Muzium Chimney dan Misteri Menara Chimney
7:25 PTG
Sebenarnya, memang tak pernah terfikir untuk sampai ke tempat-tempat seperti Muzium Chimney sekaligus dapat menyelongkar sedikit sebanyak apa yang ada dalam muzium dan misteri menaranya. Muzium Chimney terletak di Tanjung Kubong, kira-kira 12 kilometer dari utara bandar Labuan. Kawasan ini pernah menjadi pusat simpanan arang batu yang sangat besar dan dikatakan menjadi tarikan kepada syarikat Inggeris datang untuk mengeksploitasi hasilnya pada tahun 1847 sehingga 1911.
Nun di hujung sana, Menara Chimney tersergam megah. Menara Chimney dibina oleh syarikat Inggeris sekitar tahun 1880-1n tetapi tujuan dan peranan menara tersebut masih menjadi misteri yang belum terungkai sehingga ke hari ini.
Pandangan mata kami sebenarnya tertumpu ke arah Menara Chimney yang berbentuk segi empat dari susunan batu-bata merah( dalam kenderaan ketika menuju ke Taman Burung yang terletak tidak jauh dari kawasan ini). Monumen setinggi 32.5 meter ini terletak di sebelah kiri Muzium Chimney (pandangan dari Muzium Chimney). Ia terletak di kawasan berbukit.
Sebelum kita melihat dengan lebih jelas Menara Chimney, eloklah kita masuk dulu ke Muzium Chimney. Masuk adalah percuma.
Menurut cerita tempatan, Tanjung Kubong mendapat nama sempena nama haiwan kubong yang banyak menghuni kawasan tersebut. Tanjung Kubong menarik minat syarikat-syarikat Inggeris yang silih berganti datang untuk mengaut sumber arang batu di situ, yang pada ketika itu dikenali sebagai Coal Point.
Terowong arang batu yang dibina dalam muzium ini membantu para pengunjung memahami sejarah dan kronologi aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong ini.
Peralatan yang digunakan untuk melombong arang batu.
Berdasarkan tinggalan artifak dan maklumat yang tertera di dalam muzium ini, arang batu yang dihasilkan di lombong ini akan dibawa ke pelabuhan bandar Victoria. Terdapat kira-kira tujuh terowong perlombongan arang batu di sekitar Tanjung Kubong yang dibina secara berasingan dan berhubungan di antara satu sama lain. Landasan keretapi sejauh 15 kilometer dibina oleh Syarikat New Central Borneo dari Tanjung Kubong hingga ke Pelabuhan Victoria untuk mengangkut arang batu tersebut.
Sebahagian daripada tinggalan struktur keretapi yang dipamerkan di Muzium Chimney.
Pada kedalaman 160 kaki di bawah tanah, para pekerja sedang sedang melakukan kerja-kerja melombong arang batu di mana gerabak-gerabak kecil telah digunakan untuk mengangkut hasil perlombongan serta pekerja untuk masuk dan keluar dari terowong. Pekerja-pekerja lombong sebahagiannya terdiri daripada imigran Cina yang didatangkan dari Singapura dan Hong Kong, kaum pribumi dan Brunei, Sarawak dan Tanah Melayu serta banduan-banduan yang didatangkan dari Indian dan Hong Kong.
Muzium Chimney terdiri daripada dua tingkat.
Ketika bergerak untuk naik ke tingkat atas, ternampak surau di sini. Alhamdulillah.
Sebanyak 612 artifak yang ditemui turut dipamerkan di dalam muzium ini. Antaranya termasuklah batu-bata asal chimney, peralatan melombong arang batu, barang-barang yang pernah digunakan oleh para pelombong dan juga pecahan seramik.
Apa yang dapat dikongsikan tentang Menara Chimney berdasarkan maklumat yang tertera di atas ialah bagunan segiempat ini mempunyai lubang di dalamnya. Keseluruhan monumen ini dibina menggunakan 23,00 batu-bata merah yang tidak dilepa. Ia dibina mengikut corak tipikal Inggeris. Kerja-kerja ekskavasi mendapati tapak dasar monumen ini didirikan di atas tanah kaolin dengan kedalaman kira-kira satu meter. Ini dianggap mengkagumkan kerana tanpa penggunaan cerucuk seperti kaedah pembinaan hari ini, Chimney tetap kukuh binaannya.
Kerja-kerja penggalian arkeologi pada tahun 1997 mendapati sebanyak 12 lapisan batu-bata di bawah permukaan menara ini. Di dalamnya terdapat lubang serta dua pintu berbentuk melengkung atau gerbang setinggi 2.2 meter menghadap barat dan selatan.
Ada yang menganggap Menara Chimney mungkin sebuah serombong asap tetapi tidak pula ditemui sebarang kesan pembakaran di dinding bahagian dalam. Ada pula yang mengatakan ia sebagai rumah api memandangkan ia terletak di atas tanah berbukit dan berhampiran dengan kawasan pelabuhan. Ada pula yang mempercayai ia sebagai menara loceng yang memaklumkan ketibaan kapal.
Apa pendapat anda pula?
Apa fungsi sebenar Menara Chimney ini?
Dapat Anugerah Gangsa bagi Warisan Seni Bina di London pada 2013
Masih tak dapat jawapan apa fungsi Menara Chimney.
Jadi, Pak Andeh dan mak Andeh pun main tangkap-tangkap gambar di sini....
0 comments