Sokko' Lissu
8:05 PTG
Pagi tadi Encik Suami menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul atas jemputan rakan sekerjanya. Sekembalinya dari majlis tersebut, Encik Suami bawa sekali seorang mekanik untuk membaiki break kereta Amie. Ketika itu Amie sedang sibuk memasak hidangan tengahari di dapur. Tiba-tiba Encik Suami yang beberapa kali keluar masuk rumah dan melalui pintu dapur berkata : Eh! Lupa pula. Ada pulut dalam kereta.
Dia pun tergesa-gesa membuka kereta dan menghulurkan bungkusan kepada Amie. Amie pun ambil bungkusan tersebut dan letak di sebelah oven.
Ketika Encik Suami bersama mekanik sedang menikmati hidangan tengahari di meja luar rumah, Amie yang sedang mengemas dapur terpandang bungkusan yang Encik Suami berikan.
Amie sangka, sebungkus pulut dalam bungkusan biasa, tetapi kali ini nampak agak menarik pula bungkusannya. Amie kongsikan di FB, dan setakat ini ramai yang teruja melihatnya dan ingin mengetahui bagaimana cara bungkusan tersebut dibuat. Rata-rata memuji kecantikkan dan kekemasannya. Dan tidak kurang pula yang mengongsikan gambar tersebut seperti di bawah ini.
Inilah bungkusan pulut tersebut.
Sebaik sahaja mengeluarkannya dari plastik bungkusan, Amie tidak terus membukanya kerana tertarik melihat cara pembungkusannya yang unik itu! Gambar di atas diambil melalui pandangan sisi.
Lihatlah betapa kemasnya apabila diambil gambar dari bahagian atas. Di dalam hati tidak henti-henti memuji tangan yang membuatnya. Sewaktu Amie ingin membukanya, tiba-tiba teringat pula untuk melihat bahagian bawah bungkusan tersebut,.
Oh! Sangat cantik di bahagian bawahnya!
Dan bungkusan tersebut dapat berdiri dengan sedirinya di atas tulang daun pisang. Pada fikiran Amie, bungkusan ini diperbuat daripada sepelepah pisang, dengan menggunakan kedua-dua belah kiridan kanan daun pisang!
Kreatif sungguh!
Ini merupakan salah satu di antara pelbagai jenis makanan tradisi masyarakat Bugis yang dijadikan oleh-oleh atau dibawa pulang oleh tetamu. Menurut salah seorang rakan FB, Inilah Sokko' Lissu. Sokko' bermaksud beras pulut. Lissu pula bermaksud pulang.
Menurut Misa, salah seorang rakan sekerja yang turut menulis komen di FB, bungkusan ini ada yang mempunyai 5, 6 dan 9 ruas. Dan sudah tentunya agak memeranjatkan bungkusan secantik ini diletakkan di bawah pokok pisang khas, tempat cucuk bunga telur! Oh! Bila difikirkan semula, memang masuk akal, sebab ia sesuatu yang sungguh kreatif!
Antara komen rakan-rakan FB yang berketurunan Bugis:
1. Sokko' ini akan dibahagi-bahagikan kepada para tetamu sewaktu berpindah ke rumah baru.
2. Sokko' ini juga dibahagi-bahagikan di masjid ketika diadakan majlis Maulidur Rasul.
3. Selain itu, sokko' yang dibungkus begini juga dibahagi-bahagikan kepada tetamu yang menghadiri majlis aqiqah atau cerak.
Inilah isi yang terkandung di dalam bungkusan yang cantik itu. Pulut dan sebiji telur rebus. Sebelum ini Amie pernah makan sokko' di kampung (adik ipar suku Bugis yang menyediakannya, tetapi agak berbeza kerana nasi pulut yang ditanaj bersama santan, ditambah dengan bawang goreng dan juga hati serta mempedal ayam.
Meriahnya dunia masakan!
Cantiknya seni tradisi orang dulu-dulu.
Dan menurut rakan-rakan FB lagi, bungkusan secantik dan sekemas ini sangat jarang ditemui pada pada hari ini.
Terima kasih buat rakan-rakan FB yang sudi berkongsi info tentang Sokko' Lissu ini.
2 comments
BalasPadamMemang cantik dan kemas lipatannya..kalau saya bkn satakat 2,3 pelepah pisang,2,3 pokpk pisang pun belum tentu berhasil lagi
Memang kena guna berpelepah2 pisang untuk menghasilkan banyak bungkusan, kan.
BalasPadam