Petang tadi lewat sampai rumah. Rasanya macam tak sempat nak sediakan juadah puasa buat hari yang ke 21 ini. Sampai depan pintu pagar, suami telefon... tanya nak masak apa untuk buka puasa petang ini. Amie jawab... entahlah...(dengan nada letih... memang letih pun). Goreng mee sajalah.... kata suami. Ya Allah.... hari-hari dia nak makan mee. Mee goreng lagi! Mummy buat mee kari ya..... tiba-tiba Amie menyahut tanpa memikirkan apa keperluan untuk mee kari. Amie tahu, mee kari merupakan menu kedua kegemarannya selepas mee goreng. Ada bahan yang nak dibeli? Tanyanya di hujung telefon. Amie pun sebutlah satu persatu bahan yang perlu ada ..... Selepas Amie solat Asar, jam menunjukkan angka 5 petang. Hari ini buka puasa pukul 6.19 petang. Nampaknya di atas meja di dapur sudah tersedia pelbagai bahan segar yang baru dibeli suami. Apalagi.... operasi pun bermula.... dan yang paling seronok, sebab ada kerang! Lama sangat tak makan kerang! Bukan senang nak jumpa kerang di Lahad Datu....

Jom jemput makan sepinggan/ semangkuk seorang. Yang di bawah ni belum bubuh kuah lagi.
Kali ini Amie rebus-rebus saja semua bahan aksesori termasuk udang, ayam, dan kerang serta fish cake. Ini disebabkan kesuntukan masa dan capai mana yang ada di depan mata. Sepanjang Ramadhan ini Amie sudah buat 2 kali mee kari termasuk yang ini. Seperti biasa, Amie tidak gunakan santan sebaliknya gantikan dengan tomato dalam kuah kari.
Oleh kerana ramai yang belum biasa makan dengan kuah kari tanpa santan, di bawah ni Amie sediakan mee kosong tanpa kuah... he he heee... boleh buat pilihan, nak kuah kari Amie atau kuah kari bersantan. Kalau nak yang bersantan, boleh bawa sepinggan/semangkuk seorang mee di bawah ni ye.... hehehhhhhhheeee
Oleh sebab tuan dapur sekarang ni tersangat letih, minta diri dulu untuk beradu seketika. Ada masa nanti Amie tuliskan resepinya ye....Selamat berpuasa untuk hari yang seterusnya.....
Wokey.... nampaknya pagi ini selepas bangkit dari beradu, Amie sempat tuliskan resepi Mee Kari Kerang tanpa santan ini.
Bahan-bahan:
1 kg gram mee kuning - celur, cuci dan toskan
400 gram daging ayam - rebus dan potong-potong
15 ekor udang kertas - celur
2 keping fish cake - celur dan hiris-hiris
1 cawan isi kerang kerang yang telah dikupas
5 keping tauhu kering - potong nipis
1 cawan taugeh
5 biji telur - rebus dan belah 2
5 biji limau kasturi
daun sup
bawang goreng
hirisan lada merah
Bahan untuk kuah:
7 sudu serbuk kari daging
2 sudu lada kisar
2 pelepah daun kari
5 biji tomato - belah 4
5 biji bawang merah - tumbuk
3 keping asam gelugur
5 biji bawang putih - tumbuk
3cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
serbuk pati ayam / garam dan gula secukup rasa
minyak
1.5 liter air (Amie guna air rebusan ayam dan udang)
Bahan untuk sambal kicap:
10 biji cili padi
3 biji bawang putih
4 biji limau kasturi - ambil jusnya
4 sudu kicap manis Cap Kipas Udang
~tumbuk cili padi bersama bawang putih hingga lumat, kemudian campurkan dengan kicap dan perahkan limau kasturi~
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk, lada kisar, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga wangi.
2. Masukkan tomato, dan daun kari serta asam gelugur. Biarkan tomato layu seketika.
3. Masukkan serbuk kari dan gaul rata.
4. Masukkan air dan biarkan merenih sehingga tomato hancur.
5. Perasakan dengan serbuk pati ayam atau garam dan gula.
6. Letakkan mee kuning di atas pinggan / mangkuk. Susun kepingan ayam, kerang, udangtelur rebus, tauhu kering dan lain-lain.
7. Tuangkan kuah ke atasnya dan hiaskan dengan daun sup serta bawang goreng.
8. Jika suka pedas, tambahkan sambal kicap sewaktu menikmatinya.