Ke Hebron City dan Ziarah Makam Nabi Daud A.S di Bukit Zion

3:25 PTG

Bismillahirrahmanirrahim. 

Hari kedua di Palestin, hujan terus turun tanpa henti tetapi dalam keadaan renyai-renyai. Namun begitu, lawatan tetap diteruskan juga walaupun dalam keadaan basah. Kali ini kami ke Hebron City, dengan tujuan utama untuk ziarah Makam Nabi Daud A.S.

Nabi Daud (David) ialah nabi penting dalam Islam dan juga raja dalam tradisi Yahudi. Dalam Islam, baginda dikenali sebagai Nabi Daud A.S, penerima kitab Zabur dan memiliki suara yang merdu. Lokasi makam ini dipercayai secara tradisi, tetapi ahli sejarah tidak semua bersetuju bahawa tempat ini merupakan lokasi sebenar. Makam Nabi Daud A.S terletak berhampiran dengan lokasi penting Kristian seperti Bilik Perjamuan Terakhir - Room of the Last Supper. Room of the Last Supper juga dikenali dengan nama Cenacle,  Upper Room, dan dalam tradisi latin disebut Cenaculum. Cenacle ini dipercayai sebagai tempat  peristiwa makan malam terakhir Nabi Isa A.S bersama para pengikutnya. 

Dengan kata lain, Room of the Last Supper terletak betul-betul di atas Makan Nabi Daud A.S.


Selain Makam Nabi Daud A.S, Hebron menempatkan Tomb of the Patriarchs, iaitu makam nabi-nabi lain seperti Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ishak A.S dan Nabi Yaakub A.S. Tempat itu juga dikongsi antara Islam dan Yahudi, dan ada sejarah panjang konflik serta perkongsian ruang ibadah.

Nabi Daud A.S memang tokoh yang dikongsi oleh Islam, Yahudi dan Kristian. Sebab itu tempat seperti King David’s Tomb menjadi lokasi ziarah, tempat doa, dan pembacaan kitab oleh pelbagai penganut agama.

Encik Suami dan Firdaus bersama tour guide Palestine, Mr. Hassan.

Firdaus bersama Mr. Hassan.

Hari kedua, pagi pertama di Palestin.

Rasa segar dan bertenaga untuk memulakan lawatan ke Hebron City.


Seperti kelmarin, kami disambut dengan hujan dan tiupan angin yang sangat sejuk! Namun, lawatan tetap diteruskan mengikut jadual.  Gambar di atas adalah laluan sepanjang tembok Kota Lama Jerusalem. Tembok ini dibina semula pada zaman Suleiman the Magnificent pada abad ke-16. Laluan ini menghubungkan Zion Gate, Bukit Zion dan kawasan masuk ke Kota Lama.

Peta Kota Lama


Papan peta di atas merupakan  peta Kota Lama yang menunjukkan kawasan-kawasan utama seperti Masjid Al-AqsaDome of the Rock dan Church of the Holy Sepulchre. Kawasan ini memang sering menjadi laluan ke Makam Nabi Daud (King David’s Tomb), kawasan Bukit Zion dan laluan ke dalam Kota Lama menuju Masjidil Aqsa


Zion Gate sangat penting kerana menghubungkan Kota Lama dengan Bukit Zion dan digunakan oleh pelbagai agama utama iaitu Islam, Kristian, dan Yahudi serta turut menjadi saksi sejarah konflik dan juga tempat pertemuan pelbagai budaya.


Untunglah siapa yang bawa payung! Dapat lindungi diri dari titisan hujan!

Pintu masuk bangunan makam.

Pintu hijau ini salah satu pintu masuk ke kompleks Makam Nabi Daud. Di dalamnya terdapat ruang berasingan untuk lelaki dan wanita (mengikut tradisi Yahudi).


Lorong ini menuju ke Dormition Abbey, sebuah gereja Katolik yang dibina di tempat yang dipercayai sebagai lokasi kewafatan Maryam (Mary). 

Dormition Abbey






Ruang batu dengan tiang dan lengkungan ini sebahagian daripada kompleks Cenacle iaitu tempat yang dikaitkan dengan Perjamuan Terakhir Jesus Christ bersama para pengikutnya. Seni binanya bercampur gaya Islam dan Kristian kerana kawasan ini pernah dikuasai pelbagai pemerintahan.


Mr. Hassan menerangkan bersungguh-sungguh dan penuh teliti  tentang Bilik Perjamuan Terakhir kepada para peserta rombongan.


Pokok Besi.

Pokok Besi ini merupakan arca simbolik dalam kawasan gereja yang melambangkan pokok kehidupan atau penderitaan dan harapan. Rekaannya moden tetapi ditempatkan dalam bangunan bersejarah, jadi nampak kontras.




Tingkap dengan hiasan kaligrafi dengan corak dan tulisan Arab ini menunjukkan pernah ada pengaruh Islam di bangunan ini. Tulisan Arab dan corak geometri biasa ada dalam seni bina Islam di Jerusalem.



The Last Supper Room - Googlr

The Last Supper Room adalah sebuah ruang di tingkat atas bangunan yang terletak betul-betul di atas Makam Nabi Daud A.S. Seni bina sekarang berunsur Gothic (zaman Tentera Salib). Dalam gambar di atas, terdapat tiang batu besar dan  lengkungan (arch) yang merupakan  gaya binaan Eropah lama. Lantai batu lamanya menunjukkan usia yang mencecah ratusan tahun. Mihrabnya pula yang terletak di penjuru arah kiblat menandakan tempat ini pernah dijadikan masjid pada zaman Islam. Tingkap kaca berwarna dengan tulisan Arab pula menjadi bukti adanya campuran sejarah Islam dan Kristian.

Memang unik dan sangat menarik kerana satu ruang ini pernah menjadi tempat suci Kristian dan kemudian menjadi masjid pada zaman Uthmaniyah.


Bagaimanapun, ramai yang keliru kerana menyangka tempat ini bilik asal zaman Nabi Isa A.S. Bangunan sekarang dibina sekitar abad ke-12 hingga ke-14, namun dipercayai didirikan di atas atau dekat lokasi sebenar. Tempat ini dikaitkan dengan agama Kristian serta ada kesan sejarah Islam dan juga penting bagi Yahudi. Ini bemakna ketiga-tiga  agama berkongsi sejarah di satu tempat.


Merenung ruangan Cenacle (Upper Room atau Bilik Atas) yang terletak di Bukit Zion, Baitulmaqdis. Selama ini hanya melihat dan mendengar tentang The Last Supper tetapi kali ini melihat pula Room of the Last Supper di depan mata.


Gambar di atas menunjukkan gaya seni bina gaya Gothic yang sangat ketara. Ini termasuklah Gerbang Berpucuk atau Pointed Arches, mempunyai  struktur melengkung yang bertemu di satu titik di bahagian atas. Terdapat Tiang Berlapis iaitu tiang-tiang besar yang menyokong siling berkubah, yang merupakan hasil pengubahsuaian oleh tentera Salib (Crusaders) pada abad ke-12.

Tempat ini dianggap sangat suci menurut tradisi:
  • Majlis Makan Malam Terakhir (The Last Supper): Di sinilah dipercayai lokasi Nabi Isa A.S (Yesus) mengadakan makan malam terakhir bersama para pengikutnya.

  • Peristiwa Pentakosta:
    Dalam tradisi Kristian, ia juga merupakan tempat di mana para rasul berkumpul selepas kenaikan Nabi Isa ke langit.

  • Kepentingan Islam:
    Bangunan ini juga mempunyai sejarah sebagai sebuah masjid selama beberapa abad (Masjid Nabi Daud) sebelum dijadikan tapak sejarah yang boleh dikunjungi oleh semua agama pada hari ini.


Dalam rintik hujan yang semakin lebat, kami meneruskan lawatan dengan menaiki anak tangga menuju ke bahagian atas.


Lantai dan tangga yang basah dan licin akibat hujan membuatkan kami lebih berhati-hati ketika melangkah.


Kawasan luar dan kubur lama.

Gambar atas dan bawah menunjukkan kawasan tanah dengan batu-batu lama seperti kubur dan serpihan binaan purba di sekitar Mount Zion. Kawasan ini memang penuh tinggalan sejarah dari pelbagai zaman Yahudi, Kristian, dan Islam.




Menara Jam

Menara jam ini letaknya  berhampiran kompleks Bukit Zion. Digunakan sebagai menara loceng atau jam serta menjadi salah satu mercu tanda kawasan tersebut.
 
Dormition Abbey

Bangunan gereja besar ini ialah Dormition Abbey, sebuah gereja Katolik yang sangat terkenal. Dibina di tempat yang dipercayai sebagai lokasi kewafatan Maryam (Mary). Seni binanya unik, berbentuk bulat dengan batu berwarna cerah.



Sempat bergambar di bawah langit mendung yang menitiskan hujan renyai membasahi bumi.




Mari kita teruskan perjalanan dalam suasana semakin dingin ditambah dengan deraian air hujan yang mengiringi  setiap langkah kaki kami.



Sewaktu hendak memasuki jalan menuju ke Makam Nabi Daud, tour guide kami terserempak dengan tour guide Isra. 

Namun sesuatu yang tidak  dijangka berlaku di hadapan kami!

Mr. Hassan memperkenalkan tour guide Isra kepada kami. Mereka bersalaman, berpelukan, berbual mesra dan ketawa ria. Wajah mereka tenang, nada suara mereka menunjukkan sebuah persahabatan akrab yang sudah terjalin kukuh. Seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku di tanah ini. Seolah-olah konflik Isra dan Palestin hanyalah cerita jauh yang tidak menyentuh kehidupan mereka.

Kami, masing-masing terpaku, terdiam menyaksikan 'peristiwa' ini.

Di dalam hati, timbul satu persoalan yang sukar dijawab: Benarkah semuanya baik-baik saja?

Mereka kelihatan sangat mesra seolah-olah tiada permusuhan di antara penduduk Palestin dengan Isra. Walaupun konflik Isra dan Palestin sudah lama dan kompleks, hubungan antara individu kadang-kadang sangat berbeza daripada gambaran besar itu. Kami beranggapan bahawa ramai orang biasa (termasuk tour guide) hanya mahu bekerja, hidup aman, dan berinteraksi secara profesional. Dalam sektor pelancongan, sudah tentulah mereka dilatih untuk bersikap mesra kepada pelawat tanpa mengira latar belakang.

Fikir kami lagi, tempat seperti Makam Nabi Daud A.S adalah kawasan yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa. Di situ:orang Palestin dan Isra kadang-kadang berinteraksi dalam suasana kerja. Mereka mungkin tidak membincangkan isu politik secara terbuka dan lebih fokus  kepada perkhidmatan dan komunikasi

Bagaimanapun tidak bermakna tiada konflik. Namun begitu kami faham bahawa kemesraan yang diperlihatkan bukan tanda konflik.  Hakikatnya ketegangan, sekatan, dan isu politik masih wujud. Kehidupan harian rakyat Palestin khususnya masih terkesan. Tetapi dalam situasi tertentu, manusia tetap boleh berinteraksi dengan baik seperti halnya tour guide Palestin dengan tour guide Isra.

Konflik Isra dan Palestin memang wujud dan serius, tetapi interaksi harian dan realiti keseluruhan di tempat kerja seperti pelancongan, orang perlu profesional. Mereka boleh berbual, senyum, bahkan bergurau. Ramai hanya mahu hidup normal mencari rezeki, elak masalah dan jaga keselamatan diri dan keluarga

Kami simpulkan, kemesraan itu adalah lapisan luar kehidupan, bukan gambaran penuh situasi sebenar.

Tour guide Palestin dengan tour guide Isra.

Lelaki itu, tour guide Isra, berkata kepada kami bahawa dia sangat ingin ke Malaysia. Katanya, dia berharap suatu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke negara kita. Ucapannya kedengaran khlas, matanya kelihatan bersinar gembira. Ketika itu, kami melihat dia bukan sebagai pihak lawan tetapi sebagai seorang manusia  yang punya impian seperti kita semua.

Namun begitu, pada masa yang sama tiba-tiba  hati ini menjadi semakin berat kerana baru tersedar bahawa dunia ini tidak semudah hitam dan putih!

Ada senyuman di atas luka yang tidak kelihatan.
Ada kemesraan yang lahir dalam ruang yang sementara.
Ada manusia yang baik, walaupun berada dalam sistem yang menyakitkan orang lain.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan tetapi langkah kaki terasa tidak lagi sama seperti sebelumnya. Bumi  yang sedang dipijak ini mengajar Amie sesuatu bahawa kemanusiaan itu tetap hidup, walaupun di tengah konflik yang panjang. Namun dalam masa yang sama, keadilan masih terasa jauh.

Amie tidak tahu bagaimana hendak menilai apa yang Amie lihat hari itu. Tetapi satu perkara pasti , rasanya semua peserta rombongan yang pulang bukan hanya membawa gambar dan kenangan, tetapi juga persoalan yang belum terjawab!

Semoga suatu hari nanti, bumi para nabi ini benar-benar merasai kedamaian yang sebenar.

Firdaus bergambar bersama tour guide Isra.

Dalam kekeliruan itu, terlintas di fikiran bahawa  Allah mencipta manusia  untuk saling mengenali, bukan membenci. Namun pada masa yang sama, keadilan tetap perlu ditegakkan tanpa dipengaruhi emosi.

Mungkin inilah ujian sebenar untuk melihat manusia dengan hati, tetapi tetap berdiri di atas kebenaran.






Tokoh Nabi Daud A.S dikongsi oleh beberapa agama:
  • Islam – sebagai nabi dan raja yang adil.
  • Yahudi – sebagai raja besar Bani Israel.
  • Kristian – sebagai tokoh penting dalam kitab Bible.

Katika kami memasuki ruang makam, ternampak seorang wanita (tidak pasti beragama apa) membaca kitab di situ dan cepat-cepat menutup kitab bacaannya lalu terburu-buru meninggalkan bangku duduknya.
Amie rujuk tour guide, siapa wanita membaca kitab?
Penjelasannya ialah, di tempat seperti ini Yahudi biasanya membaca Torah atau kitab suci mereka. Kristian membaca Bible

Kemungkinan besar wanita itu adalah penganut Yahudi atau Kristian yang datang berdoa.


Terdapat perbezaan pandangan tentang lokasi sebenar Makam Nabi Daud A.S:
  • Pandangan Yahudi:
    Mereka meyakini makam Nabi Daud A.S berada di King David's Tomb (Gunung Zion, Baitulmaqdis). Tempat yang kami lawati itu dianggap suci dan menjadi lokasi doa serta ziarah. Namun, ahli sejarah moden Yahudi sendiri ada yang meragui ketepatan lokasi ini (lebih kepada simbolik dan tradisi lama). Pandangan sejarah dan kajian moden banyak ahli arkeologi berpendapat Nabi Daud A.S sebenarnya dimakamkan di kawasan City of David. Ini berdasarkan catatan lama bahawa raja-raja Bani Israel dikebumikan di Kota Daud bukan di Gunung Zion seperti lokasi hari ini. Maksudnya lokasi yang kami lawati mungkin bukan lokasi asal, tetapi tempat penghormatan.

  • Pandangan Islam:
    Dalam Islam, Nabi Daud A.S diiktiraf sebagai nabi dan raja yang mulia. Namun tiada dalil sahih yang memastikan lokasi makamnya secara tepat. Ulama lebih berhati-hati dengan tidak mengesahkan mana-mana tempat sebagai pasti. Jadi umat Islam boleh menziarahi sebagai tempat sejarah. Tetapi tidak meyakini secara pasti itu makam sebenar.


Kenapa boleh berlaku kekeliruan lokasi?
Antaranya termasuklah perubahan geografi dan binaan sejak ribuan tahun, peperangan dan penjajahan di Jerusalem. Tradisi agama berkembang dari generasi ke generasi. Kesimpulan mudah, Yahudi yakin di Gunung Zion, tempat kami ziarah sekarang, manakala sejarawan dengan teori mungkin di Kota Daud sedangkan Islam tidak pasti kerana tiada dalil sahih. Jadi tempat ini  lebih kepada lokasi simbolik yang dihormati, bukan kepastian mutlak.




Tulisan itu ialah doa atau petikan kitab suci dalam bahasa Ibrani


Menorah besar.

Menorah besar ini ialah kaki lilin bercabang tujuh. Yang kami lihat di sini kaki lilin bercabang sembilan. Biasanya menorah kaki lilin bercabang sembilan digunakan  semasa perayaan Hanukkah. Menorah merupakan simbol suci agama Yahudi sejak zaman Temple in Jerusalem, melambangkan cahaya ilahi dan kehadiran Tuhan dan salah satu simbol paling penting dalam identiti Yahudi.

Mr. Hassan menerangkan tentang mezuzah.

Mr. Hassan menunjukkan kotak kecil di pintu yang dipanggil mezuzah. Mezuzah berisi gulungan ayat suci daripada Taurat (Shema). Mezuzah diletakkan di pintu sebagai tanda perlindungan dan peringatan kepada Tuhan.  Orang Yahudi biasanya menyentuh atau mencium mezuzah ketika masuk dan keluar.


Kerusi kayu itu dipercayai Chair of Elijah atau (Kerusi Nabi Ilyas A.S. Kerusi ini digunakan dalam upacara keagamaan tertentu seperti brit milah dan melambangkan kehadiran Nabi Ilyas secara spiritual.

Nampaknya setakat ini sahajalah lawatan kami ke Bukit Zion, dan dapat mengenali lebih banyak tradisi Yahudi dari segi keagamaan. Tiba masanya untuk tingggalkan kompleks ini.


Pintu kecil dengan loceng dalam gambar di atas  merupakan salah satu pimtu lama di sekitar kompleks Bukit Zion. Rekaan batu melengkung menunjukkan seni bina zaman Ottoman. Loceng di atas pintu itu biasanya digunakan untuk keagamaan.


Sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari Makam Nabi Daud A.S, hujan sudah berhenti. Kami menuju ke tempat letak bas melalui Zion Gate. Ketika itu kami melihat sekumpulan orang Yahudi sedang berarak menuju ke pintu Kota Lama Jerusalem. Kedengaran bunyi muzik dan nyanyian sepanjang perarakan tersebut.


Pintu batu besar ini adalah sebahagian daripada tembok Kota Lama yang dibina semula pada zaman Suleiman the Magnificent pada abad ke-16. Jalan ini merupakan laluan berbatu yang menggunakan batu kapur tempatan (limestone) yang licin dan berkilat akibat penggunaan beratus tahun. Jika diperhati dengan teliti, di sekitar Zion Gate terdapat lubang dan masih kelihatan kesan tembakan dan kerosakan dari konflik seperti Perang Arab-Israel 1948.


Sekumpulan masyarakat Yahudi berarak masuk melalui Zion Gate. Mereka menyanyi, menari, dan memainkan alat muzik dengan penuh kegembiraan. Wajah-wajah mereka berseri seolah-olah sedang meraikan sesuatu yang menggembiraan. Menurut Mr. Hassan, mereka sedang meraikan Bat Mitzvah iaitu tanda seorang anak perempuan telah mencapai usia tanggungjawab dalam agama mereka.

Sekian, perkongsian dari Komplek Bukit Zion di Hebron City.

9 comments

  1. Uwaaah saya banyaaaak dpt knowledge dari tulisan kak Amie yg ini ❤️❤️❤️❤️. Sejarah lama dari 3 agama tua ya. Jadi memang tidak ada lokasi pasti dari kubur nabi daud . Semua based on kepercayaan saja. Walaupun saya heran, apa tidak bisa membongkar kubur yg dipercaya sebagai kubur nabi daud, utk memastikan itu? Toh teknologi skr sudah sangat maju utk menilai suatu jenazah .

    Tp okelaah, saya yakin ada alasan yg menghalangi itu semua kan.

    Saya suka jalanan berbatu di kota ini. Betul2 terlihat sebagai kota tua yg sudah ribuan tahun.

    Dormition Abbey pun menarik. Saya pasti ingin kesana juga jika bisa melihat tempat Maryam wafat.

    Mengenai Orang2 isra dan Palestine, saya pun tak berani bicara sembarang kak. Sebab memang kita tak tahu kondisi sebenar di sana. Yg kita tahu hanya tg perangnya, konflik. Zaman skr, terlalu banyak berita simpang siur.

    Saya ikut senang kalau penduduk isra dan Palestine bisa akur. Mungkin selama ini mereka hanya digunakan oleh pemerintah utk kepentingan politik. Kita tahulah, politik memang kejam 😔.

    BalasPadam
  2. dulu2 sy mcm nak percaya kisah the last supper ni. tapi hakikatnya kisah ni bukan daripada sejarah Islam yg benar. kalau ada pun kisah Nabi Isa dgn makanan kalau tak silap sy berkenaan permintaan makanan dr langit (maaidatan minas sama')

    bila kak amie sebut kubur nabi daud dlm kepala sy dah terbyg kawasan ni kompem menjadi kawasan 'berat' sbb ia pasti melibatkan bangsa tu...

    BalasPadam
  3. Nampak macam lukisan je pokok besi tu.

    BalasPadam
  4. Wow menariknya boleh belajar sejarah di tempat ni. Teringin nak ke tempat2 bersejarah sebab selalu wondering apakah perasaan kita jika hidup di zaman itu. Best tulisan Kak Amie. Mcm2 yg dapat saya tengok melalui gmbr.

    BalasPadam
  5. Seronok SA baca penerangan Kak Amie melalui entry ni..x dapat SA bayangkan kalau kita berada di zaman tu..banyak betul.sejarah dengan pemandangan yang klasik mcm tu kak...

    BalasPadam
  6. bersungguh2 saya baca penerangan kak amie...
    tentang 2 tourguide tu.. memang xplaination yang sangat menyentuh, membuatkan terfikir sendiri. rakyat yang selalu menjadi mangsa politik itu...semoga keadilan dapat dicapai dalam erti kata sebenar..aamin

    BalasPadam
  7. Penuh maklumat penulisan Amie bagi lawatan ini. Banyak maklumat baru yang KSarie dapat. Gambar-gambar yang dikongsikan semuanya ada cerita sejarah yang tersendiri. Benarlah kata Amie. Dunia ini tidak semudah hitam putih. Banyak perkara di dalam dunia ini berada di dalam grey area

    BalasPadam
  8. Baca ni macam kamus bergambar.
    Penuh informasi.

    BalasPadam
  9. Senibina Dormition Abbey tu cantik. Perjalanan penuh ilmu dan sejarah. Thanks for sharing Kak Amie. Moga kami sampai sana nanti.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Acheh - Banda Acheh) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Jordan - Amman ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes) ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Palestine - Jericho - Baitul Maqdis - Hebron - Jerusalem ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Portugal ( Lisbon) ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Sarawak ~Saudi Arabia ~Selangor ~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid) ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Trip SPM : Sepanyol-Portugal-Morocco ~Turki ~Turkiye ~UAE - Sharjah - Dubai ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Acheh Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Mexican Food Minuman Panas / Sejuk Moroccan Food Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Salad Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Sumber Tanaman Telur Tempahan Vetnamese Food Western Food Wordless Wednesday

Subscribe