Assalamualaikum.
Terima kasih atas kunjungan anda semua ke Amie's Little Kitchen. Memandangkan ramai rakan facebook dan juga ahli kumpulan masakan yang ternanti-nanti resepi donut lembut selembut donut Big Apple, jadi Amie putuskan untuk memaparkan resepi tersebut. Sebenarnya Amie ingin mencuba untuk kali kedua di dapur sendiri tetapi Amie fikir Amie tidak mampu melakukannya disebabkan kekangan masa dan jika Amie simpan lebih lama resepi ini, takut akan terlupa pula beberapa perkara yang disampaikan oleh Chef Khoo tempohari.
Bahan A:
350 gram tepung protein tinggi
200 gram tepung gandum
50 gram susu tepung
75 gram gula kastor
1 sudu teh garam
3 sudu teh (10 gram) yis segera
Bahan B:
1 biji telur gred A
170 gram air sejuk
80 gram krim putar
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh perisa mentega
Bahan C:
40 gram mentega
30 gram butterol
1 sudu makan liquid bread improver
Info tambahan:
Bahan A - Lebihkan penggunaan tepung protein tinggi berbanding tepung gandum. Jika gunakan tepung protein tinggi sahaja lagi baik, tetapi jangan gunakan tepung gandum sepenuhnya. Untuk susu tepung pula, boleh gunakan apa-apa sahaja jenis susu tepung.
Bahan B - Hendaklah menggunakan air sejuk sepenuhnya, dan bukannya air suam supaya adunan naik dengan sempurna (Chef Khoo terangkan sebab-sebab pertemuan di antara yis dengan air sejuk atau air suam, tapi Amie terlupa... tak buat catatan). Gunakan krim putar yang mempunyai rasa manis seperti Value Pride, dan bukannya jenis UHT seperti jenama Anchor yang tawar itu. Jika tidak mempunyai perisa mentega, boleh gunakan perisa vanilla sahaja.
Bahan C - Jika tidak ada butterol, gunakan sahaja marjerin. Dan jika tidak ada liquid bread improver, gantikan dengan serbuk penaik lain.
Jika suka, tambahkan sedikit pewarna kuning supaya doh mempunyai warna yang cantik.
Cara:
1. Campurkan semua Bahan A di dalam mangkuk pemukul.
2. Masukkan Bahan B ke dalam campuran Bahan A dan pukul menggunakan kelajuan perlahan selama 1-2 minit.
3. Tukar kepada kelajuan sederhana, dan kemudian masukkan Bahan C. Pukul lagi selama 5-6 minit sehingga adunan menjadi licin.
4. Keluarkan adunan donut, dan biarkan ditutup untuk rehat selama 30 minit.
5. Ratakan adunan donut setebal 2cm menggunakan kayu penggelek, dan taburkan sedikit tepung gandum di bawah dan permukaan adunan.
6. Tutup dengan plastik dan rehatkan seketika.
7. Buka plastik penutup dan angkat adunan tadi dan kembalikan semula ke tempat asal. Adunan akan menjadi mengecil sedikit.
8. Gunakan acuan donut untuk menerap bentuk yang dikehendaki.
9. Susun di atas dulang yang telah ditabur dengan sedikit tepung.
10. Biarkan donut kembang sehingga menjadi 2 kali ganda.
11. Goreng sehingga kuning keemasan menggunakan api sederhana panas.
Peringatan: Sekiranya mesin pemukul anda bersaiz kecil, buat separuh adunan sahaja kerana doh tidak akan menjadi dengan sempurna sekiranya adunan terlalu banyak.
Di bawah ini Amie kongsikan resepi salah satu daripada 14 jenis yang Amie pelajari dengan mengambilkira bahan dan cara penyediaannya yang agak mudah.
Cheesy Cheese Doughnut
Bahan untuk topping:
250 gram coklat putih
250 gram keju cheddar (jika tidak ada tidak mengapa)
100 gram keju parmesan
150 gram UHT cream
Cara:
1. Coklat putih dicairkan secara double boil bersama UHT cream.
2. Parut keju parmesan - (boleh gunakan serbuk keju parmesan)
Bahan untuk filling:
250 gram krim keju
80 gram gula icing
40 gram UHT whipping cream
Cara:
1. Putar krim keju dengan gula icing sehingga lembut.
2. Masukkan krim putar (UHT whipping cream) dan gaul rata.
Minta maaflah ye sebab susah sikit Amie nak terangkan bahagian fillingnya. Cuba lihat bulatan warna putih di tepi donut di atas tu. Gunakan penebuk (ada penebuk khas, Amie belum ada penebuk tersebut), untuk menebuk donut dari tepi hingga ke tengah. Setiap donut hendak dibuat 2 atau lebih tebukan. Kemudian masukkan bahan filling ke dalam platik 3 segi, dan gunting sedikit dihujungnya. Selepas itu masukkan hujung plastik yang berisi filling tadi ke dalam lubang tepi donut dan tekan plastik supaya filling boleh masuk ke dalam lubang tadi. Buat di setiap bahagian yang telah ditebuk.
Untuk toppingnya pula, celupkan bahagian atas donut ke dalam coklat putih cair dan angkat segera. Kemudian sentuhkan bahagian permukaan yang diselaputi coklat putih tadi ke atas serbuk atau parutan keju parmesan.
Donut ini boleh disimpan selama 2 minggu di dalam peti sejuk.