Pulut Kuning Serondeng Daging di Hari Ulang Tahun Fairuz
7:12 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Kelmarin Amie bersama Encik Suami sepakat untuk bawa Fairuz makan-makan di Secret Recipe sempena ulang tahunnya hari ini. Pukul satu tengah hari tadi sampailah Fairuz dari Kota Kinabalu. Katanya, akan sambung hantar barang ke Tawau. Balik rumah hanya untuk mandi dan tukar baju sahaja. Tak dapatlah kami keluar makan bersama. Sebelah malamnya pula, sudah tentu perjalanan dari Tawau akan mengambil masa ke LD lewat pukul 11 atau 12 tengah malam. Kemudian patah balik semula ke Kota Kinabalu.
Sebaik sahaja Fairuz tinggalkan rumah, Amie masuk dapur. Tanak sedikit pulut kuning dan masak kari daging. Kononnya pulut kuning untuk Fairuz sempena hari ulang tahunnya. Oleh kerana tidak merancang lebih awal untuk masak pulut kuning, jadi hias seadanya gunakan apa yang ada. Jadilah Pulut Kuning seperti di bawah ini. Hias dengan daun pandan, tomato ceri dan telur rebus. Besar sangat telur rebusnya, dan patutnya telur puyuh lebih cantik. Tapi, itu sahaja yang ada. Tengah-tengahnya Amie bubuh serondeng daging.
Gambar Pulut Kuning Serondeng Daging dengan Kari Daging Kerisik ini Amie kongsikan dalam group keluarga. Amie pesan dengan Fairuz, malam nanti kalau hendak makan kenalah panaskan dahulu. Biasanya ketika Fairuz sampai dari Tawau atau dari Kota Kinabalu, kami sudah tidur. Pandai-pandailah cari makan di dapur.
| Pulut Kuning Serondeng Daging |
Untuk anakanda Fairuz, sentiasalah berhati-hati di jalan raya, jaga kesihatan, tidur cukup, jaga solat dan bijak mengurus kewangan untuk masa depan.
1 comments
Kasih ibu sediakan makanan sedap di hari lahir anaknya.....
BalasPadam