Nasi Goreng Durian Merah
8:57 PGBismillahirrahmanirrahim.
Salam silaturrahim buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Semoga semuanya sihat walafiat dan dipermudahkan urusan sepanjang hari ini.
Langit LD nampak muram tanpa warna biru, ditutupi awan kelabu dan barangkali akan mendung sepanjang pagi ini. Hujan turun mencurah-curah hingga ke pagi. Kononnya hendak briskwalk dengan EncikSuami, tapi rintik-rintik hujan yang tidak berhenti membatalkan hasrat kami. Encik Suami hantar Firdaus ke ladang. Firdaus menghadiri kelas tambahan dan kemudian ikut serta pertandingan koir di ladang, dan setelah meninggalkan rumah Amie sambung tidur.
Pukul 7:10 pagi Encik Suami telefon. Katanya bertemu Cikgu Awang dan balik lewat. Amie terus bangun dari katil dan masuk dapur. Nampaknya bersendirianlah di rumah pagi ini. Firdaus ke ladang berbekalkan popia carbonara yang dibeli di Warung Al Iman.Encik Suami minum bersama Cikgu Awang.
Kita selongkar peti sejuk. Jumpa sebekas nasi putih dan sebekas kecil durian merah yang sudah dimasak, pemberian Cikgu Mazrita dua hari lepas. Eloklah goreng saja nasi dengan durian merah. Untuk kekalkan rasa durian merah yang berlemak itu, Amie tidak tambah banyak aksesori selain bawang merah, bawang putih, cili hijau dan merah serta udang kering.
| Nasi Goreng Durian Merah. |
Nampak merah sungguh kan Nasi Goreng Durian Merah ini. Itulah warna asli durian merah dan bukannya ditambah dengan cili kisar atau serbuk cili. Amie kongsikan resipi mudah Nasi Goreng Durian Merah di bawah ini:
Resipi Nasi Goreng Durian Merah
Bahan-bahan:
Bahan-bahan:
- 2 cawan nasi putih / sejuk
- 2 sudu besar durian merah - sudah dimasak
- 1 tangkai cili merah - hiris
- 1 tangkai cili hijau - hiria
- 3 sudu besar minyak
- garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk kasar:
- 3 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
- 1 sudu besar udang ke ring - rendam hingga kembang - toskan
Cara memasak:
- Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
- Kemudian masukkan hirisan cili merah dan hijau.
- Seterusnya masukkan durian merah dan kacau rata.
- Masukkan nasi putih.
- Gaul sebati.
- Taburkan garam / perasa pilihan.
- Kacau beberapa kali dan biarkan nasi goreng seketika sehingga keluar sedikit asap di atasnya.
- Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Mungkin ada di antara rakan blogger yang tertanya-tanya dan belum kenal durian merah. Sebelum ini Amie pernah kongsikan beberapa entri berkaitan durian merah, antaraya : Durian Merah.
Sudah beberapa tahun Amie tidak kongsikan cerita durian merah kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Kebetulan pula, keluarga Cikgu Mazrita memiliki pokok durian merah di kebunnya. Jadi, dibahagi-bahagilah kami durian merah yang sudah dimasak oleh ibunya.
| Gambar Durian Merah dari entri lama. |
| Warnanya cantik, tetapi tiada rasa dan aroma. Rasanya berlemak. Sangat beza dengan durian biasa. |
| Lemon Teh Panas |
Selesai goreng nasi, kita pun duduklah sendiri di dapur. Makanlah seorang diri, hadap sepinggan Nasi Goreng Durian Merah dengan telur goreng dua mata. Selesai makan (separuh pinggan saja), kita minum lemon teh panas.
| Nasi Goreng Durian Merah |
Matahari masih sembunyi di balik jerebu. Di luar nampak kelam sahaja. Di dalam rumah, rasa sejuk pula. Rasa nak bermalas-malas baring di katil.... ahaks! Oh ya, kita nak ke dapur semula untuk renih daging dalam slow cooker. Selepas itu bolehlah berehat-rehat samada menulis entri atau pun tidur saja! Biasanya sementara menunggu slow cooker buat kerja, memang kita ngorok jew....hiks!
0 comments