Sego Ambeng @ Nasi Ambeng : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (KUALA LUMPUR / SELANGOR MONTH)
11:07 PTG
Sego Ambeng @ Nasi Ambeng ini Amie siapkan petang kelmarin untuk hidangan berbuka puasa keluarga kecil kami. Hidangan ini begitu menggamit seribu nostalgia sebahagian usia Amie ketika tinggal bersama keluarga di Kampung Bukit Hijau. Ketika Amie menyediakannya di dapur, pelbagai kenangan lalu menerpa dalam ingatan membuatkan Amie jadi rindu yang teramat! Rindu yang tidak tertanggung sehingga merembes mili banyu motoku ( mengalir air mataku). Ekoran daripada itu, Amie tangguhkan paparannya sehinggalah Amie berasa tenang ketika ini.
Di negeri Selangor, memang Sego Ambeng @ Nasi Ambeng yang adakalanya seseorang (bukan keturunan Jawa) menyebutnya 'ambang' terkenal dalam majlis kenduri masyarakat Jawa terutamanya sewaktu punggahan (kenduri arwah di bulan Syaaban, muputi sempena mengaqiqah anak yang baru lahir atau kenduri kesyukuran). Namun begitu tidak semua daerah yang didiami majoriti masyarakat keturunan Jawa ini menyediakan Sego Ambeng yang sama. Pada dasarnya memang Sego Ambeng berupa hidangan nasi putih di dalam talam besar, dan disusun pelbagai lauk pauk di atasnya. Serunding kelapa, ayam goreng serta sambal Jawa merupakan lauk yang nampaknya tidak boleh dipisahkan. Bagaimana pun lauk-pauk yang lain juga agak berbeza dari satu daerah dengan daerah yang lain. Penyediaan lauk-pauknya juga dipengaruhi oleh faktor kemampuan tuan rumah. Mungkin lauk-pauk masyarakat keturunan Jawa di Tanjung Karang menggunakan ikan sepat kering sebagai lauk tambahan memandangkan ikan sepat mudah didapati di sawah (secara tradisinya), manakala masyarakat keturunan Jawa di Banting meletakkan ikan kering bulu ayam pula. Hidangan Nasi Ambeng di Rantau Panjang, Kelang bagaimana pula? Kalau di Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cheraka, Kampung Bukit Kuching dan juga Parit Mahang, masyarakat Jawa akan menyediakan hidangan yang hampir sama. Walaupun majoriti masyarakat di kampung yang Amie sebutkan di atas berketurunan Jawa, tetapi kami hidup aman damai bersama minoriti Banjar dan Melayu, sehingga masing-masing kaum memahami pertuturan ibunda masing-masing.
Apa yang Amie paparkan di sini hanyalah hidangan Sego Ambeng seadanya sahaja. Talam yang digunakan bukan seperti gambar di atas, kerana saiznya lebih besar atau dua kali ganda daripada saiz talam yang Amie gunakan. Maklum sahajalah, setalam Sego Ambeng akan dihadap oleh 4 hingga 5 orang yang diundang untuk menghadiri majlis kenduri. Jadi, pada satu-satu masa tuan rumah akan menyediakan 10-12 talam Sego Ambeng sekiranya menjemput 40 hingga 50 orang tetamu. Pada mulanya, setiap tetamu dalam kumpulan akan makan sedikit bersama-sama dan seorang ketua kumpulan secara tidak langsung akan membahagi-bahagikan nasi ambeng mengikut bilangan dalam kumpulan. Seterusnya mereka akan membungkus Sego Ambeng masing-masing di dalam daun pisang atau bekas yang disediakan oleh tuan rumah dan dibawa pulang untuk dimakan bersama keluarga. Kami memanggilnya 'nasi berkat' dan sesetengahnya pula menyebutnya sebagai 'bontrot'.
Sego Ambeng yang Amie paparkan ini merujuk kepada kebiasaan yang disediakan oleh tuan rumah di kampung kami. Dahulu, saiz ayam agak kecil berbanding saiz ayam yang Amie paparkan kerana mereka gunakan ayam kampung. Biasanya ayam akan digoreng, tetapi sekali-sekala ada juga tuan rumah yang menyediakan dalam masakan semur dan juga ungkep. Seingat Amie, memang tidak pernah Amie temui ikan kering di dalam Sego Ambeng yang Ayahanda bawa pulang dari tempat kenduri, tetapi seringkali kami temui semur iwak baguk (ikan baguk masak kicap), atau iwak baguk goreng. Selain sambal goreng Jawa, Amie juga temui mee hoon goreng dan sudah semestinya ada serunding kelapa (serundeng kelopo) yang harum semerbak apabila digaul bersama nasi dan lauk pauk lain apatah lagi jika terdapat acar timun di dalam hidangan tersebut! Dan sudah tentunya sebagai lauk tambahan, ada tuan rumah yang turut menyajikan keluban (urap-urapan @ kerabu) di dalam hidangan tersebut!
Resepi : Sego Ambeng @ Nasi Ambeng
Olahan : Amie's Little Kitchen : Hidangan talam saiz kecil seperti di atas (sekadar contoh untuk tatapan anak cucu & generasiku akan datang)
Bahan-bahan:
nasi putih secukupnya
sehelai daun pisang secukupnya - jika suka boleh potong bentuk bulat
talam
Cara:
1. Alaskan bahagian dasar talam dengan daun pisang. Letakkan nasi putih di atasnya dan tekan-tekan sedikit menggunakan daun pisang supaya padat.
2. Letakkan daun pisang di atas nasi putih tadi.
3. Susun lauk-pauk di atas daun pisang.
Lauk-pauk Sego Ambeng
Ayam Goreng
Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam
garam / perasa pilihan
2 batang serai - dititik
minyak
Bahan tumbuk:
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
3 cm halia
3m kunyit hidup
Cara:
1. Perap daging ayam bersama semua bahan di atas kecuali minyak selama 1/2 jam.
2. Goreng dengan minyak yang banyak sehingga masak.
3. Angkat dan toskan.
Mee Goreng
Bahan-bahan:
1/2 kg mee kuning
1 cawan udang basah - buang kepala dan ekor
1 cawan taugeh
2 batang sayur sawi - potong ikut citarasa - pisahkan batang dan daun
2 biji cili merah - hiris
1/2 cawan kicap manis
garam / gula / perasa pilihan
minyak
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak
2. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan hirisan cili merah dan udang basah. Tumis sehingga udang berubah warna.
3. Masukkan batang sawi dan kacau seketika.
4. Masukkan daun sawi dan mee kuning. Kacau sebati.
5. Tambahkan kicap manis dan taugeh,
6. Taburkan sedikit garam dan gula. Gaul sebentar.
7. Tutup api.
Serunding Kelapa
Bahan-bahan:
1 biji kelapa parut
2 sudu makan rempah kari
sedikit asam jawa - buang biji
2 sudu makan gula pasir
2 sudu makan minyak
3 batang serai - dititik
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
3 cm halia
3m kunyit hidup
Cara:
1. Gaul kesemua bahan diatas dan perap selama 4 jam.
2. Masukkan di dalam kuali dan goreng tanpa minyak sehingga kelapa menjadi ringan dan kering.
Sambal Goreng Jawa
Bahan-bahan:
4 biji kentang - kupas dan hiris nipis - goreng hingga masak dan toskan
1 cawan tempe yang sudah di potong - goreng hingga masak dan toskan
2 batang fucuk - rendam hingga kembang dan potong kecil-kecil
suhun - rendam hingga kembang (anggaran 1 cawan)
5 batang kacang panjang - hiris serong
1 genggam ikan bilis - bersihkan dan belah 2
3 biji cili merah - hiris
garam / gula / perasa pilihan
minyak
Bahan tumbuk:
3 ulas bawnag putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan hirisan cili merah bersama ikan bilis. Tumis seketika.
3. Masukkan fucuk, kentang dan tempe goreng serta kacang panjang. Kacau seketika dan masukkan pula suhun.
4. Perasakan dengan gara / gula / perasa pilihan.
5. Tutup api.
Apabila sampai di rumah, biasanya Sego Ambeng akan digaul bersama lauk-pauknya dan dinikmati bersama ahli keluarga.
Kini, masa telah merubah segalanya!
Sudah jarang kita temui Sego Ambeng seperti yang Amie paparkan di atas kerana perubahan gaya hidup masa kini yang menuntut perkara lain untuk lebih diutamakan. Sesekali bila berkesempatan pulang ke kampung laman, terasa kesayuan di hati melihat perubahan demi perubahan yang berlaku. Bukan sahaja sudah hilang kebun getah dari pandangan digantikan dengan kebun kelapa sawit, malah Sego Ambeng juga sudah 'dikateringkan'. Sego Ambeng sudah dijual di merata pasar malam. Sego Ambeng bukan lagi milik masyarakat keturunan jawa, tetapi tukang masak dan penjual Sego Ambeng terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan Banjar.
Dan paling hiba.... rinduku pada harumnya serunding kelapa digaul bersama nasi putih, hirisan timun (jika ada acar) serta semur iwak baguk sudah tidak kutemui lagi! Kukatakan harumnya serunding kelapa.... kerana aromanya sungguh berbeza dengan serunding kelapa biasa! Mengapa berbeza? Lihatlah perbezaan cara penyediaan serunding kelapa dalam resepi yang Amie paparkan di atas. Semua bahan 'diungkep' terlebih dahulu sekurang-kurangnya selama 4 jam supaya segala rempah-rempahannya meresap sebelum digoreng tanpa minyak di dalam kuali!
"I am submitting this post to Malaysian Food Fest ( Kuala Lumpur Selangor Month hosted by Shannon of Just As Delish"
5 comments
Salam kakak cayanggg...wah wahh kat dapur kak amie ada nasi ambeng..first time makan nasi ambeng masa belajar kat Batu Pahat dulu..sejak grad tahun 2000 langsung tak jumpa dah..bila nampak nasi ambeng terus menggamit nostalgia lama hahahah
BalasPadamteringin makan nasi ambeng... akhirnya tertunai juga hasrat tu Mieza... makan puas2 dengan anak2
BalasPadamSalam perkenalan..selalu skodeng jer dapur sis..tp hari ni rasa nak komen sebab nasi ambeng ni...hmmm nasi ambeng tg karang dah tak letak ikan sepat lagi sis..tapi ada rempeyek..kalau abah bawak balik berkat..berebut2 cari rempeyek...
BalasPadamAlhamdulilah. Asalammualaikum wbt. Sis sy suka dgn resepi2 sis. Halalkan sy mencuba resepinya yer. T.kasih sis.😍
BalasPadamAlhamdulilah. Asalammualaikum wbt. Sis sy suka dgn resepi2 sis. Halalkan sy mencuba resepinya yer. T.kasih sis.😍
BalasPadam