Tiba-tiba teringat permintaan Suria Amanda untuk kongsikan cara membuat sambal belacan. Menurut Chef Norzailina Nordin dalam buku Soal Jawab Dunia Masakan - Rahsia Dapur:
Sambal belacan yang sedap sangat relatif sebab kita mempunyai tahan ketahanan pedas yang berbeza. Ada orang yang lidahnya sangat peka, sedikit cili sudah cukup pedas dan ada yang sebaliknya. Jadi, sambal yang sedap adalah daripada pengalaman diri sendiri yang menyediakannya atay yang dimakan di rumah orang. Yang penting, imbangi manis, masin dan masam.
Di sini Amie kongsikan petua untuk membuat sambal belacan yang sedap berdasarkan tips yang ditulis oleh Chef Norzailina Nordin. Antaranya:
- Tumbuk atau kisar cili merah, cili padi (ikut suka pedasnya) hingga lumat. Petua yang biasa untuk jumlah cili adalah mengikut jumlah yang ganjil seperti 5, 7, 9 dan 11 tangkai. Dari segi saintifik, keberhasilannya sudah hendak dibuktikan.
- Bakar atau goreng belacan (di dalam sedikit minyak) baru dimasukkan ke dalam cili tadi. Tambahkan gula pasir dan garam, tumbuk lagi.
Ada tiga pilihan asam:
- Asam Jawa - pastikan ia diperah dengan air masak, biar pekat.
- Hirisan tomato / mempelam masam - tumbuk kasar dengan cili.
- Jus limau nipis / limau kasturi dan lain-lain.
Banyak juga versi sambal belacan yang pernah Amie jadikan entri, misalnya SAMBAL BELACAN BELIMBING BULUH seperti gambar di bawah ini.
| Sambal Belacan Belimbing Buluh |
| Sambal Belacan Belimbing Buluh & Ulam-Ulaman |
| Sambal Belacan |
Belacan, bawang merah dan bawang putih dipanggang terlebih dahulu.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sambal belacan.
Jika suka boleh gunakan limau nipis campur limau kasturi.
Boleh juga gabungkan ketiga rasa masam seperti jus limau nipis, jus limau kasturi dan asam jawa. Kalau mahu, bolehlah hiriskan sedikit kulit limau kasturi dan masukkan dalam sambal belacan yang sudah siap ditumbuk atau dikisar.
Sambal belacan dah siap. Bolehlah simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan pada hari-hari sibuk.
Satu lagi sambal yang sangat sedap, yang Amie sangat suka sudah tentulah Sambal Belacan Siam. Kebetulan sewaktu jalan-jalan ke Bangkok (sebelum PKP), Amie beli belacan dan gula Siam. Bukan apa, suka sangat makan sambal belacan di sana sampai tak tahu malu minta tambah lagi. Kalau inginkan rasanya yang original gunakanlah belacan Siam dan gula Siam. Boleh beli di Shopee. Gunakan bahan tempatan pun boleh saja. Carilah belacan yang kurang masin. Gula Siam itu boleh gantikan dengan dengan gula kabung atau gula Melaka.
Resipinya boleh klik di sini: MUDAHNYA MEMBUAT SAMBAL BELACAN SIAM YANG SEDAP!
Sambal Belacan Siam ini kurang pedas. Jadi kena buat banyak sebab asyik nak menambah saja!
Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Sambal Belacan Siam.
| Sambal Belacan Siam & Ulam-Ulaman |







