ADSENSE

Jumaat, 28 Jun 2019

Sambal Belacan, Ikan Bilis dan Petai

Assalamualaikum semua.
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk berkongsi resepi di dapur maya ini. Kalau muncul beberapa kali dalam seminggu itu maknanya masih ada ruang untuk berada di dunia maya. Kalau sekali dua dalam seminggu, maksudnya dalam keadaan sibuk dan mencari peluang juga untuk berada di sini. Kalau seminggu dua tidak muncul, itu membawa isyarat tuan dapur berada di luar kawasan atau sibuk yang teramat sangat....hiks! 
Tapi kalau hari-hari dengan paparan dua tiga resepi .... memang dalam keadaan santai dan semua kerja lain sudah dibereskan!

Kali ini Amie kongsikan menu yang ringkas, main campak-campak saja iaitu Sambal Belacan, Ikan Bilis dan Petai. Sebenarnya Amie tambahkan tempe, tapi nampak macam panjang sangatlah tajuknya dan bubuh tempe sekali....kihkihkihhhh! Amie masak lebur saja kesemua bahan, dan sudah tentunya disebabkan ingin menghabiskan stok sambal belacan! Jom lihat resepinya di bawah ini. Senang saja, ambil 1 cawan sambal belacan, tambahkan bawang, dan kesemua bahan lain digoreng terlebih dahulu. Petai tu digoreng sekejap saja, asalkan berubah warna. Ikan bilis goreng sampai garing. Tempe tu Amie tak suka goreng garing, macam tak ada rasa tempe pulak kalau goreng sampai garing...hiks!

Bahan-bahan:
1 cawan sambal belacan
1 cawan ikan bilis goreng
1 cawan hirisan tempe goreng
1 cawan petai goreng
5 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan - jika perlu

Cara nenasak:
1. Panaskan minyak, dan goreng bawang merah serta bawang besar sehingga kekuningan.
2. Masukkan sambal belacan, dan tumis seketika.
3. Masukkan serentak ikan bilis goreng, tempe goreng dan petai goreng.
4. Kacau beberapa kali dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan jika perlu.
5. Padamkan api dapur.


 Sempat jugalah panggang ikan kembung dalam kuali ajaib.

Beberapa hari lepas, Encik Suami nak makan pucuk remayung masak bening. Jadi, sementara menunggu pulang dari solat Jumaat, siaplah sudah hidangan untuk makan tengahari.

 Jemput makan sama ye... 

Selamat malam semua.
Malam ini kena tidur awal.
Esok pagi lepas solat Subuh kami akan bertolak ke Tawau, jemput bujang kami di Airport Tawau. 
Kawan-kawan kata : Rasanya baru saja budak tu terbang ke Johor, esok dah nak balik pulak!
Iyolah.... kapal terbang tu mak bapaknya punya, jadi ikut suka dialah nak terbang sana sini...hiks! Sebenarnya Fuad mulai bercuti selama 2 bulan. Kali ini penerbangannya bukan terus dari Johor ke Tawau, tapi dari KLIA ke Tawau.
Farid pula, tak boleh tengok Fuad balik LD, dia pun nak ikut juga!
Adoiii.... anaka-anak! Kalaulah Johor dan Perak itu jaraknya 200km, bolehlah tiap-tiap minggu balik!

Rabu, 26 Jun 2019

Sotong Goreng Sambal Belacan

Assalamualaikum.
Jumpa lagi di malam yang sungguh nyaman, dan mata pun dah mula layu-layu mengintai bantal!
Nak kongsi resepi Sotong Goreng Sambal Belacan. Sebenarnya watak utama yang ingin ditampilkan ialah kacang panjang! Tapi entah kenapa, sotong pula yang menonjolkan diri lebih-lebih...hiks!

Resepinya mudah saja, sebab Amie hanya gunakan sambal belacan yang memang sudah sedia ada. Boleh klik di sini untuk resepi sambal belacan Amie yang lalu : SAMBAL BELACAN SEDAP GILER!

 Lauk begini memang sedap ratah sahaja! Kacang panjangnya pun rangup dan manis!

Jumpa kacang panjang ini sewaktu jalan-jalan cari ikan di kampung. Murah sangat harganya, hanya RM1. Kacangnya pula masih muda! Kacang panjang beginilah yang Amie suka sangat makan sewaktu kecil dulu. Bonda banyak tanam sayur termasuk kacang panjang, dan Amie tak sabar-sabar nak petik kacang panjang di pokok walaupun kacang panjang masih muda benar!

Jadi, bila terjumpa kacang panjang penuh nostalgia ini, tak mungkin daku lepaskan dikau begitu sahaja...hiks!

Mengenangkan ada lagi sotong yang belum diolah, jadi Amie temankan kacang panjang ini bersama sotong, yang berakhir dengan tragedi sotong naik junjung... hahaaaaa! Kacang panjang pun tenggelam sebab sotong berlonggok di situ beramai-ramai!

Jom kita lihat resepnya seperti di bawah ini.

Bahan-bahan:
5 ekor sotong saiz sederhana - bersihkan - potong ikut citarasa - lumur dengan sedikit  garam dan serbuk kunyit
15 batang kacang panjang - potong sepanjang 3 cm
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 ulas bawang putih - diketuk 
cili padi - jika nak tambah pedas
3 sudu besar sambal belacan
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan - jika perlu (sambal belacan sudah ada rasa, sotong sudah dilumur dengan sedikit garam)

Jangan risau dengan kepelbagaian rasa sambal belacan yang mesra dengan masamnya, manis dan lemak masin. Masak dulu, kemudian baru tahu sedap atau tidak... heheeee.

Kalau rajin, gunakanlah bawang merah. Ini gaya masakan orang nak cepat-cepat tinggalkan dapur jew...hiks! Dan kalau nak cantik, bubuhlah hirisan cili merah supaya hasil masakan nampak menarik dan berwarna-warni.

 Tak sabar nak ratah kacang panjang muda ni!

Jom kita mula masak. Sotong pun dan bersedia menyerah diri. Tak perlu masak sotong lama-lama kecuali kalau anda sukakan rasa liat pada sotong ketika dikunyah. Masak serentak dengan kacang panjang dengan menggunakan api besar.

1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar serta bawang putih hingga kekuningan.
2. Masukkan sambal belacan dan tumis seketika.
3. Besarkan api dan kemudian masukkan serentak sotong, kacang panjang dan cili padi.
4. Kacau rata sehingga kacang panjang berubah warna. 
5. Masukkan garam / perasa pilihan sekiranya perlu.
6. Padamkan api dapur.

Wokey...Sotong Goreng Sambal Belacan dah siap.
Sekian dahulu, kisah kacang panjang tetapi sotong dan sambal belacan yang dapat nama!

Isnin, 24 Jun 2019

Sambal Bawang

Ketika sedang membelek-belek gambar dalam folder, terpandanglan  gambar-gambar bawang... ahaks! Marilah kita membawang pulak. Sebenarnya resepi ini sudah agak lama tersimpan, sewaktu bulan puasa yang lalu. Ketika itu Amie sedang mengemas dapur, berkira-kira untuk membeli barang dapur untuk persediaan hari raya. Banyak pula bawang merah kecil-kecil dan juga bawang putih dalam bakul! Jadi Amie putuskan untuk jadikan Sambal Bawang, dan boleh siman dalam peti sejuk, nak makan boleh panaskan semula. Maklumlah banyak juga hasil Sambal Bawang tu. Bawang merahnya pula lebih kurang 800 gram. Jenuh jugalah mengupas bawang kecil-kecil begini.


Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Amie bukan sahaja gunakan bawang merah tetapi juga bawang putih.

Bahan-bahan:
800 gram bawang merah saiz kecil - kupas dan belah 2 atau 4
1 cawan gula melaka (sudah diparut)
1 sudu besar pati asam jawa
3/4  cawan minyak
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
50 biji cili padi - boleh tambah jika suka pedas
10 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
2 labu bawang besar - hiris kasar
25 gram belacan

Cara:
1. Panaskn minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan gula melaka, pati asam jawa, dan bawang merah serta bawang putih.
3. Masak dengan api perlahan sehingga terbit minyak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.


Inilah bahan-bahannya.



 Kalau tak mahu kisar bawang besar, boleh juga hiris nipis dan tumis bersama bahan kisar.

Terpulanglah nak gunakan cili padi jenis apa. Nak tambah cili merah pun boleh.

Sambal Bawang sedia untuk dinikmati bersama nasi panas. Tambahkan teman seperti ikan goreng, telur dadar dan ulam-ulaman!

Ahad, 23 Jun 2019

Laksa Asam Paling Sedap!

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Terima kasih diucapkan kepada followers baru yang sudi memeriahkan dapur kecil ini. Moga perkongsian cerita dapur dalam dunia maya ini akan memberikan manfaat buat semua.
Pagi ini tidak ada resepi istimewa yang akan Amie kongsikan melainkan resepi Laksa Asam yang Amie rasa belum puas dinikmati walaupun setakat ini sudah 4 kali Amie memasaknya termasuk sewaktu berbuka puasa, dua kali masak untuk hidangan hari raya dan untuk hari ini juga. Sementara menunggu laksa yang direndam menjadi putih, Amie tuliskan entri ini dahulu kerana petang nanti akan bersiap-siap  menghadiri rumah terbuka raya pula. In shaa Allah. 
Alhamdulillah, setakat ini dapat menghadiri setiap jemputan rumah terbuka yang diadakan sama ada oleh keluarga, jiran tetangga dan juga kawan-kawan (tidak semestinya hari cuti.) Jadi, dapur pun kurang berasap seminggu dua ini terutamanya pada waktu malam.

Amie hanya ingin kongsikan keenakan hidangan Laksa Asam yang bukan sahaja Amie rasakan sedap, tetapi para tetamu juga berpendapat sedemikian, malah ada yang meminta resepinya. Laksa yang sedap sebenarnya terletak pada kuahnya. Sedap kuahnya, maka sedaplah keseluruhannya. Bahan-bahan lain seperti telur rebus, nanas, daun salad, hirisan timun, hirisan bawang dan yang sewaktu dengannya semuanya itu sebagai pelengkap. Begitu juga dengan petis (bagi sesiapa yang suka sebab ada yang alahan dengan baunya) serta bahan penambah rasa seperti perahan jus limau kasturi dan hirisan cili padi!
Untuk mendapatkan kuah laksa yang memang sangat sedap boleh klik blog link Amie di sini: CARA MEMBUAT KUAH ASAM LAKSA PALING SEDAP!

Ini sahaja gambar laksa asam yang sempat Amie rakam pada malam rumah terbuka raya kami. Maklumlah sibuk melayan tetamu dan menyediakan hidangan lain, jadi memang tidak ada masa untuk fokus tangkap gambar.

Untuk hidangan Laksa Asam ini Amie masak dua kali, iaitu pada sebelah malam untuk keluarga sebelah Encik Suami, dan pada keesokan harinya Amie masak lagi untuk tetamu Amie dan tetamu Encik Suami yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja.

Sebelum ini, kuah asam laksa yang Amie buat tidak menggunakan cili kering yang banyak, dan warnanya pula agak pucat seperti gambar di bawah. Ketika hari raya, Amie tambahkan kuantiti cili kering, dan warnanya lebih terang dan agak pedas sedikit tetapi rasanya tetap sedap!

Gambar atas, percubaan kali pertama gunakan resepi yang Amie gbungjalinkan hasil dari pengalaman makan laksa, masak kuah laksa dan idea teman-teman.

Kalau kali pertama Amie hanya gunakan 'hati' nanas dan bunga kantan kisar, tetapi kali kedua, Amie lebihkan nanas iaitu dengan menggunakan keseluruhan bahagian nanas! Rasanya juga lebih terangkat....  Oh! Sedapnya!

Langkah seterusnya, Amie gunakan kaedah 'keringkan air' terlebih dahulu sebelum memasak kuah laksa. Bahan-bahan yang dikisar termasuk bawang besar, bunga kantan, nanas dan sebagainya dimasak dahulu sehingga kering, dan kemudian barulah masukkan ikan yang dikisar serta air tulang ikan yang dikisar dan ditapis.

Jangan lupa, sebagai penyedap rasa, tambahkan ikan sardin dalam tin! Untuk majlis rumah terbuka Amie masak kuah menggunakan 2 kg ikan bersama satu tin besar ikan sardin dan sebiji nanas seberat 1 kg. Maaflah ye, tak boleh jangkakan untuk makan berapa orang, sebab tak sempat kira berapa tetamu yang hadir. Tapi, ada yang menambah beberapa kali sebab sukakan kuahnya yang sedap itu! Jadi, rasa berbaloi-baloi menyediakannya walaupun agak memenatkan sebab Amie pun masak makanan yang lain juga.

Gambar di atas, kuah laksa yang lepas dengan warna yang agak pucat dan gambar bawah, Asam Laksa di hari raya dengan kuah yang lebih menyerlah. Mari kita lihat resepi yang Amie gunakan untuk rumah terbuka yang kami adakan untuk keluarga pada malam hari raya pertama.

Bahan-bahan:
3 bungkus laksa kering - rendam dengan air biasa sehingga bertukar warna putih - celur - toskan
2 kg ikan selayang - bersihkan - toskan (kalau boleh gunakan 2 jenis ikan seperti ikan selayang + ikan kembung - 1 kg selayang + 1 kg kembung)
1 tin besar ikan sardin - pisahkan isi dari sosnya
4  kuntum bunga kantan - belah 4
20 tangkai batang daun kesum
10 keping asam gelugor
4 batang serai - dititik
6 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
50 tangkai cili kering - ikut pilihan cili kering masing-masing (boleh tambah atau kurangkan) - ada jenis cili kering pedas dan kurang pedas
20 tangkai cili padi - ikut suka nak bubuh atau tidak
14 labu bawang besar
30 gram belacan - bakar
2 kuntum bunga kantan - hiris kasar
1 biji nanas seberat 1kg
4 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
(Nanas yang Amie gunakan nanas yang sudah masak. Amie beli nanas separuh masak tiga hari sebelum masak kuah laksa, dan nanas sempat masak ranum! Walaupun rasanya manis tetapi tidak menjejaskan rasa kuah, sebab manis buah semula jadi dan bukannya gula! Jadi, penambahan asam gelugor, garam / perasa pilihan dapat seimbangkan rasa kuah tersebut.

Bahan pelengkap:
hirisan timun
hirisan bawang besar
hirisan nanas
hirisan bunga kantan
telur rebus
petis 
limau kasturi 
sambal kicap / hirisan cili padi / cili merah

Cara memasak:
1. Rebus ikan selayang dengan menggunakan 6 liter air dan 6 keping asam gelugor. Jangan rebus terlalu lama. Sebaik sahaja air rebusan ikan mendidih, dan biji mata ikan tersembul putih, tutup periuk dan padamkan api dapur. Biarkan sekitar 5 minit sebelum ditapis untuk memisahkan air rebusan dan ikan.
2. Masukkan kesemua bahan kisar ke dalam periuk, dan masak sehingga airnya kering.
3. Pisahkan isi ikan dengan tulang dan kepala ikan.
4. Kisar isi ikan bersama air rebusan ikan.
5. Kemudian kisar tulang dan kepala ikan dengan air rebusan ikan dan tapis.
6. Keluarkan isi sardin dalam tin dan pisahkan isi dengan sosnya.
7. Kisar ikan sardin bersama air rebusan ikan.
8. Masukkan kesemua isi dan air tulang ikan yang dikisar serta lebihan air rebusan ikan ke dalam periuk. Tiada penggunaan air biasa selain air rebusan ikan.
9. Setelah kuah mula mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan, serai serta asam gelugor lebihan untuk rebus ikan.
10. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan akhir sekali masukkan lebihan kepingan isi ikan selayang dan ikan sardin.
11. Biarkan mendidih lagi selama lebih kurang 5 - 10 minit dan kemudian padamkan api dapur.
Alhamdulillah! Sebaiknya masak kuah lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan kerana kuah akan menjadi lebih mesra dan sebati. Untuk rumah terbuka sebelah malam, Amie siapkan kuah laksa sebelah tengahari, dan sebelum dihidang Amie panaskan semula. Ketika ini kita boleh 'memperbaiki' rasa kuah sekiranya ada yang terkurang seperti menambahkan garam dan sebagainya.

Amie yakin Laksa Asam yang dihasilkan dapat memancing selera para tetamu. Selepas ini Amie tidak akan berfikir dua kali sekiranya ingin menghidangkan Laksa Asam kepada tetamu sebab sudah mendapat resepi kuah yang semeangnya sungguh sedap. Apa pun, lain padang lain belalang, lain orang lain seleranya.... betul tak? 

Rasanya laksa yang direndam sudah berubah warna putih di dapur tu.... ! Kuah laksa pun sudah lama menunggu, dan Amie akan panaskannya sekali lagi. Terima kasih sudi membaca dan untuk melihat gambar lengkap segala bahan membuat kuah laksa asam, boleh klik sekali lagi di sini: Cara Membuat Kuah Laksa Asam Paling Sedap!

Belanja gambar anak-anak bujang yang membantu di dapur setiap kali diadakan rumah terbuka. Sebelah siangnya bukan main bergaya, sampai rumah kena tukar baju tolong Mommy di dapur! Fuad ini tukang lap pinggan mangkuk, dan sediakan minuman.

 Farid memang tidak cukup tangan bantu Mommy potong itu ini dan cuci pinggan mangkuk!

Fairuz, bertugas memastikan kalau hidangan berkurangan, kena cepat-cepat isi semula.

Terima kasih anak-anak Mommy!

Sekian!
Cerita Laksa Asam.
Jom ikut Amie ke dapur.... makan Laksa Asam!

Jumaat, 21 Jun 2019

Sambal Goreng Kates

Pernah dengar perkataan 'kates?"
Biasanya kita dengar nama lain bagi betik ialah papaya tetapi MIL panggil kates. Kadang-kadang disebutnya sebagai kepayas. Pada Amie, betik atau kates ini sangat istimewa sebagai salah satu lauk di antara pelbagai lauk dalam hidangan semasa kenduri-kendara keluarga sebelah Encik Suami. Jarang sangat Amie tidak jumpa masakan betik yang mereka panggil Sambal Goreng Kates. Kadang-kadang tertanya-tanya juga, di mana rasa pedasnya sehingga dipanggil sambal dan mengapa pula ada 'goreng'nya, sedangkan masakan ini ditumis. 
Akhirnya Amie akur, kita perlu terima walaupun ia membawa maksud yang agak berbeza dengan kebiasaan budaya yang kita amalkan. Setelah Amie terbaca pengenalan  Harum-Haruman si Bunga Pala dalam buku masakan Hidangan Tradisi Pulau Pinang, maka Amie simpulkan betapa perlunya kita menghormai tradisi kaum lain. Kita tidak faham, dan kita tidak turut serta 'membina' tradisi mereka, jadi sebaiknya kita jadikan sebagai satu perkongsian ilmu dalam dunia masakan. Dalam buku masakan yang dihasilkan oleh Puan Hasma Basir, Amie petik kata-kata berikut:
Sebagai sebuah dokumentasi tradisi, buku ini cuba merakamkan semangatnya menerusi penggunaan diksi tempatan. Ini terlihat dari segi nama masakan, kaedah memasak serta bahan yang digunakan. Sebagai contoh, 'gulai' dalam penggunaan masyarakat Pulau Pinang adalah khusus merujuk kepada masakan yang disebut 'kari' di tempat-tempat lain di negara ini. 'Rendang' pula ialah istilah umum bagi kaedah menggoreng. Oleh yang demikian, para pembaca akan mendapati 'ayam rendang' bukanlah masakan yang menggunakan santan dan ditambah dengan kerisik bagi menghasilkan cita rasa yang mewah berlemak! Bahkan ikan boleh juga direndang!
Wokey!
Jadi, Sambal Goreng Kates merujuk kepada masakan tradisi Melayu Cocos yang menggunakan kaedah menumis serta penggunaan cili besar dan bukannya cili padi atau cili kering.

Sambal Goreng Kates ini Amie masak kelmarin petang. Agaknya betik yang dibeli tidak terusik dari pagi, jadi bila lewat petang baru dikupas, rupanya betik yang pada mulanya mengkal dan separuh masak sudah mulai masak! Sebaiknya kena gunakan betik mengkal untuk menghasilkan Sambal Goreng Kates yang sedap seperti yang MIL pernah ajar semasa hayatnya.


Inilah rupa sebiji betik yang Amie hiris untuk dijadikan Sambal Goreng Kates. Ikut tradisinya, betik akan dimasak dengan tambahan mempedal dan hati ayam yang direbus terlebih dahulu. Namun begitu menurut MIL, kalau tak ada bahan itu, boleh juga digantikan dengan bahagian daging ayam yang disukai. Amie hanya terjumpa beberapa keping mempedal ayam bersama jantungnya yang sudah bercerai dari hati. Jadi, Amie tambahkan kepingan daging ayam

 Ini sahaja bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan Sambal Goreng Kates. 

 Hirisan bawang dan cili.

 Mempedal ayam dan daging ayam.

Jangan lupa asam jawa!
Amie gunakan 1 sudu kecil pati asam jawa dan bancuh dengan sedikit air. Kata MIL Sambal Goreng Kates tak menjadi tanpa asam jawa!

Bahan-bahan:
1 kg betik / katis mengkal - kupas kulit dan hiris memanjang
1 cawan mempedal - hiris ikut saiz yang digemari
1 cawan potongan kecil daging ayam
4 biji cili merah - hiris
4 biji cili hijau
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 cawan air
garam / perasa pilihan
minyak

Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang merah hingga wangi.
2. Masukkan hirisan cili merah dan cili hijau dan goreng hingga layu.
3. Masukkan mempedal ayam dan daging ayam. Kacau rata.
4. Masukkan hirisn kates / betik.
5. Tambahkan bancuhan air asam jawa dan gaul rata.
6. Masukkan air dan kemudian tutup masakan. Biarkan mendidih dan kuahnya mula pekat.
7. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
8. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Boleh klik di sini untuk mendapatkan resepi yang sama : SAMBAL GORENG KATES.

Isnin, 17 Jun 2019

Coto Makassar Hidangan Lazat di Aidil Fitri

Assalamualaikum.
Perkongsian resepi sebelum beradu...hiks!
Bila melihat gambar-gambar suasana hari raya, terpandang beberapa keping gambar makanan yang terselit di antara beratus gambar yang lain. Salah satunya ialah hidangan Coto Makassar. Biasalah, dalam keadaan sibuk menyediakan juadah dan melayan tetamu di rumah sendiri, memang tidak ada masa untuk mengambil gambar. 

Salah satu hidangan hari raya di rumah terbuka kami ialah Coto Makassar. Buat pertama kalinya Amie hidangkan menu ini untuk santapan ramai. Amie masak dua kali untuk menu ini. Kali pertama untuk hidangan keluarga sebelah Encik Suami, dan kali kedua untuk hidangan kawan-kawan Amie dan juga tetamu Encik Suami. Pada mulanya teragak-agak juga untuk Amie cadangkan menu ini kepada Encik Suami memandangkan sebelum ini Amie belum pernah menjamu tetamu dengan Coto Makassar. Bagaimanapun, Amie yakinkan diri boleh menyediakan Coto Makassar yang 'boleh diterima' oleh para tetamu. Lagipun, selama ini Amie sudah mencuba rasa Coto Makassar dari pelbagai gerai dan warung serta pelbagai daerah termasuk Lahad Datu, Sandakan, Tawau, dan juga Telupid. Dan Amie juga sudah beberapa kali masak Coto Makassar di dapur sendiri dan pernah belajar daripada pembantu rumah MIL suatu ketika dahulu.

Coto Makassar ini Amie hidangkan bersama pilihan daging, paru dan perut lembu. Tetamu juga boleh memilih untuk campurkan dengan suhun atau pun nasi himpit.

Biasanya Coto Makassar dinikmati bersama buras.

Teragak-agaklah pula nak tempah buras sebelum menjelang rasa, akhirnya tak jadi tempah!

Tanpa buras, Coto Makassar ditambah suhun dan nasi himpit juga tetap sedap!
Apa yang penting ialah kuah coto. Kuah coto yang sedap akan mempengaruhi keseluruhan rasa Coto Makassar!

Minta maaf sebab gambar kurang jelas. Gambar tangkap-tangkap begitu saja asalkan ada. Amie masak kuah dalam kuantiti yang agak banyak, maklumlah tetamu yang datang bukan boleh dikira dengan jari.... heheeeee! Seronok sangat bila keluarga dan sanak saudara datang bertandang hingga lupa segala penat lelah di dapur. Bila dah penat, nak makan pun kurang berselera. Bila melihat gambar Coto Makassar semula, terliur pulak dah...ahaks!
Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Boleh juga klik di sini: COTO MAKASSAR untuk resepi Amie yang lepas, dalam kuantiti yang sedikit, sesuai untuk sebuah keluarga. Bagaimanapun, Amie buat penambahbaikan dalam resepi kali ini hasil perbincangan dengan rakan-rakan dan hasil 'merasa' Coto Makassar di pelbagai tempat. Untuk hasil Coto Makassar yang sedap, biasanya air basuhan beras yang ketiga akan digunakan. Kebetulannya Amie akan memasak nasi tomato, jadi separuh dari air untuk merebus bahan Amie gunakan dari air basuhan beras. Selebihnya Amie tambah dengan air biasa. Tambahan kacang tanah kisar akan menambah kelazatan kuah walaupun hanya separuh sahaja air basuhan beras digunakan.

Bahan-bahan:
4 kg perut lembu
1 kg peparu lembu
1 kg daging lembu
5 liter air
4 liter air basuhan beras yang ketiga
5 cm lengkuas - tambah 1/2 cawan air - kisar - tapis / perah - ambil airnya
5 batang serai - ketuk
8 cm halia - kisar
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Rebus perut, peparu dan daging menggunakan air biasa sehingga mendidih.
2. Buangkan air rebusan dan bilas bahan rebusan.
3. Masukkan bahan rebusan ke dalam periuk dan tambahkan air basuhan beras, air biasa, serai, halia, air lengkuas yang ditapis dan garam / perasa pilihan. 
4. Rebus dengan menggunakan api perlahan sehingga kesemua bahan empuk. Kalau gunakan api kuat nanti air rebusan akan cepat berkurangan. Jika ada pressure cooker, gunakanlah. Amie lebih suka gunakan periuk biasa, tidak memaksa bahan rebusan menjadi empuk dengan segera...hiks!

Kalau tak suka perut, dan organ dalaman,  boleh gunakan daging sahaja. Pengunaan bahan tidak terhad, boleh gunakan urat, gantikan dengan daging ayam dan sebagainya. Bila bahan rebusan dah empuk, keluarkan dari periuk. Air rebusan tu jangan pulak dibuang! Biarkan terus mendidih dengan api perlahan. Bahan rebusan nanti bolehlah dihiris ikut saiz yang disukai.

Sementara itu kita sediakan bahan tumisan pulak seperti di bawah ini.

Bahan kisar:
5 labu bawang besar
15 biji bawang merah
15 ulas bawang putih
4 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan putih 
5 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris -hiris
1 sudu besar lada putih
8 biji buah keras
3 sudu besar serbuk rempah sup

Bahan lain:
3/4 cawan  minyak 
1.5 kg kacang tanah tanpa kulit- goreng - kisar halus
hirisan daun sup / bawang
bawang goreng
(Penggunaan kacang tanah tanpa kulit akan menjadikan kuah coto berwarna cerah keputihan, manakala penggunaan kacang tanah berkulit akan menjadikan kuah coto lebih gelap keperangan). Kalau tidak ada kacang tanah tanpa kulit, goreng saja kacang tanah biasa, dan kemudian buang kulitnya sebelum dikisar halus.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk berisi air rebusan yang sedang mendidih.
3. Seterusnya masukkan kacang tanah goreng yang dikisar halus.
4. Terus didihkan dengan api perlahan selama 10 minit lagi, dan kemudian tambahkan bahan perasa lagi sekiranya perlu untuk menyempurnakan rasanya.
6. Taburkan segenggam bawang goreng dan segenggam daun sup/ daun bawang. Kacau sekali dua. Tutup periuk dan padamkan api dapur.

Inilah rupa kuah Coto Makassar yang sempat Amie ambil gambar di tengah kesibukan suasana di malam hari ketika sanak saudara berkunjung. Untuk menjaga rasa Coto Makassar akan enak dinikmati, kuah hendaklah sentiasa panas. Jadi, Amie hanya mengambil kuah secukupnya sahaja dari periuk besar dipindahkan ke periuk yang lebih kecil untuk dihidangkan. Jika berkurang atau agak sejuk sedikit, Amie akan panaskan kembali dan hidangkan semula.

Antara bahan pelengkap Coto Makassar yang disediakan selain perut,daging dan peparu, nasi himpit dan suhun, dan lebih sempurna dengan adanya hirisan batang leek, hirisan daun sup, bawang goreng dan limau kasturi. Fairuz ditugaskan untuk memastikan apa-apa bahan yang kurang, dan mengisinya semula. Farid pula membantu mencuci pinggan mangkuk di dapur. Alhamdulillah. Anak-anak bekerjasama membantu meringankan tugas melayan tetamu.

Ada lagi satu bahan yang Amie tidak sempat ambil gambar untuk dikongsikan di sini iaitu sambal untuk Coto Makassar. Boleh nampak jugakan sambal tu di dalam gambar di bawah ini, yang kebetulan Amie sempat bubuh di atasnya heheee...! Sambal Coto Makassar ini diperbuat daripada campuran cili padi, cili merah, taucu dan juga buah keras yang dikisar halus kemudian ditumis hingga terbit minyak, dan diperasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Bagaimanapun, Amie lihat tetamu lebih suka mengambil 'sambal kicap' yang Amie sediakan untuk pelengkap Laksa Asam untuk ditambah dalam mangkuk Coto Makassar!

Walaupun ada hidangan lain yang disediakan termasuk nasi tomato, opor ayam, daging masak hitam dan jelatah tetapi nampaknya para tetamu lebih teruja untuk menikmati Coto Makassar dan Asam Laksa. Begitulah ceritanya. Kita belajar dari pengalaman. Setelah seharian berhari raya dan menjamu selera dengan pelbagai jenis makanan yang berat seperti ketupat, rendang dan lemang serta buras, tetamu jarang mencari 'nasi' di waktu malam, sebaliknya mencari hidangan yang lebih berupa sup atau berkuah!

Sekian.
Selingkar kisah di hari raya.