Lapisan-Lapisan Sejarah di Lorong-Lorong Baitulmaqdis

12:30 PTG

Bismillahirrahmanirrahim.

Ada perjalanan yang meninggalkan gambar dalam album, dan ada perjalanan yang meninggalkan sesuatu dalam hati. Baitulmaqdis, bagi Amie adalah kedua-duanya.

Ketika melintasi pintu Madrasah Al-Khanqah Islamiah Syariah, Amie menyedari bahawa Kota Lama Baitulmaqdis bukan sekadar muzium sejarah. Di sebalik dinding batu yang telah berusia ratusan tahun, masih bergema suara para pelajar menuntut ilmu. Langkah-langkah seterusnya, kami memasuki pula lorong yang membawa kepada St. Helena Road dan Masjid Omar. Diri ini benar-benar merasakan seolah-olah sedang berjalan merentasi zaman, dari dunia ilmu Islam ke lembaran sejarah Kristian, semuanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Gambar di bawah hanya sebuah pintu sekolah. Namun sebenarnya, Amie telah merakam sebuah institusi yang menjadi kesinambungan tradisi ilmu Islam di Baitulmaqdis selama berabad-abad. Madrasah ini merupakan salah satu tempat mencari ilmu yang sempat kami singgahi.

مدرسة الخانقاه الإسلامية الشرعية Madrasah al-Khānqāh al-Islāmiyyah al-Sharʿiyyah


Amie ajak anda semua bayangkan, ketika Amie berdiri mengambil gambar di hadapan madrasah ini, hanya beberapa minit kemudian Amie sudah berada di St. Helena Road dan Masjid Umar. Dalam jarak yang begitu dekat, kami telah melalui tiga lapisan sejarah iaitu:
  • tradisi pendidikan Islam yang masih hidup
  • warisan Kristian sejak zaman Saint Helena
  • dan jejak pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Papan tanda dalam bahasa Arab dalam gambar di atas menunjukkan sebuah madrasah atau sekolah agama Islam. Bangunan seperti ini telah wujud sejak zaman pemerintahan Mamluk dan Uthmaniyyah, digunakan untuk mengajar al-Quran, hadis dan ilmu fiqah. Di Kota Lama, madrasah sering dibina bersebelahan jalan utama dan masih berfungsi sehingga hari ini.

Madrasah tersebut ialah:

مدرسة الخانقاه الإسلامية الشرعية Madrasah al-Khānqāh al-Islāmiyyah al-Sharʿiyyah.

Dalam bahasa Melayu, ia boleh diterjemahkan sebagai Sekolah Syariah Al-Khanqah Islamiah atau Madrasah Al-Khanqah Islamiah Syariah. Perkataan Khanqah (خانقاه) berasal daripada bahasa Parsi. Ia merujuk kepada:
  • pusat pengajian agama
  • tempat tinggal para ulama dan penuntut ilmu
  • serta pusat latihan kerohanian, khususnya dalam tradisi tasawuf
Pada zaman Ayyubiyyah dan Mamluk, banyak khanqah didirikan di Baitulmaqdis untuk menerima pelajar dari seluruh dunia Islam. Mereka belajar al-Quran, hadis, fiqah, bahasa Arab, dan adab serta akhlak. Walaupun fungsinya telah berubah mengikut peredaran zaman, nama Al-Khanqah masih dikekalkan sebagai menghargai sejarahnya.

Papan tanda itu juga menyatakan:

إدارة أوقاف القدس
Pentadbiran Wakaf Baitulmaqdis (Jerusalem Islamic Waqf Administration)

مديرية التعليم الشرعي والتأهيل
Jabatan Pendidikan Syariah dan Latihan

Ini bermaksud madrasah tersebut berada di bawah pentadbiran Wakaf Islam Baitulmaqdis, iaitu institusi yang mengurus masjid, sekolah agama dan harta wakaf Islam di Jerusalem.


Dalam satu lorong yang sempit, kami menemui madrasah Islam, gerbang Rom purba, jalan yang dinamakan sempena Saint Helena, kedai-kedai Kristian, dan akhirnya tiba di Masjid Omar. Setiap batu, gerbang dan lorong seolah-olah menjadi saksi perjalanan sejarah yang berlangsung lebih daripada dua ribu tahun. 

Lorong berbatu yang sedikit mendaki ini ialah pemandangan biasa di Christian Quarter. Laluan yang menggunakan batu kapur Jerusalem ini telah dilalui oleh pedagang, penduduk tempatan dan para peziarah selama beratus-ratus tahun. Dinding-dinding batu yang tinggi di kiri dan kanan menjadikan suasana teduh walaupun pada waktu siang. Setiap anak tangga dan bongkah batu seakan-akan menjadi saksi perjalanan sejarah kota suci ini.



Lorong berbumbung ini memperlihatkan suasana perdagangan yang masih hidup di Kota Lama. Kedai-kedai tersusun rapat di kiri dan kanan, sementara para pengunjung berjalan santai menikmati suasana. Bukaan pada bumbung membenarkan cahaya semula jadi menerangi laluan, menjadikan lorong ini terasa nyaman walaupun dikelilingi bangunan batu yang berusia ratusan tahun.

Dalam entri sebelum ini Amie telah terangkan pembahagian kawasan seperti Muslim Quarter, Ghristian Quarter, Jewish Quarter dan Armenian Quarter.  Sekarang kami berada di Christian Quarter. Kawasan ini bukan sahaja terkenal dengan Gereja Holy Sepulchre, malah dipenuhi lorong-lorong batu, kedai cenderamata, kedai tekstil dan kafe yang dikunjungi para penziarah dari seluruh dunia.

Selendang & Kain

Deretan selendang berwarna-warni ini menambahkan seri lorong-lorong Christian Quarter. Ada yang dihiasi sulaman Palestin, motif Arab dan corak geometri tradisional. Kelihatan juga beberapa selendang keffiyeh, kain yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Palestin. Selain berfungsi sebagai pelindung daripada cuaca sejuk atau panas, keffiyeh juga dikenali sebagai lambang warisan dan identiti rakyat Palestin.

Keffiyeh


Papan tanda Christian Art Gallery Shop No. 7 menunjukkan kami berada di kawasan Christian Quarter. Lorong berbumbung batu ini dipenuhi kedai cenderamata, ikon Kristian, salib, ukiran kayu zaitun dan barangan keagamaan. 

Kedai Cenderahati

Gerai ini dipenuhi pelbagai cenderamata yang melambangkan identiti Baitulmaqdis dan Tanah Suci. Antaranya ialah piring seramik bercorak Timur Tengah, magnet peti sejuk, salib, menorah, ukiran kayu zaitun, beg kanvas, tekstil dan pelbagai barangan hiasan. Kedai seperti ini menjadi persinggahan utama para pelancong yang ingin membawa pulang kenangan dari Jerusalem.


Firdaus sentiasa membantu peserta rombongan mengambil gambar.

Ali Baba Souvenir Shop belum dibuka lagi.


Gambar seterusnya memperlihatkan suasana sebuah kafe atau kedai kopi tradisional di Christian Quarter di Kota Lama Baitulmaqdis. Ia bukan sekadar tempat menikmati minuman, malah menggambarkan bagaimana bangunan bersejarah digunakan semula sebagai premis perniagaan tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Di celah lorong-lorong batu Christian Quarter, Amie sempat memerhatikan sebuah kafe yang memancarkan pesona zaman silam. Di hadapan kaunter tersusun bakul-bakul berisi oren dan delima yang ranum, menanti untuk dijadikan jus segar. Sebuah samovar berkilat berdiri megah, mengingatkan tradisi menikmati teh yang telah diwarisi turun-temurun. Melihat sejenak ke dalam, gerbang batu dan siling berkubah menghadirkan suasana yang tenang, seolah-olah setiap bongkah batu di dinding ini menyimpan kisah para pedagang, pengembara dan penziarah yang pernah singgah di sini sejak berabad-abad lamanya.


Pintu masuk kedai ini sangat memikat. Gerbang batu yang melengkung menunjukkan bangunan ini dibina menggunakan batu kapur Jerusalem, bahan binaan utama sejak zaman Rom, Byzantine, Islam hingga Uthmaniyyah.

Di atas pintu terdapat tingkap separuh bulat dengan jeriji besi yang dihias indah. Cahaya keemasan dari dalam kedai menyerlahkan suasana hangat dan mengundang pengunjung masuk berehat.

Bahagian dalam kedai pula mempunyai siling berkubah (vaulted ceiling). Reka bentuk seperti ini bukan sahaja cantik, malah membantu mengekalkan suhu yang lebih sejuk pada musim panas dan lebih hangat pada musim sejuk. Rak-rak kayu di kiri dan kanan menambahkan suasana klasik, seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman lampau.

Ketika menulis entri ini rupanya Amie bukan sahaja merakam sebuah kedai kopi, tetapi juga memperlihatkan pertemuan antara warisan sejarah, seni bina purba dan budaya hospitaliti Baitulmaqdis yang masih kekal hidup hingga hari ini.


Di kaunter kelihatan bakul-bakul berisi buah oren, limau dan delima. Buah-buahan segar ini sering dijadikan jus yang diperah ketika dipesan. Di Baitulmaqdis, jus oren dan jus delima sangat popular, terutama selepas pengunjung selesai berjalan di lorong-lorong berbatu Kota Lama. Teringat sewaktu mula-mula jejakkan kaki di Jericho, minuman pertama yang kami nikmati ialah jus delima campur jus oren yang sungguh menyegarkan!

Di sebelah kiri pula terdapat samovar logam, iaitu sejenis alat tradisional yang digunakan untuk menyediakan air panas untuk teh. Ini mengingatkan bahawa budaya menikmati teh dan kopi merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat di sini sejak ratusan tahun dahulu.

Di dalam peti sejuk terdapat pelbagai minuman moden, memperlihatkan gabungan tradisi dan kehidupan masa kini.


Rekaan gerbang batu membantu mengekalkan suhu yang lebih sejuk pada musim panas.

Sebahagian premis perniagaan belum lagi dibuka.

Christian Quarter bukan sekadar kawasan bersejarah, tetapi sebuah lorong kehidupan yang sentiasa berdenyut. Di kiri dan kanan jalan, kedai-kedai kecil menawarkan pelbagai cenderamata, tekstil dan hasil seni tempatan. Lorong batu yang dilalui sejak berabad-abad dahulu masih kekal menjadi laluan para penziarah dari seluruh dunia. Setiap langkah membawa mata menikmati warna-warni selendang, ukiran kayu zaitun dan seramik bercorak Timur Tengah, sementara dinding-dinding batu purba seolah-olah membisikkan kisah panjang Baitulmaqdis yang tidak pernah terputus oleh zaman.

Lorong menuju Gereja Holy Sepulchre

Papan arah di atas menunjukkan laluan ke beberapa lokasi penting termasuk Holy Sepulchre dan tempat-tempat suci lain. Laluan ini sentiasa sibuk dengan para jemaah dan pelancong dari seluruh dunia. Dalam entri lepas Amie ada kongsikan kubah Gereja Holy Sepulchre yang diambil dari atas bangunan.

Gerbang Purba

Langkah terhenti seketika di hadapan Arch of the Virgin Mary. Pada pandangan pertama, ia hanyalah sebuah gerbang batu yang tua. Namun apabila mengetahui usianya mencecah hampir dua ribu tahun, mata mula memandangnya dengan rasa yang berbeza. Berapa ramai manusia telah melintasinya? Berapa banyak doa, harapan dan air mata pernah mengiringi langkah-langkah yang melalui gerbang ini? Di Kota Lama Baitulmaqdis, setiap lorong bukan sekadar jalan, tetapi helaian sejarah yang masih terbuka untuk dibaca.

Berdasarkan penerangan Mr. Hassan, gerbang ini merupakan sebahagian daripada tinggalan seni bina lama yang dipercayai berasal daripada zaman Rom atau Byzantine. Batu-batu besar yang digunakan masih dikekalkan sebagai warisan sejarah.

Arch of the Virgin Mary (Gerbang Perawan Maria) merupakan salah satu tinggalan seni bina yang kurang dikenali oleh pelancong, tetapi sangat bernilai dari sudut sejarah. Jika melihat papan maklumat pada gambar yang diambil, gerbang ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada struktur purba yang masih kekal di Kota Lama Baitulmaqdis.

Apakah Arch of the Virgin Mary?
Gerbang ini terletak berhampiran Via Dolorosa, laluan yang dipercayai dilalui oleh Nabi Isa menuju ke tempat penyaliban menurut tradisi Kristian. Ia berada di dalam kawasan Christian Quarter, tidak jauh dari Gereja Holy Sepulchre.

Nama Virgin Mary merujuk kepada Maryam, ibu Nabi Isa. Dalam tradisi Kristian, kawasan ini dikaitkan dengan beberapa peristiwa yang melibatkan Maryam, walaupun bukti sejarah yang mengaitkan beliau secara langsung dengan gerbang ini adalah terhad. Nama tersebut lebih bersifat tradisi keagamaan berbanding penemuan arkeologi.

Ahli arkeologi berpendapat gerbang yang kelihatan hari ini mengandungi bahagian yang dibina dan diubah suai pada beberapa zaman:
  • Zaman Rom (abad ke-2 Masihi), ketika Maharaja Hadrian membangunkan semula Jerusalem sebagai Aelia Capitolina.
  • Zaman Byzantine (abad ke-4 hingga ke-7), apabila kota menjadi pusat penting agama Kristian.
  • Zaman Mamluk dan Uthmaniyyah, apabila sebahagian lorong dan bangunan diubah suai tetapi asas batu purba terus dikekalkan.
Inilah sebabnya batu-batunya kelihatan berbeza saiz dan warna kerana setiap lapisan berasal daripada zaman yang berlainan. Beberapa perkara yang menarik perhatian ialah batu kapur Jerusalem yang dipotong besar-besar, gerbang separuh bulatan yang mampu menyokong beban bangunan di atasnya, dinding yang sangat tebal untuk mengekalkan kestabilan dan suhu dalaman serta permukaan batu yang licin di beberapa bahagian akibat sentuhan dan geseran manusia selama berabad-abad.

Gerbang ini bukan sekadar laluan. Ia menjadi saksi bisu kepada pertukaran pemerintahan Rom, Byzantine, Islam, Tentera Salib, Mamluk, Uthmaniyyah dan era moden. Setiap bongkah batu seolah-olah menyimpan kisah yang tidak mampu diceritakan dengan kata-kata.

St. Helena Road

Jalan ini dinamakan sempena Saint Helena, ibu kepada Maharaja Constantine. Menurut tradisi Kristian, beliau datang ke Baitulmaqdis pada abad ke-4 untuk mencari lokasi penyaliban dan makam Nabi Isa. Gambar ikon Maria dan Kanak-kanak Yesus pada dinding merupakan lambang penghormatan masyarakat Kristian Timur.

Saint Helena atau Santa Helena (sekitar 246–330 Masihi) ialah antara tokoh paling penting dalam sejarah Kristian. Beliau merupakan ibu kepada Maharaja Rom, Constantine the Great, pemerintah yang mengakhiri penganiayaan besar-besaran terhadap orang Kristian melalui Edict of Milan pada tahun 313 Masihi.

Helena dipercayai berasal daripada keluarga biasa di wilayah Bithynia (kini di Turki). Anak beliau, Constantine, kemudiannya menjadi Maharaja Rom. Setelah Constantine memeluk agama Kristian, Helena turut menjadi seorang Kristian yang sangat taat. Pada usia yang sudah lanjut, beliau mengembara ke Tanah Suci untuk mengenal pasti dan memelihara tempat-tempat yang dikaitkan dengan kehidupan Nabi Isa (Jesus).

Sekitar tahun 326–328 Masihi, Helena mengunjungi Baitulmaqdis. Ketika itu, bandar tersebut telah banyak berubah akibat peperangan dan pemerintahan Rom. Menurut tradisi Kristian, beliau berusaha mencari lokasi-lokasi penting seperti:
  • Tempat Nabi Isa disalibkan (Golgotha atau Calvary).
  • Makam Nabi Isa.
  • Tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan kehidupan baginda.
Beliau mendapat bantuan daripada penduduk Kristian tempatan dan para uskup untuk mengenal pasti lokasi-lokasi tersebut.

Pintu di St. Helena Road

Gambar di atas merupakan sebuah bangunan batu lama dengan papan tanda St. Helena Rd.
Dinding batu kapur dan pintu kayu tebal menggambarkan seni bina tradisional Jerusalem yang mampu bertahan ratusan tahun.

Kisah yang paling terkenal ialah penemuan True Cross (Salib Suci), iaitu salib yang dipercayai digunakan ketika penyaliban Nabi Isa. Menurut tradisi gereja:
  • Helena mengarahkan penggalian dilakukan berhampiran kuil Rom yang dibina oleh Maharaja Hadrian.
  • Beberapa batang salib ditemui.
  • Salah satu daripadanya dipercayai sebagai Salib Suci kerana dikatakan membawa mukjizat penyembuhan.
Walau bagaimanapun, kisah ini berasal daripada tradisi gereja dan bukan fakta sejarah yang dapat dibuktikan secara arkeologi. Oleh itu, ahli sejarah membezakan antara kepercayaan agama dan bukti sejarah. Namun begitu, ketika berdiri di St. Helena Road membuatkan kita tersedar bahawa lorong-lorong sempit di Kota Lama Baitulmaqdis bukan sekadar laluan pejalan kaki. Di sinilah seorang wanita tua bernama Helena pernah melangkah hampir 1,700 tahun lalu demi mencari jejak sejarah agamanya. 

Selepas lawatan Helena, Constantine memerintahkan pembinaan Gereja Holy Sepulchre, yang siap sekitar tahun 335 Masihi. Gereja ini menjadi tempat paling suci bagi ramai penganut Kristian kerana dipercayai merangkumi Bukit Golgotha dan Makam Nabi Isa. Sehingga hari ini, berjuta-juta jemaah Kristian dari seluruh dunia datang menziarahi gereja tersebut.

Jalan yang Amie rakam dalam gambar dinamakan St. Helena Road sebagai penghormatan kepada jasa Helena dalam mengenal pasti dan memelihara tempat-tempat suci Kristian di Baitulmaqdis. Di kawasan itu juga terdapat Chapel of St. Helena, sebuah gereja kecil di bawah kompleks Gereja Holy Sepulchre. Tradisi Kristian menyatakan bahawa di situlah Helena menyelia kerja-kerja penggalian yang akhirnya membawa kepada penemuan Salib Suci.

Mr. Hassan menjelaskan. dalam Islam, Helena bukan tokoh yang disebut dalam al-Quran atau hadis. Namun, umat Islam mengiktiraf bahawa beliau memainkan peranan penting dalam sejarah perkembangan agama Kristian di Baitulmaqdis.

Yang menariknya, kawasan yang kami lawati memperlihatkan bagaimana sejarah Islam dan Kristian bertemu dalam satu kota. Hanya beberapa minit berjalan kaki dari St. Helena Road, terdapat Masjid Omar, yang dibina bagi memperingati tindakan Khalifah Umar al-Khattab. Ketika beliau menakluki Baitulmaqdis pada tahun 637 Masihi. 

Tidak keterlaluan jika Amie simpulkan bahawa Baitulmaqdis merupakan kota yang menyimpan sejarah, keimanan dan pertemuan pelbagai tamadun dalam setiap bongkah batunya.

Masjid Omar (Mosque of Omar)

Ini ialah pintu masuk Masjid Omar. Masjid ini dibina bagi memperingati lawatan Khalifah Umar al-Khattab ke Baitulmaqdis pada tahun 637 Masihi. Ia terletak berhampiran Gereja Holy Sepulchre sebagai simbol penghormatan Khalifah Umar terhadap rumah ibadat Kristian.



Pada tahun 637 Masihi (16 Hijrah), tentera Islam di bawah pimpinan Abu Ubaidah ibn al-Jarrah dan Khalid ibn al-Walid berjaya mengepung Baitulmaqdis yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine. Penduduk dan pemimpin Kristian kota tersebut, terutama Sophronius, bersedia menyerahkan kota itu, tetapi mereka meletakkan satu syarat iaitu kunci kota hanya akan diserahkan kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab sendiri, bukan kepada panglima tenteranya.

Apabila menerima berita itu, Khalifah Umar bertolak dari Madinah menuju Baitulmaqdis, sejauh kira-kira 1,300 kilometer. Perjalanan itu sangat sederhana: Baginda hanya ditemani seorang pembantu. Mereka berkongsi seekor unta. Mereka bergilir-gilir menunggang unta, manakala seorang lagi berjalan kaki.

Ada satu peristiwa menarik yang diceritakan oleh Mr. Hassan iaitu menurut riwayat yang masyhur, ketika hampir tiba di Baitulmaqdis, tiba giliran pembantunya menunggang unta, manakala Umar berjalan sambil memegang tali unta. Pembantu itu berasa segan dan meminta Umar menaiki unta kerana mereka akan memasuki kota. Namun Umar menjawab bahawa mereka telah bersetuju bergilir, dan beliau tidak mahu berlaku tidak adil. Apabila penduduk Baitulmaqdis melihat seorang lelaki berpakaian sederhana berjalan memimpin unta, mereka sukar mempercayai bahawa itulah pemerintah sebuah empayar yang begitu luas.


Patriark Sophronius kemudian menyerahkan kunci Baitulmaqdis kepada Khalifah Umar secara aman. Peristiwa ini dikenali sebagai Penyerahan Baitulmaqdis dan menjadi contoh bagaimana sebuah kota penting bertukar pemerintahan tanpa kemusnahan besar.

Masjid Omar


Setelah menjejakkan kaki di halaman Masjid Omar, sempat toleh ke belakang merakam sebahagian rakan-rakan yang sedang menuruni anak tangga menuju ke masjid.


Ketika kaki melangkah masuk ke Masjid Omar, rasa tidak percaya berada di jejak yang sama sahabat Rasulullah SAW. Teringat nama Saidina Umar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Masya Allah. Ada tempat yang kita kunjungi dengan kaki, tetapi ada tempat yang kita masuki dengan hati. Masjid Omar adalah salah satunya.

Saat kaki melangkah ke hadapan masjid, hati terasa bergetar. Terasa kecil diri ini di hadapan sejarah yang begitu panjang. Di bumi Baitulmaqdis inilah suatu ketika dahulu Khalifah Umar bin al-Khattab RA datang, dan namanya terus terpahat dalam sejarah kota suci ini.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa suatu hari nanti Amie akan berdiri di sini. Selama ini Masjid Omar hanya dikenali melalui cerita, gambar dan catatan sejarah. Namun hari itu, Amie bukan lagi sekadar mendengar sejarahnya bahkan Amie sedang berdiri di bumi yang menyimpan sejarah itu.

Pada masa yang sama, selain mengucapkan rasa syukur, terasa insaf bahawa perjalanan yang jauh, cuaca yang dingin, langkah yang panjang dan segala kepayahan sepanjang kembara terasa begitu kecil apabila sampai ke tempat ini. Betapa besar nikmat Allah apabila diberikan kesempatan untuk menjadi tetamu di Baitulmaqdis. Rasa syukur sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya hati yang mampu merasakannya.

Ruang Solat dalam Masjid Umar.

Bahagian dalam masjid ini mempunyai siling berkubah batu dan hamparan permaidani. Ruang solatnya sederhana, tenang dan tidak sebesar masjid-masjid utama di Kota Lama. Seni bina batu kapur yang asli memberi suasana damai serta mengekalkan kesejukan di dalam bangunan.

Mr. Hassan sedang menerangkan sejarah Masjid Omar.

Kita sambung cerita. Selepas tentera Islam mengepung Baitulmaqdis pada tahun 637 Masihi, kota itu sebenarnya berada dalam keadaan yang sukar. Empayar Byzantine telah lama berperang dengan Empayar Parsi, dan kekuatan tenteranya semakin lemah. Bekalan makanan di dalam kota juga semakin berkurangan. Namun, Patriark Sophronius bukan sekadar pemimpin agama Kristian. Beliau juga ialah pemimpin masyarakat Kristian di Baitulmaqdis. Beliau ingin memastikan penyerahan kota berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah.

Mengapa beliau mahu bertemu Khalifah Umar sendiri? Terdapat beberapa sebab utama:

  • Menjamin keamanan penduduk
  • Sophronius mahukan jaminan bahawa gereja-gereja, rumah ibadat, penduduk Kristian dan harta benda mereka tidak akan dimusnahkan selepas penyerahan kota.
  • Mengiktiraf kuasa tertinggi.
  • Walaupun panglima Islam seperti Abu Ubaidah ibn al-Jarrah mengetuai pengepungan, Sophronius berpendapat hanya ketua negara sendiri yang layak menerima penyerahan sebuah kota yang begitu penting kepada tiga agama.
  • Kepercayaan terhadap peribadi Umar.
  • Khalifah Umar terkenal sebagai pemerintah yang adil dan sederhana. Berita tentang sifatnya telah sampai ke wilayah Syam. Sophronius berharap perjanjian yang dibuat oleh Umar sendiri akan dihormati oleh seluruh pemerintahan Islam.

Apabila Umar tiba, beliau memberikan jaminan keselamatan melalui satu dokumen yang dikenali sebagai Perjanjian Umar (al-ʿUhda al-ʿUmariyyah).

Antara isi pentingnya ialah:

  • nyawa penduduk Kristian dilindungi
  • gereja tidak akan dimusnahkan
  • salib dan harta gereja tidak akan dirampas
  • penduduk bebas mengamalkan agama mereka
  • mereka tidak akan dipaksa memeluk Islam

Perjanjian ini sering disebut dalam buku-buku sejarah sebagai contoh bagaimana sebuah kota suci bertukar pemerintahan melalui rundingan, bukan pemusnahan.  Selepas menerima kunci kota, Umar melawat Gereja Holy Sepulchre. Ketika waktu solat tiba, Sophronius menjemput beliau bersolat di dalam gereja. Umar menolak dengan sopan. Baginda berkata bahawa jika beliau bersolat di dalam gereja, orang Islam pada masa hadapan mungkin menjadikannya alasan untuk menuntut gereja itu sebagai masjid. Sebaliknya, baginda keluar dan bersolat di kawasan berhampiran. Di situlah kemudiannya dibina Masjid Omar.

Peristiwa ini sering dijadikan contoh kebijaksanaan Khalifah Umar dalam menjaga keamanan dan menghormati rumah ibadat agama lain.

Apabila Amie berdiri di hadapan Masjid Omar, barulah faham mengapa masjid ini dibina di luar Gereja Holy Sepulchre. Ia bukan sekadar sebuah masjid, tetapi lambang kebijaksanaan seorang khalifah yang lebih mengutamakan keharmonian daripada kepentingan dirinya. Mungkin itulah sebabnya Patriark Sophronius sanggup menyerahkan sendiri kunci Baitulmaqdis kepada Khalifah Umar kerana beliau melihat seorang pemimpin yang datang bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk memelihara sebuah kota yang suci bagi pelbagai penganut agama.

Mr. Hassan juga menyatakan bahawa kisah penyerahan kunci dan Perjanjian Umar mempunyai beberapa versi dalam sumber-sumber sejarah Islam dan Kristian. Namun, ahli sejarah secara umum bersetuju bahawa Baitulmaqdis diserahkan kepada Khalifah Umar secara aman pada tahun 637 Masihi, dan lawatan baginda ke kota itu menjadi titik penting dalam sejarah Jerusalem.

Di satu sudut lain, sekumpulan pelancong sedang mendengar penerangan tour guide mereka.

Di sudut sini, kumpulan kami memberi perhatian di atas penerangan dari Mr. Hassan.

Tour leader kami : Prof. Dr Azmil.


Seperti biasa, sebelum meninggalkan tempat lawatan seperti masjid dan maqam, kami menyalurkan sedikit rezeki ke dalam peti infaq. Nilainya mungkin kecil tetapi kami berharap ia menjadi sebahagian  daripada memakmurkan  rumah Allah  di bumi yang penuh sejarah ini.

Tempat mengambil wudhu' di Masjid Omar.


Alhamdulillah, selain berkongsi gambar. Amie turut kongsikan pengalaman hati sepanjang jejak langkah lapis demi lapis sejarah. Dari madrasah Islam ke St. Helena Road, dari Arch of the Virgin Mary ke Masjid Omar, kami sempat menyentuh dua tamadun besar yang masih hidup dalam lorong-lorong batu Kota Lama.

Pada mulanya hanya menyangka sekadar berjalan menyusuri lorong-lorong sempit Kota Lama Baitulmaqdis. Namun, setiap beberapa langkah membawa kami ke dunia yang berbeza. Sebentar kami berdiri di hadapan sebuah madrasah Islam yang masih hidup dengan suara para penuntut ilmu. Tidak lama kemudian, kami membaca papan tanda St. Helena Road, menelusuri kisah seorang wanita yang datang mencari jejak Nabi Isa hampir 1,700 tahun dahulu. Beberapa minit selepas itu, berdiri di hadapan Masjid Omar, mengingati kisah Khalifah Umar yang memasuki kota ini dengan penuh rendah hati. Rupanya di Baitulmaqdis, perjalanan diukur bukan dengan kilometer, tetapi dengan lembaran sejarah yang terbentang di setiap lorong.



Kami meninggalkan lorong itu dengan langkah yang sama, tetapi hati yang berbeza. Hal ini kerana setelah menelusuri kisah Saint Helena, menyentuh tinggalan Rom dan Byzantine, menghayati kebijaksanaan Khalifah Umar, lalu berdiri di hadapan Masjid Omar. Baitulmaqdis mengajar kami bahawa sejarah bukan hanya tersimpan di dalam buku, tetapi masih bernafas di setiap gerbang, lorong dan bongkah batu yang terus setia menanti kehadiran para pengembara.

Berganbar kenangan sebelum meninggalkan Masjid Omar.

Kami berdiri di hadapan Masjid Omar dengan penuh rasa terharu. Di sinilah sejarah pernah dilalui oleh seorang khalifah yang namanya begitu dekat dengan kisah Baitulmaqdis. Hari ini, kami pula diberi kesempatan untuk menjejak bumi yang sama.

Ada rasa sebak yang datang perlahan-lahan. Rupanya doa yang pernah terlintas di hati, perjalanan yang pernah hanya menjadi angan-angan, akhirnya membawa kami sampai ke sini. Amie  tidak tahu berapa banyak lagi tempat di dunia yang akan sempat  dijejaki, tetapi saat ini Amie hanya mahu menghayati detik ini sebaik-baiknya.

Amie pernah membaca tentang Baitulmaqdis. Hari ini Amie berdiri di dalamnya. Amie pernah mendengar tentang Masjid Omar. Hari ini kaki ini diizinkan oleh-Nya menjejak bumi di hadapan kami.

Alhamdulillah, untuk sebuah perjalanan yang bukan sekadar membawa tubuh ke sebuah tempat, tetapi membawa hati lebih dekat kepada sejarah, keinsafan dan kebesaran Allah.

Terima kasih Mr. Hassan dan Prof. Dr. Azmil yang sentiasa berkongfsi info sepanjang lawatan.

1 comments

  1. InsyaAllah jika diizinkanNya, sy teringin hendak ke Palestine dan Jordan utk melihat tempat2 bersejarah. Aamiin...

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

RESIPI AMIE - SAJI - OGOS 2017

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2015

RESIPI AMIE - AROMA - JANUARI 2013

RESIPI AMIE - AROMA - MEI 2014

RESIPI AMIE - JELITA - DISEMBER 2014

RESIPI AMIE - SAJI - MEI - 2015

RESIPI AMIE - SAJI - JULAI 2015

RESIPI AMIE - IBU & ANAK - JULAI 2015

RESIPI AMIE - SAJI -OGOS - 2015

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2016

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2017

RESIPI AMIE - SAJI - FEBRUARI 2017

RESIPI AMIE - SAJI - JANUARI 2017

RESIPI AMIE -SAJI - MEI 2016

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Acheh - Banda Acheh) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Jordan - Amman ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes) ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Palestine - Jericho - Baitul Maqdis - Hebron - Jerusalem ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Portugal ( Lisbon) ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Sarawak ~Saudi Arabia ~Selangor ~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid) ~Slovenia ~Switzerland ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Trip SPM : Sepanyol-Portugal-Morocco ~Turki ~Turkiye ~UAE - Sharjah - Dubai ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Acheh Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Mexican Food Minuman Panas / Sejuk Moroccan Food Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Salad Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Sumber Tanaman Telur Tempahan Vetnamese Food Western Food Wordless Wednesday

Subscribe