ADSENSE

Rabu, 30 September 2020

September : Ulang Tahun Kelahiran Anak-Anak

Apabila Farid dan Fuad menyatakan hasrat untuk terbang pulang ke Lahad Datu pada 13 September 2020, Encik Suamilah orang yang nampak sangat gembira. Kata Encik Suami, nanti kita buat bacaan Yasin di rumah bersama ahli keluarga yang lain. Pada masa yang sama, kita sambut ulang tahun anak-anak. Maklumlah, katanya semenjak Farid melangkah keluar dari Lahad Datu kerana melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Labuan pada 2013, bermula dari tahun itu kami tidak dapat menyambut ulang tahunnya bersama-sama. Begitu juga dengan Fuad. Ini disebabkan tiga beradik, Farid, Fuad dan Fairuz berkongsi bulan kelahiran. Jadi, pada hari Khamis malam Jumaat bersamaan 17 September 2020 tertunailah hasrat Encik Suami.

Yang menyambut ulang tahun tiga orang tetapi yang kecil itu nak masuk juga! Katanya kenapa hanya abang-abang tiga orang disambut, kenapa dia tidak? 

Kami pun bubuh nama Firdaus juga di atas kek red velvet yang ditempah. Abang Farid sudah berusia 25 tahun pada hari ini (30 September 2020), Fuad mencapai usia 22 tahun pada 14 September 2020 dan Fairuz pula baru mencecah 19 tahun pada 19 September 2020.

Hai anak! Walau sudah berusia puluh tahun tapi Mommy rasa seperti baru kelmarin membawamu pulang ke rumah dari hospital. Masih terasa kehairanan melihat paras wajah kalian buat kali pertama sebaik sahaja lahir ke dunia! Masih terdengar tangisan pertama dari peti suara kalian! Allahu Akbar. Betapa besar nikmat bahagia yang Engkau kurniakan buat kami. Syukur seribu syukur kepada-Mu ya Allah!

Inilah kumbang-kumbang penyeri rumah tangga kami! Ada kumbang emas, ada kumbang dewasa, kumbang remaja dan kumbang kecil di tengah-tengah itu!




Malam itu, dengan muka berminyak-minyak dan berkeringat, memang tak sempatlah nak bergaya.... ahaks!! Maklumlah sibuk di dapur memasak juadah untuk hidangan malam. Terima kasihlah anak-anak buah yang sudi ambilkan gambar kami.

Amie masak nasi arab dengan 3 jenis lauk iaitu ayam, lamb dan ikan.


Ada popia, samosa, serta buah-buahan.

Seperti biasa, ahli keluarga yang datang akan layan diri.
Fairuz melayan beberapa orang rakannya. 

Fuad pula membawa rakan-rakannya ke dapur. Di ruang tamu sudah penuh dengan ahli keluarga. Kawan-kawan Fuad ini semuanya sedang bercuti dan menunggu untuk kembali ke IPT masing-masing yang dijangkan pada bulan Oktober.


Barangkali agak letih, selera makan pun hilang. Oleh kerana sibuk melayan tetamu, Encik Suami dan anak-anak pun tak sempat makan. Ketika anak-anak buah tolong cuci pinggan mangkuk, kami pun makan isi perut..... ahaks!


Inilah rupa nasi Arab kesukaan, kenang-kenangan semasa makan Nasi Arab Mandi Wadi Qudait, dalam perjalanan dari Mekah menuju ke Madinah Al-Munawarah. Ada ikan goreng seekor, ayam goreng sepotong, cili hijau dan juga ketulan bawang merah dalam setalam kecil nasi Arab yang kami dinikmati bersama Bonda serta 3 orang jemaah umrah yang lain.

Sesungguhnya makan nasi Arab dengan ikan goreng tersangatlah sedapnya.... ikut selera Amie ler tu!

Atas permintaan Fuad dan Fairuz, Amie tidak lupa sediakan lamb sebagai lauk nasi Arab pada malam itu.

Ulang tahun Fuad disambut oleh abang sepupunya pada tarikh 14 September 2020. Katanya, kejutan untuk Fuad yang baru pulang dari Malaya. 
Buat anak-anak, jadilah insan yang berguna, berbakti kepada agama, nusa dan bangsa. Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, mensyukuri setiap rezeki yang diberi oleh-Nya, jauhi perkara mungkar dan sentiasa beramal baik.

Buah Bundu @ Belunu @ Binjai, Bambangan & Durian Merah

Catatan perjalanan terakhir Lahad Datu - Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang - Lahad Datu. Dalam perjalanan dari Sabah Tea ke Telupid, kami singgah di gerai buah-buahan di tepi jalan.

Sempat beli buah bundu (sebutan dalam bahasa Dusun) atau belunu. Biasanya kita sebut binjai.Harganya RM8.00 sekilogram.

Bau buah bundu @ belunu ini memang sama dengan buah binjai. Pada mulanya Amie sangkakan rasanya lebih masam dari manis, tetapi rupanya lebih manis dari rasa masam pula! Pada mulanya nak buat sambal tetapi disebabkan rasanya yang sedap lemak manis, akhirnya Amie makan begitu saja! Apabila Amie tanya Pak Google, rupanya bundu @ belunu @ binjai di Sabah memang rasanya lebih manis berbanding binjai kita di Malaya.

Oleh kerana sudah beli buah bambangan di Tenom, jadi pandang sahaja buah bambangan di sini. Harga buah bambangan di gerai ini lebih murah berbanding harga buah bambangan di Kundasang.



 Encik Suami beli buah cempedak.

Buah durian dari pasar malam Keningau masih ada beberapa biji di dalam bonet kereta. Jadi, tidaklah kami menambah lagi.



Beli juga buah manggis.

Kemudian kami meneruskan perjalanan dan sekiranya ada gerai durian merah, kami akan singgah.

Kami singgah di sebuah gerai durian merah. Nampaknya durian merah baru sampai, dan banyak yang belum merekah. Untuk membeli durian merah, sebaiknya beli yang sudah merekah sebab isinya sudah matang atau masak seperti gambar di bawah.

Harga sekilogram durian merah ini RM30.00. Kami beli longgok yang harga Rm30 dan Rm45. Tak banyak pun isinya bila dibuat sambal. 

Ini gambar durian merah dari entri yang lepas.


Isi durian merah ini cantik.
Rasanya tidak manis seperti durian biasa, lemak-lemak gitu.
Tidak ada bau durian.
Biasanya dibuat sambal.

Entri berkaitan perjalanan Lahad Datu - Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang:

Selasa, 29 September 2020

Sabah Tea Restaurant & Tea Shop

Dalam perjalanan dari Kundasang ke Lahad Datu, kami singgah di Ranau. Hari pun masih pagi, dan kami belum alas perut. Kami menuju ke Sabah Tea Restaurant, tempat makan yang santai dan agak selesa bagi kami.


Matahari pun sedang memancarkan sinarnya untuk kami menerima vitamin D. Hangat tetapi menyegarkan.

Firdaus memilih untuk hidangan ala-ala American Breakfast.


Tidak ketinggalan Sabah Tea Ice Cream kegemarannya!



Bismillah.

Senang hatinya dapat kulum pucuk daun teh!
Setiap kali singgah makan di sini, memang berakhir dengan pucuk daun teh di mulutnya!



Hidangan di sini nampak simple, tetapi cukup rasa! Dengan kata lain, sedaplah.... ahaks! Kuey teow goreng ini Fairuz punya. Selain kuey teow goreng, Fairuz juga memesan tom yam udang.


 Katanya, sedap betul rasa kuah tom yam udang ini. Padu!



Ini mee hoon sup.
Amie punya. 
Pilih pemakanan sihatlah kononnya.... akahs!



Ini mee goreng, Encik Suami punya. Nampak ringkas sahaja masakan dan bahan yang digunakan. Cuba rasa sesudu. Sedaplah pulak! Cuba lagi sesudu...isshhh! Sesudu lagi! Nanti lama-lama habis sepinggan mee goreng Encik Suami! Siapa suruh pesan me hoon sup! Pemakanan sihatlah konon, tapi selera pergi ke pinggan mee goreng.... hiks!


Alhamdulillah. 



Budak kecil ini paling seronok berada di sini! Pucuk daun teh itu dikulum sampai masuk kereta.

Sebelum meninggalkan Sabah Tea Restaurant, kami singgah di Tea Shop. Encik Suami beli Sabah Tea Tarik. Katanya, Fuad suka minuman ini. Hmmmm... baik ibu atau ayah, ke mana pun pergi apabila terpandang makanan kegemaran anak-anak, mesti teringat-ingat!

                      
Amie pula beli lada putih dan lada hitam.

Entri berkaitan perjalanan Lahad Datu - Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang:

Borong Sayuran di Pekan Kundasang

Tidak lengkap rasanya kalau jalan-jalan ke Kundasang tidak singgah di gerai sayur-sayuran. Kali ini kami tidak singgah gerai buah-buahan pula. Encik Suami sudah berkira-kira untuk membeli beberapa jenis sayur untuk oleh-oleh buat keluarga dan kawan-kawannya.

Selalunya Encik Suami suka pilih kobis 'picai'  iaitu sejenis kobis panjang yang menjadi mercu tanda di bulatan  Pekan Kundasang, dan juga bawang leek. Kali ini Encik Suami pilih kobis lain pula. Bukan kobis bulat dan bukannya kobis panjang, tetapi kobis bentuk lonjong sedikit. Tak tahu pula apa nama kobis ini. Kobis ini rasanya manis dan rangup! Sedap dibuat ulam.

Kebanyak sayur-sayuran dijual dengan harga RM4.oo untuk sebungkus, tetapi kalau beli 3 bungku3, harganya RM10.00 dan boleh campur-campur. Untuk harga kobis yang Encik Suami beli, harganya RM5.00 untuk sebiji.

Inilah rupa kobis bentuk lonjong itu.

Amie pula pilih beras kampung atau beras huma. Walaupun sudah beli di Tamu Tenom, tapi nak beli juga di sini. Beras di Tamu Tenom dari sawah, di Kundasang dari bukit. 

Beras bukit harganya lebih mahal berbanding beras dari padi sawah. 
Biasanya RM20.00 untuk 2 kilogram.

Apabila terlihat cili padi warna putih, memang Amie tak lepaskan peluang untuk membelinya. Begitu juga dengan cendawan kukur kering. Sedapnya cendawan kukur masak lemak cili padi dengan udang kering!

    
Daun bawang leek ini nampak segar dan cantik!

Tomato ceri pun nampak baru dipetik dari ladang!
Sedap makan tomato ceri cecah serbuk asam.

Subur betul bumi Kundasang!
Banyak sayur-sayuran yang ditanam di kaki gunung sebagai bekalan makanan kepada penduduk tempatan dan mereka yang lalu lalang di Pekan Kundasang pula selalu singgah untuk membelinya.







Banyak susunan botol berisi madu dari pelbagai jenis.



Walaupun tak singgah di gerai buah-buahan tetapi di sini pun ada buah-buahan juga walaupun tidak banyak. Kami beli beberapa bungkus pelbagai jenis untuk dimakan di dalam kereta.


Ini antara bunga-bunga yang disukai Encik Suami.

Ambil kesempatan meronda gerai bunga.

Walaupun setiap kali beli bunga di sini dan kebanyakannya mati kalau di tanam di Lahad Datu disebabkan suhu yang berbeza, tetapi tetap nak beli juga!








Untuk kenang-kenangan, kenalah beli beberapa kuntum mawar Kundasang!

Entri berkaitan perjalanan Lahad Datu - Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang: