Ikan Tuna Masak Lada Putih
4:37 PTG
MIL & FIL memang pakar memilih ikan laut yang sedap! Maklumlah kedua-dua mereka pernah hidup sebagai anak pulau (Pulau Cocos-Keeling) di tengah Lautan Hindi. Laut dan hasil laut merupakan sebahagian daripada dunia mereka suatu ketika dahulu. Selain ikan layar yang merupakan ikan kegemaran mereka, ikan tuna merupakan pilihan seterusnya. FIL pernah kata, ikan tuna sangat sedap dijadikan lauk nasi kuning. Kata FIL lagi, tak perlulah digoreng terlebih dahulu ikan tuna, sebab rasanya akan 'ditelan' minyak dan isinya yang lembut tidak dapat dinikmati. Terima kasih FIL.
Al-Fatihah buat FIL & MIL.
Hari ini Amie masak ikan tuna. Amie masak gunakan resepi yang MIL selalu masak ikan layar. Memandangkan sudah sekian lama tidak ditemui ikan layar di mana-mana pasar, Amie gantikan saja dengan ikan tuna. Ikan tuna ini pula kami beli di Tawau pada hari Sabtu lepas, ketika menghantar Farid ke airport.
Kalau diikutkan selera, sudh tentulah rasa ikan layar mengatasi rasa ikan tuna! Patutlah MIL & FIL suka sangat makan ikan layar. Kalau ada ikan layar di pasar, FIL suka beli banyak-banyak! Kalau boleh dari bahagian kepala hingga k ekor FIL akan bawa pulang! Tapi mana mungkin! Ikan layar tu besarnya la haaiii.... tak muat freezer! Ikan tuna juga dua kali lima! Besar dan gemuk! Dulu Amie tak berani beli ikan tuna sebab bila melihat saiznya yang besar, dan isinya yang merah muda serta merah tua, Amie tak boleh fikir nak masak apa. Alhamdulillah..... setelah menjadi sebagaian anggota keluarga Encik Suami, sedikit-sebanyak kenallah Amie dengan pelbagai jenis ikan di bumi bawah bayu ini!
Kami beli sepotong ikan tuna seberat 1.7 kg bahagian bawah (perut). Di situlah terkumpulnya lelemak! Gambar di atas ialah gambar ikan tuna yang kami beli, sudah siap dipotong oleh penjual ikan. Amie potong lagi menjadi dua bahagian untuk setiap satu hirisan. Sisiknya halus dan lembut. Bersihkan ye... jangan terus diolah. Nanti termakan sisik!
Amie hanya olah beberapa keping ikan tuna, dan selebihnya Amie simpan untuk Fuad. In shaa Allah, minggu depan Fuad balik lagi ke LD. Suka sangat Fuad makan ikan jenis begini. Okeh! Mari kita lihat resepi yang Amie gunakan di bawah ini:
Bahan-bahan:
7 keping hirisan ikan tuna (700 gram - gambar di atas) - pukul rata kira sekeping 100 gram, sebab semuanya 17 keping bersamaan dengan 1.7kg....hiks! Setiap hirisan ikan dipotong 2
2 keping asam gelugur
1 cawan air
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk kasar:
1 sudu besar lada putih
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
4 cm halia
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk kasar hingga terbit bau.
2. Masukkan ikan tuna. Kacau rata.
3. Tambahkan asam keping dan air.
4. Biarkan masak sehingga kuah mendidih - tak perlu masak lama sebab isi ikan tuna lembut
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.
Amie tambahkan jumlah bawang merah sebab saiznya nampak kecil. Begitu juga dengan bawang putih. Lada putih tu Amie bubuh 1 sudu besar, ikut gaya MIL. MIL memang gunakan banyak lada putih! Pada mulanya Amie hairan juga, kenapa masakannya rasa lada putih dan halia? Adakah kerana MIL ada pokok lada putih, dan tuai sendiri jadi boleh gunakan dalam jumlah yang banyak? Kalau masakan MIL, rasanya begini : Terasa halianya, lada putihnya dan asam jawanya! MIL gunakan asam jawa. Amie gunakan asam keping. Mungkin memang sudah begitu gaya masakannya!
Kalau nak gunakan pengisar pun boleh. Amie ikut cara MIL, tumbuk kasar-kasar saja termasuklah lada putih tu!
Tumis sampai bau harum segala bahan tumbuk tadi.
Kemudian masukkan ikan tuna.
Tambahkan asam keping. Kalau nak masukkan asam jawa, bancuh sekali dengan secawan air dan tuang ke atas masakan.
Dah bubuh asam keping, tambahlah air. Jadilah masakan tu seperti di atas. Bahagian perut ikan tuna yang sememangnya lembut itu bertambahlah lembutnya bila dimasak. Jadi jangan masak lama-lama macam masak ikan layar! Cukuplah sekadar kuahnya mendidih dan balikkan ikan dua tiga kali, terus tambah bahan perasa dan tutup api dapur.
Fairuz sangka Amie masak ikan layar!
Kwang...kwang...kwaaanngg!!!
Ikan layar isinya agak keras dan kenyal, ikan tuna rasanya lebih lembut. Antara ikan layar dan ikan tuna, syukur Alhamdulillah.... rezeki Allah.
Apa pun, memang kami sangat berselera menikmati nasi panas dengan Ikan Tuna Masak Lada Putih ini sampai tak tersedar nasi habis dalam periuk!
2 comments
Nampak pon teliur..
BalasPadamSelalu nampak kat pasar besar kota kinabalu ikan tuna ni.. masa tu xtau nak masak apa.. jumpa blog ni, baru ada idea nk masak apa.. tq atas resepinya.. next time boleg beli ikan ni dan try resepi ni..
BalasPadam