ADSENSE

Jumaat, 18 Januari 2019

Sup Tulang Tumis Darat Yang Sangat Sedap!

Ada lebih kurang 1 kg lebihan tulang lembu masih tersimpan di dalam peti sejuk. Memandngkan hari ini Amie mempunyai lebih masa di dapur, jadi Amie ingin masak sup tulang. Amie tidak gunakan pressure cooker, sebaliknya hanya masak renih di atas dapur gas dengan api perlahan sahaja sehingga daging yang tersalut pada tulang menjadi empuk.
Untuk masakan sup ini, seperti biasa Amie rebus terlebih dahulu tulang lembu sehingga mendidih, dan kemudian Amie buangkan air rebusannya, dan seterusnya gantikan dengan air yang baru dan rebus sekali lagi sehingga empuk.

Bahan-bahan:

1 kg tulang lembu
2 biji kentang saiz besar - belah 4
1/2 batang lobak merah - potong 4 segi
1 batang leek - potong 2cm panjang
1/2 labu bawang besar - mayang kasar
2 cm halia - hiris
1 sudu besar rempah sup
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
garam / gula / perasa pilihan
4 sudu besar minyak
3 liter air

Bahan rempah tumis:
1 sudu besar rempah sup
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan hiris: 
1/2  labu bawang besar - mayang kasar
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
2 cm halia - hiris

Cara memasak:
1. Rebus tulang dengan menggunakan air paras tulang sahaja sehingga mendidih dan biarkan lagi selama 5 minit. Buang air rebusan. Gantikan dengan air baru sebanyak 3 liter dan kemudian masukkan hirisan bawang besar, hirisan halia dan rempah sup. Rebus lagi hingga mendidih, dan seterusnya perlahankan api. 
2. Apabila daging pada tulang mulai empuk, masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan masak lagi sehingga kentang empuk. Kemudian masukkan potongan leek, garam / gula / perasa pilihan dan lada putih. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
3. Panaskan sebuah kuali, panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu kekuninga, dan kemudian masukkan pula bahan rempah tumis. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air rebusan tulang. 
4. Kemudian pindahkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk berisi rebusan tulang tadi. Tutup periuk.
5. Biarkan beberapa minit, dan kemudian buka tudung periuk....huurrmmmmm! Semerbaknya aroma Sup Tulang Tumis Darat!

 Nampak tak kuah sup yang berlenang-lenang dengan rempah tumis daratnya itu.
Jemput makan.

Seperti biasa Amie turut sediakan lada kicap sebagai pelengkap.

Sambal Belacan Bambangan Yang Sangat Sedap!

Biasanya hanya makan jeruk bambangan atau acar bambangan sahaja. Kali ini Amie kongsikan Sambal Belacan Bambangan pula. Amie gunakan belacan Papar yang terkenal dengan keenakan dan  memang dijamin kebersihannya. Harganya memanglah agak mahal sedikit dari harga belacan pbiasa di pasaran, tapi memang sangat berbaloi membeli dan menggunakannya!

Bahan-bahan:
1 cawan hirisan buah bambangan
1 sudu besar belacan Papar
10 biji cili padi
1 labu bawang besar - hiris halus
2 sudu besar jus limau kasturi
garam  / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Tumbuk belacan bersama cili padi, gula / garam / perasa pilihan. Suka hati nak cili hancur lumat atau kasar-kasar.
2. Masukkan hirisan bambangan dan lenyek bersama sambal belacan.
3. Masukkan bawang besar dan juga jus limau kasturi.
4. Gaul sebati.
5. Biarkan seketika sebelum dinikmati supaya semua bahan menjadi mesra.

Jom, temankan Sambal Belacan Bambangan bersama nasi panas dan ikan goreng. Walllaaa....

Ikan Bawal Kukus Halia Yang Sedap!

Selamat pagi semua.
Apa agaknya hidangan tengahari untuk keluarga?
Amie paparkan resepi Ikan Bawal Kukus Halia yang sempat Amie hidangkan untuk seisi keluarga kelmarin. Kelmarin ye, bukan hari ini....hiks!
Ada pun resepi Ikan Bawal Kukus Halia ini Amie olah sendiri menggunakan bahan yang ada di dapur.
Yang penting, rasanya sedap dan habis dimakan sekeluarga.

Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan putih seberat 1.2 kg - bersihkan dan toskan
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis ABC
2 sudu besar kicap manis pedas Mahsuri
10 biji cili padi

Bahan hiris:
5 cm halia muda - kikis kulit - hiris halus seperti batang mancis
1 batang serai - hiris serong
3 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - mayang kasar
1/2 batang lobak merah - hiris halus


Cara memasak:
1. Sediakan periuk pengukus. Jerang air di dalamnya dan biarkan mendidih.
2. Bubuh ikan dalam dulang pengukus.
3. Tuangkan sos ikan secara merata, diikuti dengan sos tiram, kicap lemak manis dan kicap manis pedas. 
4. Kemudian bubuh semua bahan hiris dan juga cili padi sehingga menutupi ikan.
5. Buka penutup periuk pengukus, dan letakkan dulang berisi ikan tadi di dalamnya. Tutup periuk.
6. Kukus selama 10 minit atau sehingga ikan masak.

Kuah ikan kukus halia ini sangat sedap! Ada rasa masin, dan lemak manis serta sedikit pedas. Nak tambah lagi pedas sewaktu makan, picit saja cili padi merah tu....yummy!

Ada Apa di Pasar Sayur Kundasang?

Sebut tentang sayur, sudah tentu terbayang di ruang mata rupa bentuk pelbagai sayuran dari yang berdaun hijau seperti sawi sehinggalah sayuran bentuk buah seperti labu dan sebagainya. Singgah di Gerai Sayur Kundasang, pasti teruja melihat pelbagai jenis sayur, dan ada kalanya dalam sebuah gerai sayur, terdapat aneka jenis buah, termasuk buah tempatan dan juga buah-buah luar negara seperti anggur, epal dan sebagainya. 
25 tahun lalu, suasana di gerai sayur Kundasang tidaklah begini meriah dengan pelbagai sayuran, buah, beras huma, madu, pelbagai jenis jeruk seperti jeruk tuhau dan jeruk bambangan serta bunga-bungaan.
Ada bezakah keadaan sekarang dengan 25 tahun yang lalu?
Sudah tentu!
Dahulu suhu di sini sentiasa sejuk, tetapi sekarang terpaksa pakai topi untuk elakkan pancaran matahari terik!
Seperti biasa Amie suka kongsikan gambar-gambar sayur dan buah untuk tambah info. Di bawah ini Amie paparkan gambar buah lemak manis.

Ada pelbagai saiz buah lemak manis atau kadang-kadang dipanggil buah kungkurad. Ada saiz kecil dan besar. Harganya juga berbeza. Adakalanya berharga RM8.00 sekilogram dan mencecah sehinggan RM10. 


Kami beli dengan harga RM10 untuk sekilogram, mungkin saiznya yang besar jadi dijual dengan harga tersebut. 3 biji buah lemak manis sudah mencecah berat 1 kg!

Gambar atas : Buah ciku merah.
Gambar bawah : Buah ciku.


Farid tak lepas peluang beli buah jambu air madu. Memang setiap kali jumpa jambu air madu, setiap kali itulah Farid akan beli!

 Buah delima.

 Buah salak.

Selain dijual secara timbang kilo, buah-buahan di sini juga dijual dalam bentuk isi yang sudah dibersihkan dan dipotong-potong. 



 Encik Suami berminat membeli buah durian belanda.

Buah strawberi tidak banyak di sini, sebagaimana banyaknya di Cameron Highlands. Harganya juga sangat mahal. Amie belikan Firdaus, hanya 8 biji sahaja dan bersaiz sederhana dan rasanya tidaklah manis, berharga RM15. Gambar di atas, sebungkus strawberry berharga RM30.

 Buah nona.

 Buah pisang kaki. Dijual dengan harga RM10.00 untuk 4 biji.

 Buang terap! Harganya hampir menyamai harga sekilogram buah durian! RM10.


 Melayan Firdaus memilih bunga kaktus. Suka pula budak kecil itu dengan pokok bunga!


Oleh kerana setiap gerai hampir mempamerkan bahan jualan yang sama, kadang-kadang sukar untuk membuat pilihan. Rambang mata kot!

Selain sayur dan buah, banyak pula makanan ringan seperti kerepek dan keropok tergantung-gantung! Adeeehhh.... rambang mata lagi!

Apabila sayur-sayuran disusun berwarna-warni, itulah tarikan utama tumpuan mata pembeli untuk mendekati!

Cendawan sisir, cendawan tiram, dan cendawan telinga kera, memang sedap dimasak campur dengan kacang manis dan cili putih!

Selain jeruk tuhau, jeruk bambangan, di belakang sana terdapat botol-botol madu, dan pelbagai jenis beras bukit.









 Harga seikat asparagus ialah RM20.




 Wokey!
Sekian perkongsian  gerai sayur dan buah di Kundasang buat kali ini.
Jumpa lagi.

Khamis, 17 Januari 2019

Bermalam di Seapark Condotel Tanjung Aru Lagi

Nampaknya sepanjang Disember 2018, dua kali kami berkunjung ke Kota Kinabalu, dua kali jugalah menginap di Seapark Condotel, Tanjung Aru. Kali ini kami memilih 4 katil, dan menginap selama 3 malam dengan bayaran RM180 per/malam.

 Beberapa tahun yang lalu, kami pernah menginap di sini dan memilih bilik 5 katil.



 Kalau rajin, bolehlah masak di sini.
Anak-anak dan Encik Suami memang rajin masak di sini, tapi masak air sajalah...hiks!



Beginilah lebih kurangnya keadaan di dalam bilik penginapan kami.
Di sini tidak disediakan sarapan pagi tau.