ADSENSE

Rabu, 23 Oktober 2019

Bunga Betik Tumis & Sambal Hijau

Bila masak bunga betik, selalu terkenang MIL. MIL pandai masak bunga betik, terutamanya masakan lodeh. Masak sayur lodeh bagi keluarga sebelah Encik Suami memang berbeza dengan masak sayur lodeh kita di Malaya. Biasanya sayur lodeh MIL adalah campuran pucuk ubi opah, jantung pisang dan bunga betik serta pucuk betik. MIL masak gunakan perencah cili kering kisar, ketumbar, bawang putih dan bawang merah serta santan.
Huurrmmm... cerita tentang masak sayur lodeh MIL, tiba-tiba jadi rindu pula!
Untuk layan rindu masak sayur lodeh, marilah tolong Amie masak bunga betik di bawah ini....hiks! Tumis bunga betik pun merupakan salah satu resepi yang biasa MIL masak.


Bahan-bahan:
10 tangkai bunga betik (anggaran satu cekak) - lurutkan bunganya dan buang tangkainya.
2 keping asam gelugor
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
(jika suka pedas boleh tambah hirisan cili padi)
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1 sudu kecil belacan
3 sudu besar minyak 
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Celur bunga betik sehingga lembut. Toskan.
2. Tumbuk kasar bawang putih, bawang merah, belacan dan udang kering.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi, dan kemudian masukkan cili merah serta cili hijau. Kacau sekali dua.
4. Masukkan bunga betik dan gaul rata.
5. Tambahkan gula / garam / perasa pilihan.
6. Tutup api dapur dan sedia untuk dihidangkan.

Selain sayur tumis bunga betik, Amie lengkapkan hidangan dengan sambal ijo @ sambal hijau, ikan goreng dan sup kaki ayam.

Sup kaki ayam ini Amie tambahkan lobak merah, kentang dan juga sawi pahit.

Amie goreng dua jenis ikan iaitu ikan panit (gambar atas) dan ikan sulig (dua ekor ikan gambar bawah).

Tersangatlah sedapnya makan nasi panas dengan lauk ikan goreng bubuh sambal hijau!

Tak pandang dah lauk lain!
Meh! Kongsikan resepi sambal hijau. Boleh juga lihat resepinya di sini : Sambal Hijau @ Sambal Ijo

Ini antara bahan yang diperlukan untuk memasak sambal hijau. 
Oleh kerana ada tomato hijau, jadi tak perlu banyak penggunaan limau nipis. Bagi Amie cukuplah sekadar rasa sedikit masam sahaja. Tak bubuh jus limau nipis pun rasanya tetap sedap.

Gunakan cili hijau.

Nak rasa lebih pedas, tambahkan cili padi. Dah namanya sambal hijau, kenalah rajin pilih cili padi hijau di antara yang merah tu...ahaks!

Tomato pun nak mula keluarkan warna kuning sebab terbiar beberapa hari di sudut dapur. Dari mula beli, warna hijau, sekarang dah berubah warna.
Jomlah masak.

Bahan-bahan:
250 gram cili hijau - buang tangkainya
50 gram cili padi hijau - untuk hasil yang lebih pedas
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji tomato hijau
1/2 sudu kecil jus limau nipis
3 sudu besar minyak untuk menumis
gula pasir secukupnya
garam secukupnya.

Cara memasak:
1. Potong kasar cili hijau dan cili padi
2.Kemudian kukus cili hijau dan cili padi bersama bawang merah, tomato dan bawang putih selama lebih kurang 5 minit.
3. Jika sudah layu, tumbuk bahan di atas secara kasar sehingga sebati.
4.  Panaskan minyak dan tumis semua bahan sehingga layu dan terbit aroma.
5. Akhir sekali, tambahkan gula, jus limau nipis dan garam. Kacau rata dan masak sehingga pecah minyak.
6. Angkat dan hidangkan.

Ahad, 20 Oktober 2019

Nasi Goreng Paru

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.
Pagi ini Amie berkesempatan kongsikan sarapan pagi : Nasi Goreng Paru.
Yang tak makan paru, bolehlah gantikan dengan apa sahaja bahan yang disukai.
Nasi Goreng Paru menjadi sedap sekiranya paru yang digunakan itu cukup lembut dan tidak liat. Itu citarasa Amie ye, sebab ada yang suka liat-liat sikit. Amie lebih suka paru yang lembut, senang kunyah, dan terus telan....hiks! Oleh sebab Amie suka ratah paru, jadi Amie bubuh 4:2 iaitu 4 cawan nasi putih dengan 2 cawan hirisan paru.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih sejuk
2 cawan hirisan paru yang sudah direbus empuk
1 cawan mix vege
1 labu bawang besar - cincang 
1 sudu besar sos ikan
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng paru seketika, angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan paru dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan paru dan kacau rata.
4. Kemudian masukkan mix vege, gaul lagi.
5. Masukkan nasi putih, sos ikan, garam / perasa pilihan.
6. Gaul rata beberapa minit, dan padamkan api dapur.

Selamat bersarapan.

Sabtu, 19 Oktober 2019

Ikan Susu Masak Lemak dengan Kencur

Menjelang  tengahari tadi Encik Suami bawa pulang 2 ekor ikan susu. 
Lama juga tak makan ikan susu. Kata Encik Suami, penjual ikan kata sekarang ini kurang ikan. Nelayan pun takut turun ke laut. Sebelum ini beberapa kali kejadian culik berlaku di sekitar pantai timur, dan tidak terkecuali di pantai Lahad Datu. Perintah berkurung yang tidak dipatuhi menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat berbuat lebih dari had kuasa mereka. Walaupun tidak diwar-warkan, tapi sebenarnya perintah berkurung masing berjalan terutama di kawasan perairan Tawau, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. 
Berita  terkini ada menyebut bahawa perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZon) dilanjutkan sehingga 23 Oktober ini. Jadi, orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan perairan bermula dari jam 6 petang sehingga ke pukul 6 pagi esoknya. Boleh bayangkan bagaimana nelayan juga perlu mematuhi arahan ini?
Nampaknya kumpulan militan Abu Sayyaf dari selatan Filipina masih menjalankan kegiatan jenayah rentas sempadan dengan melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan!

Wokey... kita cerita tentang ikan susu tadi. Amie cadang untuk mengolah ikan ini sebagai hidangan berkuah. Amie akan masak lemak, tapi tambah kencur. Kalau ikutkan air tangan Bonda, ikan(Bonda suka ikan pari) kena bakar atau panggang terlebih dahulu. Kemudian tumbukkan cili padi hijau, dengan isi cekur, bawang putih dan bawang merah bakar. Santan kelapa pula diperah dengan menggunakan air suam. Campurkan kesemua bahan tumbuk ke dalam santan, tambahkan sedikit air asam jawa, garam dan perasa pilihan. Jika suka boleh tambahkan kacang panjang atau terung pipit mentah. Adeeehhhhh... enak banget!
Kakak Amie pula, lebih suka goreng terlebih dahulu ikan (biasanya ikan keli), kemudian didihkan bersama kuah santan dan kencur di atas api.
Amie pula, lagilah menyimpang...hiks! Tak panggang! Tak goreng juga!
Terus lebur bersama dalam periuk!
Jom lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu seberat 700 gram - bersihkan dan kerat 6
3 cawan santan dari 1/2 biji kelapa (kisar air dengan kelapa parut) 
1 keping asam gelugor
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
20 biji cili padi hijau
5 butir isi kencur
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
5 helai daun kencur - hiris halus

Cara memasak:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama asam keping dan bahan kisar. Kacau rata.
2. Kemudian masukkan ikan susu.
3. Masak di atas api sederhana.
4. Kacau selalu supaya tidak pecah santan.
5. Setelah kuah mendidih dan ikan susu masak, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Akhir sekali, masukkan hirisan daun kencur. Kacau sekali dua dan kemudian padamkan api dapur.

Beginilah hasilnya Ikan Susu Masak Lemak dengan Kencur. Sukanya kita makan bahagian perut ikan susu yang berlemak ni! Jom makan.

Khamis, 17 Oktober 2019

Lauk-Pauk Kampung

Assalamualaikum.
Selamat petang semua.
Terima kasih buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Walaupun sudah jarang kongsi resepi, tapi tetap juga sudi jengah dapur Amie.
Tidak lupa juga ucapan terima kasih buat followers baru yang turut memeriahkan dapur ini.
Nampaknya kerja-kerja dapur banyak kali bertukar tangan antara ibu dengan anak.
Fairuz suka masuk dapur, tapi masakannya sudah tentulah apa yang dia suka. Faham-faham sahajalah, selera anak-anak remaja memang tak lari dari 'ayam'! Selain ayam, seperti ikan atau daging, memang 'kurang' sikitlah dia.
Beza pulalah dengan selera kita. Lebih suka masakan kampung. Lebih berselera kalau hidangan berasaskan ikan dan sayur-sayuran.
Oleh sebab asyik hidangan ayam goreng, ayam masak kicap, ayam masak kari dan semuanya yang berasaskan ayam, maka kita pun pilihlah lauk-pauk kampung yang memang diidam-idamkan selama beberapa hari. 

Dah lama teringin nak makan kerabu pucuk paku tanjung gaya air tangan Bonda!
Kita padankan dengan ikan sepat kering. Ikan sepat ronggeng kot! Itulah lauk kenangan zaman dahulu ketika di kampung.

Untuk Firdaus yang memang suka memilih telur sebagai lauk, kita buatkan telur dadar campur dengan hirisan daun bawang dan cili besar serta bawang Holland.

Tak lengkap hidangan kami kalau tak ada masakan sup. Sempatlah juga renih kaki ayam, tambah hirisan betik nak bagi sup rasa manis dan pedas lada putih sikit. Masukkan juga kentang dan juga white fungus. Sesekali nak bagi Fairuz makan kaki ayam juga. 

Sebenarnya Firdaus kurang gemar ada tambahan bahan dalam telur dadar, tapi nak ajar dia juga supaya boleh pelbagaikan bahan yang masuk dalam perutnya...hiks!

Dah tahu, dan faham tak ada siapa akan usik ikan sepat kering. Jadi Amie gorengkan ikan bayan.

Dulu, makan 10 ekor ikan sepat kering pun masih rasa tak cukup! Sekarang, kalau goreng 7 ekor, terpaksalah habiskan untuk 7 kali makan! Encik Suami memang tak sentuh langsung! 


Inilah gandingan mantap ikan sepat kering! Kerabu pucuk paku tanjung dengan tambahan isi lokan saiz kecil, kelapa parut tanpa sangai yang digaul bersama bahan lain termasuk cili padi, cili padi merah, belacan, bawang putih dan merah bakar, kemudian diakhiri dengan garam gula dan renjisan air limau kasturi! Ini resepi Bonda kita. Kalau boleh kelapa tu dibakar  atau dipanggang terlebih dahulu kemudian baharulah diparut. Baunya wangi. Tapi, kita tak buat begitu. Kelapa memang dah siap parut sewaktu dibeli. Jadi, gaul sajalah dengan bahan-bahan lain. Oh! Terlupa pula. Kita ada masukkan hirisan daun kencur  dan sedikit isi kencur yang ditumbuk bersama cili. Orang Jawa memang tak Jawalah kalau tak bubuh kencur!

Sebenarnya nak cerita ikan sepat kering goreng, tapi disebabkan dia duduk bertenggek atas talam bersama lauk-pauk lain, jadi secara sengaja terceritalah semuanya heheeeee!
Nampaknya bukan kongsi resepi, tapi sekadar kongsi kenangan lalu!

Ahad, 13 Oktober 2019

Ulang Tahun Tiga Bujangan

Sekadar coretan kenangan di petang hari.
September sudah berlalu.
Ada kenangan di bulan September.
Bukan kenangan untuk diri sendiri, tetapi kenangan buat Encik Suami dan anak-anak kami.

3 bujangan kami menyambut ulang tahun pada bulan yang sama setiap tahun, September.
Mereka bertemu, berkelahi, bergurau senda pada Aidil Fitri lalu di LD, dan kemudian bertemu kembali pada Aidil Adha, Ogos di kampung laman. Kampungku nan tercinta, Bukit Hijau, Jeram, Selangor.


Inilah tiga bujang kami yang lahir pada bulan September selang tiga tahun. Bermakna tahun 2019 ini, Farid berumur 24 tahun, Fuad 21 dan Fairuz 18.

Dan rezeki Allah, datang si kecil Firdaus 12 tahun kemudian, selepas kelahiran Fairuz. Tarikh lahirnya bukan pada bulan September, tetapi pada bulan Mac, 22 menyamai tarikh Seniman Agung P. Ramlee.
Tiap kali tibanya hari ulang tahun bujang-bujangan kami, memang tak menang tanganlah kami membuat persediaan untuk mereka. Bila meningkat remaja, masing-masing lebih gembira menyambut hari ulang tahun dengan menambah bilangan tetamu, selain sanak saudara, mereka jemput rakan-rakan sebaya.  Mereka seronok, kami pun tumpang seronok sama!
Itu semua kenangan lalu.... yang indah, yang meriah tapi kini hanya mampu menatap gambar sahaja.
Awal September, Farid sudah 'menghadiahkan' hari jadi adik-adiknya. Fuad dan Fairuz dikirimnya RM100 setiap seorang. Walaupun belum bekerja, dan masih bertungkus-lumus menyiapkan penyelidikan untuk ijazah sarjananya, tapi masih dapat selitkan RM buat adik-adik kesayangannya. 
14 September 2019. Ulang tahun Fuad. Tengah malam, ketika semua lena, ucapan dititipkan buatnya.
Seawal pagi, selepas waktu Subuh.... Fuad buat video whatsapp. Semua HP dihubungi. Firdaus tak dapat dihubungi sebab tak ada HP...ahaks! Barangkali dia teringat tahun-tahun sebelumnya, kemeriahan menyambut ulang tahun bersama keluarga. Kami pun ucapkanlah ulang tahun buat bujang kedua ini yang jauh nun di Parit Raja.

 Sebelah malamnya pula, dikongsikan gambar burger. 

Katanya, kawan-kawan turut meraikan ulang tahunnya di Wacha Burger, di Jalan Parit Botak.

 Okey dik!
Sudah 21 tahun umurmu.

Jangan lupakan kewajipan sebagai seorang Muslim, solat jangan tinggal. Belajarlah rajin-rajin. Kurangkan tidur. Selalu berolahraga. Berjimat cermat ketika berbelanja.

 19 September 2019.
Bujang ketiga, Fairuz pula genap 18 tahun.
"Mommy! Hari ini hari jadi saya. Kita makan KFC ya?"
Itulah ayat pertamanya sewaktu membuka pintu kereta, sekembalinya dari sekolah.
Aduhai.... dengan muka letih, berpeluh, berminyak-minyak, tak sempat balik rumah, kami terus ke KFC.
Selamat ulang tahun dik!
Belajar rajin-rajin! Jangan asyik tidur, game..... memanjang! Solat jangan dilambat-lambatkan! Kerja sekolah kena siapkan sebelum tidur. Banyakkan latih tubi! Hujung tahun nanti STPM Semester 1.
Hurrrmmm... terasalah pulak kita ni kaki bebel!

Tak tinggal gambar budak kecil Firdaus. Abang yang sambut birthday, dia yang bersungguh-sungguh makan KFC...hiks!

30 September 2019.
Ulang tahun bujang sulung kami yang ke 24.
Katanya, dia sambut sendiri birthdaynya merangkap makan tengahari di McD.
Tiada bebelan panjang sempena ulang tahunnya. Sekadar ucapan pendek di tengah malam: Jadilah abang mithali buat adik-adik.

 Malamnya pula, kawan meraikannya makan-makan di Nandos.

 Esoknya, kawan-kawan yang lain pula meraikannya di Seoul Garden.


 Ada sepotong kek sempena ulang tahunnya. Katanya seorang rakan keturunan Cina belanja sempena birthdaynya.

Sekian.
Coretan rasa di senja nan hening.
Angin... sampaikan salam rinduku buat anak-anakku di seberang sana!



Jumaat, 4 Oktober 2019

Pelari Tercorot!

Nampaknya dapur dah mula sepi.
Jarang-jarang masuk dah.
Tak ada alasan lain. 
Sibuk.
Banyak kerja-kerja yang terpaksa disiapkan di rumah.
Harapkan Fairuz untuk masak....hiks!
Sebelum Fuad balik ke Johor, bujang satu inilah yang agak rajin ke dapur. Tapi selalu merendah diri. Katanya masakannya tak sedap. 
Hurrmmm... kalau dah lapar, sedap tak sedap tolak tepi. Yang penting perut perlu diisi.
Maka.... tak dapatlah ambil gambar-gambar masakan buat sementara waktu.
Apa pun, sehingga mood masak-masak datang kembali, marilah layan dulu kisah Pelari Tercorot di bawah ini!

Ini cerita lama. 4 Ogos 2019. Gatal kaki nak ikut larian 5km. Seawal 5:30 pagi Kam sudah sampai depan pagar rumah, bawa kita ke lapangan Sekolah Menengah Cina, LD.

Lebih 200 penyertaan untuk memeriahkan larian ini.
Ketika berlari (jalan laju sebenarnya), teringat-ingat kisah arnab dengan kura-kura. Bayangkan pelari yang lain semuanya itu arnab yang tertidur di bawah pokok tepi jalan pada kilometer ke 4.5! Dapatlah diri ini sebagai sang kura-kura memintas dan meninggalkan mereka! Hahaaaaa....!


Namun keajaiban itu tidak terjadi!
Dan memang tidak akan terjadi!
Biarlah daku menamatkan larian ini dengan caraku yang tersendiri, dengan kemampuan dan kudrat wanita awal usia emas...kihkihkihhhh!
Kawan-kawan memanglah entah di mana!

Tentunya masing-masing sudah sampai ke garisan penamat!


 Sampailah juga ke garisan penamat, dan dapat medal tertulis: Respect Your Body -  Awareness Run 2019. Hahaaaa... lepas lari, ramai-ramai serbu restoran di Fajar cari teh tarik dengan roti canai!

15 September 2019.
Ikut larian lagi.
Kali ini sejauh 5.2 km.
Penyertaan melebihi 400 orang.
Seperti sebelumnya, sebelum matahari terbit, Kam sudah sampai depan pagar rumah, angkut kita sekali ke padang Taman Bandar @ Taman Katak.

Tak fikir lagi dah tentang arnab atau kura-kura. Corot pun corotlah! Kena terima hakikat, diri tu sudah kurang tenaga. Badan pun comel montel semacam! Kih kih kihhhh! Tapi orang tak tau, si montel ini pernah johan merentas desa dalam kejohanan sukan sekolah abad ke -20 yang lalu! Itu tenaga ketika masih bujang! Jadi ketua rumah sukan pula. Rumah Biru. Rumah Kinabalu. Dah ada anak satu pun ikut juga larian merentas desa, tapi dapat nombor 2! Tak sedar diri pula waktu itu.... terlupa baru 3 atau 4 bulan bersalin abang Farid! Adeeehhh! Nasib baik okey... taklah turun peranakan dan sebagainya. Hurrrmmm... kalau boleh ingin ulangi kenangan lalu, pernah johan pertandingan ping pong dalam acara sukan PSKPPS!

Kiranya ada jugalah sejarah kecergasan diri suatu waktu dahulu!

 Merancang untuk acara larian yang seterusnya.
Rasanya, lepas ini nak ikut aktiviti lainlah pulak....ahaks!

Lepas lari, ajak Kam jalan-jalan masuk kampung. Jumpa gerai sate. Makan sate dulu dengan gado-gado. Order 20 cucuk sate dengan 2 bungkus gado-gado. Bawa pulang. 

Sampai rumah, Encik Suami tanya:
Ikut larian atau makan-makan?
Kita jawab: Lepas buang 300-400 kilo kalori, kita tambah semula 2000 kilo kalori...ngeeee!

Terima kasih kerana sudi baca Pelari Tercorot sampai habis!