Melayan Selera Orang Sakit
11:20 PGBismillahirrahmanirrahim.
Isnin - 31 Ogos 2026. Fuad ajak Amie keluar jalan-jalan tetapi Amie lebih selesa berada di rumah sahaja. Sementara Fuad belum pulang ke Desaru pada sebelah petangnya. Amie sempat minta Fuad belikan bahan makanan untuk Bonda dan Wak Niah. Kedua-duanya tiada selera makan. Syukurlah sekurang-kurangnya ada susu Ensure Gold buat bekal tenaga Wak Niah dan Bonda.
Apabila Fuad tanya Wak Niah hendak makan apa, Wak Niah jawab keladi goreng dengan roti canai. Mana hendak cari keladi goreng? Amie tanya Wak Aton. Wak Aton kata di rumahnya ada keladi. Nanti dia hantar ke rumah Bonda.
| Keladi Goreng |
Setelah keladi digoreng, banyak jugalah Bonda dan Wak Niah makan. Bonda kata, makanan kampung memang sedap. Selain keladi, disebutnya pisang dan ubi kayu. Pagi pertama Amie di kampung, Wak Aton rebuskan keledek. Bonda dan Wak Niah makan berkali-kali tetapi sedikit-sedikit.
| Hati-hati memandu Fuad. |
Sebelum bertolak ke Desaru, Fuad sempat belikan bahan masakan yang Amie pesan termasuk kaki ayam, hati ayam, labu kuning, labu kundur, lemon, jus buah dan sebagainya. Menjelang petang barulah Fuad memandu seorang diri ke Johor. Pukul 12:11 tengah malam barulah sampai ke Desaru.
| Sayur bening labu kuning dengan bayam. |
Amie cuba masak sayur bening lagi. Kali ini masak bening labu kuning dengan bayam serta hirisan jagung segar. Tidak lupa tambahkan ikan bilis. Memang itulah antara perencah orang dulu-dulu selain bawang dan serau.
| Ikan Siakap Goreng |
Amie goreng ikan siakap, tapi sampai keesokan harinya hanya secubit sahaja yang luak.
| Pengat Keladi & Labu Kuning |
Pagi berikutnya Amie buat pengat keladi tambah labu kuning. Alhamdulillah, Bonda makan sekali waktu sarapan dan kemudian minta lagi sejam kemudian.
| Sup Kaki Ayam dengan Labu Kundur |
Untuk makan tengah hari, Amie renih kaki ayam bersama labu kundur. Harum semerbak aroma sup kaki ayam apabila ditambah labu kundur! Lagi semerbak setelah bercampur dengan halia, bawang putih dan daun pandan. Amie memang sengaja masukkan daun pandan dalam sup kaki ayam.
Alhamdulillah, nampak teruja sungguh apabila Amie beritahu ada sup ceker untuk Bonda. Bonda hirup kuah sup dan makan sendiri ceker yang cukup lembut itu!
| Telur Hancur |
Ini sarapan pagi kelmarin. Melihat Bonda dan Wak Niah berselera makan telur hancur yang Amie buat petang kelmarinnya, jadi untuk sarapan Amie buatkan sekali lagi. Amie gorengkan keladi dan labu kuning.
| Keladi Goreng |
| Sambal Wak Aton |
Dari kelmarin dulu Bonda sebut sambal yang selalu Wak Aton bawa! Amie beritahu Wak Aton Bonda bertanya tentang sambal yang Wak Aton bawa. Nanti aku buatkan emak sambal, janji Wak Aton. Ketika Amie sedang masak di dapur, Wak Aton datang bawa semangkuk kecil sambal. Kemudian Wak Aton kumpul kain baju Bonda dan Wak Niah yang kotor untuk dicuci di Sungai Buluh.
| Sotong Kembang Masak Kicap |
Bonda suka makan sotong kembang. Sotong kembang ini Amie beli sewaktu ke Puncak Alam bersama Fuad. Memandangkan Bonda tidak kuat mengunyah, kita rebus sotong kembang hingga benar-benar lembut. Kemudian kita masak kicap.
Bonda makan dua tiga ketul sahaja!
| Sayur Petola Masak Lemak Putih dengan Suhun. |
Teringat Bonda suka sayur petola, kita pun masak lemak petola dengan suhun. Kita sengaja bubuh suhun banyak-banyak supaya Bonda boleh makan lebih. Alhamdulillah, Bonda dua kali makan sayur petola dan menambah suhun dalam mangkuknya!
4 comments
semoga kembali sihatlah Bonda & Wak Niah ye. Sebak pulak baca entry ni sebab entahlahhhhh...
BalasPadamSedapnya kak, dana pun suka sangat keladi goreng, teringat itu menu kegemaran arwah atok dana dulu awal2 arwah meninggal kalau arwah nyai goreng keladi mesti dia teringat2. Mesti berselera wakniah dan bonda akak makan semua menu masakan akak. SEmua nampak menyelerakan. Pengat keladi tu sedapnya kak oi
BalasPadamSedapnya semua makanan yang dikongsikan. Terlupa blog ini adalah salah satu blog yang mengundang kelaparan apabila kita menjengahnya😅
BalasPadamSedap2 semua menu nya terutama Pengat Keladi & Labu Kuning sebab lama tak makan. Nak masak, kita seorang je yang makan. Alhamdulillah berselera bonda makan lauk petola dan suhun. Tapi lauk ni memang sedap.
BalasPadam