Lokan Masak Taucu
8:39 PG
Di LD susah nak jumpa kerang.
Sebagai pengganti, bolehlah gunakan lokan untuk dimasak rendang dan sebagainya. Kadang-kadang ketika bertandang ke rumah terbuka hari raya, ada juga yang hidangkan rendang lokan.
Sebenarnya banyak lokan dijual di LD, dari dulu sampai sekarang. Cara jualannya pula, hanya isi lokan yang sudah dikeluarkan dari cengkerangnya. Maknanya, lokan terlebih dahulu direbus, dan isinya sahaja yang diambil dan dijual 500 gram dan juga 1 kg sebungkus.
Teringat suatu masa dahulu, waktu itu baru setahun lebih berumahtangga. Encik Suami serta anak-anak buah ajak berkelah di tepi sungai. Kami jalan-jalan masuk ke bahagian dalam, dan menyusuri anak sungai pula. Kononnya ingin mencari udang galah.Tiba-tiba adik ipar yang sedang berada di dalam anak sungai berteriak sambil menunjukkan sesuatu : Lokan! Saiznya sangat besar! Bila kami bawa pulang, kami timbang dan berat seekor lokan yang ditemuinya itu ialah 1/2 kg! Sebenarnya, selepas jumpa seekor lokan, kami teruja masuk ke dalam anak sungai!
Seekor demi seekor lokan kami temui dan tanpa disedari dek seronoknya mengutip lokan, akhirnya berkarung-karung kami bawa pulang lokan!
Hasrat asal untuk santai-santai berkelah di tepi sungai sambil mencari udang galah (kalau ada) akhirnya dipenuhi dengan aktiviti memungut lokan, sampailah kecut-kecut jari kaki dan tangan dek terlalu lama berada di dalam air!
Sebenarnya sekarang ini pun teringin memungut lokan, sekadar suka-suka tetapi ada sahaja alasan Encik Suami : Sibuk! Tak ada masa! Hurrmmmm....!
Akhirnya kami pungut isi lokan di pasar tani sahaja.
Gambar di bawah ini ialah Lokan Masak Taucu, yang Amie olah petang kelmarin. Oleh kerana saiz isi lokan yang agak besar, Amie potong di antara 2 hingga 3 kepingan setiap seekor.
500 gram isi lokan - bersihkan - potong-potong jika saiz besar (jika suka)
2 sudu besar taucu manis
1 sudu kecil pati asam jawa
3 cawan air
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
10 tangkai cili padi
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
2. Masukkan taucu manis, pati asam jawa dan lokan. Gaul rata.
3. Tuangkan air, dan biarkan mendidih selama 10 minit.
4. Kecilkan api, dan masak lokan sehingga lembut.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau bebrapa kali dan padamkan api dapur.
Rasa lokan ini liat-liat sikit tapi sedap sebab gemuk berlemak...hihihiii! Lebihan Lokan Masak Taucu ini Amie gunakan untuk masak nasi goreng untuk sarapan pagi.
1 comments
Wow...idea nak pelbagaikan masakan lokan. kat tempat saya, Limbang, banyak lokan dijual, berbanding kerang. selalu masak singgang, atau kari aje...
BalasPadam