Sarapan Bubur Ayam
8:37 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Setelah sampai di rumah Bonda, barulah Amie mengerti bahawa yang Amie beli sebenarnya bukanlah sekadar tiket kapal terbang, tetapi Amie telah membeli kesempatan untuk duduk di sisi Bonda buat seketika. Apa tidaknya? Amie sempat bantu Bonda ke bilik air, membantunya bersihkan diri, berwudhuk, menukar lampin, memakaikan telekung dan kesempatan menyuapkan nasi dengan sayur bening kacang bendi. Seterusnya telinga dapat menangkap kata-kata Bonda : Segarnya sayur bening bendi. Lalu Bonda dengan rasa tidak sabar kerana Amie sudukan kuah ke mulutnya, Bonda ambil mangkuk sayur bening di tangan Amie lalu menghirupnya beberapa kali. Terlihat tangan Bonda yang lemah terketar-ketar membawa mangkuk ke mulutnya!
Malam itu sebelum lelapkan mata, Amie sudah fikirkan untuk sediakan sarapan buat Bonda dan Wak Niah. Amie hendak masak bubur ayam. Sebelum azan subuh, Amie sudah tenggekkan periuk di datas dapur. Walaupun ada periuk serbaguna, tetapi Amie lebih suka masak di atas dapur gas. Amie sengaja renih bubur perlahan dan membiarkan aromanya memenuhi dapur. Di pagi hari yang dingin, ketika Bonda sedang terbaring di atas katil, aroma bubur menyelinap sampai ke tempat pembaringan Bonda. Selain hirisan halia muda, bawang merah dan bawang putih, Amie tambahkan daun pandan.
Amie sengaja sebarkan aroma bubur ayam yang wangi dibawa angin pagi supaya Bonda berasa lapar dan akan berselera ketika menikmatinya nanti. Walaupun bubur ayam kurang sempurna tanpa kehadiran bawang goreng, namun rasa dan aromanya cukup memikat. Memikat perut Amie.... ahaks! Dan belum tentu dapat memikat selera Bonda.
| Bubur Ayam |
Tidak kisahlah berapa suap Bonda makan bubur, yang penting perut Bonda terisi. Ya, Bonda hanya makan lima sudu sahaja. Kenyang, kata Bonda. Selang dua jam kemudian, Bonda bertanya : Ada lagikah bubur?
Amie cepat-cepat panaskan seketika dan bawa semangkuk kecil ke tempat pembaringan Bonda. Bonda duduk. Amie suap bubur. Bonda nampak cebisan ayam di atas bubur dan meminta untuk disuapkan. Alhamdulillah, walaupun hanya beberapa sudu sekurang-kurangnya ada makanan yang masuk ke perut Bonda.
| Bubur Ayam |
Dari semasa ke semasa, Amie terus mengingat kembali makanan kesukaan Bonda dahulu kala. Mana tahu kalau Amie masakkan, ada yang menyangkut selera Bonda.
Dan buat beberapa hari mendatang, biarlah Amie pula uruskan Bonda. Adik-beradik yang lain sudah banyak berbakti sebelum ini. Kini tibalah giliran Amie.
5 comments
Fun fact... Uncle hanya makan bubur nasik bila terpaksa.... hehehe
BalasPadamTapi yang ni nampak yummmeh!
Nengok pun dah tau sedap.
BalasPadamInsyaallah pasti ada menu yang memikat selera Bonda.
Semoga Allah permudahkan urusan Kak Amie menyantuni Bonda. Jaga kesihatan juga kak.
Alhamdulillah semuga bunda berselera menjamu masakan amie. Semuga bunda cepat sihat. Alhamdulillah semuga Allah permudahkan urusan amie menjaga bunda
BalasPadamSedapnya... dibaca dan imagine terus terasa jugak aroma bubur ayam dgn daun pandan.. sementara masih di tanah melaya, happy bonding bersama bonda ya kak amie
BalasPadamBarangkali bonda rindu airtangan Kak Amie, berselera makannya alhamdulillah.
BalasPadam