Bismillahirrahmanirrahim.
Masak apa tengah hari di hujung minggu untuk keluarga? Mungkin ada yang bawa keluarga tersayang makan di luar. Hari ini Amie tak masak, beli sahaja. Dan masih lagi menyiapkan kerja-kerja online. Jadi, memang tidak ada masa hendak bersilat di dapur.
Letih menatap skrin sambil mengunci masuk data, berehatlah seketika. Belek-belek HP, jumpa gambar-gambar lama dan buatlah entri untuk seronok-seronok. Amie buat paparan masak-masak untuk hidangan keluarga. Tidaklah istimewa sangat, sekadar kongsi resipi Taugeh Masak Lemak Putih, masakan orang kampung. Seperti biasa, Amie masak sekali harung untuk makan tengah hari dan malam.
Taugeh Masak Lemak Putih |
Hidangan lengkap:
- Nasi Putih
- Taugeh Masak Lemak Putih
- Ikan Basung @ Selayang Goreng
- Ikan Layar Masak Lada Putih
- Ulam Daun Salad & Tomato ceri
- Sambal Belacam
Video Taugeh Masak Lemak Putih
Resipi Taugeh Masak Lemak Putih
Bahan-bahan:
- 2 cawan taugeh
- 1 keping tauhu - belah 12
- 5 batang putik jagung - belah 2
- 3 pelepah kobis cina - potong ikut suka
- 1 cawan udang basah
- 1 tangkai cili merah - hiris
- 1 tangkai cili hijau - hiris
- 700 ml santan - kisar dari 1/2 biji kelapa
- garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk kasar:
- 2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
Cara memasak:
- Masukkan santan ke dalam periuk. Gunakan api sederhana.
- Masukkan bahan tumbuk.
- Apabila santan mula mendidih, masukkan tauhu, kobis cina, outik jagung dan udang.
- Kemudian masukkan taugeh, cili hiris dan tambahkan garam / perasa pilihan.
- Biarkan masak seketika sehingga mendidih sekali lagi, sambil kacau kuah supaya tidak pecah santan dan apabila sayur-sayuran kelihatan layu, padamkan api dapur.
Nasi Putih |
Ikan basung @ Ikan selayang goreng garam kunyit. |
Selalunya Amie masak ikan layar gunakan bahagian isi, tetapi yang ini Amie cuba masak bahagian kepalanya pula. Resipinya sudah tentulah ikut cara arwah MIL. Hasilnya, masakan nampak berlemak serta beraroma halia dan lada putih yang kuat! Gaul nasi putih dengan kuahnya saja pun sudah cukup sedap.
Ulaman - Daun Salad & Tomato Ceri |
Sambal Belacan |
Melihat hasil gambar masakan sendiri, mulalah timbul selera untuk makan! Nantilah, apabila sudah ada kelapangan waktu bolehlah masuk dapur dan masak menu yang disukai.
Jemput ye!
Alhamdulillah. |