ADSENSE

Ahad, 30 September 2018

Ikan Susu Masak Singgang

Lama juga rasanya tak masak singgang ikan.
Kali ini Amie kongsikan lagi resepi ikan susu. Ikan Susu Masak Singgang.

Resepi : Ikan Susu Masak Singgang
Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu - seberat 800 gram - bersihkan dan potong 6 bahagian
1 batang serai - diketuk
2 cm halia - diketuk
1 keping asam gelugur
3 biji tomato - belah 2
2 biji cili merah - belah jangan sampai putus
2 biji cili hijau - belah jangan sampai putus
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih - diketuk
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 liter air
garam  / perasa pilihan

Cara memasak:
1. Jerang air dalam kuali / periuk.
2. Masukkan serai, halia, bawang putih, bawang besar, asam gelugur, cili merah, cili hijau, cili padi dan serbuk kunyit. Biarkan mendidih.
3. Kemudian masukkan ikan bersama tomato.
4. Biarkan kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak sempurna.
5. Tambahkan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Sambal Goreng Mandai dengan Tempe

Sambal Goreng Mandai dengan Tempe ini Amie perolehi daripada seorang rakan sekerja lama dulu... sekitar tahun 1997 ke atas, kalau Amie tak silap. Kisahnya begini: rakan sekerja Amie ini baru mengandung anak pertama, dan sering mabuk-mabuk tetapi suaminya yang mungkin tidak memahami selalu mengatakan isterinya ini 'mengada-ngada' dan katanya lagi, dia tak pernah pun tengok isteri orang lain yang mengandung sakit itu atau sakit ini. Maklumlah, kedua-duanya baru berkahwin dan terus dihantar ke Lahad Datu. Kasihankan! Jauh dari emak bapak pula tu. Bila suami tak memahami isterinya alahan, isteri nak mengadu dengan siapa? Waktu itu bukannya ada telefon canggih seperti sekarang!
Sejenis makanan yang boleh diterima tekak kawan tadi sepanjang tempoh mengidam  ialah mandai. Dia berusaha untuk masak mandai, mencari cempedak, dan mengolah kulitnya. Kemudian dibawanya ke tempat kerja, dan diajaknya kami makan bersama.  Itulah kali pertama Amie makan mandai, dan dengan senang hati teman tadi berikan Amie resepinya. Kemudian Amie cuba buat sendiri di rumah. Memang sedap!
Kalau anda rajin bertanya Pak Google, terdapat pelbagai cara membuat mandai dan masakan mandai. Apa yang Amie kongsikan di sini ialah resepi yang teman Amie kongsikan. 

 Inilah hasilnya, Sambal Goreng Mandai dengan Tempe.

Resepi: Sambal Goreng Mandai dengan Tempe
Bahan-bahan:
1 mangkuk mandai - bilas dan perah airnya - kemudian potong-potong ikut citaras
1 bungkus tempe - potong ikut suka
4 batang kacang panjang - potong ikut suka
1/2 mangkuk ikan bilis - rendam seketika dan toskan airnya
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
5 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih 
1 labu bawang besar 
2 biji cili merah 
2 biji cili hijau 
15 biji cili padi 

Cara memasak:
1. Goreng tempe dan ikan bilis secara berasingan. Ketepikan.
2. Tinggalkan dalam kuali kira-kira setengah cawan minyak bekas gorengan bahan di atas.
3. Tumis kesemua bahan hiris hingga layu. Kemudian masukkan mandai dan kacang panjang. Gaul rata.
4. Kemudian masukkan ikan bilis dan tempe goreng.
5. Tambahkan sedikit garam (mandai sudah sedia masin), gula  / perasa pilihan.
6. Gaul beberapa kali, dan kemudian padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi panas.

Cara menyediakan mandai:
Ambil sebiji buah cempedak yang sudah dikeluarkan isinya. Buang kulit cempedak dan hiris kasar bahagian yang tinggal. Gaul dengan 2-3 sudu besar garam. Masukkan dalam bekas kedap udara. Tuangkan air masak sehingga menutupi bahan tadi. Tutup rapat dan boleh diolah selepas seminggu.

Roti Paratha & The Gang

Dari malam tadi Firdaus merengek-rengek minta roti canai. Amie pujuk, esok pagi kita buat roti canai. Firdaus pun tidur. Pagi-pagi lagi dia menagih semula. Sebenarnya tidak ada roti canai, yang ada hanya roti paratha ready made. Atas permintaannya juga, Amie buatkan pencecahnya, iaitu sambal sardin dan kentang masala. Nampak macam tak berapa masuk pula, tapi itulah yang sangat sedap bagi Firdaus!
Encik Suami pesan, lebihkan roti paratha sebab memang ada "raja paratha" di rumah kami ...hiks!

Sambal Sardin itu biasa-biasa sahaja cara olahannya. Amie tumiskan cili kering kisar bersama bawang putih dan bawang merah serta sedikit belacan. Ketika memasak, Amie hancurkan sedikit ikan sardin. Firdaus suka rasa yang agak pedas, itu sebabnya Amie bubuh cili kisar selain hirisan cili merah dan cili hijau.

Untuk olahan Kentang Masala pula, Amie gunakan resepi dari blog Wanithevan's Kitchen Tresure. Resepinya mudah sahaja, dan untuk lebih lanjut bolehlah ke dapur beliau untuk kongsi resepi puree bersama kentang masalah DI SINI. Terima kasih Wanithevan di atas perkongsian resepi anda yang sedap ini!


Jemput makan.
Firdaus makan 2 keping roti paratha!

Ahad, 16 September 2018

Sambal Tomato untuk Bonda

Banyak kali dah kongsi resepi Sambal Tomato.
Kali ini Amie kongsikan Sambal Tomato yang Amie masak untuk Bonda semasa singgah beberapa hari di kampung. Bonda tak makan belacan atau udang kering, jadi Amie gantikan dengan ikan bilis. Memang Amie sengaja masak lebih, walaupun Amie tahu tak mungkin Bonda mampu habiskan Sambal Tomato itu. Anak menantu, cucu cicit Bonda memang datang ke rumah setiap hari, jadi bolehlah makan Sambal Tomato bersama-sama. Tak kisahlah makan dengan apa pun...hiks!

Untuk resepi yang biasa Amie buat menggunakan udang kering, belacan dan cili padi, bolehlah klik di sini : Sambal Tomato Sedap.
Sambal Tomato untuk Bonda ini, Amie gunakan apa sahaja bahan yang ada di dapur. Kak Aton kata Bonda tak suka masak gunakan bawang merah, lambat nak buang kulit katanya. Ya, Amie pun faham dengan usia dan keuzuran Bonda. Biarlah ikut apa yang mudah bagi Bonda. Jadi di sini, Amie hanya gunakan bawang besar sahaja.

 Amie gunakan lebih 1 kg tomato.

Hiris tomato atau kalau nak potong dadu / cincang pun boleh.

 Bawang besar pun Amie gunakan lebih 1kg.

Nak hiris dadu atau cincang pun boleh juga. Ikut citarasa sendirilah ye.

Amie tak gunakan banyak cili padi sebab Bonda tak suka pedas sangat. Amie hanya gunakan15 biji cili merah, buang biji dan 40-45 biji cili padi.

 Rendam 1 setengah cawan cawan ikan bilis hingga lembut dan kemudian toskan.

 Jangan lupa bawang putih. Amie gunakan 1 setengah labu bawang putih.

Cili merah, cili padi, ikan bilis dan bawang putih dikisar sekali harung.

Panaskan minyak sebanyak 1 setengah cawan ke dalam periuk / kuali.

 Goreng hirisan bawang besar hingga kekuningan.

 Kemudian masukkan hirisan tomato.
Tumis hingga tomato layu.

 Masukkan bahan kisar pula.

 Biarkan sambal mendidih kira-kira 10 minit, kemudian perlahankan api dapur.

Masak hingga sambal menjadi pekat, tambahkan perasa pilihan seperti gula, garam dan jika sukakan lebih masam boleh tambahkan asam keping atau asam jawa. Amie tak bubuh sebab lebih suka rasa semulajadi tomato.
Apabila Sambal Tomato telah masak, kesemua bahanmenjadi hancur. Bolehlah padamkan api dapur.

Gambar di bawah ini merupakan Sambal Tomato dari sini: Sambal Tomato Sedap

Sambal Tomato ini Amie bubuh buah keras, cili padi, bawang merah, bawang besar dan bawang putih serta belacan dan udang kering. Rasanya memaglah jauh terangkat...hiks!

Boleh pilih mana satu Sambal Tomato yang berkenan di hati.

Khamis, 13 September 2018

Brengkes Ikan Patin untuk Bonda

Rugi rasanya sesekali balik kampung tapi tak mengambil kesempatan memasak untuk Bonda. Walaupun ketika itu diburu kesibukan mengurus pendaftaran Fuad, dan terasa letih tapi Amie tetap bersemangat untuk masak sejienis dua lauk makan tengahari. Pada sebelah malamnya sebaik sahaja Kak Aton hantar Amie dari membeli keperluan dapur, Bonda berkata:
+ Ada orang bagi dua ekor ikan patin.
+ Emak dan siang.
+ Kalau nak makan, masak sajalah. Masak lemak cili padi ke kalau suka.
+ Tapi emak tak mahu makan.
- Kenapa mak?
+ Emak tak suka bau ikan patin.
- Ikan patin kan sedap mak?
+ Emak tak suka. Masaklah ikut suka hati. Mak tak akan makan.
- Mak. Esok orang masakkan emak brengkes ikan patin ye? Tak ada bau mak. Hilang bau ikan patin tu.
+ Emak memang tak suka makan ikan patin dari dulu.
- Tak apa. Esok emak boleh cuba masakan brengkes ikan patin.
Tanpa memikirkan cukup bahan atau tidak, Amie pun berangan untuk masakkan Bonda Brengkes Ikan Patin.
Keesokannya, dapatlah Amie kumpulkan bahan-bahan yang ada. Cukuplah ada ketumbar biji, cili kering, serbuk kunyit, bawang putih, bawang merah dan yang penting perahan jus limau nipis.
Oh! Ya.... santan kelapa!
Rupanya yang ada hanya santan kotak. Selama ini Amie tak pernah masak brengkes gunakan santan kotak. Amie patuhi resepi MIL, gunakan kepala santan segar!
Tak apalah.
Dah tak ada rotan, akar pun berguna!

Akhirnya siap jugalah Brengkes Ikan Patin walaupun Amie gunakan santan kotak!

 Inilah bahan-bahan yang diperlukan. Tidak banyak!

 Campuran cili kering, ketumbar biji, bawang putih, bawang merah dan serbuk kunyit.

 Ini juga antara bahan terpenting : Limau nipis!

 Ikan patin yang sedia untuk digoreng terlebih dahulu.

 Sebaiknya gunakan santan segar ye!

Resipi : Brengkes Ikan Patin
Bahan-bahan:
8 kepingan ikan patin yang sudah dibersihkan - gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja - Amie gunakan 1/2 kotak santan kotak
1  1/2 sudu besar serbuk kunyit 
2 biji limau nipis - perah jusnya 
garam / perasa pilihan
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
4 sudu besar biji ketumbar 

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak / hingga masak pun boleh - angkat dan ketepikan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.

 Ikan patin siap digoreng.

 Tumis sampai pecah minyak bahan-bahan perencahnya itu.

 Masukkan ikan patin goreng.

 Tambahkan santan.

 Hati-hati sewaktu membalik-balikkan ikan.

 Tambahkan perasa pilihan, dan jangan lupa perahan limau nipis sebagai sentuhan akhir.

Risau juga kalau Bonda tak mahu makan Brengkes Ikan Patin. Selain ikan kering yang Bonda suka, Amie masakkan untuk Bonda sambal tomato, telur dadar dan masak lemak labu air.
Alhamdulillah, Bonda makan juga Brengkes Ikan Patin. Tak tahulah sebab apa, adakah sebab nak jaga hati kita...hiks?
Bila Amie tanya, ada bau ikan patin tak mak?
Tak ada, jawabnya.
Kemudian Bonda pun ajak Kak Niah yang baru sampai makan sama.
Amie dah terbang balik LD.
Ketika sembang dengan Bonda dalam telefon, Amie tanya : Masih adakah lagi Brengkes Ikan Patin?
Adik kamu datang. Mak suruh makan. Dia bawa pulang 2 ketul ikan patin dengan sambal tomato.
Alhamdulillah.

Koleksi Ikan dari Semporna

Jom tambah koleksi ikan!
Kita tambah pengetahuan tentang jenis-jenis ikan di perairan sebelah timur Sabah.
Kita teroka pula hasil laut dari Semporna. Boleh klik: Jalan-Jalan Cari Ikan di Semporna. Kebanyakan jenis ikan di Semporna juga terdapat di perairan lain seperti di Kunak dan Lahad Datu. Amie hanya kongsikan spesies yang jarang ditemui di Lahad Datu.

 Ini Ikan Taring Pelanduk atau Ikan Taring Pelanduk Belang Enam.

Dan Amie juga kongsikan beberapa jenis ikan dari keluarga belais, atau dengkis. Nampak seakan sama tetapi sebenarnya tidak serupa dari segi warna. Encik Suami memang tak boleh melihat ikan belais! Kalau boleh, semuanya nak diborong! Teringat sewaktu MIL masih ada. Memang puaslah kami temani MIL memborong ikan belais di Pasar LD untuk dibuat brengkes ketika menjelang musim kenduri sebelum tibanya Ramadhan.

 Nampak bezanya kan?

 Ikan belais atau dengkis ini juga dikenali dengan nama ikan capok.
 Ada yang mempunyai jalur di kepala, dan ada yang berbintik kuning oren seperti gambar di bawah.






Di pasar (jeti Semporna) ikan ini pun dijual mengikut spesies atau keluarganya! kalau diperhatikan betul-betul memang ada perbezaannya!

 Gambar atas dan bawah ini juga kelompok Ikan Capok.
Nampak macam sama, tapi ada beza dari segi warna dan bentuknya juga.


 Biasanya kami jumpa ikan basung @ selayang saiz kecil, tapi kali ini jumpa saiz besar pula.

Dan jumpa juga beberapa jenis keluarga ketarap atau bayan. Sebelum ini sudah kongsi pelbagai warna. Jadi kali ini kongsi yang ini pula.

Allah Maha Kaya!
Dijadikannya setiap spesies ikan itu dengan pelbagai keadaan, bentuk dan warna.

Moga bermanfaat untuk anda yang ingin mengetahui hasil laut yang sangat luas tidak terjangkau oleh mata dan fikiran. Maha Suci Allah yang menjadikan langit dan bumi serta segala isinya.