ADSENSE

Rabu, 25 Julai 2018

Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi

Masa kecil-kecil dulu, selalu juga Bonda masak lemak pisang muda. Entah berapa puluh tahun telah 'terlupa' menu istimewa ini! Kebetulan sebelum pulang kerja, terserempak dengan seorang penjual pisang. Cara jualan pisangnya pula agak menarik. Dalam sebuah beg plastik, dibubuhnya dua sikat pisang, sesikat masak dan sesikat muda dengan harga RM4.00. Sedang terfikir-fikir untuk membeli, tiba-tiba Nano bersuara :
Nano  : Sedaplah pisang emas ni dibuat masak lemak. Bubuh kunyit hidup,  bubuh bilis, santan pekat-pekat bla bla bla.....
Amie   : Dengarnya macam sedap, tapi rasanya tak adalah pulak ikan bilis! Kalau bubuh ikan masin sedap kot. Tapi ikan masin pun tak ada!
Nano   : Alaaa... bubuh jew belacan tapi sikit jew. 
Amie   : Owwhh... ye ke. Nanti balik nak cuba masaklah.
Nano   : Haa... eloklah terus masak sementara pisang ni masih muda. Nanti pisang tu dah mula masak, lain pula rasanya.

Sampai di rumah, rupanya Fuad sudah siap masak nasi dan goreng ikan. Jadi, Amie pun terus singsing lengan di dapur untuk masak pisang muda!


Resipi : Pisang Muda Masak Lemak Cili Padi
Bahan-bahan:
10 biji pisang emas muda
2 batang serai
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 keping asam gelugor
2 helai daun kunyit - siat
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
20 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
2 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Siat kulit pisang emas muda dan potong serong - rendam dalam air 
2. Dalam periuk, masukkan santan cair, asam gelugor, serai dan bahan kisar / tumbuk.
3. Toskan pisang emas muda tadi dan masukkan ke dalam periuk. 
4. Masak sehingga pisang mulai empuk. 
5. Tambahkan santan pekat, daun kunyit, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Kecilkan api, dan apabila kuah mula mendidih, padamkan api dapur

 Fairuz dan Fuad hirup kuah!
Tapi tak makan pisang emas!
Kami berdua jew yang makan pisang emas muda!
Teringat dulu, kalau Bonda masak lemak pisang muda, kami adik-beradik hanya pilih kuahnya saja.

Ahad, 22 Julai 2018

Ayam Masak Kari Istimewa

Walaupun hari minggu tapi Encik Suami tetap ingin selesaikan urusan kerjanya. Selepas bersarapan pagi bersama anak-anak, dan membantu kerja-kerja rumah si dia pun meninggalkan rumah. Memandangkan kesibukannya itu, kita pun tak sampai hati mengirim atau memesan membeli sesuatu. Kelmarin Amie pesan beli cili padi, tapi terlupa pula dia!
Akhirnya Amie minta Fuad pergi ke pasar. Fuad pantang disuruh keluar membeli sesuatu, memang pantas bagai lipas kudung! Bukan apa, dengan cara itu dia boleh memandu kereta. Suruhlah 10 kali dalam sehari, pasti Fuad tidak menolak. Sepanjang cutinya, memang Fuadlah tukang isikan minyak kereta Amie, hantar Fairuz pergi dan balik tuisyen dan membeli sarapan.
Fuad hanya sanggup jadi pemandu kereta sahaja! Diarahkannya Fairuz ikut serta untuk membeli barang dapur yang Amie pesan. Syukurlah semua yang dibeli ada di pasar. Daging ayam segar, santan segar, cili padi, kentang dan timun.

Ketika anak-anak sibuk berkerumun di dapur kononnya mencicipi kuah kari, Amie pesan pada anak-anak agar tunggu sang bapa pulang barulah boleh makan sama. Ketika itu Encik Suami dalam perjalanan pulang (Fuad telefon Encik Suami). Melihat kereta Encik Suami menghampiri pagar rumah, Fairuz dan Fuad pun segera mengambil pinggan mangkuk, mengaut nasi, mengisi lauk-pauk ke dalam mangkuk dan menyusunnya di atas meja. Sekali lagi Amie berpesan:
Tunggu Bab solat Zohor dulu, baru boleh makan.
Anak-anak akur.
Encik Suami terus masuk ikut pintu dapur pula. Biasanya masuk rumah ikut pintu tengah.
"Dari pintu pagar, dah terbau masakan Mommy," katanya.
"Solatlah dulu. Nanti makan sama."
"Sudah solat di sana."
"Oh! Marilah kita makan."
Hidangan tengahari kami masakan biasa-biasa sahaja. Tapi semuanya nampak begitu berselera menikmatinya. Jadi Amie namakan resepi hari ini sebagai Ayam Masak Kari Istimewa. Dalam olahan masakan kari kali ini, Amie gunakan minyak sapi campur dengan minyak masak. Amie juga gunakan serbuk cili dan menambah jus limau nipis sebagai sentuhan akhir. Amie juga sediakan acar timun sebagai pelengkap hidangan. Encik Suami memang suka sangat dengan kombinasi lauk begini. Cukuplah katanya dengan dua lauk yang membuka selera ini. Selalunya Amie tambah sambal belacan, tapi anak-anak kata kuah kari sudah terasa pedas.

Resipi : Ayam Masak Kari Istimewa
Bahan-bahan:
3 keping bahagian paha ayam - potong menjadi 12
5 biji kentang saiz sederhana besar - belah 2
4 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
4 sudu besar serbuk kari ayam
3 sudu besar serbuk cili 
3 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar minyak masak
1 biji limau nipis - ambil jusnya - 2 sudu besar
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
cm halia

Bahan tumis:
1 labu bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkin
3 biji buah pelaga
3 tangkai daun kari - lurutkan  

Cara memasak:
1. Campurkan bahan kisar bersama serbuk kari dan serbuk cili untuk dijadikan pes. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Ketepikan. 
2. Panaskan minyak sapi bersama minyak masak dan tumis bahan tumis hingga bawang berwarna kekuningan dan terbit bau.
3. Kemudian masukkan pes kari. Masak lagi dan tambahkan sedikit santan cair jika bahan tumis kelihatan kering. Gunakan api sederhana sehinggalah terbit minyak.
4. Masukkan ayam dan kentang. Biarkan hingga keluar air ayam.
5. Tambahkan santan cair dan biarkan masak hingga mendidih.
6. Setelah ayam dan kentang hampir empuk, tuangkan santan pekat.
7. Biarkan sehingga ayam benar-benar masak.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
9. Tuangkan jus limau nipis, dan kacau sekali dua.
10. Padamkan api dapur.

Tak habis-habis Fuad memuji-muji : Sedapnyalah kalau dapat makan dengan roti canai. Kenapalah Mommy tak buka restoran bla bla bla...... Sambil membebel, menambah nasi ke dalam pinggan tak terkira entah berapa kali! 
Inilah istimewanya masakan hari ini, yang sudah tentu istimewa bagi kami sekeluarga dan bukannya orang lain. Bukankah lain orang lain selera, lain citarasa....hiks!

Ahad, 15 Julai 2018

Betik Masak Lemak Cili Padi dengan Udang

Kalau masak lemak mesti teringat Bonda!
Salah satu sebabnya, tentulah air tangan Bonda rasa sangat sedap!
Itu sebabnya sampai sekarang Amie suka masak lemak cara Bonda. Bonda suka masak lemak putih begitu sahaja. Tanpa kunyit! Tanpa warna selain warna santan.
Biasanya kalau ada betik mengkal, Amie akan masak sup dengan ayam, dan bubuh daun kemangi sebagai sentuhan akhir. Hari ini Amie masak lemak betik. Amie sagat betik, bentuknya panjang dan cepat lembut apabila dimasak. Fuad pesan, bubuh cili padi banyak-banyak, katanya.
Ikan bilis dan udang kering sudah yilekkkk.....
Yang ada hanya udang kertas, yang agak sesuai ditambah ke dalam masakan. Jadilah betik masak lemak cili padi dengan udang. 
Sambil masak di dapur, teringat zaman kanak-kanak di kampung. Biasanya kalau cuti sekolah atau pada hujung minggu kami akan ke kebun membantu Ayahanda dan Bonda membersihkan rumput di bawah pokok jagung, ubi, keladi, pisang, serai, tebu dan macam-macam lagilah tanaman kontan. Antara lauk makan tengahari yang dihantar oleh kakak dari rumah, sudah tentulah sayur betik mengkal masak lemak putih! Sedap sungguh menikmatinya di pondok atap nipah yang terletak di lereng bukit dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang sungguh nyaman!

Jom, sama Amie mengenang nostalgia lampau dengan menjinjing 'mangkuk tepen' berisi nasi dan lauk kampung. Kita hantar nasi untuk Ayahanda dan Bonda di kebun.
Heheheee...
Cukuplah hidangan tengahari kami, nasi putih berlaukkan ikan kerapu goreng dan Betik Masak Lemak Cili Padi dengan Udang. Anak-anak pun makan dengan penuh selera. Alhamdulillah.

Resipi: Betik Masak Lemak Cili Padi dengan Udang
Bahan-bahan: 
500 gram betik - bersihkan - potong ikut suka - Amie sagat
15 ekor udang kertas - bersihkan
4 cawan santan dari sebiji kelapa
2 batang serai - dititik
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
segenggam cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Masukkan betik, udang, santan, serai dan bahan tumbuk ke dalam periuk.
2. Masak dengan api sederhana, dan kacau selalu supaya tidak pecah santan.
3. Setelah santan mula mendidih, tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.

Sabtu, 14 Julai 2018

Sambal Bawang

Jom masak sambal bawang!
Masak lebih sikit, boleh cecah dengan pisang goreng atau keledek goreng sambil hirup secawan teh atau kopi panas!

Semerbak aroma belacan memenuhi rumah!
Tapi keenakannya tidak dapat dinafikan! 
Ketika Amie memasaknya, terlintas dalam fikiran, sudah tentu Fuad dan Fairuz bising membebel sebab mereka tak suka makan bawang! Kalau ada bawang dalam pinggan makan, memang mereka akan diasingkan!

Bahannya tidak banyak. Semuanya ada di dapur anda. Terpulang nak masak banyak mana dan sepedas mana. Yang makan pun bukan orang lain...hiks!

Amie gunakan 40 gram belacan. Kalau nak kurangkan pun boleh. Gunakanlah apa-apa belacan yang digemari. Warna belacan akan turut mempengaruhi hasil sambal bawang itu nanti. Bawang putih pula, Amie gunakan satu labu...satu labu bawang putih, maknanya banyaklah ulasnya!

Amie gunakan 400 gram bawang merah. Jenis ini saja bawang merah yang ada di LD. Kalau nak cantik, pilihlah bawang merah yang bulat-bulat kecil, jadi bila dihiris nampak sekata sana.

Bawang merah tadi hendaklah dihiris tebal, bukan nipis macam nak buat bawang goreng. Kalau ada bawang merah yang kecil bulat comel, bolehlah belah 2 atau belah 4.

Cili padi pun ikut sukalah nak berapa banyak. Kalau tak mahu pedas, kurangkan. kalau nak lebih pedas boleh tambah. Sambal Bawang yang Amie buat tak berapa pedas dengan menggunakan cili padi di atas. Cili padi di atas itu lebih kurang secawan.

Resipi : Sambal Bawang
Bahan-bahan:
400 gram bawang merah - kupas kulit dan hiris kasar
1/2 cawan minyak
1/2 cawan gula melaka yang sudah diparut
2 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 3/4 cawan air
garam / gula melaka / perasa pilihan

Bahan kisar:
1 cawan cili padi
40 gram belacan
1 labu bawang putih

Cara memasaknya:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit bau.
2. Masukkan bancuhan pati asam jawa, gula melaka dan bawang merah. Masak dengan api sederhana hingga bawang lembut dan terbit minyak.
3. Perasakan dengan garam (jika perlu) / perasa pilihan.

Oh! Fairuz dan Fuad dah pandai makan bawang! Selamba jew kedua-duanya senduk sambal bawang masuk pinggan nasi!

Ikan Cermin Masak Kari

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.
Petang ini Amie kongsikan lauk makan tengahari kami seisi keluarga, Ikan Cermin Masak Kari.


Anak-anak pun bukan main suka bila terbau aroma kari dari dapur! Kebetulan Fairuz baru pulang dari sekolah dengan perut lapar. Apalagi, sampai 3 senduk besar Fairuz kaut kuah masuk dalam pinggan. Banjirlah pinggan nasinya! Firdaus pula, tak mahu makan ikan, hanya nasi dengan kuah kari saja.
Amie masak kuah kari agak cair sikit, sebab anak-anak suka kuah kari bubuh banyak-banyak dalam pinggan nasi!

Amie masak ikan cermin, ikan segar yang kami beli dua hari lepas di Kampung Bikang. Amie tinggalkan bahagian ekor, dan kepalanya. Ikan cermin ini sudah sedia dibersihkan dan siap dipotong-potong oleh Encik Suami. Semua bahagian isi Amie ambil untuk dimasak, dan dalam lebih kurang 1 kg beratnya.

Resipi : Ikan Cermin Masak Kari
Bahan-bahan:
1 kg ikan cermin - siap dipotong
4 biji tomato - belah 2
10 biji cili hijau saiz kecil
3 cawan air
1 cawan santan
4 sudu besar serbuk kari ikan
2 sudu besar serbuk cili
2 keping asam gelugur
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm halia
1 cm kunyit hidup


Bahan tumis:
1 labu bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil campuran biji sawi, jintan putih dan halba
3 tangkai daun kari - lurutkan  


 Cara memasak:
1. Campurkan bahan kisar bersama serbuk kari dan serbuk cili untuk dijadikan pes. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Ketepikan. 
2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis hingga terbit bau.
3. Kemudian masukkan pes kari dan  2 biji tomato yang sudah dibelah 2. Masak lagi dan tambahkan sedikit air jika bahan tumis kelihatan kering. Gunakan api sederhana sehinggalah terbit minyak.
4. Masukkan air dan asam keping. Biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan ikan cermin dan kemudian tambahkan santan.
6. Setelah kuah mendidih dan ikan masak, masukkan lebihan tomato, cili hijau, garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua.
7. Biarkan seketika dan kemudian padamkan api dapur.

Jumaat, 13 Julai 2018

Aidil Fitri & Pesta Kaamatan 2018

Sekadar merakam kenangan.
Aidil Fitri dan Pesta Kaamatan disambut serentak pada hari Sabtu sempena aktiviti kokurikulum sekolah kami. Sudah dua minggu berlalu, pada 30 Jun 2018 lepas.

Setiap kelas perlu membuat persediaan dengan membawa juadah masing-masing untuk dinikmati bersama pada hari tersebut. Walaupun setiap kelas terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi semua murid perlu terlibat sama. 
Amie ditugaskan untuk menghias gelanggang bola keranjang, iaitu dewan terbuka yang akan digunakan untuk sambutan kedua-dua perayaan tersebut. Pada petang Jumaat, Amie bersama murid-murid dari kelas Pendidikan Moral dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas tersebut.

 Terlebih dahulu hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2018 diturunkan.

 Kemudian digantikan dengan hiasan sempena Hari Raya Aidil Fitri.



 Seronok rasanya melihat keriangan di wajah anak-anak didik yang comel-comel ini.

 Cikgunya pun nak menyelit jugak...hiks!

Ketupat dari reben pelbagai warna itu, sebahagian besarnya adalah hasil anyaman tangan Amie. Selebihnya adalah hasil anyaman anak-anak murid.

 Tak sempat kira berapa ratus hasil anyaman ketupat yang Amie buat.

 Ini hasil tugasan Cikgu Siti Mariani.

Gambar yang Amie paparkan di bawah ini kebanyakannya gambar dari kelas 5 Nekad, kelas Amie sendiri. Mana tahu suatu hari nanti ada bekas murid yang tersesat masuk ke dapur maya ini, bolehlah belek-belek wajah mereka yang comel-comel ini. Chin Vui Loong, Aiman Yap, Chen Yun Fat, Rozaimy, Shirley dan Nuratika sedang membuat persiapan menghias meja untuk meletakkan hidangan yang dibawa.

Cikgunya pun nak menyelit sekali.
Manis senyuman Nur Fitriana dengan baju kurung warna hijaunya. Alescandro selaku penolong kelas berbaju kurung Melayu warna ungu. Di belakang Alescandro, Eransyah berbaju merah. Nun di belakang berbaju kuning kehijauan, Adam, di hadapan sekali bertudung merah ialah Hazimah, diikuti Nuratika , Shariana dan Shirley yang manis berbaju kebaya merah jambu.

Irene, ketua kelas manis sekali dengan baju kebaya putihnya!
Nampaknya Irene menyahut pesanan kita....
Irene pakai baju kebaya tau hari Sabtu nanti.
Ya, Cikgu.
Ha... betul-betul dia datang dengan berkebaya.
Mana kamu dapat baju kebaya tu Irene?
Pinjam dari aunty saya... ha haaaaa!
Pagi tadi, sewaktu program motivasi SPM di sekolah, ibu bapa dijemput hadir sama. Sempat berkenalan dengan ibu Irene, dan katanya: Saya bekas anak murid cikgu! Sekarang cikgu ajar anak saya pula.
Nampak sungguhlah cikgunya dah masuk senja!

 Tak lama lagi SPM. 
Hanya tinggal 124 hari sahaja lagi.
Belajar rajin-rajin ye anak-anak murid cikgu.... Chen Yun Fat, Jerald, Eransyah, Arman, Alex, Rozaimy, Aiman dan Adam, dan di bawah ini termasuk Syafihie, Hisyam dan Azwan.




 Kerja-kerja menyusun makanan diteruskan.

Sempat juga bergambar kenangan bersama Lim Sir Jun, Chin Yi Wen, Ho Mei Yan, Ratna, Shariana, Shirley, Nuratika dan Hazimah.

Alhamdulillah. 
Muafakat membawa berkat.
Masing-masing membawa juadah seadanya untuk dinikmati bersama.

Sementara menunggu masa untuk santapan Aidil Fitri dan Pesta Kaamatan, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah pertandingan karaoke, menganyam ketupat, fesyen pakaian dan tarian.
 Murid-murid perempuan sudah bersedia untuk memulakan pertandingan menganyam ketupat.

 Pandai menganyam ketupat ke dik?

 Ini pula... apa yang dipandang tu?

 Oh!
Tarian Magunatip sudah bermula rupanya.

 Patutlah semua mata tertumpu ke tengah gelanggang!


 Ambil kesempatan menyelit bersama geng Bukit Tinggi.
Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.


 
 Menjenguk rakan-rakan yang lain pula.

Dan sempat tangkap gambar sebahagian hidangan hari raya yang disediakan oleh kelas masing-masing.





 Nasi goreng yang mengancam selera!









Terima kasih Syamsuri sebab bawa tapai pulut! Terima kasih semua murid kelas 5 Nekad yang bertungkus-lumus menjayakan majlis pada hari tersebut. Tak sempat nak tangkap gambar hidangan yang dibawa. Siti Aisyah dengan Coto Makassar, Nur Fitriana dengan burasnya, Hazimah dengan nasi brianinya, Shirley dengan keropoknya, Dixon dengan nasi gorengnya, yang lain-lain seperti Chan Pei Xuan, Loong Jian Wen, Pang Yew Leong, Chin Vui Loong, Liew Kian Seng dan Wong Soon Vui berpakat bawa air, juga Nuratika yang berusaha membawa air buah. Tak silap Ratna atau Karima membawa kuih penjaram. Tidak lupa terima kasih Carlos sebab sudi taja pinggan mangkuk, gelas, sudu dan air mineral. Yang lain-lain pakat membawa kuih-muih. Alhamdulillah.


 Selit sedikit gambar Fairuz bersama rakan sekelasnya.



Terima kasih  Aaron, Arnold sebab bantu cikgu hias dewan terbuka kelmarin petang. Hari ini kamu nampak sangat lawa datang dengan berbaju kurung Melayu.

 Terima kasih juga buat sumandak-sumandak yang manis yang turut sama menghias dewan.

 Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Pesta Kaamatan 2018.