Makan Nasi Lauk Ikan Goreng dan Sayur Bening
8:06 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Dari kelmarin berangan hendak makan nasi lauk ikan goreng dengan sayur bening.
Tengah hari tadi, balik dari ladang terus sambung tugas melatih murid di padang. Sebelum cuti penggal ada acara KOT. Rasa penat tak usahlah dicerita, apalagi lapar sebab tak sempat makan tengah hari. Syukurlah ada air kosong dan makan sebiji epal buat alas perut.
Menjelang petang, balik dari padang terus bergegas ke dapur. Masak nasi. Goreng ikan alu-alu. Masak sayur bening dan buat sambal kemangi. Ada telur masin, rebus dua butir.
Menjelang senja, siaplah kerja masa-memasak. Ketika menjamah nasi, terasalah seperti waktu berbuka puasa!
| Lauk makan tengah hari yang terlewat. |
| Ikan Alu-Alu Goreng |
Amie goreng garam kunyit ikan alu-alu. Goreng lembik-lembik, kata arwah FIL. Maknanya tidak digoreng sampai garing. Isinya lembut apabila dicubit. Untuk aroma, tambahkan helaian daun kari sebelum ikan goreng diangkat. Firdaus suka makan daun kari!
| Sayur Bening |
Sayur bening ini sebenarnya Amie hendak hirup kuahnya yang panas dan berbau daun kemangi yang menyegarkan. Amie gunakan betik mengkal, jagung segar, putik jagung dan sayur bayam serta daun kemangi.
| Sambal Kemangi |
Sambal kemangi ini Amie bubuh belacan, cili padi, bawang merah, bawang putih serta tomato kampung dan juga daun kemangi. Kesemua bahan ini Amie goreng dan kemudian tumbuk. Tambahkan garam, gula dan perasa pilihan. Oleh kerana sudah ada rasa masam manis dari tomato kampung, Amie tidak perahkan jus limau kasturi.
Firdaus pantang jumpa sambal! Sedap jew dia makan nasi dengan ikan goreng, sambal kemangi dan hirup kuah sayur bening. Tambah seronok apabila dia nampak telur masin kuning berkembar. Apalagi, habis sebiji dia makan, tapi bahagian kuning sajalah.
| Telur Masin |
Telur masin isi kuning kembar, beli di pasar tani. Jarang jumpa telur kuning kembar begini.
2 comments
Wah telur masin Kembar. Sesekali sayur bening enak lorrr
BalasPadamSeriuuuuuus saya jadi lapaaaar 😍😍😍. Apalagi lihat telur Masin dengan kuning nampak masir berminyak 😍😍😍. Ya Allah itulah yg sedaaaap.
BalasPadamNanti nak coba juga buat sambal kemangi lah kak. 😍😍. Tp tomat kampung tuh susah di JKT. Di Palembang dan Lampung yg banyak. Diganti tomat Cherry bisa tak ya?