggu waktu Isya' dan solat terawih, dia duduk sebentar di atas meja tulis dan mengira semula duit yang dikumpulkan setiap kali selepas berbuka puasa. Setiap hari, dia minta Amie dan Encik Suami  sebanyak RM1 setiap seorang. Kemudian dia pun mengira sendiri setiap hari seperti belajar matematik di dalam buku.
Terima kasih sudi baca coretan tentang pizza dan gelagat si kecil kami, Firdaus.



Selasa, 28 April 2020

Popia Sira Sambal Manis Pedas

Assalamualaikum.
Jumpa lagi dalam entri masak-masak.
Malam ini Amie kongsikan juadah berbuka puasa kami pertang tadi iaitu Popia Sira Sambal manis Pedas.

Resipi Popia Sira Sambal Manis Pedas



Resipi Popia Sira Sambal Manis Pedas

Resipi Popia Sira Sambal Manis Pedas

Bahan-bahan:
kulit popia saiz sederhana - kali ini Amie dapat 36 gulung popia dengan menggunakan inti yang ada
sebiji telur - pukul ringan
minyak

Bahan inti:
1 cawan isi ayam - cincang
2 cawan mixed vegetable
1 cawan hirisan cendawan shiitake - terlebih dahulu rendam cendawan shiitake kering hingga lembut dan toskan airnya
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar perencah cukup rasa
3 sudu besar minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan ayam dan cendawan shiitake. Gaul rata dan biarkan daging ayam hingga masak.
3. Masukkan mixed vegetable.
4. Perasakan dengan sos tiram dan perencah cukup rasa.
5. Angkat bahan tumis dan masukkan ke dalam mangkuk penapis.
6. Biarkan seketika supaya kuahnya kering.
7. Letakkan inti secukupnya di atas kulit popia. Lipat dan gulung. Lekatkan dengan putih telur di bahagian hujungnya.
8. Goreng hingga berwarna keemasan.
9. Angkat dan toskan minyaknya.

Popia Sira Sambal Manis Pedas
Popia yang sudah siap digoreng ini kita biarkan sehingga sejuk. Sementara itu kita sediakan sambal manis pedas pekat untuk menyiranya.

 Popia Sira Sambal Manis Pedas
Bila semuanya sudah siap, hanya tinggal beberapa minit sahaja untuk berbuka puasa. Jadi Amie tangkap gambar mana yang dapat saja. Maklumlah sambil menyiapkan popia sambil masak lauk pula.

Popia Sira Sambal Manis Pedas
Jom kita masak sambal manis pedas pula.

Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah

Bahan lain:
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar sos cili Thai
1/2 cawan gula pasir
3 sudu besar minyak

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api sederhana.
2. Masukkan sos tiram, sos cili Thai, dan gula pasir.
3. Masak sehingga sambal menjadi agak pekat. Jika suka boleh masukkan bijan yang sudah disangai ke dalam sambal.
4. Padamkan api dapur.
5. Biarkan sambal sejuk sedikit.

 Popia Sira Sambal Manis Pedas
 Bijan yang sudah disangai.

Popia Sira Sambal Manis Pedas
 Boleh masukkan popia yang sudah digoreng ke dalam kuali dan sira dengan sambal manis pedas. 

Popia Sira Sambal Manis Pedas
Taburkan bijan di atasnya.

Popia Sira Sambal Manis Pedas
Selepas berbuka puasa, ada sedikit lebihan sambal manis pedas tadi. Nampaknya sambal sudah sejuk, dan beginilah rupanya, lebih pekat dan sesungguhnya tersangatlah sedap... ahaks! Maaf, mangkuk comot dengan percikan sambal! Dalam sambal tu ada sedikit bijan, sebab sebelum masak sambal Amie sangai dahulu bijan. Mungkin ada tertinggal sedikit bijan di dalam kuali.

Resipi Popia Sira Sambal Manis Pedas
 Senang saja nak buatkan?


Segment Share Resepi Perintah Berkurung by Mamapipie & Cariblogger

Assalamualaikum semua.
Jom meriahkan Segmen Share Resipi Perintah Berkurung by Mamapipie & Cariblogger. Boleh klik blog link di bawah banner ini.  Di musim PKP ini, kita banyak berkurung di rumah bersama keluarga dan sudah tentu agak bosan memasak menu yang hampir sama setiap hari. Dengan menyertai segmen ini dapalah kita bertukar-tukar idea untuk memasak buat keluarga tersayang. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 5 Mei 2020. Jadi, masih ada masa untuk menyertainya.



Amie pun rasa seronok juga untuk menyiapkan entri ini walaupun entri tidak sempurna, maklum sajalah tidak banyak menguasai dunia ICT. Untuk menyertai segmen ini, anda wajib menletakkan Blog Mamapipie dan blog Cariblogger di dalam bloglist anda. Saya sudah meletakkan blog ini di blog list saya di bawah label TUMPANG BAU DAPUR JIRAN SEBELAH. Saya tidak mempunyai akaun TWITTER, dan hanya mengikuti FB CARIBLOGGER.

Amie kongsikan satu resipi pilihan untuk memeriahkan lagi dunia masakan kita. Moga bermanfaat untuk semua dan mampu memikat selera keluarga terutamanya untuk hidangan berbuka puasa. Resipi yang Ame kongsikan ialah Mee Rebus Daging.

Resipi Mee Rebus Daging

Untuk lebih banyak resepi, anda boleh membaca entri di bawah.


Jom ramai-ramai kita memeriahkan segmen ini. Hadiah yang disediakan agak lumayan, iaitu RM 50 untuk setiap pemenang. 4 peserta bertuah akan dipilih sebagai pemenang nanti. Siapa tahu mungkin kita antara yang terpilih.

*Segment Share Resepi Perintah Berkurung by Mamapipie & Cariblogger ni berlangsung sehingga 5 Mei 2020.  Semoga berjaya kepada semua peserta.

Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin

Cerita kelmarin petang.
Salah satu lauk berbuka puasa, Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin.
Tiba-tiba teringin makan yang masin-masin pula.

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Sempat bertelefon dengan Bonda sebelum berbuka puasa. Katanya, Ramadhan kali ini sangat mudah baginya, perut tak lapar walaupun hanya bersahur dengan kurma. Katanya lagi, waktu berbuka kurang selera makan. Mungkin rindu suasana berpuasa sebelum ini. Maklumlah, anak cucu ada yang jauh dan ada yang dekat, tapi pergerakan terbatas. Sabarlah Bonda. Moga Bonda sihat-sihat saja. Bonda tanya, juadah apa untuk berbuka puasa? Amie kata ada kerabu pucuk paku, ada ikan goreng dan masak lemak labu manis dengan ikan masin. Sedapnya ikan masin, kata Bonda! Betul tu. Membuka selera.

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Inilah labu manis yang duduk menyendiri  di sudut dapur. Hampir dua minggu labu manis ini kesepian.

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Nampaknya dari kulit hijau bertukar warna menjadi kuning keemasan pula. Penjual labu manis kata, ini labu manis jenis pulut.

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Jom kita olah labu manis ini menjadi hidangan yang enak untuk berbuka puasa. Biasanya kalau masak lemak ikan masin, Amie suka gunakan kunyit hidup dan daun kunyit untuk aroma yang segar. Sayangnya, Encik Suami sudah cantas kesemua daun kunyit. Katanya, nak pindahkan pokok kunyit sebaris dengan rumpun serai. Bila Amie tanya mana daun kunyit, katanya sudah dibuang dalam tong sampah, dan Majlis Daerah Lahad Datu sudah angkut masuk lori.... huhuhuuuuu!

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Jomlah kita olah Labu Manis Masak Lemak degan Ikan Masin seperti di bawah ini. Amie gunakan ikan masin temparing. Amie tambahkan juga cili padi, tak banyak hanya 7 biji saja, sekadar pedas-pedas manja sebab memang dah ada sambal belacan menanti di meja makan... ahaks!

Bahan-bahan:
500 gram labu manis - kupas kulit dan potong dadu ikut saiz yang disukai
1 ekor ikan masin - rendam 10 minit - bersihkan - potong 5
1 batang serai - dititik
 1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
7 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Masukkan santan cair, bahan kisar, serai dan labu manis ke dalam periuk.
2. Masak sehingga kuah mendidih, dan labu manis mulai empuk. Tambahkan serbuk kunyit.
3. Kemudian masukkan ikan masin, cili hijau dan cili merah serta santan pekat.
4. Gunakan apai sederhana dan kacau selalu. 
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Biarkan mendidih sebentar, dan kemudian padamkan api dapur.

Resipi Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin
Labu Manis Masak Lemak dengan Ikan Masin sudah terhidang di meja untuk lauk berbuka puasa!