Mee Kari Udang Terlajak Sedap!
7:35 PTG
Siapa suka mee kari sila angkat tangan!
Encik Suami suka sangat makan mee kari. Kita jew yang malas masak. Jadi kalau jalan-jalan cari makan, bila terjumpa mee kari, memanglah Encik Suami tidak lepaskan peluang untuk memesannya. Petang tadi, semangat untuk masak-masak datang semula, mungkin disebabkan hujan dan cuaca sejuk, jadi perut menjadi lapar. Tambahan pula Fuad dan Fairuz asyik ke dapur buka tudung saji yang tidak ada isi!
Rasa kasihan pula, sebab dari pagi membantu Encik Suami membuat kerja-kerja di sekeliling rumah. Tengahari berehat, makan dan solat kemudian sambung buat kerja semula.
Rasa kasihan pula, sebab dari pagi membantu Encik Suami membuat kerja-kerja di sekeliling rumah. Tengahari berehat, makan dan solat kemudian sambung buat kerja semula.
Tepat pukul 5 petang, siaplah sajian Mee Kari Udang untuk seisi keluarga.
Dan sudah tentunya Encik Suami paling berselera menghadap Mee Kari Udang. Rasanya, beberapa kali juga Encik Suami menambah.
Hidangan Mee Kari Udang ini merangkap sebagai makan petang hingga ke malam!
Untuk menikmati Mee Kari Udang yang sedap, sudah tentulah kita perlu menyediakan kuahnya yang enak! Sedap kuah, sedaplah rasa keseluruhannya. Jadi, untuk paparan kali ini, Amie sediakan kuah kari udang mengikut olahan dan citarasa sendiri. Alhamdulillah, kuah mee kari udang menepati selera kami sekeluarga. Encik Suami yang asyik makan mee kari di luar pun terpikat dengan air tangan isteri kesayangannya....wakakaaaa!
Ini dia kuah Mee Kari Udang. Kuah yang tenang jangan disangka tak ada buaya....huwaaaaa! Hahaaaa.... banyak rahsia di dalam mangkuk kuah ini. Wokeh. Jom kita lihat apa bahan yang Amie gunakan untuk menghasilkan kuah mee kari udang yang terlajak sedap ini.
Bahan-bahan:
1 kg udang harimau - kupas kulit - bilas dan toskan kulitnya - (kulit udang direbus menggunakan 1 liter air hingga mendidih, dan kemudian sejukkan seketika sebelum dikisar bersama tambahan 2 liter air - tapis - ketepikan)
3 biji tomato - potong dadu
2 labu bawang besar - hiris kasar
10 biji bebola ikan - dibelah 4
2 keping kek ikan - dihiris nipis
1 cawan santan pekat
4 sudu besar serbuk rempah kari ikan 888
2 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
2 keping asam gelugur
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm belacan
1 cm halia
Bahan tambahan:
1 kg mee kuning - dicelur seketika kemudian dibilas - toskan
isi udang dicelur hingga masak - toskan
3 batang sawi - potong-potong dan celur - toskan
1 cawan taugeh
10 biji bebola ikan - goreng - toskan - belah 4
2 keping kek ikan - goreng - toskan - hiris nipis
3 biji telur - rebus - kupas dan belah 6
6 biji limau kasturi
hirisan daun sup
hirisan cili merah
Cara:
1. Panaskan minyak, dan tumis bawang besar hingga kekuningan.
2. Kemudian masukkan daun kari, bahan kisar serta tomato yang dipotong dadu serta serbuk rempah kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air. Masak menggunakan api sederhana panas sehingga tomato hancur dan terbit minyak.
3. Masukkan asam keping dan air rebusan udang dan biarkan masak mendidih selama 20 minit. Lebih lama lebih baik, sebab kuah akan sebati dan lebih sedap.
4. Masukkan santan pekat, bebola ikan, kek ikan dan separuh isi udang.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur.
7. Hidangkan panas bersama mee kuning dan bahan lain.
Untuk menikmati Mee Kari Udang yang lebih sedap, jangan lupa sediakan kicap lada. Seperti biasa, Amie hanya gunakan kicap pedas Mahsuri dengan kicap lemak manis ABC, tambah hirisan cili padi, dan perahkan jus limau kasturi...walllaaaa!
Inilah antara bahan sampingan sebagai pelengkap hidangan Mee Kari Udang termasuk sayur sawi, taugeh - Amie tak celur taugeh, sebab kami suka makan begitu sahaja, rangup eh! Telur rebus, kek ikan, bebola ikan, daun sup dan juga isi udang yang dicelur.
Jemput makan Mee Kari Udang Terlajak Sedap!
Amie sukakan kuahnya!
Tambah kuah sahaja beberapa kali sebab sedap!
Sewaktu menulis entri ini, telinga dapat mendengar seseorang sedang menarik kerusi di meja dapur dan bunyi sudu berlaga dengan mangkuk....haaaa tentu ada yang sedang mengulang makan Mee Kari Udang Terlajak Sedap tu!
0 comments