Nasi Minyak & The Gang
8:42 PTG
Cuti semester selama sebulan, tapi abang Farid terpaksa siapkan tesisnya dan kena buat ujikaji di makmal. Akhirnya di penghujung cuti, pulangklah juga bujang sulung kami walaupun hanya selama 3 hari di LD! Kebetulannya, semasa kepulangannya setiap hari Amie terpaksa berada di padang sempena kejohanan olahraga sekolah kami. Dah penat legam berjemur di padang, akhirnya kami dapat cuti peristiwa pada hari Jumaat. Jadi, pagi Jumaat nan mulia itu, sempatlah Amie masak Nasi Minyak & The Gang untuk kami sekeluarga. Harapnya selepas semua pulang dari solat Jumaat dapatlah makan bersama.
Alhamdulillah....
Siaplah satu set hidangan untuk kami anak-beranak. Nasi Minyak, Daging Masak Hitam Sarawak, Ayam Masak Merah, Acar Timun Berempah dan Acar Mentah.
Firdaus pun tak buat hal, jadi senanglah Amie masak di dapur.
Firdaus pun cuti juga hari Jumaat tu...Cap Goh Meh!
Sebenarnya Amie rindu benar nak makan nasi minyak gaya dulu-dulu! Nasi minyak yang biasa kami makan di tempat orang kahwin di kampung! Keenakannya masih terasa-rasa hingga ke saat ini! Biasanya di tempat kenduri kahwin, lauk-pauk nasi minyak bermacam-macam jenis! Selain acar timun berempah, ada acar mentah juga, pajeri nanas, ayam masak merah dan juga daging. Orang kampung biasanya akan sembelih seekor lembu. Jadi, macam-macamlah juga hasil masakan dari seekor lembu tadi! Yang Amie tak dapat lupakan sudah tentulah sup tulang lembu yang dihidangkan untuk lauk tengahari kepada mereka yang datang rewang! Rasanya seluruh tubuh lembu nan seekor digunakan dalam masakan. Hati dan limpa lembu masak kicap, daging lembu masak rendang, kari atau kurma dan entah apa lagi! Perut atau babat lembu juga tidak ketinggalan untuk dijadikan sajian dalam kumpulan lauk-pauk! Aduuhh! Enak banget!
Wokeh!
Kalau cerita tentang menu dalam pelbagai majlis, memang tak akan ada akhirnya. Eloklah kita terus kepada isi cerita yang ingin Amie kongsikan kali ini.
Amie pilih Daging Masak Hitam Sarawak sebab boleh sediakan lebih awal. Resepinya Amie ambil DI SINI dari Laman Dapur Helen DI SINI. Sebelum ini Amie masak dalam jumlah yang banyak, tapi kali ini Amie masak 700 gram daging sahaja.
Resepi : Daging Masak Hitam Sarawak
Sumber : Laman Dapur Helen ( Amie ubah suai sukatan mengikut kuantiti daging yang Amie gunakan)
Bahan:
700 gram daging bahagian peha - potong nipis - bilas dan toskan
Bahan pemerap:
2 labu bawang merah besar
5 ulas bawang putih
5 cm halia
3 batang serai - hiris
7 biji buah prune
3 sudu besar kismis
4 sudu besar kerisik
4 sudu besar kicap pekat
4 sudu besar kicap manis
3 sudu besar kicap masin
3 sudu besar tomato puri
2 sudu besar parutan gula melaka
1 cawan susu cair
Bahan penumis :
3 sudu besar minyak sapi
3 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum cengkih
3 biji buah pelaga
7 biji bawang merah - hiris nipis
3 sudu besar cili kering kisar
Cara:
1. Kisar kesemua bahan A kecuali kicap, tomato puri dan susu cair.
2. Masukkan daging dalam sebuah bekas, dan masukkan semua bahan kisar serta bahan lain. Gaul sebati dan perap semalaman di dalam peti sejuk.
3. Panaskan minyak sapi dan tumis bawang merah hingga garing. Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, cengkih dan buah pelaga. Tumis hingga wangi.
4. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
5. Kemudian masukkan bahan yang diperap. Masak dengan api sederhana sehingga daging empuk dan kuah menjadi pekat.
Amie tidak tambahkan sebarang garam atau perasa lain memandangkan masakan sudah cukup rasa! Daging yang Amie gunakan pun lembut, jadi tidaklah begitu lama Amie memasaknya.
Daging segar dari pasar tapi sempat masuk peti sejuk juga semalaman...hiks!
Selalunya Amie buat kerisik sendiri, tapi kali ini tak sempat! Nak jimat masa, beli jew di kedai. Kesemua bahan di atas tu kita kisar bersama, kecuali kerisik. Mungkin kerisik pun boleh masuk sekali harung, begitu juga dengan segala sos yang lain.
Inilah hasilnya.
Tuang ke atas daging. Tambahkan kerisik.
Tuangkan juga segala sos kicap pekat, masin dan manis, tomato puri, gula melaka dan juga susu cair.
Wokeh, macam biasalah...proses menumis.
Gunakan minyak sapi ye... sedap! Wangi!
Jangan lupa tumis dulu bawang merah tu bagi keluar aromanya! Goreng sampai garing, dan kemudian masukkan segala rempah diikuti dengan cili kering kisar. Gambar semua tu Amie tak sempat ambil, sebab ketika memasak ni, pada masa yang sama Amie masak acar dan masak ayam sekali gus! Nak jimat masa laaa....hiks!
Inilah hasil kejadian Daging Masak Hitam Sarawak yang sempat Amie jengok ketika tangan sibuk siapkan acar timun berempah dan menggoreng ayam!
Wokeh!
Kita tengok pula resepi Ayam Masak Merah. Tengok di atas tu... ayam menunggu giliran masuk kuali!
Bahan-bahan:
1.5 kg ayam - potong 12 - cuci bersih - toskan - gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
1 cawan sos tomato
1 cawan air
3 sudu besar gula merah
1 tin kecil kacang peas - toskan airnya
garam / perasa pilihan
minyak
Bahan kisar:
2 batang serai - hiris
3 cm lengkuas
2 cm halia
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Goreng ayam hingga masak.
2. Tinggalkan 1/2 cawan minyak bekas gorengan ayam. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Masukkan sos tomato, gula merah dan air. Biarkan masak sehingga mendidih.
4. Masukkan ayam goreng dan gaul rata.
5. Setelah kuah pekat, tambahkan bahan perasa pilihan (garam dan sebagainya jika perlu) dan juga kacang peas.
6. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Goreng ayam hingga masak tau!
Amie gunakan gula merah. Kalau ada madu pun boleh gunakan juga.
Tak susah mana nak masak ayam tu. Dah siap pun.
Kita cerita tentang acar pula.
Syukurlah dapat timun kampung! Selalunya dapat timun bandar yang bersaiz besar dan banyak biji besar pula! Amie buat dua jenis acar, acar masak dan acar mentah. Teringat lagi tentang majlis kenduri di kampung! Masa kecik-kecik dulu selalu ikut Bonda pergi rewang. Orang kampung yang datang rewang akan bawa pisau masing-masing. Aktiviti potong-memotong memang dilakukan oleh orang perempuan sebab banyak sangat yang nak dipotong! Dari potong daging, sampailah hiris bawang. Semuanya nak pakai pisau! Tukang masak pula terdiri daripada para bapa!
Kita suka duduk 'melendot' dekat Bonda. Tengok Bonda dan ibu-ibu yang lain memotong itu dan ini! Bila Bonda potong timun, dapatlah habuan seketul dua isi timun! Entahlah...walaupun hanya isi timun yang berbiji, tapi sedap betul rasanya!
Bahagian luar timun, dipotong-potong kecil untuk dijadikan acar timun masak, manakala isi timun pula dihiris nipis. Amie mengaku kalah! Hirisan Amie buruk sangat! Tak halus macam hirisan orang dulu-dulu! Nanti tengok hasil keras tangan Amie di bawah ye... Tapi nak salahkan timun jugalah...sebab timun dulu cantik isinya! Timun yang Amie dapat ni, walaupun timun kampung...tak berapa molek rupanya...hiks!
Jomlah tengok resepi Acar Timun Berempah.
Bahan-bahan:
2 biji timun - hiris bahagian luarnya (ketepikan bahagian isi timun) - potong kecil sepanjang 3 cm
1 batang lobak merah - buang kulit - potong kecil sepanjang 3 cm
2 biji cili merah - buang biji dan hiris -hiris
20 biji bawang merah kecil - kupas kulit dan belah 4 jangan putus
3 cm halia - hiris halus
20 ulas bawang putih saiz kecil - kupas kulit
2 sudu besar serbuk rempah kari
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar biji sawi
2 sudu besar cuka
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih
1 batang kulit kayu manis
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
7 tangkai cili kering
2 sudu besar udang kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan minyak dan masukkan biji sawi, disertai halia, kulit kayu manis, cengkih dan bunga lawang.
2. Setelah rempah berbau harum, masukkan bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk rempah kari, dan jika terlalu kering boleh tambahkan sedikit air.
4. Kemudian masukkan bawang putih serta bawang merah, diikuti timun dan lobak.
5. Setelah bahan masakan kelihatan layu, tambahkan kerisik dan juga hirisan cili merah.
6. Akhiri dengan renjisan cuka, garam dan gula secukup rasa.
Nota:
Untuk mendapatkan rasa timun dan lobak merah yang rangup, selepas dihiris rendam bahan tersebut di dalam air kapur. Kemudian bilas sebelum dimasak. Amie tak buat begitu, sebab masa sangat suntuk! He he hee.. ini kes potong-potong lepas tu main lebur jew dalam kuali ye...
Inilah antara bahan-bahan yang diperlukan untuik membuat Acar Timun Berempah.
Kalau tak suka hirisan halia, boleh kisar halia dengan bahan kisar yang lain. Amie gunakan halia muda, jadi bila dah masak taklah rasa sangat hirisan halianya!
Okey tak? Ini sajalah yang dapat Amie kongsikan.
Tak dapat nak ambil gambar langkah demi langkah. Kalau ada yang tolong tangkap gambar okey juga kan!
Dah siap pun Acar Timun Berempah.
Sekarang kita beralih ke tempat lain pula. Kita cerita tentang Nasi Minyak.
Nasi minyak dulu-dulu memang sangat sedap!
Mereka tak gunakan beras basmathi. Mereka masak beras Siam! Gemuk-gemuk dan besar-besar saiznya! Wooo... bukan main besar lagi periuk pengukus nasi! Main tarik atali pula bila nak buka penutupnya!
Tapi tak apalah.
Rindu nak makan nasi minyak, buatlah mana yang terdaya!
Amie masak cara kukus.
Amie tidak gunakan sebarang pewarna. Amie cuba nak dapatkan rasa yang seenak hasil air tangan orang kampung! Kata Encik Suami (baru pulang solat Jumaat) bau masakan sampai keluar ke jalan, luar pintu pagar! Macam pergi tempat keduri kahwin, katanya.
Jom tengok resepinya.
Bahan-bahan:
600 gram beras basmathi - bilas dan toskan
4 sudu besar minyak sapi
2 batang serai - diketuk
2 helai daun pandan - disimpul
1 labu bawang besar - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
3 cm halia - hiris halus
3 sudu besar kismis
1/2 cawan air mawar
3/4 tin susu cair
2 cawan air
1 sudu besar jus limau nipis
garam secukup rasa / 1 sudu kecil gula / perasa pilihan
Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lama
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Kuali
Periuk pengukus
Cara:
1. Naikkan periuk pengukus berisi air di atas dapur. Nyalakan api dapur
2. Panaskan minyak sapi dalam kuali. Masukkan daun pandan, serai, halia, bawang besar dan bawang putih serta kismis.
3. Tumis sehingga bawang menjadi layu.
4. Kemudian masukkan bahan penumis dan kacau sebati sehingga harum.
5. Masukkan beras dan gaul rata.
6. Tuangkan susu cair, air mawar, garam, gula dan air.
7. Kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mula mengering.
8. Pindahkan bahan masakan tadi ke dalam periuk pengukus.
9. Kukus menggunakan api besar selama 20 minit atau sehingga masak.
Kalau tak mahu halia dihiris, boleh kisar bersama bawang putih. Bawang besar tu kalau suka cincang halus pun ok. Ingat ye, kalau nak halia tu dihiris, pilih halia muda yang masih lembut. Nanti bila nasi dah masak, tak nampak dah rupa halia tu.
Jangan lupa rempah penumis!
Tak tahulah kenapa suka bilangan ganjil!
Kalaulah Amie boleh kongsikan aroma tumisan ini!
Semerbak!
Masukkan beras.
Ini dia air mawar. Boleh didapati di kedai mamak kalau tak ada di pasaraya atau di kedai orang kita.
Masukkan air mawar dan juga susu cair dalam kuali. Ketika ini bolehlah masukkan garam dan gula (jika suka gula). Mungkin ada yang suka tambah bahan perasanlain, itu terpulanglah ikut citarasa.
Nampaknya bahan tadi tidak dapat menutupi beras. Untuk masak cara kukus, sebaik-baiknya kurangkan jumlah air berbanding cara masak dalam rice cooker. Ini adalah untuk menjaga agar nasi yang terhasil semasa dikukus nanti dalam keadaan cantik sempurna! Tidak keras dan tidak lembik.
Amie tambahkan dua cawan air. Cukup sekadar dapat menutup permukaan beras.
Dan.... ada satu lagi!
Ketika Amie masak, terpandanglah pulak pokok limau nipis yang kelihatannya seperti hidup segan mati tak mahu di luar sanun! Ambillah sebiji, dan Amie perahkan jusnya dalam satu sudu besar. Tambhakan dalam nasi minyak tadi!
Jangan takut, nasi minyak tak akan ada rasa masam!
Wokeh!
Nampaknya beras pun sudah mula mengembang dan air pun hampir kering.
Pada masa yang sama, air dalam periuk pengukus pun sudah mendidih. Pindahkan bahan tadi ke dalam periuk pengukus.
Memandangkan saiz periuk agak besar berbanding isi yang dimasak, jadi Amie biarkan bahagian tengah periuk kosong untuk memberi laluan wap agar nasi cepat masak.
Lima belas minit kemudian Amie intai semula periuk pengukus. Beras sudah hampir kembang sepenuhnya. Jadi Amie korek semua bawa ke tengah. Tutup semula periuk. Biarkan sehingga benar-benar masak.
Nasi Minyak sudah siap untuk dihidangkan!
Terakhir.... Acar Mentah.
Bahan-bahan:
1 cawan hirisan isi timun
1 cawan hirisan sengkuang
1 cawan hirisan nanas
1 cawan hirisan lobak merah
7 biji bawang merah - hiris
2 biji cili merah - hiris
2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang
1/2 cawan jus limau kasturi
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Cara:
Campurkan kesemua bahan di atas dan gaul rata. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.
Kalau tak mahu gunakan limau kasturi, gunakanlah cuka. Nak guna jus limau nipis pun okey.
Nampak benar kasarnya hirisan bahan-bahan tu. Memang tak lawan kerja orang kampung kami...hiks!
Udang kering tu, kalau nak keluarkan rasa masinnya, bolehlah tumbuk sedikit.
Teringat betapa cantiknya acar mentah orang kampung kami! Siap ada hirisan cili merah dan cili hijau. Warna-warni dan meriah sungguh! Tapi Amie tak ada cili hijau, jadi Amie gantikan dengan hirisan cili padi hijau.
Alhamdulillah.
Dapat juga ketepikan sedikit Nasi Minyak & The Gang untuk anak buah.
Petang itu, selepas makan, kami bersiap untuk ke Tawau. Kami bermalam di sana, dan keesokan tengaharinya hantar Farid ke Airport Tawau.
Sekian....cerita dari dapur kecil Amie.
1 comments
riahnya...memang nasi minyak orang dedolu sedap sangat,,,dah jarang jumpa dah skang ni..dah macam2 pesen dah sekarang, ikut trend semasa.
BalasPadam