~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort
Bermalam di Warisan Indah Homestay KLIA1 Sebelum Terbang Pulang ke Sarang
Bismillahirrahmanirrahim.
Syawal sudah sampai ke penghujung tetapi cerita di awal Syawal belum lagi selesai dijadikan entri. Banyak kerja ladang yang perlu diberi perhatian. Dan sesungguhnya, tidak sabar menanti waktu keluar dari ladang untuk selama-lamanya. Nampaknya tahun-tahun mendatang beramai-ramailah kami keluar dari sistem. Mudah-mudahan dipermudahkan urusan untuk ke arah itu.
Entri kali ini cerita 5 Syawal 1446H. Memandangkan anak menantu semuanya keletihan, jadi kami bercadang untuk berehat seketika sementara menunggu waktu untuk terbang pulang ke sarang. Selain itu kami fikirkan untuk elak dari tersekat dalam kesesakan jalan raya. Musim perayaan begini, apa yang tidak dijangka mungkin akan terjadi. MAS pun sudah hantar pesanan supaya berada di lapangan terbang sebaik-baiknya empat jam sebelum berlepas.
Abang Farid mencari tempat penginapan yang berhampiran dengan KLIA1. Alhamdulillah, dapatlah tempah Warisan Indah Homestay KLIA1 di Kota Warisan, Sepang. Kami dapat potongan harga memandangkan Amie pelanggan setia Booking.com. Kali ini penginapan empat bilik hanya RM264.92 sen setelah diberi diskaun.
Sebaik sahaja meninggalkan Mykori Dessert Cafe Kota Warisan, kami terus bergerak ke Warisan Indah Homestay KLIA1. Oleh kerana Fuad singgah membeli minuman, jadi Abang Farid bersama Aseeyah dan Hamzah sampai dahulu ke homestay.
Muat dua buah kereta di dalam garaj. |
Ruang tamu Warisan Indah Homestay KLIA1.
Walaupun semua ruangan luas tetapi tidaklah dapat kami manfaatkan sepenuhnya memandangkan masa yang sangat terhad untuk berlama-lama di sini. Apa yang penting sudah tentulah dapat berkumpul sekeluarga di tempat yang sama. Kalau di hotel, sudah tentu masing-masing berada di bilik sendiri tetapi di homestay sekurang-kurangnya boleh duduk bersama di ruang tamu.
Pada mulanya kami hendak beli makanan dan bungkus bawa pulang untuk makan malam. Namun begitu, kami ubah fikiran. Makan sahajalah di luar dan tak perlu untuk mengemas dan membersihkan segala pinggan mangkuk dan ruang dapur selepas makan.
Jadinya, kami hanya minum air sahajalah di sini.
Di tingkat bawah, disediakan sebuah katil dan bilik air.
Abang Farid hendak tidur di bilik ini tetapi ubah fikiran setelah mendapati tiada penyaman udara!
Oleh kerana di tingkat atas ada tiga buah bilik, jadi Abang Farid pindah ke sana.
Bilik air di tingkat bawah. |
Firdaus santai-santai makan aiskrim di ruang tamu. |
Jom naik tingkat atas.
Abang Farid pindah ke bilik ini.
Ruangannya lebih luas berbanding bilik pertama di tingkat bawah yang menjadi pilihannya.
Bilik air kedua. |
Bilik Fuad dan Fairuz.
Setiap bilik disediakan sejadah dan ruang solat yang luas dengan hamparan permaidani. |
Bilik air ketiga. |
Bilik tidur utama.
Bantal extra. |
Sekurang-kurangnya dapatlah lelapkan mata sementara menunggu waktu keberangkatan ke KLIA1 awal pagi esoknya.