Nasi Berkat : Tradisi Masyarakat Melayu Cocos

2:03 PTG

Assalamualaikum.
Terima kasih buat pengunjung setia Amie's Little Kitchen, juga buat followers baru yang sudi singgah di dapur maya ini. 
Hari ini merupakan hari kedua kita disunatkan berpuasa putih atau ayyamul bidh. Hari putih bermaksud hari pada pertengahan bulan Islam iaitu 13,14 dan 15 hari bulan Qamariah. Ia dinamakan ayyamul bidh atau hari putih kerana pada malam-malam tersebut adalah waktu bulan purnama dengan sinaran bulan berwarna putih. Teringat waktu kecil dahulu, arwah Ayahanda selalu berpesan supaya puasa putih selama 3 hari setiap bulan.
Pada tarikh-tarikh ini, kita disunatkan berpuasa sebagai tambahan kepada amal ibadah kita sebagaimana dari Abu Dzar, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulannya, maka berpuasalah pada tanggal 13,14 dan 15 dari bulan Hijriah - Hadis riwayat Tirmizi dan an-Nasa'ie.

Gambar Nasi Berkat : Tradisi Masyarakat Melayu Cocos

Hari ini Amie ingin kongsikan Nasi Berkat, salah satu tradisi masyarakat Melayu Cocos. Nampakya tahun ini memang tidak adalah bungkusan nasi berkat sebab arahan PKP yang wajib dipatuhi, tidak membenarkan berkumpul ramai-ramai seperti kebiasaannya. Nasi berkat yang juga disebut ambangan oleh masyarakat Cocos ini juga mula mengalami perubahan seperti juga nasi ambeng dalam masyarakat  di kampung halaman Amie. Kalau nasi ambeng sudah tidak lagi disediakan dalam talam besar dan dibahagikan dalam setiap kumpulan, nasi berkat Cocos juga kini kelihatannya sudah siap diisi dalam bekas plastik bertutup dan siap dibungkus. Dahulu, nasi berkat diletak atas pinggan, siap dengan lauk-pauknya.

Banyak sangat kenangan yang terpahat dalam ingatan setiap kali tibanya bulan Syaaban. Kenduri arwah yang diadakan di kampung Encik Suami sentiasa mengimbau nostalgia nasi berkat di kampung sendiri. Walaupun namanya sama iaitu nasi berkat, tetapi ada beberapa perbezaan dari segi penyediaan dan lauk-pauknya. Sewaktu hayat MIL dan FIL masih ada, memang tidak menang tangan membantu menyiapkan kelengkapan nasi berkat. Tambahan pula, FIL merupakan imam kariah, dan MIL pula 'ketua kemiti' (sebutan Cocos) di kampung. Selain nasi berkat, ada lagi oleh-oleh iringan lain untuk dibawa pulang oleh para tetamu seperti buah-buahan, minuman dan makanan ringan.

Catatan ini Amie tujukan juga buat anak-anak kesayangan kami, Farid, Fuad, Fairuz dan Firdaus agar tahu asal-usul keturunan kalian. Setiap tradisi sesebuah masyarakat biasanya akan mengalami perubahan akibat pertembungan dengan budaya lain. Lebih menyedihkan ia akan pupus dtelan zaman sekiranya tidak dipelihara. Sekaligus menjadikan identiti kaum itu lenyap. Masyarakat Melayu Cocos hanyalah etnik minoriti di negara kita. Sejarah mereka penuh duka dan air mata. Semasa hayat MIL dan FIL masih ada, setiap kali kami ke kampung MIL dan FIL pasti akan bercerita tentang kenangan di Pulau Cocos-Keeling. Di situlah tanah kelahiran mereka. Dan dalam cerita-cerita mereka berdua, terbayang kerinduan yang amat mendalam terhadap masa lalu mereka. Ah! Tempat jatuh lagi dikenang! Tiba-tiba rasa sayu pula....

Sekarang mari kita kenali nasi berkat orang Melayu Cocos berdasarkan pemerhatian dan pengalaman hidup Amie dalam kalangan masyarakat ini. Penyediaan nasi berkat ini diadakan secara bergotong royong dan diketuai oleh 'ketua kemiti' serta ahli jawatankuasanya. Ada dua jenis nasi berkat yang disediakan iaitu nasi besar dan nasi berkat biasa. Nasi besar dikhususkan untuk imam dan penolongnya, serta 'mak kemiti', manakala nasi berkat biasa untuk para tetamu yang menghadiri majlis kenduri tersebut.

Selain lauk-pauk seperti ayam dan ikan, menu wajib ada dalam nasi berkat ialah serunding ikan. Amie selalu melihat MIL dan arwah kakak ipar sediakan serunding ikan. Jenis ikan yang biasa digunakan ialah ikan tenggiri dan ikan sulig. Kadang-kadang mereka gunakan ikan sardin dalam tin untuk dijadikan serunding. Bahan yang tidak boleh ditinggalkan dalam serunding ikan ialah perahan jus limau nipis! Untuk melihat resepi lebih lanjut tentang serunding ikan, bolehlah klik di sini: SERUNDING IKAN VERSI COCOS.

Lauk seterusnya yang wajib ada ialah Sambal Goreng Kates @ Papaya @ Betik. Selain betik, sayur lain yang biasa digunakan ialah peria dan kacang hijau. Kacang hijau direndam hingga kembang, dan tidak sampai keluarkan tunas, dan kemudian dibuang kulitnya. Cara masakannya juga sama seperti memasak sambal goreng kates. MIL pernah ajar Amie masak sambal goreng kates, dan salah satu bahan wajib yang dimasukkan ialah bancuhan air asam jawa selain perencahnya yang terdiri daripada hati dan mempedal ayam. Resepinya boleh lihat di sini: SAMBAL GORENG KATES.

Seterusnya, kepedel @ cempedel juga merupakan lauk yang wajib ada dalam nasi berkat. Kepedel ini diperbuat daripada isi ikan rebus dan kelapa parut yang ditumbuk, campur dengan lada putih, bawang merah serta bawang putih. Rasanya memang sangat sedap. Jika berminat boleh klik di sini: KEPEDEL @ CEMPEDEL


Kalau makan kepedel yang baru digoreng memang tak cukup sebutir! Dalam nasi berkat pun memang hanya sebutir sahaja kepedel! Gaul dengan nasi... aduhai enaknya!

Ada telur dadar dalam nasi berkat. Hiriskan bawang putih, bawang merah atau bawang besar, cili hijau dan cili merah. Dadar telur dan kemudian gulung dalam kuali. Kemudian potong-potong seperti gambar di atas.
Sebenarnya lauk-pauk dalam nasi berkat ini tidak terhad menggunakan lauk-pauk di atas. Yang Amie kongsikan ini ialah lauk-pauk yang biasa ada dalam nasi berkat. Kalau nak bubuh lauk lain seperti daging, udang dan sotong pun boleh. Nasinya pula dimasak cara kukus di dalam dandangan. Jadi, tidaklah takut nasi akan basi kerana biasanya kenduri diadakan sama ada pada sebelah petang selepas Zohor atau Asar, atau malam selepas Maghrib atau Isya'.
Tukang susun atur nasi besar dan nasi berkat yang lain ialah mak-mak kemiti (ahli jawatankuasa sosial komitilah maksudnya). 

Beginilah lebih kurangnya talam yang digunakan untuk nasi besar. Menurut Encik Suami, dahulu mereka gunakan talam yang lebih besar, sama saiz dengan talam ambengan masyarakat Jawa. Sekarang, saiz menjadi lebih kecil.

 Ini pula saiz pinggan makan biasa untuk nasi berkat yang lain.

Letakkan daun pisang di atas nasi, dan taburkan serunding di bawahnya. Sekali lagi Amie tanya Encik Suami, kenapa mesti taburkan merata serunding tersebut sedangkan kalau Amie lihat tidaklah pula banyak serunding? Kata Encik Suami, memang begitulah caranya. Oh. Ikut sajalah. Katanya lagi, orang sekarang tak berapa rajin nak buat serunding, jadi bubuh sedikit saja dalam nasi berkat. Kemudian letakkan ayam goreng dan ikan goreng di atasnya. Untuk nasi besar, biasanya diletakkan bahagian sukuan peha, dan ikan goreng saiz besar. Amie goreng ikan temparing. MIL cukup suka ikan ini untuk dijadikan lauk nasi berkat. Ikan lain pun boleh.

Kemudian bubuhlah sambal goreng kates, terung goreng dan juga kacang panjang celur. Kadang-kadang ada yang bubuh kobis rebus dan timun rebus dan juga kacang botol atau kacang bendi.

Kalau sudah bubur sayur rebus seperti kacang panjang dan terung goreng, kenalah ada sambal colek. Semua bahan untuk sambal colek ini digoreng terlebih dahulu dan kemudian ditumbuk atau dikisar lumat. Kadang-kadang ada juga belacan @ terasi, iaitu campuran isi ikan sardin ditumbuk lumat bersama belacan, bawang dan cili padi dan kemudian digaul bersama telur sebelum digoreng. Nak tahu lebih lanjut boleh klik di sini: BELACAN COCOS.
Sebagai sentuhan akhir, jangan lupa bubuh sebutir kepedel, sekeping telur dadar dan telur masin di atas nasi berkat!

 Nasi berkat saiz besar sudah siap!



Beginilah lebih kurangnya nasi berkat saiz besar. Sebenarnya penyediaan nasi berkat ini mengikut kemampuan tuan rumah. Kalau ada rezeki lebih, tambahkan apa sahaja lauk-pauk di situ.



Dan kemudian kita lihat pula nasi berkat yang akan dibawa pulang oleh para tetamu yang mengambil bahagian dalam majlis kenduri.



Dulu, arwah FIL selalu bawa pulang nasi besar. Sekarang Encik Suami pula bawa pulang nasi berkat. Syukur Alhamdulillah. Walaupun bekas nasi berkat sudah berubah tapi sekurang-kurangnya masih ada sebutir kepedel dan serunding ikan! Itu pun bila digaul sudah cukup enak dijamah bersama!


Sekian.
Coretan buat anak cucu akan datang dan para pengunjung yang budiman.
Terima kasih sudi membaca.

3 comments

  1. Kesemua masakannya tampak menggiurkan ..., nikmat sekali.

    BalasPadam
  2. Ninja,
    ye... macam-macam nama nasi.

    Himawan,
    terima kasih, masakan di tempat saudara pun apa kurangnya.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Turkiye ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe