ADSENSE

Ahad, 26 Julai 2020

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? QS Ar Rahman

فَبِاَىِّ اٰلَاۤءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبٰنِ
Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Diulang sebanyak 31 kali dalam Surah Ar Rahman.

Sumber : Google
Selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang. Moga ceria dan gembira menyiapkan rutin rumahtangga, bersyukur mendapat segala nikmat dan rezeki kesihatan dan ketenangan yang berpanjangan. Alhamdulillah.
Pagi ini, rasa bersemangat masuk dapur untuk sediakan sarapan pagi. Seperti biasa, masak serbuk teh Ceylon 888 bubuh sedikit gula batu dan minta Encik Suami ambilkan beberapa helai daun pandan sebagai aroma dalam minuman teh. Nampaknya Encik Suami sedang memotong ranting dan dahan pokok mangga udang! Marahkan kerengga lagi ke? Nanti kalau ada masalah kerengga, bolehlah minta pandangan dan nasihat Wak Petani Warisan bagaimana untuk mengatasinya. Bolehkan Wak?

Syukur Alhamdulillah.
Kelmarin, hari Sabtu Encik Suami izinkan Amie belayar ke Pulau Sakar untuk aktiviti mendaki bukit. Cuma Amie kena peganglah syarat keizinannya: Balik rumah, jangan suka mengeluh penat kalau dah diberi izin keluar beraktiviti dengan kawan-kawan! Oooohhhooo.... garang tak amarannya tu?
Luarannya saja nampak garang tapi hatinya lembut dan penuh kasih pada seisi keluarga. Awal pagi, lebih kurang pukul 6 begitu, Encik Suami hantar Amie ke jeti. Sebelum naik bot menuju ke Pulau Sakar, kami sarapan bersama di restoran yang menghadap ke arah laut lepas. Pesan Encik Suami, selepas balik dari pulau, telefon saja dan dia akan datang ambil. Wokeeyyy.... terima kasih!

 
Tidaklah tinggi sangat bukit yang kami daki tu! 500 meter naik, dan 500 meter turun. Kira 1 km jugalah. Ada dua laluan, iaitu lauan curam dan laluan landai. Kami yang dah makcik-makcik menuju ke nanny-nanny ini pilih laluan landai!
Orang kata, sekadar keluarkan peluh!
Ada masa nanti Amie tuliskan pengalaman ala-ala 'jungle tracking' kami ini.


Dari puncak Taruakan Hill ini, boleh nampak pemandangan laut di sekitar Pulau Sakar.



Penat jugalah....ahaks!
Yang penting semua happy!

 Sempat melihat-lihat ikan keratang dalam sangkar.
Orang sini kata, sewaktu kecil dipanggil ikan kerapu, dan bila sudah besar dipanggil ikan keratang!

Tuan punya ikan sangkar ini kata, ramai yang nak beli ikan keratang peliharaannya, terutama orang Cina dan sanggup tawarkan harga sehingga RM30.000.00! Kenapa ikan jenis ini menjadi rebutan orang Cina? Bila Amie tanya Pak Google, rupanya ikan keratang  ini merupakan ikan kerapu super hasil kacukan Brown Marbled Grouper dan Tiger Grouper dan setakat ini hanya ada di Sabah sahaja. Penternak ikan keratang jenis ini hanya mengeksport ke China dan Hong Kong sahaja sebagai hidangan mewah di hotel dan restoran. Katanya isinya sangat sedap, warna putih, licin, pejajal dan anjal. Kulitnya pula mengandungi kolagen yang tinggi!

Pakej kami murah saja... hanya RM30 termasuk perjalanan pergi balik naik bot, guide daki bukit dan makan tengahari! Murah sangat bukan?

Cerita pagi ini pula, Amie masak mee hoon goreng bubuh bayam brazil sebagai pengganti sayur sawi! Rimbun subur bayam brazil yang Encik Suami tanam sewaktu PKP dulu! Cuba masak dengan mee hoon, sedap juga rasanya!

AMIE'S LITTLE KITCHEN: Jalan-Jalan di Sekitar Halaman Rumah
Gambar bayam Brazil atas dan bawah : Ketika mula ditanam musim PKP dulu.

AMIE'S LITTLE KITCHEN: Jalan-Jalan di Sekitar Halaman Rumah
Resepi mee hoon bayam brazil sama saja seperti mee hoon yang biasa kita goreng tu. Amie bubuh perencah udang kering dan tambah hirisan cili padi untuk rasa pedas.

 Habis licin dah mee hoon goreng dengan bayam Brazil ni.

Sempat juga buat buat lempeng pisang bubuh jagung krim. Dah banyak kali juga kongsi di blog. Memang sedap sangat! Kali ini Amie nak habiskan baki minyak sapi, jadi cuba oleskan di kuali. Aromanya memang menggoda! Boleh gunakan minyak masak biasa, marjerin atau mentega. 

Bahan-bahan:

5 biji pisang berangan masak ranum
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar susu tepung
3/4 tin jagung krim
1/2 sudu kecil baking powder 
1/2 sudu kecil soda bikarbonat 
secubit garam
minyak sapi (boleh gunakan minyak biasa / marjerin / mentega)

Boleh ubahsuai penggunaan bahan ikut citarasa masing-masing. Kalau suka rasa yang lebih manis boleh bubuh gula atau susu pekat manis. Kalau selera Amie dan Encik Suami memang tak bubuh tambahan gula atau susu pekat manis sebab pisang tu dah cukup manis.
Kalau nak lebih lembut gebu bubuhlah baking powder dan soda bikarbonat. Kali ini Amie bubuh kedua-dua bahan ini. Lempeng pertama memang terus masuk mulut...kah!

Ketika sedang bersarapan, kita tanya Encik Suami.

- Kenapa tebang dahan pokok mangga? Ada kerengga ke?
+Tak ada kerengga. Memang nak cantas dahan supaya tumbuh rendang. Nampak pulak bunga-bunga mangga timbul! Mangga belum habis, sudah berbunga lagi.
-Dah tahu pokok mangga berbunga lagi, kenapa cantas dahannya juga?
+Mangga kan berbuah di bahagian bawah. Nanti tak dapat cahaya matahari sebab bahagian atas yang rimbun menghalang matahari sampai ke bawah.
- Ooooooo....

Setakat ini memang tak nampak kerengga pun pada pokok mangga udang tu...hiks!

Selesai minum pagi, Encik Suami sambung semula hobinya mengurus tanamannya.
Kita duduk menghadap PC sekejap. Buka FB dan buka WhatsApp dan yang sewaktu dengannya. Zaman sekarang kalau tak peduli dengan media sosial, memang banyaklah info yang tertinggal!
Alhamdulillah.
Syukur kepada Allah yang tidak putus-putus dengan rezekinya!
Pagi ini juga terima khabar dari Abang Farid kerana dapat tawaran sambung belajar ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam jurusan Sains Gunaan.




Tahniah buat Abang Farid.

AMIE'S LITTLE KITCHEN: Catatan Kecil Buat Abang Farid
Rindu sangat dengan Abang Farid .
Jun 2020, Abang Farid telah menyempurnakan pengajian peringkat sarjana tetapi tidak dapat meraikan hari konvokesyennya yang ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.  Gambar di atas, Abang Farid di pagi hari ketika konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia)nya di UKM, Bangi pada November 2017.
Moga Abang Farid sentiasa sihat dan bersemangat untuk meneruskan pengajian seterusnya.

Jumaat, 24 Julai 2020

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi

Sewaktu kami jalan-jalan ke Sandakan dua minggu lepas, kami sempat singgah di pasar basah. Tidak banyak pilihan hasil laut berbanding dengan pasar ikan di Tawau. Namun begitu, kebanyakannya kelihatan segar-segar belaka, seperti di pasar ikan Kunak. Selain memborong ikan dan sotong segar, kami melihat-lihat juga ketam nipah. Ketam nipah atau ketam bakau kelihatan masih hidup. Walaupun kaki dan penyepitnya sudah diikat rapat ke badan, tetapi mata ketam yang sekejap tersembul keluar dan sekejap masuk ke dalam menunjukkan haiwan ini masih hidup.
Kami beli 3 kg ketam nipah, dan jumlahnya hanya 9 ekor sahaja. Mungkin saiznya yang agak besar, jadi timbangannya menjadi berat!

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi
Ketika dalam perjalanan pulang ke LD, Encik Suami bercerita sewaktu zaman kanak-kanaknya dahulu. Katanya, kalau arwah ayahnya (FIL) ikut rombongan kebudayaan atau menziarahi keluarga mereka di Beluran, mesti ada oleh-oleh yang dibawa iaitu ketam nipah. Bukan sedikit tetapi berkotak-kotak! Katanya lagi, arwah ibunya (MIL) suka masak lemak putih. Nanti bolehlah masak lemak ketam seperti emak masak, kata Encik Suami.

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi
Petang itu, sekembalinya dari Sandakan memang nak masak ketam, tapi hasrat itu terpaksa dibatalkan!
Kenapa?
Ketam masih hidup!
Takut nak bersihkan. 
Jadi, simpan dulu ketam dalam peti sejuk.
Keesokannya baru berani bersihkan kerana ketam sudah mati.
Sayangnya setelah ketam terhidang di atas meja, baru teringat Encik Suami teringin makan ketam nipah masak lemak putih, tanpa kunyit dan tanpa cili padi!

 Tali pengikat ketam sudah dibuang.

Sepit ketam nipah yang suah dipisahkan dari badan. Amie gunakan anak lesung untuk ketukl-ketuk sedikit penyepit ketam supaya mudah dipecahkan ketika makan nanti.

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi
Bahan-bahan:
3 kg ketam nipah - bersihkan - buang cengkerang - pisahkan sepit besar dari badan - ketuk  sepit supaya retak
1.8 liter santan dari 1/2 kg kelapa parut
3 biji tomato - belah 2
3 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugor 
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
30 biji cili padi
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah 
4 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Satukan santan dan bahan kisar ke dalam periuk.
2. Masukkan ketam, serai, tomato dan asam gelugor.
3. Masak di atas api sederhana dan kacau selalu sehingga kuah mendidih.
4. Setelah ketam berubah warna, teruskan kacau kuah selama 3 minit lagi.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan kemudian padamkan api dapur.

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi
Seperti biasa, Fuad tak mahu sentuh langsung ketam! Jadi, meratahlah kami empat beranak bersama Encik Suami, Fairuz dan Firdaus. Banyak isi ketam di bahagian sepit, dan juga di dalam kakinya yang kecil itu. 

Ketam Nipah Masak Lemak Cili Padi
Teringat cerita arwah MIL dan FIL : Di Pulau Cocos, ketamnya besar-besar nak. (Panggilan 'nak' bermaksud 'anak' ketika bercerita dengan Amie). Ketam di sana  bisa panjat pokok kelapa! Bisa juga kupas sabut kelapa!
Benarkah?
Kalau ingin tahu, cuba tanya Pak Google!

Lidah Lembu Goreng Pedas dengan Terung Taiwan

Bila suhu sejuk, alangkah nikmatnya kalau dapat makan hidangan panas selain kuah sup! Jom kita masak Lidah Lembu Goreng Pedas dengan Terung Taiwan. Barulah berpeluh-peluh dahi... ahaks!


Selain rasa pedas cili padi kampung, Amie tambahkan Thai Sauce Maepranom untuk rasa lebih lazat. Amie juga gunakan belacan Papar untuk aroma lebih mengancam.... ahaks! Dan untuk memudahkan kerja memasak, Amie masak sekali harung dengan terung Taiwan!

Bahan-bahan:
400 gram lidah lembu yang sudah direbus hingga lembut - hiris nipis 
2 biji terung Taiwan - belah 2 dan hiris serong ikut saiz yang digemari
3 sudu besar Thai Sauce Maepranom
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 cm halia - hiris halus
1 sudu kecil pati asam jawa
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk :
30 biji cili padi kampung
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan


Cara memasak:
1. Goreng hirisan lidah lembu sebentar saja, jangan sampai garing. Angkat dan toskan.
2. Goreng terung Taiwan hingga masak. Angkat dan toskan. 
3. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan terung Taiwan.
4. Goreng halia bersama bawang besar sehingga layu.
5. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga pecah minyak.
6. Seterusnya masukkan pati asam jawa,  Thai Sauce Maepranom, diikuti dengan lidah lembu dan terung Taiwan.
7. Gaul rata, dan perasakan dengan garam / perasa pilihan.
8. Biarkan seketika, dan kemudian padamkan api dapur.

Rasanya?
Memang mengancam selera!
Firdaus kata, makan sambalnya pun dah cukup sedap. 
Bayangkan sajalah, sambal belacam ditambah Thai Sauce Maepranom yang memang sedap itu! Cukup sempurna dengan rasa manis dan aroma bawang putih!


Kalau tak cukup pedas, boleh bubuh lagi cili padi kampung!

Khamis, 23 Julai 2020

Sepi Itu Indah

Hari ini mendung. Hujan renyai hingga ke petang membawa ke malam.
Petang tadi, sesampainya di rumah, rasa sepi!
Fuad yang sedang bercuti sudah dua hari berada di Tawau bersama sepupunya.
Fairuz belum pulang dari sekolah.
Firdaus pula sudah mula bersekolah sejak kelmarin.
Encik Suami belum sampai ke rumah.


Bila suasana sepi, rasa rindu pula akan suara anak-anak berteriak, berkelahi dan bergelak ketawa!

Dalam suasana sepi sebegini, mari kita cari keindahannya!
Ahaks! Ini bukan cerita jiwang, tapi cerita tentang beberapa jenis lagi tanaman yang Encik Suami usahakan sepanjang PKP lepas.

Nampaknya pokok limau kasturi sudah berbuah. 
Entah berapa kali tanam, dan entah berapa kali ditebang sebab banyak kerengga berkerumun di pokok limau kasturi! Nak elak kerengga, habis ditebang pokoknya! Bukan pokok limau kasturi sahaja yang Encik Suami tebang! Pokok jambu air, pokok limau kapas dan pokok lemon pun ditebang gara-gara menjadi tempat kerengga bersarang! Ada lagi pokok yang ditebang... pokok mangga epal dan mangga manila! Kedua-dua pokok ini ditebang bukan sebab kerengga tapi sebab lama sangat nak berbuah! Pokok kantan pun ditebang juga gara-gara tidak berbunga! 

Setelah beberapa tahun pokok lemon ditebang. Sekarang sudah ada penggantinya tetapi jenis lemon kampung.

 Harap kerengga tidak lagi singgah bersarang di atas pokok lemon.


Encik Suami tanam semula bunga ros Jepun yang pernah menghiasi halaman kami beberapa tahun lalu. Nampak cantik pula bila dilihat dari dekat.

 Warna-warni bunga ros Jepun memang memikat mata!
Laman pun nampak lebih berseri dengan kehadiran kuntuman bunga yang kecil dan comel ini.





 
 

 Ini pula sisa-sisa himpunan bunga orkid kami yang hampir pupus!

 Pokok remayung pun hidup subur!
Boleh buat sayur bening.

Pokok ceri ini sebenarnya berdekatan dengan pokok mangga udang. Kalau buka tingkap dapur memang akan terpandang pokok ini tetapi tak perasanlah pula sudah berbuah, dan buah yang sudah masak mula gugur ke tanah!



 Nampak sebiji mangga udang di atas meja laman berhampiran pokok ceri.

Mungkin Encik Suami yang kutip pagi tadi sebelum hantar Fairuz ke sekolah. Biasanya Amie keluar lebih awal, 5:45 pagi sudah memecut di jalan raya. Encik Suami terpaksa tunggu Fairuz.... bujang Tingkatan 6 Atas yang selalu lambat bersiap untuk ke sekolah! Sementara menunggu Fairuz bersiap, Encik Suami suka memeriksa kawasan sekitar rumah, dan akan keluarkan sampah, letak di luar pagar untuk diangkut oleh lori sampah. Ketika inilah dia akan ambil kesempatan melihat-lihat tanamannya.

 Ternampak sebiji mangga udang tergantung di pokok.

 Mungkin ini buah mangga udang terakhir untuk musim kali ini.

Hampir menjelang senja, barulah rumah kembali berseri. Sepi bertukar menjadi ceria. Firdaus sudah pulang dari sekolah. Fairuz sibuk bertanya : Mommy masak apa? Jom minum petang dengan teh panas yang lazat dari serbuk teh Ceylon 888, dimasak bersama gula batu dan daun pandan, dengan jamahan karipap inti sardin dan kentang.


Bukan secawan teh yang dihirup, tapi beberapa cawan!


Fairuz sempat buat smoothie mangga. Sedap sungguh rasanya, dengan campuran yogurt. Elok sangatlah untuk cuci perut! 
6:25 petang, masuk waktu Maghrib di LD.
Selepas Maghrib, kembali sunyi dan sepi! 
Encik Suami dan Fairuz ke kampung, ada tahlil dan bacaan Yasin.
Teruskan aktiviti melayan Firdaus makan nasi dan menyiapkan kerja sekolahnya serta menyimpan buku-buku di dalam beg mengikut susunan jadual waktunya.
Ketika menulis entri ini, Firdaus sudah berada di tempat tidurnya. 
Letih barangkali, cepat sungguh budak kecil itu lena.
Dan, sepi sekali lagi!
Teruskan mencari keindahan dalam kesepian ini.
Selamat malam.