ADSENSE

Rabu, 26 Februari 2020

Ayam Masak Lemak Cili Padi

Tahun 2020, rutin harian mula berubah.
Firdaus sudah menjejak kaki ke Tahun 1, sekolah agama sebelah pagi dan sekolah rendah sebelah petang. Sehari suntuk dari pukul 6 pagi, hingga 6 petang Firdaus tidak berada di rumah. Balik sekolah agama, tukar pakaian di rumah kakak ipar, dan terus ke sekolah rendah. Fairuz pula, apabila melangkah ke Tingkatan 6 Atas, sudah mula sibuk, dan lebih sibuk berbanding sewaktu berada di kelas 6 Rendah. Banyak kerja kursus yang hendak disiapkan, juga menghadiri seminar peperiksaan, dan tidak ketinggalan mengikuti aktiviti kokurikulum.
Hari pertama persekolahan, Fairuz pulang ke rumah dan sebaik sahaja melangkah masuk dia terus berteriak: Sunyinya tak ada Daus!!!!
Dua minggu kemudian, Fuad pulang bercuti selama sebulan. Apabila Farid tahu Fuad akan pulang ke LD, dia pun cepat-cepat membuat kelas ganti untuk pelajar-pelajarnya, dan kemudian ikut bersama Fuad terbang dari Kuala Lumpur ke Tawau.
Rumah kami kembali ceria. Riuh rendah dengan gelak tawa, usik-mengusik mereka 4 beradik. Setiap pagi, sama ada Farid atau Fuad akan masak bekal untuk Firdaus bawa ke sekolah rendah. Dan yang seronoknya, sudah tentulah anak-anak bujang akan bantu kemas rumah, kemas dapur, cuci tandas dan masak. Kita sampai rumah, hanya menunggu makanan dihidang atas meja.
Tapi, adakalanya mereka bosan dengan masakan sendiri. 
Mereka mahu kita juga yang masak untuk mereka!
Ada satu hari, dalam kepala berangan untuk mengolah Ayam Masak Lemak Cili Padi untuk hidangan tengahari untuk anak-anak. Untuk memudahkan kerja, nak masak sekali harung dengan sayur! Jadi, selain tambahkan kentang dalam masakan, Amie tambah lagi sayur sawi! Mudahkan? Tak payah banyak kali masak! 

Tapi.... tapi.... tapi!
Bila dah masuk dapur lain pula jadinya!
Tak apalah. Kita masak ayam dulu.

Bahan-bahan:
800 gram daging ayam - potong 10 bahagian
3 biji kentang saiz sederhana - belah 4
3 pokok sawi cina - potong ikut suka
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1 keping asam gelugor
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
35 biji cili padi hijau
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk / kisar hingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan kentang, dan balik-balikkan beberapa kali sehingga layu.
3. Tuangkan santan cair, dan masukkan asam gelugor.
4. Biarkan masak sehingga daging ayam menjadi empuk.
5. Tuangkan santan pekat, dan masak lagi selama 5 minit.
6. Masukkan sayur sawi cina.  
7. Apabila sayur sawi cina berubah warna, perasakan masakan  dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
Plan asal nak masak ayam saja, tapi bila hidang di meja keluarlah pula udang goreng. Sementara menunggu ayam empuk, dan nasi tanak, sempat pulalah keluarkan udang, bubuh garam dan kunyit. Goreng. Siap.

Bertambah lagi satu lauk, iaitu telur dadar. Firdaus akan cari telur dadar sewaktu makan nasi! 

 Udang goreng garam kunyit siap!

Telur dadar siap! Air asam pun siap, bubuh belacan, hirisan bawang, cili padi dan jus limau kasturi. Kebetulan Encik Suami bawa pulang ikan bulan, jadi terus potong 2 dan panggang dalam kuali ajaib.

Ini dia ikan bulan. Dulu Encik Suami tak pandai makan ikan bulan. Katanya banyak tulang. Kita suka. Kononnya gantikan ikan terubuk sebab di sini tak ada ikan terubuk.

 Dari Ayam Masak Lemak Cili Padi, terhidang pula macam-macam lauk.

Alhamdulillah.
Rezeki anak-anak. 
Bila mereka jauh dari sisi, rasa pedih jauh di lubuk hati!
Entri ini ditulis sementara menunggu ikan yang direndam menjadi lembut. Sebentar lagi akan turun ke dapur. Nak masak tengahari (kononnya), tapi makan sebagai hidangan malam. Tunggu Fairuz, Firdaus dan Encik Suami pulang menjelang pukul 6 petang nanti untuk makan bersama-sama.

Ahad, 23 Februari 2020

Makan-Makan Keluarga : Soto Ayam, Sayap Ayam, Lamb dan Sosej Panggang

Selamat menghabiskan hujung minggu bersama keluarga tersayang!
Bila melihat gambar di bawah ini, hati berasa sayu.  Rindu anak-anak yang sudah kembali ke tempat masing-masing. Sebenarnya gambar ini diambil pada hari Ahad bersamaan 2 Februari lalu. Lama dah kan? Seminggu sebelum Abang Farid terbang balik ke Perak, pada 8 Februari hari Sabtu. Seminggu berikutnya, Fuad pula menyusul terbang ke Johor.

Fuad baru sahaja menjalani pembedahan gigi gerahamnya, dan Alhamdulillah tidak timbul sebarang masalah sehinggalah jahitannya dibuka seminggu kemudian. Tidaklah hati ini risau memikirkan kalau dia sakit gigi lagi setelah pulang ke Johor. Makan minum pun dia okey sahaja, tidak rasa sakit katanya.

Ketika Firdaus berulang kali bertanya, bila nak buat pegedil kentang, Amie terbayang soto ayam yang enak terhidang di atas meja! Memang seronok buat kerja di dapur kalau ada pembantu! Dan pembantu kecil inilah yang meringankan kerja membuat pegedil!

Firdaus tumbuk sendiri kentang yang sudah digoreng bersama bahan-bahan lain, dan dia jugalah yang menyiapkan kerja membentuk pegedil menggunakan sudu sukatan seorang diri. Abang-abangnya entah di mana. Sibuk dengan urusan masing-masing di ruang tamu. Hampir 2kg jugalah kentang yang dilenyek untuk dibuat pegedil.

 Sampai berpeluh-peluh Firdaus buat siapkan pegedil.




 Alhamdulillah.
Dapat makan soto ayam sepuas-puasnya!




 Dah lama anak-anak tak merasa sayap panggang dan lamb panggang air tangan Mommy mereka. Bismillah.



 Pegedil kentang lesap semuanya tak sampai berapa minit!
Memang anak-anak hantu pegedil kentang!

Dan sudah tentunya penuh selera menikmati lamb panggang! Biasanya Amie sediakan sekali sos lada hitam, tapi kali ini makan saja dengan sambal kicap...hiks!

Rezeki anak-anak pada hari itu. Mommy nak makan soto ayam jew, tapi terhidang sayap ayam, sosej dan lamb panggang pula. Moga anak-anak sentiasa sihat, dan di bawah lindungan Ilahi dalam perjuangan mencari ilmu.

Tốt Bởi Danang & Hẹn Gặp Lại!

Hari terakhir di Da Nang.
Cadangan awal, akan ke Pasar Han tetapi setibanya kami di sana, pasar belum buka (atau memang ditutup), sebab khabarnya cuti Tahun Baru Cina di sini selama 9 hari! Jadi, kami berlengah-lengah dahulu di taman bunga berhampiran Jambatan Naga di tepi Sungai Han untuk menikmati keindahan bunga-bunga di sini. Kemudian kami terus ke lapangan terbang.

Selama 4 hari tiga malam di Da Nang, mata memang tak pernah lepas dari melihat pelbagai jenis bunga terutamanya bunga kekwa yang terdapat di sepanjang jalan khususnya di bandar dan kedai-kedai. Di Da Nang juga, iaitu di Ba Na Hills, dapat berkenalan dengan pelbagai warna bunga hyacinth yang semerbak mewangi! Selain menikmati keindahan tulip di Perth dan Turki, di Ba Na Hills pun tidak kurang cantiknya tulip warna-warni! Bunga hollyhock pun tidak ketinggalan dijadikan sebagai bunga hiasan di taman.

 Pagi terakhir di Danang Riverside Hotel.

Mari kita memburu bunga-bungaan di sekitar Da Nang. Di gunung, di tepi sungai, di tepi kedai dan di mana-mana sahaja, sampailah ke lapangan terbang.

Cantik sungguh taman di tepi Sungai Han. Bunga di tanam di dalam susunan buluh yang dijadikan pasu memang memikat mata yang memandang.

Pelbagai jenis bunga-bungaan berwarna-warni di tanam di sini. Antaranya termasuklah bunga cosmos, bunga telang, buang petunia, bunga coneflower, bunga marygold, bunga tobacco atau bunga nicotiana, bunga pansy, bunga poinsettia, bunga salvia dan maam-macam lagi.






























Terdapat banyak gerai di tepi jalan berhampiran taman bunga di tebing Sungai Han. Ada gerai makanan, minuman, buah-buahan, permainan, gambar dan sebagainya. Ada beberapa orang photographer di sini tetapi mereka sopan sebab mereka akan menawarkan khidmat hanya kepada yang berminat. Kalau pengunjung menolak, mereka hanya senyum dan mengangguk sahaja.Itulah yang sebaiknya, berbanding di satu-satu tempat atau negara lain yang pernah kami lawati, mereka mengambil gambar tanpa izin dan kemudian memaksa kita beli!



 Singgah di gerai cendera kenangan untuk menghabiskan waktu sebelum naik van.




Kami beli pembaris yang boleh diukir nama buat kenang-kenangan. Sebatang pembaris dan juga key chain yang ada di sini dijual dengan harga 20,000 VND, lebih kurang RM3.70 sen.


Walaupun topi-topi begini banyak dijual di Semporna, tapi nak beli juga sebagai kenang-kenangan. Maklumlah beg masih kosong, dan hanya dapat beli cendera kenangan di Hoi An.

 Pukul 10 pagi, kami sudah berada di lapangan terbang.

 Belilah apa yang patut untuk dibawa pulang termasuklah kopi Vietnam.

Oleh kerana VND yang dibawa masih banyak bakinya (tak sampai 1/4 digunakan), jadi kami bercadang untuk melabur di kedai minyak wangi...kihkihkihhhhhh!

 Rose Goldea Eau De Parfum Spray
Sumber : Google

Sepakat pula kami membeli minyak wangi Rose Goldea jenama Bvlgary. Kami beli 90ml sebotol Eau de Parfume dengan harga 137 USD. Kami gunakan mata wang dong iaitu sebanyak 3000380 VND.

Hasil carian imej untuk rose goldea bvlgari


Sumber : Google

Dengan pembelian sebotol EDP Rose Goldea, kami dapat 75 ml body lotion, 75 ml shower gel dan sebuah toiletry bag.
Jom naik kapal terbang!
Home sweet home nih!

Jumpa lagi kawan-kawan tersayang. Terima kasih MH MUSLIM PARADISE kerana telah mengurus perjalanan kami dengan sempurna. Terima ksih tour leader kami, Encik Hazwan, tour guide kami, Encik Ahmad, dan dua orang pemandu kami sepanjang berada di Da Nang. Untuk kawan-kawan baru, rasanya baru saja nak bermesra, sudah tiba masa untuk berpisah. Moga ada jodoh lagi di antara kita, boleh jalan sama ke destinasi lain pula. 

 Tốt Bởi Danang & Hẹn Gặp Lại! 
Selamat tinggal dan Da Nang dan jumpa lagi!

Imej mungkin mengandungi: Salawati Ishak dan Salami Simon, orang senyum
Mungkin tidur agak lewat dan bangun pagi lebih awal, jadi sebaik sahaja duduk di bangku kapal terbang, mata pun mula layu sampai tak boleh dibuka! 

 Jom kita tidur Salawati!

Alamak!
Datang pula nasi lemak!
Buka mata semula. Rezeki jangan ditolak. 

Jumpa lagi nasi lemak Pak Nassier dalam penerbangan dari Danang ke Kuala Lumpur!
Tiba di KLIA2, kami semua berpisah mengikut destinasi masing-masing.
Setelah hantar Salawati, Dayah dan Masytah sehingga mereka naik bas menuju ke Ipoh, Amie kembali bersendirian. 

 Malam itu laksa, wantan dan jus tembikai untuk isi perut.

 Paginya, sarapan pagi sendiri lagi.
Sarapan nasi lemak sambal sotong dengan segelas teh tarik.
Sambil makan nasi lemak, sambil menghitung rindu nak jumpa anak-anak di LD.

 Terkenang di pagi hari sebelum terbang ke Da Nang kami sarapan nasi lemak di sini.

Nampaknya nasi lemaklah teman kami pergi dan balik dari Danang. 
Sebelum terbang ke Da Nang, makan nasi lemak.
Dalam penerbangan ke Da Nang, makan nasi lemak.
Terbang dari Da Nang ke KLIA2 makan nasi lemak.
Nak terbang dari KLIA2 ke Tawau, makan nasi lemak juga.
Cukup lengkap tu.
Dan pagi tadi, awal pagi lagi Amie masak nasi lemak!
Lepas makan nasi lemak, siapkan entri terakhir ini.
Sekian.
Jumpa lagi!

Entri berkaitan jalan-jalan ke Da Nang, Vietnam:
Bercuti ke Vietnam : Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills
Makan Tengahari di Simpur Restaurant (Halal Bruneian & Malay) Danang
Hai Van Pass
Han Market Da Nang
Makan Keledek Ungu Goreng di Simpur Restaurant
Salem Riverside Hotel
Da Nang Museum of Cham Sculpture
Pantai Laut Mỹ Khê & HiepThanh
Asam Pedas Ikan Tenggiri di Simpur Restaurant
Naik Cable Car ke Bà Nà Hills
Cantiknya Tulip! Harumnya Hyacinth di French Village Ba Na Hills!
Golden Bridge (Sun World Bà Nà Hills Đà Nẵng)
Makan Cekodok Udang di Simpur Restaurant
Semburan Bola Api Dari Mulut Naga & Son Tra Night Market
Coconut Forest Basket Boat Tour di Cẩm Thanh, Hội An, Quảng Nam
Hội An Ancient Town yang Mengasyikkan!
Zeytun Middle Eastern & Mediterranean Cuisine
Mengunci Cinta di Love Bridge Danang Kala Senja
Naik Feri Waktu Malam di Sungai Han
Makan Gỏi Cuốn Tôm & Bánh Xèo di Thien Ly Restaurant
Tốt Bởi Danang & Hẹn Gặp Lại!