Cara Membuat Bawang Goreng Rangup Semulajadi!
8:08 PTG
Salam sejahtera buat semua.
Di bulan nan mulia ini, macam-macam terlintas di fikiran untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Tentu ibu-ibu sibuk menyediakan pelbagai juadah istimewa yang lain dari hari-hari biasa seperti nasi dan lauk-pauk. Kalau Amie, menu paling digemari seisi keluarga sudah tentunya hidangan berkuah seperti mee hoon sup, soto ayam, soto banjar, mee kari dan sebagainya.
Dan sudah tentunya kurang lengkap juadah tersebut tanpa kehadiran aksesori seperti hirisan daun sup atau daun bawang, hirisan cili merah dan juga bawang goreng.
Cerita tentang bawang goreng ini, Amie teringin untuk kongsikan di sini walaupun sebenarnya ia disediakan sebelum bulan puasa. Ini disebabkan Amie tahu berapa perlunya bawang goreng untuk kami.
Dan bawang goreng yang Amie hasilkan ini bukanlah bawang goreng yang luar biasa, yang menggunakan pelbagai petua atau mencampurkan pelbagai bahan tertentu untuk menyedapkan atau merangupkannya. Sungguh! Bawang goreng yang Amie paparkan ini hanyalah bawang goreng biasa yang semua orang boleh buat!
Mohon maaf kalau anda 'termasuk' ke dapur ini dan tidak menemui apa-apa petua atau rahsia Cara Membuat Bawang Goreng Rangup Semulajadi!
Inilah rupa Bawang Goreng Rangup Semulajadi!
Mula-mula kita kupas bawang satu persatu, dan sebanyak mana yang ingin digoreng, dan kemudian bilas. Toskan hingga kering.
Kemudian hiris nipis. Kalau anda mempunyai alat pemotong bawang merah, kerja akan menjadi lebih mudah dan cepat. Ada sesetengah rakan mengatakan hasil gorengan bawang merah yang menggunakan alat pemotong bawang kurang ummpphhh berbanding hirisan cara manual. Terpulanglah nak ikut cara mana. Yang penting semua bawang siap dihiris...hiks!
Kemudian, panaskan minyak secukupnya untuk menggoreng bawang. Api dapur jangan terlalu kuat supaya bawang merah akan masak dan garing sekata. Apabila bawang mula kekuningan, jangan tinggalkan kuali gorengan. Ketika ini balik-balikkan bawang beberapa kali dan padamkan api dapur supaya bawang tidak terus berubah warna menjadi lebih gelap. Bawang yang kekuningan, dan diangkat hendaklah terus ditoskan dan warna bawang akan berubah dalam masa beberapa saat. Jadi, jangan tunggu sampai bawang berwarna coklat dalam kuali, baru diangkat! Kalau begini, warna bawang akan menjadi coklat tua dan akan terasa pahit sedikit apabila dimakan!
Bawang yang sudah diangkat dari kuali dan ditoskan hendaklah disejukkan terlebih dahulu. Ambil kertas tisu dapur, atau kertas minyak dan serakkan bawang goreng secara merata di atasnya supaya serap minyak.
Sediakan bekas kedap udara untuk menyimpan bawang goreng supaya kerangupannya kekal lama. Setakat ini Amie tidak pernah gunakan bekas lain selain bekas kedap udara jenama Tupperware. Ikut pengalaman Amie, kalau kita simpan bawang goreng, dan tidak dibuka dalam tempoh yang lama, memang bawang goreng tetap kekal rangup. Amie tak boleh berikan ukuran masanya, sebab bawang goreng yang Amie buat, umurnya tak panjang! Dalam tempoh sebulan memang kena buat lagi. Jadi, walaupun dibuka dan ditutup kembali, dalam tempoh tersebut bawang goreng masih kekal rangup! Syaratnya, bekas kedap udara tadi mestilah ditutup dengan betul! Bagaimanapun, pernah sekali Amie terlupa simpan bawang goreng (simpan dalam beberapa bekas), dan setelah lebih 3 bulan baru Amie teringat untuk membuka sebuah bekas yang telah dilupakan itu. Alhamdulillah. Bawang goreng masih elok dan masih rangup! 3 bulan tidak pernah dibuka dari hari pertama Amie simpan! Juga dalam bekas kedap udara Tupperware.
Harap-harap bawang goreng ini cukup sehingga menjelang hari raya.
Itu pun kalau tidak ada yang meratahnya untuk dibuat kudap-kudapan!
Walaupun digoreng tanpa sebarang perasa atau bahan lain, bawang goreng ini tetap menggodaa kerana rasa semulajadinya yang manis dan rangup!
Kalau tak cukup, boleh goreng lagi!
Bawang goreng selamat tersimpan dalam bekas kedap udara Coca & Coffe. Harap tak adalah tangan-tangan sesat di waktu malam untuk membuat minuman, dan 'terbuka' bekas berisi bawang goreng. Kalau ditutup rapat semula masih selamat, jangan pula hanya letak semula penutup, dan terus tinggalkan. Adeeehhh... lemaulah pulak nanti bawang goreng itu... huk huk huk!
Sekian.
Omong kosong tentang bawang goreng!
0 comments