Ketam Masak Lemak Tempoyak
10:05 PG
Ketam?
Kalau cerita ketam, Amie lebih suka rebus sahaja dan ratah, cecah dengan sambal kicap! Tak perlu gangguan makanan lain seperti nasi dan lauk-pauk.
Encik Suami pula, sebaik sahaja beli ketam terus bersuara : Ketam ni sedap masak lemak!
Kita pun mengalah pada kehendak selera sendiri, dan sediakan untuk Encik Suami Ketam Masak Lemak Tempoyak.
Ketam ini masih hidup ketika berada di sinki dapur.
Dan sudah tentunya Amie suka pilih ketam betina.
Tapi Encik Suami beli dua ekor betina dan 3 ekor jantan. Walaupun hanya 5 ekor tapi beratnya mencecah 1.5 kg.
Harap-harap ketam betina ini ada telur di dalamnya! Jom kita buka cengkerangnya.
Alhamdulillah.... kedua-dua ekor ketam betina memang sedang mengandung telur! Jom kita bersihkan ketam.
Yang berwarna kuning itulah telur ketam, menyelit sampai ke hujung.
Untuk memudahkan proses masak dan makan, Amie pisahkan badan dengan kaki ketam yang bersepit. Sepit ketam itu eloklah diketuk sedikit menggunakan anak lesung. Kalau tak mahu, boleh ketuk dengan sudu sewaktu meratah nanti.
Bahan-bahan:
1.5 kg ketam - bersihkan - pisahkan badan dengan kaki - belah 2 badan ketam
3 sudu besar tempoyak
2 keping asam gelugur - (pilihan sekiranya tempoyak tak ada rasa masam)
2 helai daun kunyit - siat dan simpul
3 batang serai - ketuk
1.2 liter santan cair
300 liter santan pekat
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar / tumbuk:
30 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
Bahan kisar : cili padi, bawang putih, bawang merah, dan kunyit hidup.
Nak bubuh lebih tempoyak pun boleh.
Jangan lupa ketuk atau titik serai supaya keluar aromanya.
Cara Memasak:
1. Masukkan santan cair ke dalam periuk. Masukkan bersama serai, tempoyak serta bahan kisar. Kacau sebati.
2. Kemudian masukkan ketam.
3. Masak sehingga mendidih dan ketam berubah warna.
4. Tuangkan santan pekat dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau sehingga kuah mula mendidih dengan menggunakan api perlahan. Masukkan daun kunyit.
6. Biarkan seketika, dan padamkan api dapur.
Wokey.... tak sabar nak makan!
Semerbak aroma tempoyak!
Jemput!
0 comments