Doktor mencadangkan untuk buka tiub pernafasan pada 25 Januari 2023 bersamaan hari Rabu, tetapi ditunda pada tarikh 26 Januari 2023, hari Khamis pula. Setelah semua ahli keluarga datang pada hari tersebut, tidak jadi juga. Akhirnya tiub dicabut pada pagi Jumaat. Dan Kak Ros bernafas sendiri tanpa bantuan tiub pernafasan. Kak Ros dipindahkan ke wad, tetapi hanya seorang pelawat sahaja dibenarkan masuk ikut waktu lawatan. Setiap pelawat yang masuk mesti menjalani swab test terlebih dahulu.
Cadangnya Kak Ros akan dipindahkan ke Hospital Tanjung Karang pada hari ini, tetapi takdir Allah mengatasi segala perancangan yang diatur manusia.
Hari ini, Khamis bersamaan 02 Februari 2023, pukul 11:38 Kak Ros telah menutup mata buat selama-lamanya di Hospital Sungai Buluh. Innalillahiwainnailaihiraajiuuun!
Alhamdulillah, semua adik-beradik berkumpul di hospital, membantu memandikan jenazah dan urusan lain berkaitan kematian. Setelah dikafan, jenazah dibawa ke kampung, ke rumah Bonda untuk disembahyangkan selepas solat asar dan terus dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Dari jauh, Amie dan Encik Suami meminta supaya Fuad memohon izin majikannya untuk berziarah di hospital atau ke rumah Bonda untuk membantu apa yang patut. Alhamdulillah, permohonannya diterima. Abang Farid dan Aseeyah pula terus bertolak dari Seri Iskandar ke Selangor.
| Kak Ros berada di rumah baharunya. |
| Van jenazah membawa jasad Kak Ros yang sudah dikafan pulang ke rumah. |
| Semua adik-beradik ada di sini kecuali Amie. Fuad yang berbaju belang kuning, mewakili Amie. |
Ya Allah, berilah keampunan dan rahmat untuk Kak Ros.
Ampunilah Kak Ros.
Muliakanlah tempat kembalinya.
Lapangkanlah kubur Kak Ros.
Sucikan Kak Ros dengan air, salju dan ais.
Bersihkanlah segala kesalahan Kak Ros seperti Engkau bersihkan baju putih dari kotor.
Jauhkanlah Kak Ros dari seksa kubur dan neraka.
Jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal Kak Ros.
Ya Allah, janganlah Engkau halang permohonan kami untuk kebajikan Kak Ros.
Janganlah Engkau uji kami dengan ketiadaan Kak Ros.
Ampunkanlah dosa kami dan dosa Kak Ros.
| Gambar kenangan tujuh beradik. |