ADSENSE

Isnin, 29 April 2019

Cara Masak Sup Ayam dengan Selada Air

Bertemu kembali dalam dunia maya.
Kita sambung main masak-masak.
Kali ini Amie kongsikan resepi Sup Ayam dengan Selada Air.
Biasanya Amie masak sup dengan menambahkan kentang, atau betik tetapi kali ini Amie tambahkan selada air dan juga tomato. Sebelum ini kalau Amie masak sup dengan tambahan selada air, Amie hanya rebus ayam dengan halia, dan bawang besar serta bawang putih sahaja. Masakan kali ini Amie cuba ubah cara memasak dengan menumis terlebih dahulu bahan perencah termasuk rempah sup. Amie tak bubuh rempah 4 sekawan, sebab hanya inginkan rasa sup yang sedang-sedang sahaja tanpa aroma rempah yang lebih kuat.

Nampaknya Fairuz dan Firdaus suka sangat hirup kuah sup ayam ini, dan Fairuz yang habiskan banyak selada air...hiks!

Secekak selada air yang Amie gunakan dalam masakan sup. Ambil pucuknya yang muda. Kalau nak ambil banyak bahagian batangnya boleh juga, tetapi kena masak agak lama sedikit sebab ia agak liat.

Inilah bahan-bahan yang Amie sediakan untuk masakan sup ayam dengan selada air. Jom kita lihat bahan-bahannya di bawah ini:

500 gram ayam - Amie gunakan sayap @ kepak ayam - potong ikut saiz yang digemari
secekak selada air - ambil daun dan pucuknya yang muda
2 biji tomato - potong dadu
1 sudu besar serbuk rempah sup
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
3 sudu besar minyak
4 cawan air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia

Inilah antara bahan yang paling disukai ketika memasak, terutama sewaktu menumis memang sedap sungguh aroma bawang merah dan bawang putih serta halia. Biasanya ketika menumis in, Firdaus akan lari-lari masuk dapur, tanya Mommy masak apa?

Boleh gantikan lada putih dengan lada hitam.

 Untuk ayam pula, boleh gunakan bahagian lain seperti kepingan dada, kaki dan sebagainya.

Buah tomato ini sebenarnya menjadi penyedap rasa, ada rasa manis dan masam - masam manja, tapi tentulah lebih kepada rasa manis.

 Daun dan pucuk selada air yang lembut dan muda.
Jom kita mula masak.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga terbit bau dan berwarna kekuningan.
2. Masukkan rempah sup, dan cepat-cepat gaul rata kemudian masukkan ayam.
3. Masak sehingga ayam berubah warna (layu), dan jika terlalu kering tambah sedikit air.


 4. Tuangkan air dan biarkan masak mendidih.


 5. Apabila ayam mulai empuk,masukkan tomato.

 6. Setelah tomato menjadi lembut, masukkan pula selada air.

7. Biarkan kuah mendidih sekali lagi.
8. Perasakan sup dengan lada putih, garam / gula / perasa pilihan
9. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Sup Ayam dengan Selada Air sedia untuk dinikmati!

Ahad, 28 April 2019

Siput Sikad-Sikad

Pernah makan siput laut?
Banyak jenis siput laut yang boleh dimakan.
Kalau di LD, biasanya kami akan temui siput laut seperti kahanga, tuntul dan juga sikad-sikad dan pelbagai jenis lagi.
Kadang-kadang Encik Suami bawa pulang isi siput (biasanya pemberian kawan). Seronoklah masak isi siput sebab sudah bersih tanpa cengkerangnya keras itu. Sesekali kami akan makan 'seafood' dan memesan kahanga, sejenis siput juga tetapi bersaiz agak besar.

Pagi tadi, sempat rembat siput sikad-sikad di pasar tani. Tidak susah untuk memasaknya! Anda boleh rebus atau kukus sahaja, dan kemudian sediakan pencicahnya. Jangan lupa sediakan lidi untuk menarik keluar isi siput sikad-sikad!

 Siput sikad-sikad yang baru masuk dapur!

Cuci bersih siput sikad-sikad, dan kemudian rebus sama ada menggunakan air biasa atau air kelapa muda. Walllaaaaaa... kalau gunakan air kelapa muda, memang tersangatlah sedapnya! Amie rebus dengan air biasa sahaja, tanpa garam. Kalau rajin, boleh kukus. Sementara menunggu siput sikad-sikad masak, mari kita siapkan pencicahnya. 

Ikut suka masing-masing nak sediakan pencicah yang digemari. Seperti biasa, Amie tumbuk cili padi bersama bawang putih, bubuh garam/ gula / perasa pilihan dan perahkan jus limau kasturi.

 Pencicah sudah siap. Siput sikad-sikad pun sudah ditoskan. Mari kita makan,

Kalau 'tangan' siput sikad-sikad sudah terjulur keluar seperti di atas, tarik saja dengan tangan bagi keluar semua isinya. Kalau isi siput sikad-sikad masih bersembunyi, gunakanlah lidi untuk menariknya keluar. Terus cicah lada dan masuk dalam mulut....hiks! 'Tangan' siput yang kerans itu jangan ditelan tau!

Jalan-Jalan Cari Sarapan di Pasar Tani Lahad Datu

Selamat berhujung minggu.
Awal pagi tadi sempat berdua-duaan dengan Encik Suami mengunjungi pasar tani. Seronoklah mata dapat menjamu pelbagai pemandangan hijau, jualan para petani dan peniaga pasar tani. Segala ulam-ulaman, sayuran kampung seperti paku pakis, bunga betik, pucuk ubi, terung pipit, rebung, sayur keladi, pisang, nangka, jambu dan pelbagai lagi begitu menggoda jiwa untuk membelinya. Terpikat pula dengan lokan, dan siput laut serta hidupan laut yang lain seperti kima, tehek-tehek dan sebaginya.
Setelah menghabiskan masa selama hampir dua jam di pasar tani, tentulah balik ke rumah anak-anak sudah menunggu untuk bersarapan pagi. Baiklah kita beli sahaja apa-apa makanan di pasar tani.

 Sampai ke rumah, Fairuz tak sabar-sabar nak makan sate.

Terpandang kaki ayam masak kicap yang terlerai dari tulang, beli juga sebungkus. Boleh ratah-ratah.

Encik Suami beli nasi kuning untuk Fairuz dan Firdaus. Untuk dirinya sendiri, dibelinya nasi kerabu.

Nasi kerabu, dengan lauk-pauknya yang ringkas termasuk seketul ayam goreng berempah. Di LD memang banyak peniaga nasi kerabu terutama dalam kalangan mereka yang bekerja di sini dan memang berasal dari Kelantan. Sayangnya, lauk-pauk yang ditawarkan kurang meriah berbanding di Malaya. Dari dahulu sampai sekarang, tidak banyak yang berubah. Kalau ada pun, tambahan telur masin sahaja. Ada juga pilihan lauk seperti ayam percik, dan itu pun sangat jarang kecuali pada bulan puasa, di bazar Ramadhan.


Nasi kuning, menu sarapan pagi paling popular di sini. Apa pun lauk yang ditawarkan, kebanyakan pembeli tetap memilih lauk ikan sambal dan telur rebus. Entah kenapa lauk lain kurang 'masuk' dihidangkan bersama nasi kuning....hiks! Nasi kuning yang sedap sudah tentulah yang tidak peroi, dan adakalanya peniaga akan memasak nasi kuning dengan sedikit beras pulut.

Jom sarapan dengan okok-okok (nasi  di dalam kulit tehek-tehek).

 Pemanis mulut kami pagi ini ialah pais jagung.


Jimat masa nak buat pais jagng. Kalau teringin beli sahajalah. Tapi kalau nak yang lebih sedap, dan ikut citarasa, buatlah sendiri. Itu pun kalau rajin...hihihiii!

Kuih bandang lojo, inti pisang raja, bahagian luarnya ubi kayu dan disalut dengan kelapa parut. Dulu, kalau beli kuih ini Amie seorang yang makan. Encik Suami tak mahu jamah. Minggu lepas semasa kami ke pasar tamu di Kampung Paris, dalam perjalanan pulang ke LD perut lapar pulak. Amie makan dalam kereta. Encik Suami minta sedikit. Katanya : Sedap pula kuih ni. Jadi, padi tadi dia pun belilah kuih ini di pasar tani LD.

Tidak lupa, barobbo, iaitu bubur jagung dengan pelbagai bahan lain dan enak disantap bersama sambal dan renjisan jus limau kasturi.

Sabtu, 27 April 2019

Sambal Mangga Belacan

Mangga udang nan sebatang di belakang dapur berbuah lagi.
Tak sempat nak jenguk!
Cuma dengar berita, sebiji buah mangga yang sedang membesar dikekah tupai!
Encik Suami risau, nanti buah-buah yang lain pun dimakan tupai.
Jadi, dibungkusnyalah buah-buah mangga dengan kertas.
Tak nampaklah buah mangganya.
Setiap kali Encik Suami bawa masuk dapur sebiji dua mangga yang sudah masak, Fairuz akan jadikannya sebagai puri mangga. Sedap jew puri mangga masuk tekak kita!
Oleh kerana saiz mangga udang ini besar, jadi puri dari sebiji mangga sudah cukup untuk seisi keluarga nikmati berkali-kali dalam sehari. Itu sahajalah yang Fairuz suka buat kalau ada mangga udang masak. Kadang-kadang Fairuz petik sendiri, dan makan dengan kicap lada!
Hari Khamis malam Jumaat lepas, kami ke kampung Encik Suami untuk menghadiri kenduri dan tahlil di rumah MIL & FIL (arwah). Encik Suami petik 5 biji buah mangga udang untuk dibahagi-bahagikan. Setiap sebiji beratnya melebihi 1.7 kg. Memang besar sungguh!
Amie sangka, tentu habis buah mangga di pokok.
Petang tadi, menerusi tingkap dapur ketika membersihkan ikan lampam untuk digoreng, terpandang buah mangga udang dicelah-celah daun! Tiba-tiba rasa teringin untuk buat sambal mangga! 

Dah siap pun Sambal Mangga Belacan!



 Dan ikan lampam goreng garing!
Jom kita tengok mangga udang di belakang rumah kami.

Nampaknya masih ada lagi beberapa biji mangga udang yang tak sempat dibungkus. Rasanya mangga ini baru sahaja membesar, sebab mangga yang lain lebih dua bulan yang lalu Encik Suami bungkus!


Mangga yang di atas ini pun tak dibungkus juga. Kalau begini saiznya ketika muda, mangga ini boleh membesar lagi dan ketika tua beratnya boleh mencecah 2 kg. Mangga muda begini belum ada rasa, masam pun tidak! Jom kita lihat mangga lain yang tidak dibungkus. Yang di bawah ini mungkin boleh dipetik.

Nak petik yang mana satu?
Amie petik yang bersaiz agak kecil, dengan harapan isinya sudah tua atau matang.

Inilah... mangga udang saiz agak kecil yang Amie maksudkan.
Petik ya! Walaupun kecil tapi beratnya mencecah 1.3 kg! Jom kita potong sikit bahagian tangkainya, nak tengok dan tua ke belum.

Yuhuuuu...
Warnanya agak kekuningan!
Bukan putik mangga!
Memang sesuai, dan memang sedap dibuat kerabu sebab isinya rangup, tidak berapa masam dan tidak pula manis!
Tapi kita nak buat sambal belacan mangga!

Heheee... baik kerabu atau sambal, memang akan banyak hasilnya gunakan sebiji mangga ini.

Alhamdulillah!
Isinya sedang elok!

Kita kupas sebelah sahaja, dan ambil sepotong. Selebihnya Fairuz terus ambil, dan makan dengan kicap lada.

 Jom kita mula buat sambal mangga bubuh belacan.

Bahan-bahan:
350 gram mangga cincang / sagat
3 biji bawang merah - hiris
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
1/2 cawan jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk: 
30 biji cili padi
25 gram belacan - bakar
2 biji bawang merah

Cara:
1. Masukkan hirisan mangga ke dalam sebuah bekas / mangkuk.
2. Tambahkan bahan tumbuk, bawang merah hiris, cili merah dan cili hijau hiris, garam / gula / perasa pilihan secukupnya. Tuangkan jus limau kasturi. Gaul sebati.
3. Biarkan seketika sebelum dinikmati.

Terliur tak?
Amie bubuh lebih jus limau kasturi sebab mangga ini tidak masam. Sedap ratah begitu sahaja... heheheeh!

 Lauk hari ini : Sambal Mangga Belacan dengan ikam lampam goreng, ulam kacang bendi. Simple dimple!

Ayam Masak Kari dengan Betik

Assalamualaikum.
Masak apa hari ini?
Amie belum masak, baru rendam ikan di dapur.
Nampaknya hari ini Encik Suami menghadiri kenduri tahlil di rumah rakannya, dan kita pula baru balik dari menghadiri taklimat persaraan. Walaupun masih jauh lagi tarikh untuk bersara, tapi saja jew ikuti perkembangan serta prosedur untuk menghadapi saat pencen. Sekarang ini, macam-macam perkara yang tertinggal untuk diikuti...hiks!
Okey, kembali kepada cerita pokok, tentang masak-masak. Amie kongsikan menu Ayam Masak Kari dengan Betik. Masakan ini sudah lama masuk perut, tapi baru hari ini sempat dipaparkan.
Bahannya biasa-biasa sahaja, cuma di akhir masakan Amie perahkan jus limau nipis untuk menggantikan asam jawa atau asam keping. Amie masak bahagian sayap @ kepak ayam. Selalunya Amie gunakan santan segar, tapi untuk masakan kali ini Amie gunakan santan kotak.

Bahan-bahan:
6 keping sayap ayam - potong 2
400 gram betik mengkal - kupas kulit - buang biji - potong ikut suka
4 sudu besar Serbuk Kari 888 (ayam / daging)
1 kotak santan kelapa Ayam Brand - 200ml
3 cawan air
1 labu bawang besar - mayang 
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari - lurutkan
2 sudu besar jus limau kasturi
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan


Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
(jika sukakan rasa pedas, boleh tambahkan cili kering - Amie tak bubuh cili kering)

Cara memasak:
1. Panaskan minyak, dan goreng bawang besar sehingga terbit bau dan layu.
2. Masukkan daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, dan buah pelaga.
3. Setelah terbit bau tumisan rempah, masukkan pula bahan kisar dan kacau rata. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Perlahankan api dan kemudian masukkan serbuk rempah kari. Gaul sebati, dan jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
5. Masukkan sayap ayam, besarkan api dan biarkan masak sehingga layu (berubah warna sayap ayam). Tambahkan air. Biarkan masak mendidih dan kemudian masukkan betik.
6. Perlahankan semula api, masak sehingga ayam dan betik empuk.
7. Tuangkan santan, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis secara merata di atas masakan. Kacau sekali dua, dan kemudian padamkan api dapur.

Jumaat, 26 April 2019

Cara Masak Pajeri Terung yang Sedap!

Jom main masak-masak lagi.
Kali ini nak masak pajeri pula.
Biasanya masakan pajeri gunakan nanas dan terung. Terungnya pula jenis yang warna ungu, tapi yang ada di dapur hanyalah terung putih. Tak kisahlah warna apa pun. Pajeri ini, pada Amie bahagian yang paling sedap terletak pada kuahnya! Dari dahulu sampai sekarang, kalau jumpa pajeri memang terus ambil kuahnya dahulu! Sedap tu makan dengan nasi panas atau nasi minyak!

Pajeri terung putih siap untuk dinikmati. Kuahnya tu, cicah dengan roti pun sodap!
Jom kta lihat resepinya di bawah. Resepinya mudah sahaja, sebagaimana orang kampung kami selalu masak semasa kenduri-kendara.
Biasanya udang kering ditambah sebagai bahan penyedap pajeri terung. Sebahagian udang kering dikisar / tumbuk halus dan sebahagian lagi dibiarkan begitu sahaja.

Bahan-bahan:
10 biji terung putih (saiz agak kecil seperti dalam gambar di atas) - belah 2 dan rendam dalam air
4 sudu besar serbuk rempah kari (Amie campurkan 2 sudu besar rempah kari ikan dan 2 sudu besar rempah kari ayam / daging : Serbuk Kari 888)
2 sudu besar kerisik
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
2 cawan santan
2 tangkai daun kari - lurutkan
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
2 cm halia
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun kari, bunga lawang, kayu manis dan bunga cengkih sehingga pecah minyak.
2. Masukkan udang kering, dan serbuk rempah kari, dan perlahankan api dapur. Gaul rata, dan jika terlalu kering, tambahkan sedikit santan.

 3. Kemudian masukkan kerisik.

 4. Seterusnya masukkan baki santan.

5. Masukkan bahan perasa seperti garam dan gula / perasa pilihan secukupnya. Biarkan kuah menjadi mesra, dan kemudian masukkan terung.

6. Kecilkan api dapur dan masak sehingga terung menjadi lembut dan kuah memekat.
7. Rasa kuah sekali lagi, jika kurang perasa tambahkan garam dan sebagainya yang diperlukan.
8. Tambahkan cili merah hiris sebagai hiasan jika suka..
9. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

 Pajeri Terung Putih sudah sedia untuk dinikmati!