ADSENSE

Selasa, 31 Disember 2019

Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang

Assalamualaikum buat seua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Terima kasih kerana masih sudi masuk dapur, menemani sembang-sembang di sini.
Terima kasih juga buat followers baru yang menambah bilangan di dapur maya ini.
Amie ingin ucapkan selamat menempuh tahun baru 2020, dan meninggalkan tahun 2019 yang penuh dengan pelbagai cerita suka dan duka.
Peristiwa pahit jangan terus dibuang, mana tahu terselit banyak pengajaran di sebaliknya. Begitu juga yang manis, jangan terus ditelan. Mana tahu di sebalik yang manis itu sebenarnya penuh dengan kepahitan.
Menutup tirai 2019, Amie kongsikan Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang. Menu ini Amie masak minggu lepas, tapi tak sempat nak kongsi sebab Amie sekeluarga ke Semporna, seterusnya ke Tawau untuk menyempurnakan tugas rasmi selama 5 hari.

Entah berapa kali Fairuz bertanya, bila Mommy boleh masak nasi lemak?
Rindu rupanya anak bujang ini nak makan hasil air tangan kita. Sepanjang cuti sekolah, memang Fairuz ambil alih tugas masak di dapur. Tapi dia memilih jenis masakan. Kalau masak ayam, memang lajulah kerjanya, tapi kalau masak ikan, macam hendak tak hendak saja dibuatnya...ahaks!

Seperti biasa, kalau masak nasi lemak memang Amie akan lebihkan semua sukatan. Bolehlah makan sekali harung, dari sarapan pagi sampai ke tengahari. Kali ini tidak ada ikan bilis dan kacang tanah goreng. Rupanya habis ikan bilis dalam simpanan diberikan kepada kucing yang datang ke rumah! Kerja siapa tu? Tak lain tak bukan kerja dua beradik, Fairuz dan Firdaus! Amie sudah pesan jangan berikan kucing ikan bilis, takut kena sakit buah pinggang kucing-kucing itu. Tapi kata dua beradik ini, kucing tak mahu makan ikan yang diberi! Kucing nak makan ikan bilis juga! Hurrrmmmm.... sejak bila pulak kucing pilih nak makan ikan bilis! 
Kacang tanah pula Amie gantikan dengan kacang gajus, baki kudap-kudapan yang dibeli di Hatyai tempohari.

Masak nasi lemak halba sama sahaja dengan cara masak nasi lemak biasa, cuma tambah sedikit halba. Aromanya memanglah sungguh menggamit selera ketika nasi sedang mendidih dalam periuk.

Bahan-bahan:
4 cawan beras biasa - cuci bersih dan toskan airnya
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1/2 sudu kecil halba
3 cm halia - hiris
3 biji bawang putih - hiris
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
1/2 sudu kecil gula pasir
1 sudu kecil garam

Cara memasak:
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi (rice cooker) bersama semua bahan lain.
2. Tekan butang 'on' dan biarkan sehingga masak seperti memasak nasi biasa.

Amie gandingkan Nasi Lemak Halba dengan Sambal Udang. Kali ini Amie gunakan udang bemban, dan bukannya udang kertas seperti kebiasaannya. Oleh kerana cili kering yang digunakan memang terasa kepedasannya, jadi Amie lebihkan penggunakan bawang. Amie gunakan 3 labu bawang besar dan 10 biji bawang merah. Kesemuanya Amie kisar sekali harung dengan bahan-bahan lain.

Bahan-bahan:
700 gram udang bemban - bersihkan dan buang kulit
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 cawan minyak
1/2 cawan gula melakagaram / perasa pilihan

Bahan kisar:
30 biji cili kering
1 sudu besar belacan
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
3 labu bawang besar

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng daun pandan hingga terbit bau.
2. Masukkan bahan kisar serta gula melaka dan tumis hingga terbit minyak.  Kemudian masukkan bancuhan air asam jawa dan biarkan mendidih sehingga terbit minyak lagi.
3. Masukkan udang dan tumis sehingga udang masak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Keluarkan daun pandan apabila hendak menghidangkan sambal.

Setelah nasi lemak halba tanak, dan sambal udang masak, bolehlah hidangkan dengan lauk sampinga lain yang digemari. Amie tambahkan telur rebus, hirisan mentimun, kacang gajus dan juga keropok. Keropok ini dari Kelantan, mek dan kakak Dik Za Fauzan yang berikan kami. Jauh kembara keropok ini, dari Bachok pergi ke Hatyai, kemudian terus ke Kedah dan terbang ke Sabah!

Rabu, 25 Disember 2019

Laksa Asam yang Tak Penah Menjemukan!

Jom makan laksa asam!
Alang-alang nak makan semangkuk dua laksa asam, baiklah buat lebih-lebih. Boleh agih-agihkan kepada jiran atau keluarga. Betul tak?
Kuah laksa asam ini sama seperti yang pernah Amie buat untuk rumah terbuka sempena hari raya puasa yang lepas. Dah jumpa rasa yang sangat sedap, memang terus jaga resepi itu jangan bagi hilang. Boleh klik di sini untuk resepi kuah laksa asam itu: LAKSA ASAM PALING SEDAP
Sudah tentulah kita tidak akan teragak-agak lagi untuk menggunakan resepi yang sama sebab sudah diuji dan diperakui keenakannya oleh para tetamu...ahaks!


Amie sediakan kuah pada petang hari, dan kuah pun sempat bermalam. Keesokan paginya Amie sediakan aksesori dan bersedialah laksa asam and the gang untuk dijamah! Memang banyaklah hasil kuahnya, seperiuk belanga besar! 

Memang padu betul rasa kuah laksa ini bila bubuh lebih bawang besar dan nanas masak! Walaupun nanas rasa manis, tapi tidak menjejaskan rasa kuah, malah bertambah sedap pula dengan pelbagai kombinasi rasa dan bahan!


Bahan-bahan:
4 bungkus laksa kering - rendam dengan air biasa sehingga bertukar warna putih - celur - toskan
2 kg ikan selayang - bersihkan - toskan (kalau boleh gunakan 2 jenis ikan seperti ikan selayang + ikan kembung - 1 kg selayang + 1 kg kembung)
1 tin besar ikan sardin - pisahkan isi dari sosnya
4  kuntum bunga kantan - belah 4
20 tangkai batang daun kesum
10 keping asam gelugor
4 batang serai - dititik
6 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
50 tangkai cili kering - ikut pilihan cili kering masing-masing (boleh tambah atau kurangkan) - ada jenis cili kering pedas dan kurang pedas
20 tangkai cili padi - ikut suka nak bubuh atau tidak
14 labu bawang besar
30 gram belacan - bakar
2 kuntum bunga kantan - hiris kasar
1 biji nanas masak seberat 1kg
4 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Rebus ikan selayang dengan menggunakan 6 liter air dan 6 keping asam gelugor. Jangan rebus terlalu lama. Sebaik sahaja air rebusan ikan mendidih, dan biji mata ikan tersembul putih, tutup periuk dan padamkan api dapur. Biarkan sekitar 5 minit sebelum ditapis untuk memisahkan air rebusan dan ikan.
2. Masukkan kesemua bahan kisar ke dalam periuk, dan masak sehingga airnya kering.
3. Pisahkan isi ikan dengan tulang dan kepala ikan.
4. Kisar isi ikan bersama air rebusan ikan.
5. Kemudian kisar tulang dan kepala ikan dengan air rebusan ikan dan tapis.
6. Keluarkan isi sardin dalam tin dan pisahkan isi dengan sosnya.
7. Kisar ikan sardin bersama air rebusan ikan.
8. Masukkan kesemua isi dan air tulang ikan yang dikisar serta lebihan air rebusan ikan ke dalam periuk. Tiada penggunaan air biasa selain air rebusan ikan.
9. Setelah kuah mula mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan, serai serta asam gelugor lebihan untuk rebus ikan.
10. Perasakan dengan garam / perasa pilihan dan akhir sekali masukkan lebihan kepingan isi ikan selayang dan ikan sardin.
11. Biarkan mendidih lagi selama lebih kurang 5 - 10 minit dan kemudian padamkan api dapur.


Bahan pelengkap:
hirisan timun
hirisan bawang besar
hirisan nanas
hirisan daun salad
telur rebus
petis 
limau kasturi 
sambal kicap / hirisan cili padi / cili merah

 




 

Bukan main seronok anak-anak buah dapat makan laksa asam! Tak perlu tunggu buat rumah terbuka baru nak makan laksa asam...hiks!

Dan kami di rumah, berulangkali makan laksa. Kuah tak habis, keesokan harinya rebus laksa lagi. Makin dipanaskan, makin sedaplah pulak kuah laksa asam nih!

Rosli Bihun Sup

Saya kesian kakak datang sini tak dapat jalan-jalan, tak dapat pergi tempat makan yang best.
Tak habis-habis Dik Faiz menyuarakan rasa kesalnya. Memang dia sudah atur beberapa lokasi untuk dikunjungi, dan juga tempat makan yang popular. Barangkali memikirkan Amie suka cuba masakan yang pelbagai, itu sebabnya dia berusaha untuk membawa kami ke tempat tersebut.
Dua hari kak, saya cari dalam google restoran yang best di Alor Star. 
Ujarnya lagi sambil menunjukkan beberapa keping gambar restoran serta pelbagai jenis makanan di dalam HPnya.
Tak apalah. Tak ada rezeki untuk ke sana. Amie pujuk. Sebenarnya, terkilan juga rasa di hati sebab orang sudah susah payah untuk kita, tiba-tiba tak jadi ke sana.
Sayang sangat kak... memang saya nak bawa kakak ke sana.
Kedengaran ada nada kesal di hujung suaranya. 
Bawa ke sini pun sudah memadai, sahut Amie.
Ya, malam itu Dik Faiz sempat bawa kami makan bihun sup kuning di Restoran Rosli Bihun Sup, di Sungai Korok, Jitra.





Alhamdulillah. Dapat juga menikmati bihun sup air tangan orang utara.
Sebenarnya petangnya tadi nak makan di Pekan Rabu, tapi tuan gerai kata dah habis! Laksa Kedah habis. Bihun sup pun habis! Katanya malam-malam tak ada orang jual laksa Kedah. Dapat bihun sup pun jadilah.

Terdapat campuran daging dan organ dalaman sebagai pelengkap bihun sup ini. Inilah kali pertama Amie makan bihun sup begini, jadi ada kesempatan di rumah bolehlah cuba masak.

Nak minum laici kang di Pekan Rabu pun tak dapat, sebab dah habis dan gerai nak tutup. Di sini, ada pula. Jadi pesan sajalah buat basah tekak.

 Tiba-tiba teringin nak makan kuey teow goreng pulak...ahaks!
Pesan sahajalah. Nanti dah balik rumah, teringat-ingat pula kalau tak beli!

 Dan tak lupa, cicipi cendol.
Dan, habislah cerita di Jitra.

Esok paginya, sempat sarapan nasi lemak di Airport Sultan Abdul Halim, Alor Star sebelum terbang ke Kuala Lumpur.

Dan sambung makan char kuey teow di KLIA2. Ingatkan char kuey teow berkuah, tapi nampaknya char kuey teow di sini kering serupa macam kuey teow goreng!

 Huurrmmm... nak jalan-jalan cari makan char kuey teow kerang pulak!
Mudah-mudahan jumpa!

Selasa, 24 Disember 2019

Beli Serunding Ikan di Pekan Rabu Alor Star

Terima kasih daun keladi atas kesudian Dik Faiz ambil kami di sempadan Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam. Walaupun masa sangat suntuk disebabkan ada hal lain, namun Dik Faiz usahakan juga untuk bawa kami ke Alor Star. Katanya, ada beberapa tempat dia nak bawa kami, tapi apakan daya, lain yang dirancang lain pula jadinya. Redha sajalah. Dari tahun lepas (2018) merancang, tapi kesudahannya hanya setakat ini sahaja rezeki kami.
Dik Faiz sempat bawa kami ke Pekan Rabu di Alor Star.
Minta maaf... watermark untuk gambar di bawah ini masih "THAILAND". 

Walaupun gerai-gerai mula ditutup, dan tak sempat melihat keseluruhannya, tapi tak lepas peluang beli serunding. Amie beli serunding buatan orang Kedah, dan adik manis di gerai jualan itu kata serunding ayam dan daging dari Kelantan. Serunding ikan memang buatan orang Kedah. Jadi, kita pun belilah serunding ikan merah di atas dan serunding ikan tenggiri di bawah.

 Dan seterusnya, hanya gambar sahajalah yang sempat Amie tangkap.


















Sempat jengok di tingkat bawah. Masih ada lagi pelanggan yang sedang menikmati makanan walaupun sudah hampir senja! Harap ada peluang untuk makan di sini.




Nampaknya, akan ada kunjungan kali kedua ke Pekan Rabu ini. Tapi tak tahu bila. In shaa Allah, mudah-mudahan ada kesempatan itu.

Sebaik sahaja kami tiba di sini, suasana mula lengang. Beberapa buah gerai makanan sudah tutup! Mari kita cuba nasib.

 Nak makan laksa Kedah, tuan punya gerai kata dah habis!

Cuba nasib di beberapa buah gerai lain, masing-masing kata semua makanan dan minuman sudah habis.
Habis tu nak buat apa erkkk?
Baliklah.


 Wokey...
Kita keluar dari sini.