ADSENSE

Selasa, 30 Jun 2020

Jeruk Mangga Epal

Jumpa lagi.
Menyempatkan diri jenguk dapur maya sebelum beradu.
Sekadar cerita tentang mangga epal 7 kg di dapur.
Ada yang masak dan kebanyakannya dalam keadaan mengkal.
Sedapnya kalau dibuat jeruk!

 Kita suka sangat jeruk mangga epal, sebab mangga jenis ini tidaklah masam.

 Jom mulakan operasi mengupas buah mangga.

 Lebih kurang 5 kg mangga epal mengkal sudah dikupas.

 Kemudian hiris ikut saiz yang disukai.

Jika sukakan mangga jeruk yang rangup, bolehlah rendam dengan air kapur lebih kurang satu jam.

Kemudian bilas beberapa kali hingga bersih. Toskan. Amie gunakan asam boi, gula, hirisan cili padi dan juga serbuk asam untuk digaul bersama mangga epal.


Oleh kerana hari sudah jauh malam, jadi setelah digaul Amie masukkan ke dalam tiga buah bekas untuk disimpan di dalam peti sejuk. Jadi, kalau Fairuz ingin bawa ke sekolah, atau Encik Suami ingin bawa ke tempat kerja, boleh ambil satu bekas. Jeruk mangga ini memang sedap kalau dimakan beramai-ramai!
Rupanya Fairuz tak mahu bawa mangga jeruk yang Amie buat. Dia sudah sepakat dengan kawan-kawan untuk makan bersama. Esok paginya, bangun tidur terus ke dapur, dan terpandang kulit mangga epal di dalam tong sampah. Fairuz kupas sendiri lebihan mangga sebelum tidur, dan minta kawannya bawa kicap lada!
Balik sekolah, katanya kawan-kawan perempuan pula yang ikut makan!
Adeeehhhhh! Lucu juga bila kenangkan pelajar lelaki bawa mangga ke sekolah!


Untuk lebih sedap, boleh tambahkan kus limau kasturi dalam mangga jeruk!
(Gambar dari entri lama).

Ahad, 28 Jun 2020

Jalan-Jalan Cari Makan di Pasar Tani Lahad Datu

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Hujung minggu bukan bererti maa untuk berehat!
Hari begini, semua benda sedang berlonggok untuk dikemas.... ahaks!
Ya! Bukan hari untuk bermalas-malas dan melingkar atas katil sehingga terbit matahari!
Inilah hari paling sibuk ketika berada di rumah. Segala-galanya yang berkaitan dengan rumah dari bilik tidur, ruang tamu, dapur dan halaman rumah perlu dibersihkan. Huurrmmm... cerita tentang rumah dan mengemas, memang tak akan berakhir!
Jom kita ke pasar tani.
Hari ini cuti masak di dapur. Kita cari sarapan di luar.
Rindu nak makan kuih-muih tradisi di LD. Kelmarin puas seharian memburu makanan tradisi masyarakat Bajau di Semporna. Hari ini kita bawa pulang kuih-muih dan makanan tradisional masyarakat Bugis hasil memburu di pasar tani.

Kuih-kuih talam yang dibeli setakat tiga keping pelbagai jenis seperti talam labu, talam ubi dan talam gula merah. Kuih-kuih lain yang dibeli merupakan kuih kegemaran Amie iaitu barongko, sanggar janda, kuih awuk-awuk, nagasari dan barobbo.

Tiap kali bulan puasa memang selalu beli barongko. Puasa lepas tak ada bazar Ramadhan. Hari ini baru jumpa barongko di pasar tani.

 Kuih sanggar janda juga salah satu kuih kegemaran!

 Kuih awuk-awuk.

 Barobbo, lengkap dengan sambalnya yang maha pedas, dan limau kasturi.

 Dan tidak lupa, beli buras dan juga tumbu'.

 Siap dengan lauk-pauknya.

 Yang di bahagian hadapan, yang tegak-tegak itu dipanggil tumbu'.

 Yang dalam keadaan rebah itu dipanggil buras. Diperbuat daripada beras pulut.

 Ini buras daripada beras.

Sudah ada buras dan tumbu' kenalah ada lauk-pauknya seperti ayam palekko', serunding kelapa, dan sambal ikan bilis.

Sambal ikan bilis dengan serunding kelapa (gambar atas dan bawah) paling disukai Fairuz. Habis licin disantap dengan buras!


Beli 5 bungkus nasi kerabu untuk makan tengahari kami.
Harapnya bila tak pegang periuk kuali hari ini, dapatlah kemas rumah dan sebelah petangnya bolehlah berehat.

Sabtu, 27 Jun 2020

Jalan-Jalan Cari Makan Semporna - Tawau

Selamat berhujung minggu.
Pantai Timur Sabah , sepanjang hari hujan dari pagi sehinggalah ke petang.
Seawal pagi, selepas solat Subuh, berdua bersama Encik Suami meredah hujan, menyusuri jalan berliku-liku menuju ke Semporna.
Bawa bekal pulut panggang, kuih lapis dan kuih getuk ubi. Untuk anak-anak di rumah, Encik Suami belikan nasi kuning, karipap dan telinga gajah.
Fuad tak dapat ikut sebab ikuti pembelajaran secara online.
Firdaus pula masih di bawah umur. Kata Encik Suami kesianlah budak tu nanti di Semporna tak boleh makan di restoran. Terpaksalah tinggal di rumah, dan Fairuz dipertanggungjawabkan untuk menjaga segala kebajikannya di rumah sepanjang ketiadaan kami.
Perjalanan dari LD ke pekan Semporna memakan masa selama 2 jam.

Kami memilih Restoran Sri Melur untuk bersarapan. Ketika kami sampai,  pekerja restoran sedang sibuk melayan pelanggan dan makanan yang disajikan pun baru diangkat dari dapur. Masih panas!

Imej mungkin mengandungi: makanan
Kami memilih hidangan tradisi masyarakat Bajau sebagai sarapan pagi. Sudah tentunya kami memilih putu, dan masih panas juga. Inilah kali pertama Amie makan sebatang putu hingga habis! Putu yang masih hangat, ditambah pulad dengan lauk-pauk yang masih panas! Sungguh menyelerakan.

 Antara lauk yang kami pilih termasuklah isi siput  kahanga. (Gambar atas)

 Ini pula, masakan siput kima.

 Ini sagol buntal (ikan buntal).

 Tidak ketinggalan, kilau atau kinilau.

 Ini pula sagol kiampau (sejenis ikan pari saiz kecil).

 Dan sudah tentu kami minta bobohan.

Selesai bersarapan kami meneruskan perjalanan mengelilingi pekan. Ke pasar ikan, ke pasar sayur dan ke pasar tani. Mana yang berkenan, kami beli. 
Sebelum menininggalkan Semporna, kami makan tengahari di Restoran Kampungku pula. Kali ini makan nasi.

 Masih ambil kesempatan untuk menikmati lauk-pauk tradisi masyarakat Bajau Semporna lagi. 

Meratah latok.
Walaupun sudah biasa makan latok di LD tapi nak makan juga latok di Semporna.

 Meratah bobhan lagi.

Dan juga siput kima.

 Ada kerang masak kari, minta juga hidangkan untuk kami.

Dan sekali lagi minta hidangkan masakan sagol, tetapi sagol tombat (sejenis ikan kulit tebal - ikan jebong atau ikan ayam).
Hujan masih turun renyai-renyai.
Perut dua kali kenyang.
Kami teruskan perjalanan selama 1 setengah jam ke Tawau.
Beli itu dan ini sampai penuh bonet kereta dengan segala mak nenek entah hape benda yang diborong! Menjelang 3 petang kami bertolak pulang ke LD tetapi singgah sebentar di Restoran Sate Cocos Haji Ali. 
Sate dijual, tetapi hanya untuk dibawa pulang. 
Kami beli 20 cucuk sate ayam, 20 cucuk sate daging dan 20 cucuk sate kambing biri-biri.

Menjelang 5:45 petang sampai ke rumah, dan hujan masih turun. Fairuz sudah sediakan satu jug puree mangga. Dua hari lepas Encik Suami petik 2 biji mangga udang yang sudah masak di pokok. Sebiji Fairuz bawa ke sekolah untuk dimakan bersama kawan-kawannya dan sebiji lagi masak ranum, terletak di dapur. Jadi,  petang tadi kami kenduri puree mangga sambil menikmati Sate Cocos Haji Ali.  Walaupun perjalanan dari Tawau ke LD selama 2 setengah jam, tetapi sate masih terasa hangat, begitu juga dengan kuahnya.

Makan sate sambil menikmati puree mangga di kala senja hampir menjelma, seolah-olah berada di bulan puasa ketika berbuka!

Sekian.
Cerita jalan-jalan cari makan di luar daerah.
Maklumlah, lebih 3 bulan terkurung!
Teruja untuk melebarkan sayap buat seketika!

Jemput makan sate!

Jumaat, 26 Jun 2020

Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan

Jumpa lagi.
Sekarang ini dah mula jarang-jarang masuk dapur maya.
Sepanjang cuti PKP memang seronok pagi petang, siang atau pun malam, kalau ada masa terluang terus kongsi resepi di sini. Sempat lagi kunjung ziarah ke 'rumah' kawan-kawan, dan menambah kenalan. Di kesempatan ini Amie ingin ucapkan berbanyak terima kasih buat pengikut baru yang sudi lepak di dapur yang tidak sepertinya ini.
Jadi, memandangkan kehidupan sudah mula berubah, sedikit-sebanyak masa untuk berada lebih lama di sini agak terhad. Maka, sekali-sekala sahajalah boleh bersama rakan-rakan maya. 
Fuad masih bercuti, tapi masih mengikuti pembelajaran online. Sekali-sekala memang anak-anaklah yang akan ambil alih tugas memasak di dapur. Kita pun nak berehat juga dari memasak di dapur, sambil menikmati hasil air tangan anak-anak seadanya.

Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan
Hari ini Amie masak Asam Pedas Ikan Baung. Pada mulanya Amie nak masak asam pedas ikut cara MIL, tapi tidak ada cili padi pula. Jadi, Amie pun masak asam pedas biasa saja.

Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan
Amie olah seekor ikan baung seberat 700 gram. Setelah puas menikmati ikan baung dari Sungai Segama sewaktu hayat FIL dan MIL masih ada, kali ini kami beralih pula kepada ikan baung dari Sungai Kinabatangan. Seperti biasa, ikan sungai memang ada aromanya yang tersendiri. Bolehlah cuci dengan menggunakan asam jawa atau limau nipis, dan boleh juga lumurkan tepung gandum dan perap seketika sebelum membilasnya dengan air. 
Jom kita lhat resepinya di bawah ini. Amie kisar sekuntum bunga kantan bersama bahan kisar yang lain.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan baung seberat 700 gram - bersihkan - potong ikut saiz yang disukai
10 batang kacang bendi - buang tampuk dan bahagian ekor
2 biji tomato - belah 2
7 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan - belah 4
1 sudu besar asam jawa - tambah 1/2 cawan air - tapis - ambil airnya
1/2 cawan minyak
2 cawan air
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
1 kuntum bunga kantan
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil belacan

Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan
Cara memasak:
1.  Panaskan minyak. Tumis bahan kisar dengan api sederhana sehingga terbit minyak.
2. Tuangkan air asam jawa, masukkan daun kesum dan bunga kantan.
3. Masukkan dua cawan air dan biarkan kuah mendidih.
4. Seterusnya masukkan ikan baung, diikuti dengan kacang bendi dan tomato.
5. Setelah kuah mendidih sekali lagi, dan ikan baung masak, bolehlah bubuh perasa seperti garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Kacau beberapa kali. Perlahankan api  dapur dan masak seketika lagi agar terbit minyak di permukaan kuah.

Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan
Asam Pedas Ikan Baung Sungai Kinabatangan dah siap!

Ahad, 21 Jun 2020

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah

Selamat berhujung minggu.
Hari ini tak masak untuk hidangan tengahari.
Pagi tadi masak nasi lemak, sekali harung untuk sarapan dan makan tengahari.
Untuk lauk nasi lemak, Amie temukan paru rusa dari Sungai Kinabatangan dengan kerang dari Tawau. Isi kerang tersangatlah kecil, tapi kira sudah cukup bagus sebab ada! Bolehlah tukar-tukar selera makan sambal kerang pula.

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Paru rusa yang kami beli di Sungai Kinabatangan pula Amie perap dengan rempah kisar dan kemudian goreng garing. Memang sedaplah kalau ratah-ratah saja!

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Jom masak nasi lemak.
Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
santan sederhana pekat ikut sukatan 6 pot rice cooker
3 biji bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu kecil garam

Cara:
1. Masukkan beras dan semua bahan di atas ke dalam rice cooker.
2. Tekan butang 'on' dan biarkan hingga nasi lemak masak.

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Resepi Sambal Kerang. Bahan kisar Amie kisar gunakan minyak, bukannya air. Bila kita tumis, ia tidak merecik. Cantik jew kejadiannya. Selepas sambal masak, boleh buangkan minyak yang berlebihan. Amie tak bubuh halia dalam sambal sebaliknya Amie gantikan dengan serai.

Bahan-bahan:
500 gram isi kerang
1/2 cawan gula melaka
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
1 batang serai - diketuk
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering - buang tangkai - rebus hingga layu - toskan
15 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu besar belacan
1/2 cawan minyak
(Kisar kesemua bahan dengan menggunakan 1/2 cawan minyak. Tak perlu bubuh air).

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama serai dengan api sederhana hingga pecah minyak.
2. Masukkan gula dan bancuhan air asam jawa. Masak lagi sehingga pecah minyak sekali lagi.
3. Seterusnya masukkan isi kerang dan garam / perasa pilihan.
4. Masak 2-3 minit sahaja dan padamkan api dapur supaya isi kerang tidak kecut.

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Untuk Paru Rusa Goreng Berempah pula, terlebih dahulu Amie rebus 1/2 kg paru rusa hingga lembut. Untuk kurangkan 'aroma' pada paru rusa, Amie rebus bersama asam keping, serai dan halia. Sekarang kita lihat resepinya pula.

Bahan-bahan:
1/2 kg paru rusa yang sudah direbus hingga lembut - toskan - hiris tipis
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
3 ulas bawang putih tumbuk
2 cm halia tumbuk
garam / perasa pilihan secukupnya
minyak untuk menggoreng

Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas dan perap selama 30 minit.
2. Panaskan minyak yang banyak dan goreng tenggelam paru rusa.
3. Apabila paru rusa timbul di permukaan minyak gorengan, bolehlah angkat dan toskan.

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Jemput makan.

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Sambal Kerang cukup rasa!

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Paru Goreng Berempah yang lembut dan rangup pula!

Nasi Lemak Sambal Kerang & Paru Rusa Goreng Berempah
Tambahan hidangan sarapan pagi sudah tentunya karipap pusing!

Sekian.
Cerita di hari minggu dari Amie's Little Kitchen.